07 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

“AKU jumpa dia tadi,” beritahu Gibran sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi bersebelahan dengan Luke. Dia memutarkan Spaghetti Bolognese kegemarannya itu dengan menggunakan garpu lalu menyuap masuk ke dalam mulut dan dikunyah dengan penuh nikmat.

Luke mengerutkan keningnya.

Fokusnya pada telefon pintarnya tadi kini beralih pula pada wajah Gibran. Dia meletakkan telefon canggihnya di atas meja.

“Kau jumpa siapa?” tanya Luke ingin tahu. Wajah Gibran dipandang hairan.

“Kau masih ingat lagi tak perempuan yang aku pernah cerita dekat kau yang aku hampir terlanggar di restoran tempoh hari. Perempuan yang sama yang aku pernah kutuk ‘minah selekeh’. Ingat lagi tak?”

Luke berdiam diri seketika. Seolah-olah sedang berfikir sesuatu. Mungkin dia ingin mengingati kembali cerita yang dimaksudkan oleh Gibran. Tidak sampai satu minit, akhirnya Luke teringatkan sesuatu.

“Ouh, ingat!” Sambil memetik jarinya.

“Aku jumpa dia tadi dan aku tak sangka boleh terserempak dengan dia lagi,” ujar Gibran sambil menyilangkan tangannya ke dada. Wajahnya kekal dingin tanpa sebarang ekspresi.

Luke tergamam.

“Dia ada dalam majlis ni sekali? Kau biar betul?” soal Luke bersama ekspresi wajah yang begitu terkejut. Kepalanya digerakkan ke sekeliling dan memerhatikan semua manusia di segenap ruangan dewan ini untuk mencari susuk tubuh yang dimaksudkan oleh Gibran walaupun dia masih belum tahu wajah gadis tersebut.

Gibran mengangguk sekali. Dia hanya melihat tindakan Luke yang sepertinya sedang mencari figura gadis yang dimaksudkannya.

“Tapi, mana dia?”

“Entah,” balas Gibran sepatah sambil menjongketkan kedua-dua belah bahunya. Dia juga malas hendak ambil tahu akan keberadaan gadis itu. Bukan urusan dia.

“Jadi, kau sempat tak minta maaf dekat dia sebab dah kutuk dia haritu? Bukannya kau rasa bersalah ke dekat dia?” soal Luke sambil menahan senyuman lucu.

Gibran menjulingkan mata ke atas.

“Aku tak sempat nak minta maaf, dia terus pergi macam tu je,” jawab Gibran, dingin. Sebaliknya dia yang mencari pasal duluan dengan gadis itu.

Luke tertawa kecil.

Entah kenapa dia rasa sungguh kelakar.

“Kau jumpa dia dekat mana tadi?” Luke bertanya lagi.

“Dua kali aku jumpa dia tadi. Pertama, dekat dalam tandas. Masa aku nak temankan Eleanora pergi tandas tiba-tiba secara kebetulan aku terserempak dengan dia dekat dalam tandas. Kedua, masa aku nak ambil makanan,” ceritanya ringkas sebelum dia meneguk jus anggur.

“Tandas perempuan? Takkanlah kau masuk sekali dalam tandas tu?” Luke seakan-akan tidak mempercayai tindakan Gibran. Berani betul dia masuk tandas wanita sesuka hati.

“I had to because El almost attacked her. They were quarrel so I had to help that girl. I don't want she get injured because of Eleanora,” ujar Gibran tanpa tergagap langsung. Tidak mungkin dia akan membiarkan gadis itu menjadi mangsa keganasan Eleanora. Dia tahu sikap wanita itu bagaimana.

Terkebil-kebil Luke memandang ke arahnya bersama mulut yang sedikit ternganga.

“Aku tak sangka rupanya kau ni protective juga, ya. Aku fikirkan kau akan biarkan je El serang perempuan tu,” ujar Luke diiringi dengan ketawa kecil. Sungguh dia memang mudah terhibur.

Gibran hanya diam membisu. Dia langsung tidak membalas setelah itu.

Niatnya cuma ingin menyelamatkan dan melindungi gadis tersebut daripada tercedera akibat serangan Eleanora. Dia tidak mahu Eleanora bertindak dengan lebih agresif. Dia bimbang masalah sekecil itu akan menimbulkan kontroversi sehingga sampai ke pengetahuan pihak media. Tidak mustahil reputasi Eleanora akan jatuh dan dia juga akan turut terkena tempiasnya.

Sudah tentu Tuan Aldric tidak akan berdiam diri jika mengetahui perkara itu berlaku. Pasti dirinya akan dipersalahkan kerana tidak pandai menjaga anak dara orang baik-baik sedangkan dia langsung tiada niat mahu menghadiri majlis ini bersama dengan wanita itu. Semuanya kerana desakan Tuan Aldric maka dia terpaksa menuruti.

“Kau balik jam berapa, bro?” Soalan daripada Luke menerbangkan segala lamunan Gibran. Kepalanya terus berpaling ke sisi memandang serius wajah Luke.

“Sehingga majlis selesai,” jawabnya ringkas. Spaghetti Bolognese kegemarannya itu dihabiskan sehingga licin pinggan tersebut. Setelah itu, dia meneguk pula jus anggurnya sehingga habis.

Luke mengangguk faham sebelum dia mengangkat punggungnya untuk pergi mengambil makanan.

Ikutkan hati, dia sebenarnya memang mahu pulang ke rumah secepat mungkin sebab dia dah bosan duduk lama-lama di dalam majlis ini. Tetapi, memandangkan satu acara lagi yang tinggal selepas ini jadi dia terpaksa tunggu sehingga majlis betul-betul selesai.

Lagipun, mana mungkin Tuan Aldric mengizinkannya untuk pulang sekarang ini. Lelaki tua itu ada memberikan amaran tegas kepadanya sebentar tadi untuk tidak pulang ke rumah dengan lebih awal. Katanya, dia seolah-olah tiada rasa hormat langsung terhadap rakan-rakan daddynya yang lain jika dia tidak tunjuk muka di hadapan mereka sedangkan semua itu hanya sekadar helah saja untuk menjaga air muka Tuan Aldric.

Bukan dia tidak tahu sikap daddynya macam mana. Risau sangat jika maruahnya tercalar akibat perangai putera sulungnya.

Tiba-tiba anak matanya terhenti pada wajah seseorang yang sedang duduk di meja yang agak jauh darinya. Mula-mula dia ingatkan dia tersalah pandang tetapi bila dia pandang sekali lagi nampaknya dia tidak silap.

Dari kejauhan, dia boleh nampak dengan jelas mulut gadis tersebut sedang membebel. Mungkin tengah mengadu agaknya dekat member sebelah.

Tanpa sedar hujung bibirnya ternaik sedikit.

♡ ♡ ♡ ♡

MAJLIS masih lagi diteruskan dengan acara yang seterusnya iaitu acara cabutan bertuah. Az-Zahra sangkakan bahawa majlis sudah selesai selepas sesi bergambar tadi tetapi rupa-rupanya tinggal satu acara lagi yang belum dilaksanakan. Nampaknya dia perlu bersengkang mata untuk satu jam lagi.

Semua tetamu yang hadir digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti ini. Mereka cuma perlu mengambil nombor di dalam sebuah kotak yang disediakan secara rawak tanpa melihatnya langsung. Jika salah satu nombor mereka yang disebut maka mereka berpeluang untuk memenangi hadiah yang sungguh lumayan.

Acara yang dijalankan langsung tidak menarik minat Az-Zahra untuk menyertainya walaupun hadiahnya sangat menarik tetapi dia tetap juga memilih nombor meskipun dia sudah mengetahui dari awal bahawa dia tidak akan menang. Sebab di dalam dewan ini terdapat beribu-ribu manusia yang menyertainya jadi kemungkinan besar peluang untuk dia menang sangatlah tipis.

Az-Zahra mengerling sekilas jam di pergelangan tangannya. Menanti sehingga jarum jam tepat menunjukkan jam 12:00 malam. Setiap satu saat pasti matanya akan melihat jam. Dia dah tak sabar-sabar hendak pulang ke rumah.

Seperti biasa majlis akan dimulakan dengan ucapan pengacara majlis sebagai permulaan bagi sesuatu acara. Az-Zahra melihat pengacara majlis itu menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Patut saja dia terpilih untuk mengendalikan majlis pada malam ini.

Acara kini dimulakan dengan menjemput sekali lagi CEO of Royal Palace Hotel untuk menyempurnakan acara dan itu membuatkan Az-Zahra menghela nafas berat. Dia sudah mula rasa bosan melihat wajah kacak itu setelah kejadian yang berlaku tadi. Hatinya masih lagi terasa dengan kata-kata lelaki itu. Dia memang sejenis yang cepat tersentuh.

Az-Zahra mencebik tatkala melihat wajah dingin tanpa senyuman yang menghiasi wajah lelaki itu.

Senyum pun payah!

Az-Zahra sudah tahu mengapa lelaki itu kini berdiri di atas pentas. Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana lelaki itu yang menjadi wakil bagi mencabut nombor di dalam kotak yang disediakan di hadapannya. Jika nombor yang disebut sama dengan nombor mana-mana tetamu di dalam dewan ini maka dialah yang akan menjadi pemenangnya. Az-Zahra langsung tidak berharap dia akan menang sebab dia dah tak nak berhadapan dengan lelaki itu.

Seramai sepuluh orang pemenang yang akan memenangi cabutan bertuah pada malam ini. Mereka yang bertuah akan membawa pulang sebuah bakul yang berisi buah-buahan segar dan sejambak bunga serta sebuah gajet yang sangat canggih iaitu Samsung Galaxy Tab beserta dengan Samsung Galaxy Z Flip4 5G. Sangat menarik dan semua pun menginginkannya termasuk Az-Zahra tetapi dia tidak mahu terlalu berharap. Lagipun, dia tidak rela jika lelaki itu yang menyampaikan hadiah. Dia rasa sebal.

Acara yang dijalankan berjalan dengan lancar. Sembilan orang pemenang kini sudah diketahui dan kebanyakannya wanita yang memenangi cabutan bertuah. Jelas menunjukkan mereka sangat gembira tatkala nombor mereka diseru oleh pengacara majlis. Rezeki tidak akan salah alamat.

“It looks like we still have one more winner we don’t know yet. Guess who the lucky person is?” kata pengacara majlis itu membuatkan semua tetamu semakin berdebar menanti pemenang yang terakhir. Mereka berharap agar mendapat peluang untuk memenangi hadiah.

Az-Zahra hanya tenang di tempat duduknya. Dia juga tidak sabar-sabar untuk mengetahui siapakah orang yang beruntung itu.

Nombor telah dicabut dan lelaki itu menyerahkan kertas kecil tersebut kepada pengacara majlis. Debaran kian terasa tatkala melihat pengacara majlis itu kini membuka kertas kecil yang dilipat.

“This person who get this number is very lucky,” ujarnya sambil tersenyum-senyum.

“224,” sebutnya dan serentak dengan itu kedengaran tepukan gemuruh memenuhi segenap ruangan dewan yang luas ini. Ada juga yang bersorak kegembiraan bagi menceriakan suasana.

Az-Zahra mengerutkan keningnya.

Kenapa dia rasa dia macam kenal dengan nombor tersebut? Takkanlah...

Lantas dia menunduk dan melihat nombornya yang ditulis di atas kertas kecil yang berada di tangannya. Hampir terjojol keluar biji matanya tatkala melihat nombornya sama dengan nombor yang disebut oleh pengacara majlis tadi. Mulutnya sedikit ternganga.

“I repeat, the person who got the 224 number, you may come to the stage,” kata pengacara majlis itu. Matanya melilau ke sekeliling mencari si pemegang nombor tersebut. Begitu juga dengan tetamu-tetamu yang lain.

Az-Zahra sudah tidak senang duduk.

Sophia yang duduk di sebelahnya memandang pelik ke arah Az-Zahra.

“Kau kenapa ni?” tanya Sophia hairan. Gaya Az-Zahra persis cacing kepanasan sekarang ini.

“Sophia, kau boleh tolong aku tak? Kau tolong wakilkan aku untuk naik atas pentas. Aku takutlah. Lagipun, aku malu nak naik pentas sebab ramai orang pandang aku,” pinta Az-Zahra dengan penuh berharap. Dia mengerdipkan matanya beberapa kali di hadapan Sophia.

Terkebil-kebil Sophia memandang wajah Az-Zahra.

“Laaa...itu nombor kau ke?” soal Sophia, terkejut.

Az-Zahra mengangguk laju.

“Tolonglah aku, Sophia.” Az-Zahra merayu lagi dengan penuh berharap agar Sophia bersetuju. Makin berdebar jantungnya tatkala melihat wajah dingin lelaki itu. Sepertinya dia juga sedang tercari-cari empunya nombor yang disebut tadi. Mungkin hairan mengapa tiada langsung yang ingin mengaku nombor itu kepunyaan siapa.

Tidak terduga langsung tiba-tiba mata mereka berlaga.

Az-Zahra telan air liur yang terasa kesat.

Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya.

“Mana boleh macam tu, Zahra. Nombor yang disebut tu nombor kau jadi sepatutnya kaulah yang kena naik pentas bukannya aku. Kalau aku yang naik itu dah dikira menipu. Ala...pergilah naik, ambil hadiah je pun bukannya kau kena suruh untuk buat persembahan tarian Bollywood pun dekat atas pentas sana tu,” ujar Sophia seraya mengusap lengan Az-Zahra bagi menenangkan jiwa gadis itu.

Az-Zahra cuma diam.

Bila mana sekali lagi nombornya diseru akhirnya Az-Zahra nekad untuk berdiri lalu berjalan laju menghampiri pentas yang besar itu. Semua anak mata kini hanya tertumpu kepadanya menyebabkan Az-Zahra berasa malu yang teramat. Dia hanya memandang ke bawah sambil menggenggam dress putih yang tersarung di tubuhnya.

Az-Zahra menaiki tiga anak tangga dengan penuh berhati-hati. Dress yang dipakainya itu sungguh labuh, nanti terpijak kain sendiri tak pasal-pasal dahinya terhantuk pula.

Az-Zahra mengangkat wajahnya dan tepat memandang ke arah lelaki di hadapannya bersama debaran jantung yang semakin menggila. Dia berdiri di sebelah lelaki itu. Boleh nampak dengan jelas betapa pendeknya dia bila berdiri bersebelahan dengan lelaki tinggi itu. Dengan saiz tubuhnya yang sederhana memang boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai yang akan menganggap dirinya sebagai seorang pelajar sekolah menengah.

Para tetamu memberikan tepukan yang sangat gemuruh untuk Az-Zahra. Ada juga yang bersorak untuknya.

Az-Zahra melebarkan senyumannya tatkala memandang ke arah kamera namun senyumannya terus pudar apabila dia mendengar lelaki itu berbisik perlahan di telinganya.

“Congratulation, minah selekeh,” ucapnya selamba tapi mata masih menghala ke arah kamera.

Az-Zahra mengancing gigi menahan perasaan geram.

Tak guna! Sempat lagi dia mengutuk!

Usai bergambar, Az-Zahra pun ingin mengambil hadiah tersebut daripada tangan lelaki itu sebelum turun ke bawah namun dia sempat menahannya. Az-Zahra memandang tajam wajahnya.

Apa masalah mamat ni eh? Dekat atas pentas pun masih lagi nak cari pasal dengan dia?

“Kalau kau kuat sangat cubalah ambil hadiah ni dari tangan aku,” cabarnya dingin.

Sedaya upaya Az-Zahra cuba untuk menarik bakul buah-buahan tersebut daripada genggaman tangan lelaki itu namun tidak berjaya. Semakin dia cuba untuk menariknya, lelaki itu semakin mengetatkan genggamannya.

Bibirnya tersungging senyuman sinis.

“Apa awak ni? Janganlah cari pasal dengan saya!” Az-Zahra sudah mula hilang sabar.

Di hadapan khalayak ramai pun masih lagi nak cari pasal dengannya. Memang tak tahu malu betul mamat ni!

“Lemah!” kutuknya tanpa rasa bersalah. Akhirnya dia melepaskan genggaman sehingga menyebabkan Az-Zahra terdorong sedikit ke belakang. Mujur saja dia sempat untuk menyeimbangkan tubuhnya.

Az-Zahra sempat memijak kasut hitam berkilat yang dipakai oleh lelaki itu dengan menggunakan kasut tumit tingginya sebelum dia turun semula dari atas pentas. Sempat dia mengukir senyuman mengejek buat lelaki itu.

Baru kau tahu langit tinggi ke rendah. Silap oranglah dia nak cari pasal.

Puas hati Az-Zahra melihat wajah lelaki itu yang sudah berubah merah. Tengah menahan marahlah tu.

Az-Zahra kembali ke tempat duduknya semula. Dia menghela nafas panjang. Jantungnya juga kini berdegup dengan normal semula. Tidak seperti tadi, seolah-olah ingin tercabut saja dari tempat asalnya.

“Weh, apa yang lama sangat kau dekat atas pentas tu? Tuan Gibran cakap apa dekat kau?” Sophia terus bertanya menginginkan jawapan. Dia berasa hairan mengapa Az-Zahra terlalu lama berdiri di atas pentas. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

“Erk...” Az-Zahra hilang segala idea untuk menjawab pertanyaan Sophia. Dia tidak tahu hendak ‘menggoreng’ apa.

Keningnya yang cantik terbentuk digaru perlahan. Wajah Sophia dipandang sekilas.

“Dia ucap tahniahlah,” jawab Az-Zahra ringkas.

Sophia mengecilkan matanya memandang tepat wajah Az-Zahra. Dia masih berasa musykil. Ucap tahniah pun kena sampai berdiri lama-lama atas pentas ke?

Sophia ingin bertanya lagi namun terbantut tatkala suara garau melalui mikrofon itu bergema. Lantas dia menghadap ke hadapan semula. Az-Zahra juga turut sama memandang ke hadapan dan matanya kini tertumpu kepada seorang lelaki yang lebih berusia sedang berdiri di sebelah lelaki yang bernama Gibran itu. Sepertinya dia ingin mengumumkan sesuatu.

“Thank you for coming to the dinner tonight. I really appreciate it. I stand here only to make a very important announcement. But, before I tell you guys, I invite Eleanora Estella up on the stage.” Lelaki tua yang segak memakai tuxedo hitam itu bersuara. Walaupun sudah berumur tetapi auranya masih tetap kuat. Wajahnya yang tampak garang itu membuatkan Az-Zahra telan air liur.

“My beloved son, Raja Gibran Xavier will have his wedding together with Eleanora Estella, daughter of Dato’ Alejandro and Datin Emily,” ucapnya.

Pengumuman itu membuatkan Gibran tercengang. Dunianya seakan-akan berhenti berputar. Terpancar riak ketidakpuasan hati pada raut wajah tampannya. Rahangnya diketap kuat. Wajah Tuan Aldric dipandang dengan penuh perasaan marah. Dia bagaikan tidak percaya apa yang baru saja didengarinya tadi.

Para tetamu bertepuk tangan mendengarkan khabar berita gembira tersebut. Mereka sudah lama mengimpikan pasangan sejoli itu berkahwin. Kedua-duanya sama cantik dan sama padan. Memang pasangan yang sempurna.

Eleanora sudah tersenyum lebar. Dia mendongakkan kepalanya sedikit ke arah Gibran untuk memandang reaksi lelaki itu. Namun, wajahnya hanya kekal dingin.

Baru saja dia ingin menyentuh tangan Gibran, lelaki itu pantas saja menepis. Wajah Eleanora dijeling tajam. Cukup memberikan amaran jangan menyentuhnya sesuka hati.

Eleanora menjulingkan mata ke atas.

“Their wedding will be held...” Belum sempat Tuan Aldric menghabiskan ayatnya, Gibran terus merampas mikrofon daripada tangannya lalu mencampaknya jauh.

“This is nonsense, daddy! I will not marry her! This is absurd! I will never agree with you!” gertak Gibran di hadapan Tuan Aldric.

Para tetamu yang menyaksikan tindakan Gibran berasa terkejut dengan apa yang berlaku di hadapan mereka termasuk Az-Zahra. Dia tidak menyangka perkara itu akan berlaku.

Drama apa pula kali ni?

“Don’t you dare to go against my words and don’t you dare to embarrass me in public. Behave, Gibran.” Sungguh tenang suara Tuan Aldric memberikan amaran walaupun sedang menahan marah. Dia sudah mengagak bahawa Gibran pasti tidak akan bersetuju dengannya.

Gibran tertawa sinis. Tersirat kesedihan dalam tawanya.

“Go to hell, daddy!” Dan Gibran pun berlalu dari situ. Dia ingin bersendirian untuk menenangkan fikirannya yang sedang bercelaru.

Suasana yang pada awalnya riuh-rendah kini berubah menjadi sunyi sepi umpama berada di tanah perkuburan. Seolah-olah mereka faham apa yang sedang berlaku ketika itu.

Az-Zahra hanya memandang lelaki itu dari jauh sehinggalah kelibatnya hilang dari pandangan matanya.

♡ ♡ ♡ ♡

TATKALA majlis makan malam sudah selesai, ketika itulah hujan turun dengan lebatnya lalu membasahi bumi. Seolah-olah mengetahui bahawa ada insan yang sedang bersedih dan menangisi hidupnya yang terasa malang. Lalu turunlah hujan kerana turut bersimpati dengan nasibnya.

Az-Zahra sedang berdiri bersendirian di luar kawasan hotel sambil menunggu Sophia yang sedang pergi ke tandas. Setiap titik hujan yang turun diperhatikannya bersama jiwa yang tenang. Kawasan di sekelilingnya sangat menenangkan jiwanya. Dia rasa tenteram saat itu.

Tidak ramai orang yang berada di luar hotel sekarang ini. Kebanyakan mereka masih lagi berada di Aula Orchidaceae Hall walaupun majlis makan malam sudah selesai. Az-Zahra dan Sophia memang keluar dari dewan terus sebaik sahaja majlis selesai tadi.

Az-Zahra tersenyum sendirian.

Langit pada malam itu ditatapnya lama biarpun hujan turun dengan berterusan seperti tiada tanda-tanda ingin berhenti. Dia rasa macam nak mandi hujan pula sekarang ini. Boleh buat drama Kuch Kuch Hota Hai 2.0. Tapi sayangnya dia tak ada pasangan je sekarang ni. Rasa sendu pula.

“Perempuan macam kau memang suka berangan seorang-seorang ke?” Suara garau seseorang mencelah.

Terhinjut kedua-dua belah bahu Az-Zahra mendengar teguran tersebut. Lantas dia berpaling ke belakang dan memandang susuk tinggi seseorang yang sedang bersandar di dinding dengan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Tiada langsung riak wajah yang terpamer pada wajah lelaki itu.

“Awak lagi?”

Az-Zahra mengeluh kecil tatkala melihat lelaki itu turut berada di sini.

“Kenapa awak dekat sini, huh? Awak ikut saya ke?” Az-Zahra memandangnya dengan penuh kemusykilan.

“Ha’ah, memang aku ikut kau pun dari tadi. Dari kau keluar dewan sehinggalah kau berdiri seorang-seorang dekat sini lepas tu tersengih-sengih macam orang gila. Entah apa yang kau fikir aku pun tak tahu,” ujar Gibran seraya menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia menghampiri Az-Zahra.

Az-Zahra telan liur.

Dia nampak semua ke tadi?

“Kenapa kau tak balik lagi?” soal Gibran sambil merenung tunak wajah Az-Zahra.

“Saya tengah tunggu kawan saya,” balas Az-Zahra. Dia sedaya upaya cuba untuk tidak bertentang mata dengan lelaki itu.

“Awak pula buat apa dekat sini? Tak takut ke kalau kekasih hati awak tu nampak kita berdua-duaan dekat sini? Nanti dia salah faham, memang dia serang saya lagi,” ujar Az-Zahra. Cara halus untuk menghalau lelaki itu pergi dari sini.

“Kita berdua-duaan ke sekarang ni? Kau tak nampak ke ada dua orang pengawal yang sedang menjaga bahagian pintu masuk tu? Pak cik sekuriti dekat dalam pondok tu kau tak nampak? Atau kau sebenarnya rabun? Kalau bukan rabun mesti kau buta,” kutuknya tanpa rasa bersalah.

Az-Zahra mengetap bibir.

Ya Allah, kurniakanlah hambaMu ini kesabaran yang tinggi.

Tajam betul lidah lelaki ini. Sakit hati dia.

“Saya cuma tak nak dia salah faham je lah! Nanti yang jadi mangsanya saya juga bukannya awak!”

“Kau tak payah nak risau sangatlah pasal dia. Aku bukannya ada apa-apa hubungan pun dengan dia,” ujar Gibran tegas. Matanya masih lagi menatap wajah Az-Zahra.

Terjongket sebelah kening Az-Zahra mendengar lelaki itu menafikan perkara yang sudah terang lagi bersuluh.

“Oh, ya? Bukannya tadi ada pengumuman ke yang awak akan berkahwin dengan dia?” Az-Zahra menaikkan sebelah keningnya ke atas berkali-kali.

“Aku tak tahu apa-apa pun pasal perkahwinan tu. Semuanya sudah dirancang oleh daddy aku. Dia memang nak sangat aku berkahwin dengan Eleanora tapi aku yang tak nak,” jelas Gibran. Entah kenapa dia memberitahu semuanya kepada gadis tersebut sedangkan mereka bukannya kenal antara satu sama lain.

Az-Zahra terdiam.

Jadi maksudnya lelaki ini kena paksa untuk berkahwin dengan perempuan tu. Macam dalam drama Melayu pula kena suruh kahwin dengan pilihan keluarga.

“Jadi awak lari tadi sebab awak tak puas hati dengan keputusan daddy awak?” teka Az-Zahra.

Gibran mengangguk sekali sebelum dia meraup rambutnya ke belakang.

Az-Zahra hanya melihat kelakuan lelaki itu. Dia tak nak masuk campur tentang urusan keluarga lelaki itu. Tak pasal-pasal nanti dia kena tuduh yang bukan-bukan pula.

Az-Zahra mengerling jam di tangannya. Sudah lewat malam tetapi kelibat Sophia masih lagi tidak kelihatan. Lamanya dia pergi tandas.

“Tadi kau kata kau tengah tunggu kawan kau, kan? Where's she now?” tanya Gibran.

“Dia kata dia pergi tandas sekejap. Tapi sekejap dia tu dah nak hampir satu jam dah saya tunggu,” keluh Az-Zahra sambil mencari-cari bayang Sophia di dalam kawasan hotel melalui cermin jernih yang memisahkan bahagian luar dan bahagian dalam.

“Entah-entah dia dah tinggalkan kau.” Gibran sengaja menakut-nakutkan Az-Zahra. Dia tersenyum sinis.

“Kalau dia tinggalkan saya memang melayang nyawa dia esok.” Andai Sophia betul-betul tinggalkan dia seorang diri dekat sini memang dia lancarkan terus Perang Dunia Ketiga.

“Awak pula kenapa masih tak balik lagi?” Kali ini, Az-Zahra pula yang menyoalnya.

“Aku malas nak balik,” jawab Gibran selamba.

Az-Zahra mengerutkan keningnya.

“Awak tak ada rumah ke?” Az-Zahra memandangnya dari atas hingga bawah. Pakai pakaian mahal yang mencecah enam angka macam ni takkan tak ada rumah.

“Ha’ah, aku tinggal dalam hutan.” Selamba Gibran berkata.

“Awak tinggal dengan orang utan ke?”

“Ha’ah, orang utan tu crush aku.” Gibran hanya mengiakan sahaja.

Meletus tawa Az-Zahra mendengar kata-kata lelaki itu. Dia rasa sungguh kelakar. Terhibur sungguh sehingga air matanya terkeluar sedikit.

“Kalau macam tu saya panggil awak orang utan je lah sebab awak pun panggil saya ‘minah selekeh.’ Baru adil, kan?”

“Jadi maksudnya kau sukalah aku panggil kau macam tu?”

“Tak suka! Awak ingat saya tak sakit hati ke bila awak panggil saya macam tu?” Az-Zahra mencebik.

Gibran hanya tayang muka dingin walhal dia sebenarnya sedang menahan bibirnya daripada tersenyum.

“Jadi bagi tahulah apa nama kau?”

“Kenapa pula?”

“Kau kan tak suka aku panggil dengan panggilan macam tu. Ke...kau sebenarnya memang nak aku panggil macam tu?”

“Memang taklah! Buat sakit hati saya je!” Az-Zahra menjeling tajam wajah Gibran di sebelah.

Gibran kemam bibir menahan senyum. Cara bercakap macam dah lama pendam rasa sakit hati tu.

“Aku minta maaf,” ucap Gibran tiba-tiba. Matanya tidak lagi memandang wajah Az-Zahra tetapi merenung langit malam yang kelihatan indah biarpun dituruni hujan.

Az-Zahra tersentak.

Dah kenapa tiba-tiba minta maaf pula ni?

“Aku minta maaf sebab dah sakitkan hati kau dengan panggilan macam tu sejak kita terserempak dekat restoran lagi,” ucap Gibran setulus hati. Memang niatnya ingin meminta maaf kepada gadis itu sekiranya diberi peluang untuk bertemu lagi. Hatinya rasa tak tenang. Jiwanya tak tenteram. Dia rasa bersalah jika tidak mengungkapkan perkataan maaf itu.

Az-Zahra terkedu mendengarnya. Dia merenung tepat wajah lelaki itu dari sisi. Sangat sempurna rupanya dengan hidung mancungnya yang terletak elok. Jantungnya tiba-tiba berdegup semakin laju.

“Dan aku minta maaf bagi pihak Eleanora sebab dia dah langgar kau tadi. Aku tahu kau sebenarnya tak salah pun,” sambungnya lagi tanpa memandang langsung wajah Az-Zahra.

“Tak apalah, saya maafkan,” balas Az-Zahra perlahan. Dia juga turut merenung langit malam bersama hujan yang turun. Sesekali dia merenung wajah lelaki itu.

Dia dapat merasakan bahawa ada kesedihan yang tersembunyi di sebalik wajah dingin itu. Anak mata lelaki itu seperti sedang menyimpan seribu duka yang tersirat.

“Done staring at me?” Teguran itu membuatkan lamunan Az-Zahra terhenti. Dia tidak sedar lelaki itu juga turut memandangnya.

Az-Zahra mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Berpura-pura melihat jam di tangannya.

“Awak ni memang tak reti nak balik rumah ke? Kan dah lewat malam ni,” halau Az-Zahra secara halus. Sudahlah dia tidak berapa kenal dengan lelaki itu. Bersembang lagaknya macam dengan member lama sampai tak ingat nak balik rumah.

“Aku tak tahu lagi apa nama kau,”

“Sibuklah nak tahu nama saya!” bidas Az-Zahra laju.

Gibran angguk-angguk kepala. Kemudian, dia tersenyum misteri.

Az-Zahra yang melihatnya sudah mula rasa tidak sedap hati.

Aduhai, Sophia. Mana pula sahabatnya ini menghilang? Lama sangat dalam tandas tu. Memang sengaja nak biarkan dia lama-lama dengan lelaki ini ke macam mana? Lelaki ini pula memang tak reti nak berhambus ke?

“Zahra!” Suara yang sangat dinanti-nantikannya akhirnya muncul juga.

Az-Zahra menarik nafas lega tatkala melihat kelibat Sophia yang sedang berlari-lari anak menuju ke arahnya.

“Sorry, weh! Aku lambat tadi sebab ramai sangat dalam tandas,” ujar Sophia biarpun dalam kepenatan. Dia cuba untuk mengatur nafasnya.

“Hmm, tak apalah, Sophia. Aku okey je tunggu kau. Kalau kau dalam tandas tu sampai dua tahun sekalipun aku sanggup tunggu kau daripada aku kena tunggu crush aku suka aku balik,” balas Az-Zahra berbaur gurauan sedangkan crush pun dia tak ada.

Sophia tergelak kecil.

Gibran yang mendengar kata-kata Az-Zahra itu terus menoleh ke arahnya bersama dengan renungan tajam.

“Eh, Tuan Gibran pun ada sekali?” Sophia yang baru perasan akan kehadiran Gibran di situ lantas saja menegurnya. Riak wajahnya jelas tampak terkejut.

“Hmm,” Hanya itu saja yang dibalasnya.

“Erk, Tuan Gibran tak balik lagi ke?” soal Sophia hanya sekadar ingin beramah mesra. Takkanlah dia nak tayang muka sombong pula di hadapan orang atasannya. Silap-silap esok dah dapat notis berhenti kerja.

“Belum,” jawabnya sepatah tanpa memandang langsung wajah Sophia.

Az-Zahra menggelengkan kepalanya beberapa kali. Tak sukanya dia dengan sikap dingin lelaki itu.

Sophia pula angguk-angguk kepala. Dia sudah terbiasa dilayan sebegitu oleh majikannya.

Seketika suasana menjadi sunyi. Hanya kedengaran bunyi hujan lebat yang sedang turun. Situasi mereka sekarang ini sangat canggung.

Az-Zahra pandang Sophia. Sophia pula pandang Az-Zahra.

“Erk, Tuan Gibran. Perkenalkan ini sahabat saya. Nama dia Az-Zahra Al-Mahyra. Tapi selalunya orang akan panggil dia dengan nama Zahra. Dialah sahabat saya yang saya maksudkan haritu. Dia dan pekerja dia yang gubah bunga sebanyak 300 tempahan tu.” Sophia terlebih peramah malam itu memperkenalkan Az-Zahra kepada lelaki itu.

Az-Zahra menepuk dahinya.

Dia nak sangat tutup mulut budak tu. Pahal Sophia beritahu nama dia dekat lelaki tu. Dia tak nak lelaki itu tahu namanya.

“Okey.” Ringkas sungguh balasan daripada Gibran. Dia masih lagi memandang ke tempat lain.

Az-Zahra menyiku lengan Sophia sebagai tanda isyarat untuk pergi dari situ. Sophia mengangguk.

“Urm, kami balik dululah. Lagipun, dah lewat sangat dah ni.” Akhirnya Sophia meminta diri untuk beredar.

Gibran langsung tidak membalas apa-apa. Angguk tidak geleng pun tidak.

Az-Zahra diam sambil tahan ketawa. Wajah Sophia dipandang dengan penuh rasa kasihan.

Tanpa berlengah lagi, Az-Zahra dan Sophia pun berlalu pergi dari situ. Meninggalkan Gibran bersendirian. Sophia membantu Az-Zahra membawa hadiah yang diperolehnya tadi. Mereka terpaksa meredah hujan sebab kereta Sophia diparkir jauh.

Az-Zahra sempat menoleh ke belakang untuk melihat sekiranya jejaka itu masih lagi berdiri di tempat yang sama atau sudah masuk ke dalam hotel semula. Seperti yang disangkakan, jejaka itu masih lagi statik di tempatnya. Anak mata hijau itu tepat merenung ke arahnya. Lantas Az-Zahra memandang ke hadapan semula. Dia tidak lagi menoleh ke belakang setelah itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience