22 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

SEMINGGU sudah berlalu dan Gibran tidak lagi menjejakkan kaki ke Scarlett Florist sehingga menimbulkan tanda tanya dalam diri Az-Zahra. Gadis itu masih setia menunggu Gibran untuk kembali bekerja di Scarlett Florist biarpun lelaki itu sudah tidak lagi memunculkan diri di hadapan Az-Zahra. Gibran langsung tidak memberitahu alasan mengapa dia tiba-tiba tidak mahu bekerja di kedai bunganya lagi.

Takkanlah lelaki itu kena sorok oleh bunian pula? Tiba-tiba hilang dari radar, mana tak peliknya.

Bila Az-Zahra cuba untuk menghubungi Gibran, panggilannya langsung tidak diangkat malah mesejnya juga langsung tidak dibalas. Bila dihantar mesej, hanya satu tanda sahaja yang diterima. Gibran sepertinya tidak membaca mesej yang dihantarnya. Ada kemungkinan Gibran sudah membuang nombor telefonnya sebab dia langsung tak nampak gambar profil milik lelaki itu.

Tapi, kenapa? Dia ada buat salah ke?

Sudah tiga puluh minit Az-Zahra merenung skrin telefon pintarnya. Setia menanti Gibran menghubunginya kembali atau membalas mesejnya. Tetapi, setiap detik dia menunggu terasa sia-sia. Dia menunggu bukan sehari tetapi seminggu!

Az-Zahra melepaskan keluhan berat.

“Mana awak pergi, Gibran? Kenapa tiba-tiba awak hilang macam tu aje? Awak dah janji nak lindungi saya kalau saya berada dalam bahaya tapi kenapa awak pula yang menghilangkan diri? Begini ke cara awak lindungi saya?” Az-Zahra bermonolog sendiri.

Dia seperti orang gila yang menanti seseorang untuk kembali ke pangkuan. Sedangkan Az-Zahra tahu itu sangat mustahil kerana tiada langsung khabar berita tentang Gibran yang didengarinya.

Kalau beginilah keadaannya setiap hari boleh jadi murung tak lama lagi.

Sekali lagi Az-Zahra mengeluh.

Seminggu ini, Az-Zahra merasakan hidupnya terasa kelam. Seminggu ini juga dia tidak menatap wajah Gibran, hatinya sarat dengan perasaan rindu yang semakin menebal. Perasaan yang dahulunya dia selalu nafikan kini tidak mampu disangkal lagi. Perasaan cinta mula bercambah dalam hatinya.

Az-Zahra merenung ke arah pintu kaca dengan penuh harapan agar Gibran tiba-tiba muncul di situ.

Qaireen yang sedang menghampirinya langsung tidak disedari.

“Kak Zahra, kita ada terima tempahan bunga daripada seorang pelanggan perempuan.” Suara lunak Qaireen menyapa gegendang telinga Az-Zahra.

Az-Zahra mengangkat wajah untuk memandang Qaireen yang sedang berdiri di hadapannya.

“Bila?” soal Az-Zahra, lemah.

“Baru saja dia telefon tadi. Dia kata dia nak tempah bunga di kedai kita sempena majlis perkahwinan anak dia yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Jadi, kita kena siapkan tempahannya sebelum majlis tu berlangsung,” beritahu Qaireen.

Kepala Az-Zahra terangguk-angguk. Faham dengan maklumat yang disampaikan oleh Qaireen.

“Siapa nama dia?” tanya Az-Zahra lagi.

“Ungku Matilda,” jawab Qaireen. Tubuh Az-Zahra mengeras tatkala telinganya mendengar nama itu meniti di bibir Qaireen.

Ungku Matilda.

Sebaris nama itu sungguh cantik. Terbit senyuman kecil di bibir Az-Zahra tatkala membayangkan wajah wanita itu mesti cantik sama seperti namanya yang elegan. Entah kenapa dia teringin mahu bertemu dengan wanita itu secara depan.

“Erk, kenapa? Ada yang tak kena ke?” tegur Qaireen apabila melihat Az-Zahra terlalu lama berdiam diri. Siap tersenyum-senyum sendiri lagi.

Az-Zahra menggeleng kepala sambil senyum manis.

“Tak, tak ada apa-apa. Marilah kita mula siapkan tempahan bunga tu sekarang.”

♡ ♡ ♡ ♡

DALAM tempoh masa yang ditetapkan, Az-Zahra berjaya menyiapkan tempahan bunga yang diminta oleh wanita yang bernama Ungku Matilda itu. Qaireen juga banyak membantunya untuk menyiapkan tempahan bunga.

Az-Zahra merenung kembali alamat rumah yang tertulis di atas kertas kecil tersebut. Dia perlu menghantar tempahan bunga itu di alamat yang diberikan.

“Awak dah masukkan semua bakul bunga tu dalam bonet kereta saya?” tanya Az-Zahra sebaik saja dia melihat susuk tubuh Qaireen yang baru melangkah masuk ke dalam kedai bunga.

“Alhamdulillah, semua saya dah masukkan. Muat untuk masukkan semua bakul bunga di bonet kereta Kak Zahra.”

Az-Zahra angguk sambil tersenyum puas.

Untuk tempahan bunga kali ini tidaklah terlalu banyak seperti tempahan bunga sewaktu majlis yang diadakan di Royal Palace Hotel dulu tetapi Az-Zahra tetap menerima keuntungan yang lumayan. Bukan calang-calang orang yang menempah bunga di kedainya ini.

Az-Zahra menjeling sekilas telefon pintarnya. Berharap agar si dia menghubunginya atau menghantar pesanan ringkas kepadanya namun tiada. Setiap hari Az-Zahra menunggu tetapi keadaannya tetap sama.

Gibran hilang tanpa meninggalkan sebarang pesanan kepadanya.

Sepi.

♡ ♡ ♡ ♡

RUMAH agam tiga tingkat itu ditatap lama. Az-Zahra tergamam melihat kemewahan rumah agam tersebut. Beberapa buah kereta berjenama mahal tersusun kemas di kawasan parking kereta dan salah satunya berjenama Vellfire. Sebuah kolam renang yang besar terdapat di kawasan luar rumah dan di tengah-tengahnya terdapat air pancut menyerlahkan lagi kemewahan rumah agam tersebut.

Sungguh estetik.

Ini baru bahagian luar rumah, belum lagi bahagian dalam rumah. Entah-entah lagi mewah.

Az-Zahra melihat beberapa orang pekerja lelaki sedang menyusun meja panjang di bahagian halaman rumah. Kerusi disusun dengan teratur. Ada juga yang menyusun pasu-pasu bunga untuk menyerlahkan lagi keindahan alam. Terdapat sebuah pentas kecil yang sedang dihias. Az-Zahra dimaklumkan bahawa majlis perkahwinan itu akan berlangsung di rumah agam ini.

“Besarnya rumah ni.” Az-Zahra menggumam perlahan. Hanya didengari oleh telinganya sendiri. Bebola matanya meliar ke sekeliling kawasan rumah untuk menikmati pemandangan hijau yang terdapat di sini. Kagum dia melihat seni binaan rumah agam tiga tingkat itu.

Az-Zahra berjalan perlahan-lahan sambil tangannya memegang bakul-bakul bunga menuju masuk ke dalam rumah agam itu setelah mendapat kebenaran oleh dua orang pengawal yang menjaga bahagian pintu masuk.

Masuk saja ke dalam rumah, Az-Zahra disambut oleh seorang wanita yang anggun dalam persalinan gaun labuh berwarna putih. Rambut panjangnya cantik digayakan dengan bridal hair.

Az-Zahra terpegun melihat kecantikan wanita itu.

“Awak ni mesti nak hantar tempahan bunga, kan?” Wanita itu menyoal Az-Zahra. Wajahnya sungguh lembut. Bibir merahnya mengukir senyum manis menyerlahkan lagi keayuan wanita itu.

Az-Zahra mengangguk sambil membalas senyuman manisnya.

“Kamu boleh letak dekat ruang tamu. Nanti biar mereka semua yang susun,” arahnya lembut.

Az-Zahra mengangguk faham. Dia meletakkan bakul-bakul bunga itu di atas permaidani. Az-Zahra melihat beberapa orang pembantu rumah sedang sibuk mengemas dan membersihkan ruangan di dalam rumah ini. Masing-masing menjalankan tugas dengan tekun. Ada juga yang sedang menyusun meja dan kerusi di dalam ruang makan.

Ungku Matilda mengarahkan beberapa orang wanita untuk mengambil bakul-bakul bunga yang masih berada di dalam kereta Az-Zahra supaya dapat meringankan beban Az-Zahra. Gadis itu sudah berusaha menyiapkan tempahan bunga jadi biarlah pembantu-pembantunya yang mengangkat bakul-bakul bunga yang masih ada.

Sementara itu, Az-Zahra pula memerhatikan dekorasi di dalam rumah ini. Terpegun melihat keunikan dan kemewahan seni bina rumah ini. Banyak aksesori rumah yang mahal dan berjenama yang terdapat di dalam rumah ini.

“Boleh saya tahu apa nama awak?” Az-Zahra terkejut mendengar pertanyaan itu. Pandangannya beralih ke arah wanita anggun di hadapannya.

“Az-Zahra Al-Mahyra,” jawab Az-Zahra sambil tersenyum.

“Nice name. Nama yang cantik, sesuai sangat dengan orangnya yang lemah-lembut,” puji Ungku Matilda.

Az-Zahra tersenyum sumbing menerima pujian daripada wanita itu.

Lemah-lembut? Saya boleh jadi kasar juga, aunty.

Hati Az-Zahra berbisik.

“Ibu dengan ayah saya yang bagi nama tu. Mereka kata saya anak sulung jadi nama kena panjang sikit daripada adik-adik saya yang lain,” ujar Az-Zahra sebelum tertawa kecil mengingatkan kejadian itu.

“Nama saya Ungku Matilda. Semua orang panggil saya Ungku tapi awak boleh panggil saya aunty je. Tak perlu nak profesional sangat. Nak panggil saya mama pun boleh. Saya tak kisah.” Lembut saja Ungku Matilda bersuara.

Tidak disangka, tangannya naik mengusap lembut pipi mulus Az-Zahra.

Az-Zahra sudah tentunya terkejut melihat tindakan wanita itu namun bibirnya tetap mengukir senyuman.

Terasa kekok.

“Awak nak tahu tak? Saya suka sangat dengan gubahan bunga awak. Saya selalu tengok video-video yang awak kongsi di IG dan Tik tok. Cara awak menggubah bunga tu sangat menakjubkan. Baru sekarang saya ada peluang untuk beli bunga-bunga di kedai awak.” Wanita itu mula bercerita.

Semakin lebar senyuman Az-Zahra. Memang dia selalu berkongsi video-video di Instagram dan Tik Tok untuk tujuan promosi bunga-bunga di Scarlett Florist. Kebanyakan video cara dia menggubah bunga sering dikongsi di dua aplikasi media sosial tersebut.

“Ma...” Suara garau seseorang mencelah perbualan mereka. Kedua-duanya berpaling ke arah seorang lelaki tinggi yang lengkap berpakaian kerja pejabat di tubuh.

Az-Zahra memandang wajah tampan itu menyebabkan mata mereka bertaut seketika. Hanya sekejap sebelum Az-Zahra memandang ke tempat lain.

“Asher, awalnya balik? Bukannya ada meeting dengan Uncle Ethan ke?”

“Uncle cancel meeting last-minute. Ada hal katanya. Itu yang Asher balik awal.” Lelaki itu menjawab pertanyaan Ungku Matilda seraya menghampiri mereka. Wajah Az-Zahra dipandang dengan penuh minat dan perasaan ingin tahu.

Az-Zahra masih diam. Telinganya hanya mendengar perbualan dua beranak itu.

“Who’s this girl, ma...?” Mata Asher merenung seraut wajah cantik Az-Zahra.

“Kenalkan ini Az-Zahra, dia yang hantar tempahan bunga yang mama pesan sebelum ni. Kalau Asher nak tahu, Az-Zahra lah pemilik kedai bunga Scarlett Florist,” ujar Ungku Matilda.

Asher mengangguk perlahan. Terbit senyuman kecil pada bibirnya. Sedikit sebanyak dia berasa kagum dengan gadis itu. Muda-muda lagi dah ada bisnes sendiri. Boleh buat isteri ni. Eh?

“Az-Zahra, kenalkan ini anak aunty. Asher Malvinn, dia pun bekerja macam Zahra juga cuma dalam bisnes perhotelan. Tapi dia masih belajar dalam urusan bisnes ni. Maklumlah masih mentah dalam dunia perniagaan.”

Az-Zahra hanya senyum manis.

Sekali lagi dia mencuri pandang ke arah lelaki tinggi yang bernama Asher itu. Entah kenapa wajah itu mengingatkan dia pada seseorang. Seseorang yang bernama...

“Kami dah balik.” Suara garau seseorang muncul di belakangnya.

Jantung Az-Zahra tiba-tiba berdegup laju. Suara itu...

“Anak mama dengan bakal menantu mama dah balik? Macam mana dating? Best tak shopping sama-sama?” Ungku Matilda tersenyum lebar sambil memandang ke arah seseorang yang berdiri tidak jauh daripada mereka. Ungku Matilda melepasi Az-Zahra lalu menghampiri ke arah gerangan yang tiba-tiba saja muncul.

“Hmm...” Suara itu membalas dengan nada yang cukup membosankan.

“Isy, apa bie bagi jawapan bosan macam tu. Mestilah best mama! Gibran layan El macam tuan puteri! El seronok sangat keluar dengan Gibran. Nanti lepas kahwin kita keluar sama-sama lagi tau, bie!” Manja suara lunak itu berkata.

Gibran?!

Serentak dengan itu, Az-Zahra memusingkan tubuhnya menghadap ke arah dua pasangan sejoli di hadapannya. Wajah kacak Gibran kini menghiasi pandangannya. Wajah yang sudah lama dia tidak pandang. Dan juga wajah yang sangat dia rindui.

Mereka masih lagi tidak menyedari dengan kehadiran Az-Zahra di situ. Az-Zahra memandang seorang gadis yang berdiri di sebelah Gibran dengan tangannya melingkar pada lengan sasa Gibran. Melihatkan gaya mereka yang agak mesra menimbulkan perasaan cemburu dalam diri Az-Zahra.

“Oh, ya! Mama hampir terlupa pula. Mama nak kenalkan ini Az-Zahra. Az-Zahra pemilik Scarlett Florist. Mama suka sangat dengan gubahan bunga dia sebab tu mama tempah bunga di kedai dia sempena majlis perkahwinan kamu berdua.”

Mata Az-Zahra terpaku pada wajah Gibran. Serentak Gibran juga menoleh ke arah Az-Zahra namun wajahnya langsung tidak berperasaan. Lelaki itu langsung tidak memberi sebarang reaksi. Terkejut? Langsung tidak. Riak wajahnya hanya dingin dan tatapannya terhadap Az-Zahra juga kosong. Seolah-olah lelaki itu tidak mengenali dirinya. Seolah-olah dia begitu asing dalam hidup Gibran.

“Oh, ya ke? Salam perkenalan, kalau you nak tahu, I bakal isteri Gibran. Maksudnya tak lama lagi kami akan berkahwin. Kalau you tak keberatan, jemputlah datang ke majlis perkahwinan kami minggu hadapan. Saksikan sendiri majlis kami yang meriah nanti,” ujar Eleanora dengan pandangan jeliknya. Jelas memperlekehkan Az-Zahra secara halus.

Umpama kaca yang terhempas ke batu tatkala Az-Zahra mengetahui Gibran akan disatukan dengan gadis di sebelah lelaki itu. Tidak terkeluar perkataan dari mulut Az-Zahra. Hatinya sakit seperti dicakar.

Eleanora tersenyum puas di dalam hati.

Az-Zahra memaksa diri untuk kelihatan tenang di hadapan mereka seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Bibir merahnya mengukir senyuman manis. Hanya sekadar ingin menutup perasaan duka di dalam hati.

Jadi, inilah sebabnya mengapa Gibran tidak lagi bekerja di Scarlett Florist? Ternyata lelaki itu sibuk menguruskan persiapan untuk majlis perkahwinannya bersama dengan wanita pilihannya.

Kenapa dia merasakan dirinya seperti sudah dikhianati?

“Erk, saya rasa tugas saya dah habis dekat sini. Saya minta diri dulu.” Sebaik sahaja Az-Zahra berkata, dia terus membuka langkah menuju ke bahagian pintu keluar. Matanya mula berkaca-kaca. Dia tidak mahu menangis di sini.

Hatinya hancur di saat dia mula mengetahui kebenaran. Sungguh sakit.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience