15 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

AZ-ZAHRA mencuri pandang ke arah Gibran yang sedang fokus menggubah bunga untuk tempahan seorang pelanggan wanita. Sejak pagi tadi, mereka langsung tidak bercakap antara satu sama lain. Pandang muka pun tidak apatah lagi mahu bercakap. Mereka seakan-akan berada dalam dunia mereka sendiri. Gibran juga tidak menegurnya walaupun kebiasaannya Az-Zahra yang mulakan perbualan. Ucapan Gibran masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia tiba-tiba rasa kekok untuk berbual dengan lelaki itu.

Az-Zahra kembali mengalihkan pandangannya ke arah bunga-bunga di hadapannya. Gubahan bunganya masih belum siap sepenuhnya gara-gara tidak dapat fokus. Dia perlu menghasilkan sejambak bunga ros merah yang dikelilingi dengan coklat-coklat serta dihiasi dengan belon besar. Tempahan daripada seorang suami untuk isteri tercinta. Lihat saja tulisan besar pada belon besar itu dia sudah mengetahui hadiah ini khas untuk isteri kesayangannya. Untungnya wanita itu.

Rasa sendu pula bila mengenangkan dirinya masih belum punya pasangan. Agak-agaknya jodoh dia masih belum lahir mungkin.

“Mahyra.” Suara garau yang agak dalam itu telah mengganggu ketenteraman Az-Zahra. Automatik jantungnya berdebar laju. Setiap kali Gibran memanggilnya dengan nama panggilan seperti itu jantungnya akan buat hal. Kalau selalu begini memang dia akan dapat serangan jantung tak lama lagi.

“Mahyra,” panggil Gibran buat kali kedua. Nada suaranya juga agak tinggi. Dia memanggil gadis itu namun panggilannya diendahkan.

Az-Zahra tersentak.

Lantas dia mendongak kepala untuk memandang Gibran yang sememangnya sedang merenungnya tajam. Dia tidak sedar sejak bila lelaki itu berdiri di hadapannya.

“Ada apa awak panggil saya?” Az-Zahra bertanya. Pasti ada sebab mengapa lelaki itu memanggilnya. Dia cuba untuk bersikap tenang di hadapan lelaki itu.

“Aku nak pergi keluar makan tengah hari dengan Luke,” beritahu Gibran sambil mengerling sekilas ke arah jam di pergelangan tangannya.

“Okey, awak pergilah makan,” balas Az-Zahra tanpa memandang wajah Gibran. Dia kembali menyiapkan tempahan pelanggannya kerana sebentar lagi pelanggan itu akan datang semula untuk mengambil bunga ini.

“Kau tak nak makan?” soal Gibran. Wajahnya kelihatan begitu risau melihat Az-Zahra menggeleng kepala.

“Saya makan sekejap lagi. Saya nak siapkan tempahan bunga ni dulu sebab nanti pelanggan tu akan datang ambil. Awak pergilah makan dengan Luke. Pandai-pandailah saya urus diri sendiri,” balas Az-Zahra mudah.

Gibran diam agak lama. Anak matanya tunak merenung seraut wajah lembut itu.

Az-Zahra kembali memandang wajah kacak Gibran sambil mengangkat sebelah keningnya. Hairan melihat Gibran masih lagi tidak berganjak.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Penuh berhati-hati Az-Zahra menyoal. Meremang bulu romanya melihat renungan tajam Gibran.

“Kenapa kau tak nak makan?” Lain pula yang dijawab Gibran.

Az-Zahra mengeluh kecil.

“Saya dah cakap tadi yang saya nak siapkan tempahan bunga ni dulu. Sekejap lagi akan ada pelanggan yang datang ambil. Lagipun, saya tak lapar sangat sebab saya ada makan roti coklat pagi tadi,” ujar Az-Zahra mengharapkan lelaki itu boleh faham. Dia cakap Bahasa Melayu jadi harapnya Gibran berhenti banyak tanya.

“Kalau macam tu, aku belikan kau makanan. Nanti kau makan dekat sini,”

“Eh, tak payahlah awak susah-susah nak belikan saya makanan pula. Saya masih kenyang lagi.” Az-Zahra menolak dengan lembut. Dia pelik melihat sikap Gibran hari ini.

“Tapi nanti kau lapar,” balas Gibran kembali.

Az-Zahra memandang pelik ke arah Gibran. Keningnya berkerut.

“Awak risaukan saya ke kalau saya tak makan?” soal Az-Zahra sekadar ingin mengusik. Dia cuma mahu melihat reaksi lelaki itu.

“Ha’ah, aku risaukan kau. Hati aku takkan tenang kalau kau tak makan walaupun sebutir nasi depan mata aku,” jawab Gibran tanpa tergagap langsung. Wajahnya sungguh tenang seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Az-Zahra terdiam. Niatnya ingin mengusik Gibran tetapi hatinya pula yang terusik mendengar kata-kata lelaki itu. Kedengaran sangat ikhlas di telinganya.

Az-Zahra ketawa sekadar ingin menutup rasa gugupnya. Jelas dibuat-buat.

“Alahai, dalam diam awak ni prihatin rupanya dengan perempuan. Untung siapa yang dapat kahwin dengan awak nanti. Mesti awak layan semua perempuan macam ni, kan?” Sengaja Az-Zahra bertanyakan soalan itu untuk memujuk hati. Dia tidak mahu terlebih perasan.

Tetapi, Gibran menjawab sebaliknya.

“Taklah, dengan kau je aku macam ni. Hanya untuk yang istimewa di hati aku,”

Erk...

Sekali lagi hatinya terusik. Az-Zahra berdehem perlahan.

“Aw...awak pergilah ma...makan. Nanti saya makan,” ujar Az-Zahra sambil matanya hanya fokus pada gubahannya. Dia tak boleh nak pandang mata Gibran sekarang ini.

“Kalau macam tu...” Gibran sengaja menggantung ayatnya.

Tiba-tiba dia merendahkan sedikit tubuhnya agar dapat memandang wajah Az-Zahra dengan lebih jelas. Tangannya pula dimasukkan ke dalam poket seluar. Anak mata itu tajam merenung wajah Az-Zahra.

Az-Zahra mula gelabah tatkala wajah Gibran hampir dengannya. Dia hanya berlagak selamba meskipun nafasnya kini tersekat di kerongkong. Biarpun masih ada jarak di antara mereka namun tetap membuatkan Az-Zahra kurang selesa. Dia perlukan alat bantuan pernafasan sekarang ini. Mata mereka bertaut seketika.

“Aku keluar makan dulu. Nanti kalau nak pesan apa-apa, just call me.” Gibran berkata menitipkan pesanan. Kemudian, dia menegakkan kembali tubuhnya. Bibirnya melakarkan senyuman manis sebelum dia melangkah keluar dari kedai bunga.

Az-Zahra menekup mulutnya.

Gibran senyum dekat dia ke tadi?

Lantas dia menampar pipinya untuk menyedarkannya. Tidak cukup dengan itu, Az-Zahra mencubit pula pipinya sehingga dia mengadu kesakitan. Kalau dia rasa sakit itu bermakna apa yang berlaku tadi bukannya mimpi. Gibran memang betul-betul senyum dekat dia.

Az-Zahra kemam bibir menahan senyum. Dia rasa macam nak hantukkan kepala ke dinding saat ini. Dia merasakan sikap Gibran bertambah pelik sejak kejadian di taman bunga kelmarin.

♡ ♡ ♡ ♡

“TERIMA kasih sebab beli bunga di Scarlett Florist. Silalah datang lagi nanti,” ucap Az-Zahra kepada seorang pelanggan lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Az-Zahra melakarkan segaris senyuman manis.

“In Syaa Allah saya pasti akan datang lagi. Saya sangat tertarik dengan hasil gubahan bunga awak. Kemas dan sangat cantik. Isteri saya mesti sukakannya,” jawab lelaki tinggi itu. Dia juga turut melemparkan senyuman manis yang sungguh menawan. Senyuman itu persis senyuman Gibran. Kedua-duanya dihiasi dengan lesung pipit. Tiba-tiba dia teringatkan tentang Gibran. Entah kenapa dalam banyak-banyak lelaki, Gibran juga yang dia ingat.

Az-Zahra menggeleng kepala perlahan. Cuba untuk menghapus bayangan Gibran dari dalam fikirannya.

Setelah susuk tubuh lelaki itu menghilang, Az-Zahra menghela nafas lega. Akhirnya dia boleh berehat sekejap sebelum dia menunaikan solat fardhu Zohor. Namun tiba-tiba perutnya berkeroncong minta diisi makanan. Dia sangat lapar sekarang ini.

Baru dia rasa menyesal sebab tolak pelawaan Gibran tadi. Kalau dia tahu dia akan lapar semula mesti dia suruh Gibran untuk belikan dia makanan tadi. Itulah, siapa suruh jual mahal sangat.

Kedengaran bunyi tapak kasut seseorang menghampirinya. Az-Zahra menyangka bahawa itu adalah Gibran namun sangkaannya meleset tatkala melihat wajah Faqih pula yang muncul di hadapannya. Az-Zahra terkejut dan Faqih pula tersenyum manis.

“Assalamu’alaikum,” ucap Faqih seraya mendekati Az-Zahra di meja kaunter. Kelihatan gadis itu masih lagi tidak bergerak langsung. Mungkin terkejut dengan kemunculannya yang tiba-tiba.

“Wa...wa’alaikumussalam,” jawab Az-Zahra tergagap-gagap. Dia berdiri berhadapan Faqih dan memandang wajah kacak itu tanpa berkelip langsung.

“Kau buat apa dekat sini, Faqih? Macam mana kau boleh tahu aku kerja dekat sini?” soal Az-Zahra tertanya-tanya.

Faqih senyum misteri.

“Come on lah, Az-Zahra. Putrajaya ni bukannya besar sangat. Setakat nak cari tahu pasal kau hujung jari saja aku boleh tahu semuanya,” balas Faqih sambil tersenyum senget.

“Huh?” Az-Zahra mengerutkan keningnya. Dia tak faham sangat apa yang dimaksudkan oleh Faqih. Otaknya tak dapat berhubung dengan baik sekarang ini atau memang dia yang lembab sangat?

Faqih tidak membalas apa-apa. Dia cuma tersenyum.

“Kau nak apa datang sini?” soal Az-Zahra ingin tahu. Tiada angin tiada ribut tiba-tiba saja lelaki itu muncul semula. Kali terakhir mereka berjumpa pun semasa berada di kedai burger tempoh hari.

“Aku ada belikan kau makanan. Kau mesti belum makan, kan? Jadi, sahabat baik kau yang kacak lagikan tampan ni ada belikan kau nasi goreng Pattaya,” balas Faqih seraya mengangkat beg kertas di tangannya.

Bersinar-sinar mata Az-Zahra melihat bekas makanan berisi dengan nasi goreng Pattaya yang dikeluarkan oleh Faqih dari dalam beg kertas itu. Memang dia tengah lapar sekarang ini. Faqih macam tahu-tahu saja yang dia tengah lapar tahap kebulur saat ini.

“Kau memang terbaik, Faqih! Aku memang tengah lapar sekarang ni,” ujar Az-Zahra sambil tersenyum lebar. Nasi goreng Pattaya itu sangat menggiurkan ditambah pula dengan aroma yang sungguh menyelerakan menerpa masuk ke dalam rongga hidungnya.

Faqih tertawa kecil melihat wajah gembira Az-Zahra. Sangat comel di matanya.

Mereka mengambil tempat duduk masing-masing. Faqih melabuhkan punggung di atas sebuah sofa bersebelahan dengan sofa yang diduduki oleh Az-Zahra. Setelah membaca doa makan, Az-Zahra terus menyuap masuk nasi goreng itu ke dalam mulutnya. Tidak peduli dengan tatapan Faqih yang sedang menatapnya sekarang ini.

“Ya Allah, sedapnya!” Az-Zahra berkata bersama mulut yang penuh diisi dengan nasi.

Faqih masih kekal menatap wajah Az-Zahra. Dia melihat hujung bibir Az-Zahra sedikit comot. Lantas dia mengeluarkan sehelai tisu dari dalam poket seluarnya. Baru saja dia ingin mendekati Az-Zahra dengan lebih rapat, gadis itu menghalangnya.

“Kau nak buat apa?” soal Az-Zahra sedikit gementar. Dia menjauhkan sedikit dirinya daripada Faqih.

“Bibir kau comot dengan sos jadi aku nak tolong lapkan. Salah ke kalau aku nak tolong?”

“Tak apa, aku boleh bersihkan sendiri,” tolak Az-Zahra. Dia meletakkan bekas makanan itu ke atas meja. Tangan Faqih cuba ditolaknya.

“It’s okay. Biarlah aku tolong lapkan. Lagipun, masa kita kecil dulu aku selalu tolong lapkan bibir kau kan kalau kau selalu makan comot,” ujar Faqih pula. Tidak peduli dengan reaksi Az-Zahra.

“Faqih, please don’t...” Az-Zahra cuba untuk menolak sekali lagi namun Faqih masih dengan sikap degilnya. Belum sempat tisu itu mendarat pada hujung bibir Az-Zahra, suara garau seseorang yang berdehem kuat menghentikan tindakan Faqih. Az-Zahra juga terkejut.

“Ehem!”

Mereka sama-sama berpaling ke arah pintu utama tatkala mendengar suara itu. Kelihatan Gibran sedang berdiri di muka pintu dengan wajah tegangnya. Perlahan-lahan langkah kaki Gibran berjalan mendekati mereka.

Az-Zahra sudah mula cuak. Janganlah Gibran fikir yang bukan-bukan pula.

Faqih pula memandang wajah lelaki tinggi itu dengan kening yang berkerut. Tiba-tiba saja muncul entah dari mana datangnya membuatkan dia agak terkejut namun hanya untuk seketika sebelum dia tersedar sesuatu.

Gibran merenung tajam wajah Az-Zahra dengan rahang yang diketap kuat. Renungan membunuh yang penuh dengan maksud tersirat. Kemudian, dia mengalihkan pandangan pula ke arah lelaki di sebelah Az-Zahra. Keningnya berkerut melihat wajah itu.

Az-Zahra telan air liur melihat wajah tegang Gibran. Hilang terus seleranya nak makan. Dia memandang wajah Gibran dan Faqih yang sedang memandang antara satu sama lain silih berganti.

“Khair Faqih, sahabat lama Az-Zahra.” Faqih terlebih dahulu memperkenalkan dirinya. Perkataan ‘sahabat’ sengaja ditekankan. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Gibran. Bibir mengukir senyuman manis.

Gibran menyambut huluran Faqih tanpa berfikir panjang. Bezanya cuma tiada senyuman yang menghiasi wajah kacak itu. Hanya tegang. Berdiri tegak bulu roma Az-Zahra yang melihatnya.

“Raja Gibran Xavier.” Gibran pula memperkenalkan diri. Tiga patah perkataan itu disebut dengan jelas dan ditekankan sedikit.

Seminit sudah berlalu namun posisi mereka masih lagi tidak berubah. Az-Zahra mengerling sekilas jam di tangannya. Agak lama juga mereka bersalaman sehinggakan dia pun penat menunggu.

Az-Zahra perasan wajah masing-masing kini berubah merah. Urat-urat mula timbul di dahi mereka berdua. Wajah Faqih sangat jelas kemerah-merahan. Seperti sedang menahan sakit.

Sungguh deja vú.

“Lamanya bersalaman. Memang nak salam sampai esok pagi ke?” Az-Zahra menegur.

Mendengarkan suara lunak itu menegur, Gibran melepaskan genggamannya pada tangan Faqih serta-merta. Wajah Gibran kekal tenang namun dalam hatinya hanya dia saja yang tahu. Mereka masih lagi merenung antara satu sama lain.

“Erk, korang berdua ni dah kenal ke sebelum ni?” Soalan itu terpacul keluar dari bibir Az-Zahra. Tengok gaya masing-masing macam dah kenal lama atau itu mungkin cuma perasaannya sahaja.

Faqih menggeleng laju.

“Tak, kami tak kenal pun sebelum ni. Ini baru kali pertama berjumpa,” jawab Faqih sambil tersenyum.

Gibran pula langsung tidak bersuara.

Az-Zahra tetap mengangguk meskipun dia masih lagi berasa musykil. Firasat wanitanya mengatakan sebaliknya.

“Aku rasa aku dah kena balik sekarang. Jangan lupa habiskan nasi goreng tu. Aku pergi dulu, Zahra. Nanti kita jumpa lagi,” ucap Faqih sebelum mengenyit sebelah mata ke arah Az-Zahra. Membulat mata Az-Zahra melihatnya. Tak pernah-pernah Faqih berkelakuan seperti ini.

Setelah kelibat Faqih hilang dari pandangannya, kini tinggal mereka berdua.

Az-Zahra tersengih namun hanya sekejap sebelum bertentang mata dengan Gibran. Lelaki itu merenungnya tajam. Kalau renungan itu umpama pedang pasti sudah tertembus ke belakang.

“Tersengih-sengih macam kerang busuk. Aku patahkan tengkuk kau nanti baru kau tahu!” Kasar Gibran berkata. Suaranya juga agak tinggi.

Az-Zahra cuma diam.

“Patutlah kau beria sangat tak nak aku belikan makanan untuk kau, rupa-rupanya dah ada sahabat lama yang belikan,” ujar Gibran sinis.

“Bukan macam tu, Gibran. Awak dah salah faham ni. Sebenarnya tadi...”

“Enough! I don’t need your explanation,” cantas Gibran sebelum meninggalkan Az-Zahra di situ. Sempat dia menjeling tajam ke arah gadis itu.

Az-Zahra bungkam.

Kenapa Gibran tiba-tiba naik angin dengannya? Dia pun sebenarnya tak menyangka Faqih akan datang ke kedai bunganya hari ini.

Semenjak hari itu, hampir setiap hari Faqih akan datang berkunjung ke Scarlett Florist semata-mata hendak berjumpa dengan Az-Zahra dengan bawakan makanan tengah hari untuk gadis itu. Bermula dari hari itu juga Gibran semakin menjauhkan diri daripada Az-Zahra. Mereka tidak lagi berbual selalu seperti kebiasaannya. Bercakap pun bila perlu saja jika melibatkan hal kerja. Bila diajak bercakap, Gibran pasti mengelak. Bila ditanya, Gibran hanya jawab sepatah. Paling menyakitkan hati bila Gibran langsung tidak menjawab dan hanya mengabaikan Az-Zahra.

Az-Zahra keliru dengan sikap Gibran. Dia semakin sakit hati dengan layanan Gibran terhadapnya. Kalau sebelum ini Gibran masih melayannya walaupun dingin tetapi sekarang ini tahap dingin lelaki itu bertambah-tambah sehingga dia seperti tidak dianggap wujud di situ.

Apa salah dia?

♡ ♡ ♡ ♡

MAJLIS pertunangan Luke dan Sophia berjalan dengan sangat lancar. Biarpun majlis dijalankan secara kecil-kecilan namun suasana majlis tetap meriah dengan kehadiran keluarga terdekat dan juga kanak-kanak.

Az-Zahra tersenyum lebar tatkala memandang wajah Sophia yang kelihatan sangat berseri-seri pada waktu itu. Dia turut tumpang gembira kerana sahabatnya kini bergelar tunangan orang.

“Tahniah, Sophia. Tak sangka kau dah jadi tunang orang. Tak lama lagi dah nak jadi isteri,” ucap Az-Zahra dengan sangat teruja. Orang lain yang bertunang, dia pula yang terlebih teruja.

Sophia tersenyum gembira.

“Thanks, Zahra. Kau sentiasa ada di sisi aku dan sentiasa tolong aku. Aku bersyukur sangat dapat sahabat baik macam kau,” ucap Sophia gembira. Dia merangkul erat lengan Az-Zahra.

“Tak payah nak dramatik sangatlah,” balas Az-Zahra sebelum mereka sama-sama tertawa bahagia. Az-Zahra bahagia jika sahabatnya itu juga turut bahagia.

“Aku dah bertunang dan tak lama lagi nak kahwin. Lepas ni giliran kau pula,” ujar Sophia sambil membelek-belek cincin berlian yang tersarung pada jari manisnya.

Az-Zahra senyum hambar.

“Tengoklah dulu kalau ada yang nakkan dekat aku. Bayang jodoh pun tak nampak nak kahwin macam mana,” balas Az-Zahra dengan muka malasnya. Selepas ini dia pasti akan selalu menghadap mulut puaka mak cik-mak cik bawang dan bandingkan dia dengan Sophia.

“Isy, kau janganlah cakap macam tu. Kau cantik sangat mustahil tiada lelaki yang nakkan dekat kau,” ujar Sophia. Dia kurang senang dengan kata-kata Az-Zahra.

“Aku bukan cari lelaki yang jatuh cinta pada aku disebabkan rupa. Kalau kahwin dengan lelaki yang hanya tengok rupa memang kebahagiaan dalam rumah tangga susah nak dikecapi. Tapi aku cari seorang lelaki yang ikhlas dan tulus menerima kekurangan aku seadanya. Mencintai aku kerana Allah SWT dan bukannya kerana nafsu semata,” bicara Az-Zahra.

Sophia mengalihkan pandangannya ke arah Az-Zahra yang sedang duduk bersimpuh di sebelahnya. Bibirnya mengukir senyuman nipis.

“Andai kata suatu hari nanti Allah uji kau dengan hadirkan perasaan cinta pada seorang lelaki yang bukan beragama Islam. Apa kau akan buat?” soal Sophia tiba-tiba. Terlintas soalan itu di fikirannya. Dia ingin mendengar jawapan Az-Zahra.

Az-Zahra tergamam. Dia berfikir sejenak.

“Urm, mungkin dengan cara melepaskannya adalah yang terbaik sebab agama kami berbeza dan sangat mustahil untuk kami bersama. Tapi jikalau Allah dah memang takdirkan kami bersatu, sejauh mana pun kami berpisah pasti akan dipertemukan semula. Memang nampak mustahil bagi kita tapi tak mustahil bagi Allah. Allah yang pegang hati kita dan Allah juga yang bolak-balikkan hati seseorang. Kita tak tahu mungkin suatu hari nanti Allah berikan dia hidayah dan dia pun masuk Islam,” hujah Az-Zahra panjang lebar.

Jauh di sudut hati Az-Zahra mengharapkan perkara sedemikian tidak akan berlaku dalam hidupnya kerana jatuh cinta pada seseorang yang berbeza agama sangat sakit. Pengakhirannya tidak semestinya mereka akan bersama. Dua hati yang saling mencintai, jikalau agama berbeza tidak mudah untuk bersama.

“Jangan disebabkan kita terlalu cinta kepada seseorang membuatkan kita lalai dan lupa pada Allah. Cinta yang tak akan membuatkan kita patah hati adalah cinta Allah. Sebab itu kita kena sentiasa ingat yang Allah cintakan kita sangat-sangat,” tutur Az-Zahra perlahan.

Sophia mengangguk setuju.

Tanpa dipinta, fikiran Az-Zahra terbayang wajah Gibran. Dia kurang pasti sama ada Gibran juga turut serta sekali dalam majlis ini atau tidak. Sejak bermulanya majlis sehinggalah majlis selesai, dia langsung tak nampak wajah kacak lelaki itu. Az-Zahra segera menghapus bayangan Gibran dari fikirannya. Dia tak nak selalu teringatkan tentang Gibran.

♡ ♡ ♡ ♡

DISEBABKAN Az-Zahra berasa kasihan dengan penghuni di dalam rumah ini, mereka sibuk melayan saudara-saudara terdekat yang hadir dalam majlis ini kemudian masak makanan untuk dihidangkan, dengan rela hati Az-Zahra meringankan tulangnya untuk membantu sekali. Dia hanya mencuci pinggan mangkuk yang kotor di dapur. Lagipun, dia sudah lama mengenali keluarga Sophia jadi tiada masalah untuk dia bantu apa yang patut.

Tangannya lincah membasuh pinggan yang sudah digunakan tadi. Sambil itu, Az-Zahra menyanyi kecil untuk menghilangkan suasana bosan kerana dia hanya bersendirian di dalam dapur sedangkan mereka yang lain berada di ruang tamu.

“Boleh saya cuci tangan sekejap?”

Az-Zahra mendengar suara garau itu dengan begitu jelas. Pergerakannya terhenti serta-merta. Mulutnya juga terus terkunci. Kepala menoleh ke sisi lalu kelihatan wajah tampan Luke menghiasi kornea matanya.

Az-Zahra menggigit bibir bawahnya. Mesti Luke dah dengar suara sumbang dia tadi, kan?

“Saya nak cuci tangan jadi boleh saya guna sinki sekejap?” Sekali lagi Luke meminta izin. Dia melihat Az-Zahra cuma diam, mungkin gadis itu tidak berapa dengar tadi.

“Huh? Oh, nak cuci tangan. Silalah.” Az-Zahra berganjak ke belakang untuk memberi ruang kepada Luke mencuci tangannya.

Kepala memandang ke sekeliling dapur untuk mencari kelibat sahabat Luke yang seorang itu. Kalau ada Luke di sini pasti Gibran juga turut ada sekali.

“Gibran tak ada dekat sini,” ujar Luke tiba-tiba sehingga mengejutkan Az-Zahra.

“Huh?”

Luke senyum manis.

“Saya cakap Gibran tak ada dekat sini. Dia tak datang sebab dia ada hal katanya,” ulang Luke sekali lagi.

“Saya tak tanya pun,” tutur Az-Zahra perlahan.

Luke tertawa kecil.

“Ya, awak memang tak tanya tapi mata awak yang membuktikan segala-galanya,” ujar Luke seraya menutup pili air. Dia mengelap tangannya yang basah menggunakan tuala bersih.

“Huh?” Az-Zahra makin bingung. Apa benda Luke merepek ni?

Luke bersandar pada kabinet dapur sambil tangannya disilangkan ke dada. Anak matanya merenung lama wajah lembut itu.

“Ke...kenapa awak pandang saya macam tu?” soal Az-Zahra musykil. Ada apa-apa ke dekat muka dia?

“Awak tahu tak, saya rasa Gibran patut pergi hospital dan buat pemeriksaan mata,” kata Luke. Sangat tiba-tiba.

“Kenapa pula?”

“Sebab saya rasa dia bukan setakat rabun tapi buta. Dia tak patut hina awak dan panggil awak dengan gelaran ‘minah selekeh’. Sedangkan hakikatnya rupa awak macam bidadari yang turun dari syurga. Perempuan cantik macam awak dia cakap ‘minah selekeh’. Tak patut langsung!” ujar Luke tidak berpuas hati. Dia mendengus geram.

Ternganga mulut Az-Zahra mendengarnya.

“Gibran ceritakan semuanya dekat awak?” soal Az-Zahra terkejut.

Luke senyum senget.

“Of course. We share stories. Rahsia Gibran, rahsia saya juga. Tiada apa-apa yang perlu disembunyikan antara kami berdua,” balas Luke.

Az-Zahra mengetap bibir. Tak guna punya Gibran!

Memang sekarang Gibran sudah tidak lagi memanggilnya sebegitu namun bila mengenangkan semula dirinya pernah digelar seperti itu pada awal pertemuan mereka terasa luka yang lama kembali berdarah. Bila teringat semula rasa macam nak tampar mulut lelaki itu sepuas hati.

“Awak dengan dia nampak sangat rapat sampai semua benda awak berdua kongsi. Dah lama ke kenal?” Az-Zahra bertanya sekadar ingin tahu.

“Kami kenal sejak zaman tadika lagi. Kami sambung belajar di sekolah yang sama sehinggalah universiti. Saya dengan Gibran dapat tawaran sambung belajar di Universiti Oxford. Kami berkawan sejak kecil lagi. Kalau dia ada masalah saya akan cuba tolong selesaikan dan bila saya ada masalah dia cuba bantu saya,” ujar Luke. Senyumannya tidak lekang dari bibir.

Az-Zahra mengerutkan keningnya.

Universiti Oxford?

Panjang lebar Luke bercerita namun nama universiti itu juga yang menarik perhatian Az-Zahra.

“Awak dengan Gibran sambung belajar dekat Universiti Oxford?” tanya Az-Zahra menginginkan kepastian.

“Yup!” jawab Luke sambil mengangguk kepala.

Az-Zahra diam. Tiba-tiba dia teringat cerita Faqih beberapa minggu lalu ketika mereka terserempak di kedai burger. Faqih ada memberitahunya yang dia juga belajar di Universiti Oxford. Agak-agaknya Luke dengan Gibran kenal Faqih ke memandangkan mereka bertiga belajar di universiti yang sama.

“Saya nak pergi ke ruang tamu. By the way, seronok berbual dengan awak walaupun sekejap,” kata Luke gembira.

Az-Zahra hanya tersenyum nipis.

Matanya cuma menghantar pemergian Luke sehingga kelibat lelaki itu hilang dari pandangannya. Bibir melepaskan keluhan kecil. Az-Zahra kembali menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience