10 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

“KHAIR FAQIH,” Sebaris nama tersebut kini meniti di bibir Az-Zahra. Senyumannya kian melebar tatkala wajah itu kini menghiasi pandangannya. Dia memang tidak berhalusinasi. Di hadapannya ini memang Khair Faqih, sahabat lamanya sewaktu sekolah rendah dahulu.

“It's been a long time we haven’t seen each other,” katanya bersama senyuman cantik yang terbentuk di bibir. Perasaannya bercampur-baur saat ini tatkala memandang wajah Az-Zahra.

Mereka kini sedang duduk di atas sebuah kerusi plastik dan saling berhadapan antara satu sama lain.

Az-Zahra menguntum senyum simpul.

“Kau apa khabar sekarang? Dah lama aku tak dengar cerita pasal kau. Kali terakhir kita jumpa pun lepas kau ambil keputusan SPM sebelum kau pindah ke luar negara.” Az-Zahra memulakan bicara. Wajah kacak milik Faqih ditatapnya. Lelaki itu sudah banyak berubah. Semakin berisi tetapi kelihatan tegap, tidak lagi kurus seperti zaman sekolah dulu.

“Alhamdulillah, aku sihat. Aku minta maaf sebab tak beritahu kau awal-awal yang aku nak pindah. Aku terpaksa pindah ke luar negara pun sebab ayah aku ditempatkan di syarikat yang baharu. Dia dapat tawaran untuk mengendalikan jawatan tertinggi di syarikat sana. Ayah aku terima tawaran tu jadi aku dan ibu aku tiada pilihan selain mengikut sama untuk ke England dan tinggal di sana selama beberapa tahun,” jelas Faqih secara ringkas.

“Jadi kau balik Malaysia sebab apa?”

“Saja. Aku dah lama tak jejakkan kaki ke tanah air sendiri. Jadi memandangkan aku cuti selama tiga bulan aku buat keputusan untuk balik ke Malaysia. Aku rindu sangat nak makan masakan Melayu,” katanya sambil tersenyum.

Az-Zahra mengangguk faham. Tumpuannya kini hanya pada Faqih yang seronok menceritakan serba sedikit tentang kehidupannya tinggal di luar negara.

“Semenjak aku tinggal di negara orang, aku memang agak terkejut dengan budaya dan cara hidup mereka di sana. Langsung tiada batas. Di mana-mana saja alkohol pasti ada dijual. Agak susah untuk cari restoran yang menyediakan makanan halal. Memang tak hairanlah sebab negara mereka tak sama dengan negara kita. Cuma untuk aku yang sejenis sukar membiasakan diri di tempat tinggal baharu memang rasa tak selesa sangat tapi alhamdulillah lama-kelamaan aku semakin terbiasa hidup di tempat yang macam tu,” ceritanya lagi dengan bersungguh-sungguh.

Sedikit sebanyak Faqih juga menceritakan pengalamannya melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford, universiti yang sangat terkenal di seluruh dunia. Az-Zahra yang mendengarnya berasa bangga dan kagum dengan pencapaian Faqih yang berjaya sehingga ke peringkat itu. Rasa nak mengalirkan air mata namun sempat ditahan. Hanya bibirnya yang masih melakarkan senyuman.

“Aku tak sangka kau dapat tawaran untuk sambung belajar dekat Universiti Oxford. Ada hikmah sebenarnya bila kau pindah ke luar negara. Aku bangga sangat dengan kau sebab dah berjaya sampai ke tahap ni. Memang terbaiklah!” ucap Az-Zahra sambil membuat gaya thumbs up di hadapan Faqih.

“Alhamdulillah, rezeki aku untuk sambung belajar dekat sana. Aku pun tak sangka sebenarnya tapi orang cakap rezeki jangan ditolak. Aku terima tawaran daripada pihak universiti dan belajar sehingga peringkat Master dan akhirnya aku berjaya juga menggenggam segulung sijil yang aku impikan dari dulu,” ujar Faqih sambil tersenyum lebar. Terpancar kegembiraan di sebalik anak mata hitamnya itu. Bangga dengan kejayaannya sendiri.

“Bila dah habis belajar aku mula kerja dengan ayah aku sendiri. Dia didik aku cara untuk berniaga dan uruskan syarikat. Semakin dia dimamah usia, dia semakin tak mampu untuk menguruskan syarikat jadi aku yang perlu menggantikan tempatnya. Syarikat yang dibangunkan oleh ayah aku di England aku ambil alih sebagai jawatan CEO,” bicaranya lagi.

Mendengarkan perkataan CEO, fikiran Az-Zahra mula terbayang wajah seseorang yang dijumpainya siang tadi di pasar raya. Jantungnya tiba-tiba berdegup laju memikirkan kejadian siang tadi. Pipinya tiba-tiba berona merah.

Dah kenapa pula dia terfikirkan tentang lelaki itu?

Az-Zahra kembali ke alam nyata tatkala bunyi petikan jari di hadapannya menyedarkannya. Serta-merta wajah Faqih dipandangnya.

“Are you alright? Kenapa aku panggil nama kau banyak kali kau tak dengar?” soal Faqih sambil memandang tepat wajah Az-Zahra yang seperti kebingungan.

“Erk, tak...tak ada apa-apa. Aku okey,” balas Az-Zahra seraya menggelengkan kepala. Bibirnya mengukir senyuman manis hanya sekadar ingin menutup perasaan gundah-gulana yang melanda jiwa.

Faqih merenung wajah Az-Zahra dengan begitu dalam sehingga membuatkan Az-Zahra tidak berasa selesa dengan renungan yang diberikan. Sepanjang perkenalannnya bersama dengan Faqih, lelaki itu tidak pernah merenungnya seperti ini.

“Kau makin cantik, Zahra,” ujarnya perlahan sama ada dengar atau tidak.

“Hah?” Az-Zahra yang tidak sempat menangkap ayat lelaki itu meminta supaya Faqih mengulanginya semula. Maklumlah, pendengarannya bukannya baik sangat.

Faqih tersenyum lucu.

“Aku cakap kau makin...”

“Zahra, burger awak dah siap. Abang Irfan minta maaflah sebab lambat sangat siapkan burger.” Abang Irfan yang baru saja muncul mencantas percakapan Faqih. Kelihatan lelaki itu menghampiri Az-Zahra dengan membawa sebungkus plastik yang berisi burger lembu di dalamnya.

Az-Zahra berdiri tatkala melihat kehadiran lelaki itu. Faqih juga turut berdiri sama. Dia hanya memerhatikan Az-Zahra yang sedang bertukar dialog dengan lelaki yang bernama Irfan itu.

“Terima kasih, Abang Irfan,” ucap Az-Zahra seraya mengambil plastik tersebut daripada tangan Abang Irfan.

“Berapa semuanya?” soal Az-Zahra sambil mengeluarkan dompet berwarna merah jambu dari dalam poket seluarnya.

“Tak payah bayarlah, Zahra. Kali ini Abang Irfan bagi percuma. Anggap saja Abang Irfan sedekah dekat Az-Zahra,” ujar lelaki itu sambil mengerdipkan sebelah matanya.

Az-Zahra tertawa kecil.

“Terima kasih sekali lagi. Semoga Abang Irfan sentiasa murah rezeki,” ujar Az-Zahra dengan gembira. Alhamdulillah, dapat dia jimat duitnya.

Az-Zahra menoleh ke arah Faqih yang hanya mendiamkan diri sedari tadi. Abang Irfan juga turut sama memandang ke arah Faqih bersama kerutan di dahi.

“Abang Irfan, kenalkan ini sahabat saya. Nama dia Khair Faqih. Dia baru je balik Malaysia.” Az-Zahra yang terlebih peramah memperkenalkan Faqih kepada Abang Irfan. Melihat kerutan di dahi lelaki itu, Az-Zahra faham mungkin wajah Faqih kelihatan sangat asing di kawasan tempat tinggal ini.

Abang Irfan hanya mengangguk sambil tersenyum kecil. Langsung tiada balasan daripada lelaki itu. Faqih melemparkan senyuman manis kepada Abang Irfan seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman. Tanpa berfikir panjang, Abang Irfan menyambut salamnya.

“Urm, Zahra nak kena balik sekarang. Lagipun dah lewat malam,” ujar Az-Zahra seraya melihat jam di telefon pintarnya.

“Baguslah kalau macam tu. Anak dara macam awak ni tak patut keluar lama-lama pada waktu malam. Hati-hati pandu kereta nanti,” pesan Abang Irfan, terselit keprihatinan.

Az-Zahra mengangguk faham. Pandangannya dialihkan kepada Faqih yang masih berdiam diri.

“Aku balik dulu tau. In Syaa Allah, nanti ada rezeki kita jumpa lagi,” ujar Az-Zahra sambil mengukir senyuman manis.

“Kita pasti akan berjumpa lagi. Aku akan pastikan kita akan selalu berjumpa,” balas Faqih bersama senyuman yang sukar untuk ditafsirkan.

Renungannya terhadap Az-Zahra menyimpan seribu rahsia yang tersirat. Hanya dia saja yang mengetahuinya.

♡ ♡ ♡ ♡

SUIS lampu ditekan menjadikan ruangan di dalam bilik tidur yang gelap-gelita kini bertukar menjadi terang-benderang tatkala cahaya lampu menerangi segenap penjuru bilik yang luas itu.

Gibran melangkah masuk ke dalam bilik tidurnya setelah selesai makan malam bersendirian. Rambutnya yang berwarna coklat gelap yang kelihatan agak tidak terurus dirapikan menggunakan sikat supaya tampak lebih kemas.

Plaster yang dilekatkan pada dahinya dibuka dan kelihatan satu garisan halus yang tidak begitu panjang. Parut. Akibat terkena lemparan pasu bunga tempoh hari kesannya timbul parut di dahinya namun perkara itu langsung tidak mencacatkan ketampanannya. Akan tiba masanya dia akan membuang parut tersebut.

Sebuah bingkai gambar yang terletak elok di atas meja kecil bersebelahan dengan katilnya dicapai lalu ditatapnya lama. Perasaannya kini bercampur-baur saat melihat wajah itu tersenyum indah di dalam gambar tersebut.

Kelihatan gambar seorang wanita yang sedang mendukung seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan tiga tahun sedang tersenyum bahagia sambil melihat ke arah kamera.

Dia rindu.

Rindu ingin bertemu dengan wanita yang bersusah-payah menjaganya sejak kecil lagi. Dia rindu dengan usapan daripada sang ibu yang penuh dengan perasaan cinta dan kasih sayang. Usapannya yang sungguh lembut dan menyenangkan.

Suara lembut itu sentiasa berlegar-legar di fikirannya.

“Mommy janji akan bawa Gibran sekali untuk ikut mommy dan tinggal sama-sama di rumah baharu. Mommy janji akan datang balik. Mommy takkan mungkiri janji. Gibran tunggu mommy. Sentiasa tunggu mommy. Okey?”

“Akan tibanya waktu di mana mommy akan jemput Gibran dan kita akan hidup gembira sama-sama tanpa gangguan sesiapa. Maafkan mommy sebab terpaksa tinggalkan Gibran. Biarpun mommy dah bercerai dengan daddy tapi Gibran sentiasa ingat yang mommy akan sentiasa sayangkan Gibran walaupun kita takkan selalu berjumpa selepas ni,”

Terngiang-ngiang suara merdu wanita itu setiap kali dia teringat akan susuk tubuh ibunya. Ayat yang pernah diungkapkan oleh sang ibu masih kekal dalam ingatan dan tidak pernah lupus. Dia ingat akan janji yang pernah diungkapkan oleh wanita itu suatu ketika dahulu dan sehingga sekarang dia masih memegang janji tersebut dengan harapan agar ibunya dapat menunaikan janji itu.

Namun, impiannya seperti tidak dapat ditunaikan. Kehilangan susuk tubuh seorang ibu membuatkan kehidupannya tidak bermakna lagi. Satu-satunya wanita yang dicintainya di muka bumi ini kini telah pergi buat selamanya.

Dengan siapa lagi dia ingin mengemis secebis cinta tatkala ayah kandung sendiri seolah-olah tidak menghargainya dan seperti mempergunakannya untuk kepentingan hal duniawi.

Tatkala penceraian berlaku, Tuan Aldric memilih untuk berkahwin dengan perempuan lain. Dendam terhadap orang tua itu semakin bertambah tatkala mengetahui dia akan menerima ibu tiri. Kehadiran Asher dan Aurisstella menjadikan dendamnya semakin bertambah.

Semenjak dia ditinggalkan oleh sang ibu, kehidupannya sudah berubah. Luaran hidupnya tampak begitu mewah dengan disediakan pelbagai kemudahan tetapi sebaliknya dia menganggap semua kemewahan itu umpama tinggal di neraka. Harta dan takhta langsung tidak membuatkan kehidupannya lebih bahagia malah menjadikan dirinya lebih terseksa. Kehidupannya seratus-peratus diatur oleh sang ayah yang bersifat individualistik. Langsung tiada belas kasihan terhadapnya.

Gibran menghela nafas berat.

Tubuhnya dibaringkan ke atas tilam empuknya sambil memejam mata. Bingkai gambar masih berada dalam dakapannya. Wajah sang ibu terbayang di ruang fikirannya. Betapa dalamnya perasaan rindu terhadap wanita itu sehingga dia selalu berharap akan bertemu dengannya biarpun di dalam mimpi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience