23 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

AZ-ZAHRA berjalan laju menuju keluar dari rumah agam itu. Air mata mula bergenang di kelopak mata namun ditahan sehabis baik.

Jangan nangis, Az-Zahra. Jangan nangis.

“Hey, perempuan!” Satu suara lunak menjerit lantang sehingga mengejutkan Az-Zahra. Serentak itu, lengan Az-Zahra ditarik kasar oleh seseorang dari belakang, memaksa Az-Zahra untuk menghadapnya.

Wajah garang Eleanora memenuhi kornea mata Az-Zahra. Muka macam nak cari gaduh saja dengan dia.

“Awak nak apa, ya? Saya nak cepat ni. Lagipun, kerja saya dah habis dekat sini,” tutur Az-Zahra lembut.

Selagi dia masih boleh bersabar, dia akan bersabar. Dia tidak mahu menyakiti Eleanora kerana dia sedar gadis ini merupakan hak milik Gibran. Mengingatkan kembali tentang perkara itu membuatkan hatinya menjadi sakit.

Eleanora tersenyum sinis.

“Don’t pretend you don’t know me. I still remember your ugly face,” ujar Eleanora dengan muka jijiknya. Dia memandang Az-Zahra dari atas hingga bawah dengan pandangan jijik. Seolah-olah Az-Zahra begitu sampah di matanya.

Az-Zahra tayang wajah manis di hadapan Eleanora. Bibirnya mengukir segaris senyuman. Tetapi di dalam hati, berhabis dia mengutuk gadis di hadapannya ini.

Ugly face?

Dia ingat muka dia cantik sangat? Setakat pakai mekap tebal untuk tutup muka awam tu tak ada guna juga. Kalau tampar muka tu, jerebu satu Malaysia. Silap-silap mak lampir lagi lawa daripada dia.

Getus Az-Zahra di dalam hati.

Wajah Eleanora dipandang. Ya, Az-Zahra juga masih mengingati wajah cantik di hadapannya ini. Dia masih ingat gadis ini yang pernah merempuh bahunya dengan sengaja sewaktu di dalam tandas dulu. Kisah yang telah berlaku beberapa bulan yang Az-Zahra tidak menyangka bahawa dia akan bertemu lagi dengan gadis ini.

“I cuma nak bagi warning dekat you. Jangan berani nak menggatal dengan bakal suami I. Gibran, milik I seorang saja. He’s mine and no one can take him away from me.” Dengan angkuh Eleanora berkata.

Az-Zahra senyum hambar.

“Awak jangan risaulah sebab saya takkan sesekali rampas dia daripada awak. Saya pun tak ada niat nak hancurkan kebahagiaan wanita lain. Tahniah, sebab tak lama lagi awak akan mendirikan rumah tangga dengan dia,” ujar Az-Zahra selafaz. Senyuman manis diukir walaupun dalam keadaan terpaksa hanya untuk menutup kesedihan di hati.

Biarpun hatinya sakit tatkala mengungkapkan ayat tersebut, namun Az-Zahra ikhlas dan tulus mengucapkannya. Dia perlu belajar untuk menerima hakikat.

“Baguslah kalau you dah sedar. Cumanya macam masih ada yang belum selesai lagi.”

“A...apa dia?” tanya Az-Zahra. Wajahnya kelihatan agak bingung.

Eleanora memerhatikan kawasan di sekeliling mereka. Semuanya sibuk dengan kerja masing-masing. Eleanora mencengkam lengan Az-Zahra secara tiba-tiba sehingga Az-Zahra mengadu kesakitan. Cengkaman Eleanora pada bahunya sangat dalam kerana Eleanora memakai kuku palsu. Sukar untuk Az-Zahra melepaskan diri kerana tenaga Eleanora lebih kuat daripadanya malah ketinggian mereka juga agak jauh beza memandangkan Eleanora memakai kasut tumit tinggi. Az-Zahra tidak mampu untuk melawan Eleanora yang lebih tinggi.

“Sakitlah. Apa masalah awak ni? Lepaskan saya!”

Tidak diduga, Eleanora menolak kasar tubuh Az-Zahra sehingga jatuh ke dalam kolam renang.

Semuanya berlaku dengan pantas.

Az-Zahra terkapai-kapai di dalam kolam renang yang luas itu. Dia mahu menjerit bagi mendapatkan pertolongan namun terbatas kerana suaranya tersekat di kerongkong. Air klorin memenuhi mulutnya menjadikannya sukar untuk bersuara, apatah lagi bernafas dengan betul. Disebabkan ketinggiannya juga yang agak rendah menyebabkan Az-Zahra hampir lemas.

Kenapalah dia pendek?

Az-Zahra juga langsung tidak tahu cara untuk berenang. Sekarang baru dia rasa menyesal sebab tak belajar berenang dulu.

Sementara itu, Eleanora hanya memandang Az-Zahra tanpa sedikit pun perasaan belas kasihan. Tangannya disilangkan ke dada sambil tersenyum jahat.

Pekerja-pekerja yang sedang menyiapkan kerja mereka juga berhenti seketika tatkala terdengar bunyi kocakan air yang sangat kuat seolah-olah ada seseorang yang terjatuh di dalam kolam renang. Apabila mereka cuba untuk membantu Az-Zahra yang hampir lemas, Eleanora menghalang. Sudahnya mereka hanya menjadi pemerhati di situ.

“Kau patut mati dan tak muncul lagi depan Gibran. Bila kau mati barulah hidup kami akan bahagia, sayang,” ujar Eleanora sebelum ketawa jahat persis orang gila. Senyuman sinis terukir pada bibir merahnya menyerlahkan lagi aura kejahatan gadis itu.

“To...tolong,” rayu Az-Zahra perlahan. Suaranya hampir tidak kedengaran. Dadanya terasa dihimpit. Matanya mula kuyu. Badannya bertukar lemah.

Kenapa semua orang hanya tengok dia yang hampir lemas ini? Mana sifat empati dan perikemanusiaan mereka? Kenapa mereka tidak menolongnya?

“Biarkan dia mati lemas dekat sini dan jangan ada sesiapa pun yang tolong dia!” ujar Eleanora, kejam.

Tubuh Az-Zahra perlahan-lahan tenggelam. Dia sudah tidak berdaya lagi. Mata Az-Zahra perlahan-lahan tertutup namun telinganya sempat menangkap bunyi kocakan air menerima satu susuk lain.

Setelah itu, dunianya berubah menjadi gelap.

♡ ♡ ♡ ♡

LEMAH. Cukup satu patah perkataan itu menggambarkan kondisi Az-Zahra pada ketika ini. Tubuhnya lemah. Sendi-sendi ototnya sakit. Wajahnya begitu pucat serupa mayat hidup.

Az-Zahra begitu lemah sehingga dia tidak berdaya untuk membuka mata. Kalau boleh dia tak nak bangun. Dia mahu tidur buat selamanya. Tetapi Az-Zahra tidak mahu bersikap pentingkan diri sendiri. Dia tahu masih ada orang yang menyayanginya. Az-Zahra menguatkan dirinya, dipaksa kedua-dua kelopak matanya dibuka untuk melihat kembali dunia yang bersifat fana ini.

Sebaik saja Az-Zahra berjaya membuka matanya, siling berwarna merah jambu itu dipandang bersama dengan wajah yang berkerut. Ruangan bilik yang luas itu diperhatikan. Dia sangat kenal dengan bilik ini. Dia sekarang berada di bilik tidurnya sendiri.

Macam mana dia boleh tiba di rumah? Siapa yang hantar dia pulang?

Az-Zahra cuba untuk bangun dari pembaringan. Dia merehatkan tubuhnya di kepala katil.

Telinganya menangkap bunyi pintu yang dibuka oleh seseorang. Tersembul wajah Sophia, gadis itu sedang membawa dulang yang di atasnya terdapat sebuah mangkuk bubur dan gelas yang berisi air putih. Apa yang mengejutkan Az-Zahra apabila dia melihat ada Luke sekali. Apa dia buat dekat sini?

“Kau dah sedar?” Suara lunak milik Sophia menegurnya.

Az-Zahra hanya senyum manis biarpun bibirnya pucat.

“Aku minta maaf sangat-sangat sebab bawa Luke masuk sekali. Dia nak tengok keadaan kau,” ujar Sophia seraya meletakkan dulang itu di atas meja kecil.

“Tak mengapa,” balas Az-Zahra, lemah. Nasib baik masa dia sedar, rambutnya sudah bertutup. Entah siapa yang memakaikan tudung di atas kepalanya semasa dia tidak sedar, dia juga tidak tahu. Banyak persoalan yang berlegar-legar di fikirannya.

“Are you feeling okay?” Luke bertanya. Matanya tajam merenung wajah pucat Az-Zahra. Lelaki itu berdiri di sebelah Sophia sambil menyilangkan tangan ke dada.

“Okey sikit,” balas Az-Zahra.

“Macam mana aku boleh ada dekat rumah aku, Sophia? Seingat aku tadi, aku ada dekat rumah Ungku Matilda sebab nak hantar bunga. Lepas tu...” Az-Zahra tidak dapat meneruskan ayatnya setelah mengingati kejadian yang berlaku di rumah agam itu beberapa jam yang lalu.

“Lepas tu, kau tiba-tiba kena serang dengan nenek kebayan tadi. Dia tolak kau sampai kau jatuh kolam. Memang nak kena dengan aku lah perempuan tak guna tu! Sampai hati dia tolak kau jatuh!” Sophia menyambung ayat Az-Zahra.

“Macam mana kau boleh tahu?” Berkerut kening Az-Zahra memandang wajah Sophia.

“Masa kami sampai, kami nampak ada berlaku kekecohan dekat luar rumah tu. Kami terkejut sebab nampak kau hampir lemas dekat dalam kolam. Mulanya Si El tu tak mengaku yang dia tolak kau sampai jatuh kolam tapi ada bukti melalui CCTV, ” cerita Sophia dengan ringkas.

Az-Zahra mengangguk faham.

Tiba-tiba dia teringat kembali kejadian semasa dirinya hampir lemas. Az-Zahra masih ingat seperti ada seseorang yang ingin menyelamatkannya tetapi Az-Zahra tidak dapat melihat wajah itu dengan lebih jelas. Pandangannya agak kabur, tubuhnya juga sudah semakin lemah, kepalanya berpusing hebat pada ketika itu menyebabkan dia tidak dapat mengecam wajah gerangan tersebut.

“Siapa yang selamatkan aku tadi?” tanya Az-Zahra. Dia mahu berterima kasih kepada gerangan yang sungguh mulia hatinya itu kerana sanggup menyelamatkan nyawanya.

Sophia dan Luke berpandangan seketika sebelum memandang wajah Az-Zahra semula.

“Saya yang selamatkan awak tadi. Nasib baik saya sempat, kalau tidak, tak tahulah apa akan jadi pada awak sekarang ni,” ujar Luke dengan nada kerisauan. Jelas dia sangat prihatin terhadap Az-Zahra.

“Terima kasih, Luke. Awak dah selamatkan saya,” ucap Az-Zahra sambil tersenyum. Luke hanya sekadar mengangguk sambil membalas senyuman gadis itu.

“Kami ada bawa kau pergi hospital tapi ayah kau tak benarkan kau bermalam di sana. Jadi, kami terpaksa bawa kau balik ke rumah. Tapi, kau jangan risau. Doktor kata, keadaan kau dah stabil cuma kau perlu banyakkan berehat aje,” ujar Sophia pula.

“Bubur ni masih panas. Kau makanlah, ya. Kami nak keluar dulu. Kami tak nak ganggu kau,” tambah Sophia lagi.

Az-Zahra hanya sekadar mengangguk. Dia malas mahu bersuara.

Tatkala bayangan Luke dan Sophia hilang dari pandangannya, serta-merta air mata yang ditahan sejak tadi merembes keluar. Terhinjut-hinjut bahunya, cuba untuk menahan tangisan. Az-Zahra menekup mulutnya agar tidak menghasilkan sebarang bunyi. Dia tidak mahu orang lain tahu yang dia sedang menangis.

Jika dia punya kuasa, dia mahu melenyapkan semua masalah yang menimpa hidupnya sekarang ini dengan sekelip mata. Bahunya terasa berat dengan beban yang terpaksa dipikulnya.

Bila wajah kacak Gibran terbayang di ruang minda, semakin lebat air matanya jatuh.

Lelaki itu...

telah pun mengubah hidupnya. Di saat perasaan cinta mula mekar di dalam hati, mengapa Gibran memilih untuk tinggalkan dia dah kahwin dengan wanita lain? Dan yang paling aneh sekali, mengapa dia perlu meletakkan harapan yang tinggi kepada Gibran? Kenapa dia perlu berharap kepada manusia? Az-Zahra seharusnya sedar dari awal yang perasaan cinta ini tidak perlu wujud untuk lelaki seperti Gibran.

Kerana agama mereka berbeza, tidak mungkin bersatu.

♡ ♡ ♡ ♡

AZ-ZAHRA bekerja seperti biasa pada hari seterusnya. Dia malas mahu mengambil cuti sakit. Keadaannya juga baik, kerana itulah dia mahu bekerja. Duduk di rumah pun, bukan boleh hilangkan bosannya.

Az-Zahra membetulkan kedudukan shawl di kepalanya. Sangat ringkas pemakaiannya pada hari itu tetapi masih kelihatan anggun dengan skirt labuh berwarna putih dan blouse muslimah berwarna nude setona dengan shawl yang dipakainya.

Az-Zahra sedang fokus menggubah bunga sehingga tidak menyedari kehadiran seseorang dari belakangnya. Sehinggalah dia mendengar bunyi deheman seseorang.

Terkejut sudah tentu. Bimbang jika seseorang yang datang itu bertindak mahu menyerangnya. Tetapi, sebaik saja Az-Zahra berpaling ke belakang, kejung seluruh tubuhnya.

“Gibran?” Terpacul nama itu di bibirnya.

Wajah Gibran langsung tidak berperasaan. Dingin dan tajam renungan yang dilemparkan pada wajah Az-Zahra. Menggigil tubuh Az-Zahra melihat tatapan tajam itu.

“Aku datang sini sebab nak beritahu kau sesuatu.” Suara maskulin itu berbunyi.

“Ap...apa dia?” Tergagap-gagap Az-Zahra menyoal. Jantungnya berdegup laju, menanti lelaki itu menyambung kata.

“I think it’s time for me to quit this job. It’s not where I see myself anymore,” ujar Gibran tanpa riak.

Az-Zahra menggenggam hujung bajunya.

“Aku dah nak kahwin jadi aku buat keputusan untuk tinggalkan kerja ni dan kembali pada kerja asal aku semula. Kerja macam ni memang tak layak untuk aku,” sambung Gibran lagi.

Lama mereka bertentang mata. Az-Zahra kemudiannya mengangguk faham. Keadaan memaksa dirinya untuk bersetuju dengan keputusan Gibran. Siapalah dia mahu menghalang lelaki itu?

“Tahniah, sebab awak dah nak kahwin tak lama lagi. Semoga awak bahagia dengan wanita pilihan hati awak,” ucap Az-Zahra, menahan perasaan sakit yang semakin mencengkam jiwa. Suaranya sedikit bergetar namun Az-Zahra cuba berlagak biasa.

“Of course I will live happily with her. I chose her as my fiancée because no one else could ever make me feel as loved, understood and complete as she does. She has always been with me since the beginning. Dan apa yang paling penting, aku lebih lama kenal dia berbanding kau,” kata Gibran sambil merenung tepat ke dalam dasar anak mata Az-Zahra.

Az-Zahra menahan pelbagai rasa yang kini membelenggu jiwanya. Kata-kata Gibran itu bagai belati berbilah dua, menikam jantung hatinya tanpa belas, lalu memutar luka hingga peritnya menjalar ke setiap sudut jiwa, meninggalkan pedih yang tak terpadam oleh waktu. Hatinya hancur berkecai menjadi serpihan dan tidak mudah untuk membentukkan kembali hati yang sudah hancur. Sangat mustahil.

Az-Zahra tunduk menekur lantai. Air matanya mula bergenang di kelopak mata. Dia tidak boleh membalas renungan Gibran. Dia tidak mahu lelaki itu sedar yang dia hampir menangis.

“Let’s not meet again.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience