BILA tibanya hari Ahad, maka hari tersebut akan menjadi hari yang paling menggembirakan buat Az-Zahra kerana itulah satu-satunya hari untuk dia berehat. Kedai bunganya hanya akan beroperasi pada hari Isnin sehingga hari Sabtu. Jadi, dia berpeluang untuk berehat secukupnya pada hari Ahad sahaja sebelum dia bekerja semula pada keesokan harinya.
Tetapi hari ini berbeza sedikit. Dia diarah oleh ibunya untuk melakukan kerja-kerja rumah sementara ibunya pergi ke kenduri kahwin. Dari matahari terbit sehinggalah matahari terbenam, dia hanya sibuk membersihkan rumah seorang diri tanpa bantuan sesiapa pun. Ada adik perempuan pun bukannya boleh diharap sangat, asyik menghadap telefon pintar saja setiap masa. Sebab itulah ibunya hanya mengharapkan dia saja kerana dia merupakan anak sulung.
Dia pula yang panas hati melihat sikap pemalas dua orang adik perempuannya yang tak reti nak membantunya untuk mengemas rumah semasa ketiadaan ibu mereka. Memang tak layak langsung untuk dijadikan sebagai isteri. Kalau ada temu duga mencari bakal isteri, dia yakin dua orang adik perempuannya bakal ditolak mentah-mentah.
Usai menyelesaikan tugasnya di rumah, Az-Zahra membaringkan tubuhnya di atas sofa yang terletak di ruang tamu.
Dia melepaskan keluhan berat.
Sejak pulang dari majlis makan malam semalam, Az-Zahra sudah mula rasa tidak sedap badan. Kepalanya terasa pening tetapi tidaklah begitu teruk. Tekaknya juga turut sakit tatkala hendak menelan air liur atau makanan.
Mungkin ini semua disebabkan dia tidak cukup rehat. Atau ini tanda-tanda dia nak demam. Semalam dia meredah hujan semasa hendak menuju ke kereta Sophia jadi mungkin disebabkan dia terkena hujan impaknya dia terus jadi tak sihat. Lagipun, pagi tadi dia ada muntah-muntah. Dia ingatkan dia keracunan makanan tetapi sebenarnya tidak.
Suhu badannya juga sudah bertukar menjadi sangat panas. Jadi memang betullah dia demam cuma dia saja yang selalu tidak mengambil berat tentang kesihatannya. Dia tidak sedar langsung yang dia demam.
Az-Zahra memicit kepalanya yang semakin berpusing, terasa sungguh berat. Dia rasa tidak berdaya untuk berdiri. Tenaganya juga sudah habis digunakan. Dia sangat lemah sekarang ini.
Kelibat Zafran tiba-tiba muncul di ruangan tersebut bersama segelas cawan di tangannya. Dia melabuhkan punggung di atas sebuah sofa yang kosong sambil memandang pelik ke arah kakak sulungnya itu.
“Kakak okey ke ni? Nampak pucat je muka tu,” tegur Zafran sebelum meneguk air coklatnya.
“Kakak demam. Kepala kakak sakit sangat,” balas Az-Zahra lemah. Tangannya tidak berhenti memicit kepalanya yang semakin sakit. Dia rasa hendak hantukkan kepalanya ke dinding saat ini.
“Sekarang dah jam berapa?” soal Az-Zahra sambil memejamkan matanya. Dia tak sempat nak tengok jam tadi.
“3:00 petang,” jawab Zafran ringkas. Dia rasa simpati pula melihat keadaan kakaknya sekarang ini.
Az-Zahra diam setelah itu.
Zafran meletakkan cawan yang berisi air coklat itu di atas meja lalu menghampiri Az-Zahra yang sedang terbaring lemah di atas sofa. Dia menjatuhkan kedua-dua lututnya di atas lantai agar dapat melihat wajah Az-Zahra dengan lebih jelas.
“Zafran bacakan doa sakit kepala untuk kakak, ya.” Zafran menadah tangannya lalu dia membaca sebaris potongan ayat Al-Quran daripada Surah Al-Waqiah ayat 19.
لَّا يُصَدَّعُوْنَ عَنْهَا وَلَا يُنْزِفُوْنَۙ [١٩]
Maksud:
Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
Usai membacakannya, Zafran bertindak mendukung Az-Zahra untuk dibawa masuk ke dalam bilik setelah melihat gadis tersebut sudah terlena.
Perlahan-lahan Zafran meletakkan tubuh ramping itu ke atas tilam empuk dengan berhati-hati agar dia tidak terjaga. Setelah itu, Zafran berlalu pergi meninggalkan Az-Zahra bersendirian. Memberi ruang untuk kakaknya berehat.
♡ ♡ ♡ ♡
PANG!
Laju sahaja tapak tangan Tuan Aldric mendarat di pipi putera sulungnya. Sakit yang dirasakan pada tapak tangannya tidak mampu menandingi perasaan sakit di hatinya yang sedang membara ketika ini. Dia rasa sungguh marah dengan kelakuan anak lelakinya ketika di majlis makan malam semalam.
Gibran baru sahaja pulang ke rumah dan seperti biasa dia bermalam di rumah Luke semalam. Dia malas mahu bertekak dengan Tuan Aldric jadi dia membuat keputusan untuk tidur di rumah Luke saja supaya dia dapat menenangkan fikirannya. Tapi bila dia balik saja ke rumah terus kena tampar.
Biarpun ditampar dengan begitu kuat sehingga hujung bibirnya pecah, Gibran tetap statik di tempatnya. Kepalanya pula terteleng ke sisi. Dia langsung tidak terkesan sedikit pun setelah menerima tamparan berbisa daripada ayahnya. Dia sudah biasa ditampar dan dipukul sejak kecil lagi semenjak susuk wanita yang sangat dicintainya meninggalkan dirinya.
“Kau memang seorang anak yang tak reti nak kenang budi! Sanggup kau malukan aku di hadapan semua tetamu semalam! Kau memang dah melampau, Gibran! Bagus kau pergi ikut je lah jejak mak kau yang tak guna tu! Dua-dua boleh pergi mampus!” tengking Tuan Aldric seraya menunjal kepala Gibran dengan kasar.
“Abang, please, calm down.” Suara lunak itu mencelah. Wanita anggun itu bertindak mengusap tubuh belakang Tuan Aldric bagi menenangkan suaminya yang sedang dilanda api kemarahan.
Perlahan-lahan Gibran memalingkan wajahnya ke hadapan semula. Sepasang anak mata berwarna hijau itu merenung tajam ke arah wajah lelaki tua di hadapannya bersama darah yang menggelegak. Membuak-buak kemarahannya ketika ini. Dia paling pantang jika wanita yang paling dia sayangi dihina oleh orang lain. Tapi yang menyedihkan orang yang menghina itu adalah ayahnya sendiri sedangkan wanita itu pernah bergelar isteri kepada ayahnya.
“Aku tak sangka kau berani tunjuk muka kau di hadapan aku lagi selepas apa yang kau dah buat! Aku memang malulah nak mengaku yang kau ni anak aku! Aku tak ada anak yang memalukan macam kau! Anak aku cuma ada dua orang saja, Raja Asher Malvinn dan Raja Aurisstella Mirabelle. Kau bukan anak aku! Kau anak kepada perempuan tak guna yang dah mampus tu!” herdik Tuan Aldric lagi. Kali ini, dia bertindak membaling pasu bunga yang bersaiz kecil ke arah Gibran lalu terkena tepat di dahinya. Gayanya seperti dirasuk syaitan.
Semua orang yang berada di ruang tamu yang luas itu agak terkejut menyaksikan adegan tersebut. Gibran langsung tidak mengelak tetapi dia hanya membiarkan saja dirinya diperlakukan seperti itu. Kalau boleh dia memang nak sangat didera dengan lebih teruk lagi sehingga dia mati supaya dia boleh berjumpa dengan ibunya. Dia sudah lelah dengan permainan dunia ini.
“Daddy, please stop it! You hurt him!” Asher yang sedari tadi hanya mendiamkan diri kini bertindak melindungi abangnya. Aurisstella pula meluru ke arah Ungku Matilda lalu memeluk erat tubuh ibunya. Dia takut melihat keganasan yang berlaku di depan matanya ini.
“Well, he deserve it,” sinis Tuan Aldric yang masih lagi tidak mahu mengalah. Dia juga turut membalas panahan mata yang sedang tajam merenungnya.
Gibran hanya tenang walaupun sudah disakiti oleh ayah kandungnya sendiri. Itu baru sikit, dibaling dengan pasu bunga yang kecil apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan dia dipukul dengan tali pinggang dan dibiarkan kelaparan lalu dikurung di dalam bilik stor. Semua itu sudah pernah dia alami ketika dia masih kecil lagi. Jika ibunya masih hidup mungkin dia bisa dilindungi tetapi malangnya susuk wanita itu telah pun meninggalkan dirinya. Siapa lagi yang dia boleh harapkan untuk melindunginya?
Cecair berwarna merah pekat kini mengalir di bahagian kepalanya lalu menitis jatuh ke atas lantai marmar itu. Walaupun air mukanya kelihatan tenang tetapi tangannya digenggam kuat menahan perasaan marah. Dia sudah tenat mahu melawan. Kalau dia membidas kata-kata Tuan Aldric semula pasti dia akan turuti juga kerana dia akan dipaksa.
“Raja Gibran Xavier,” sahut Tuan Aldric dengan nama panggilan penuh menandakan lelaki tua itu benar-benar marah.
Gibran hanya memandangnya dengan pandangan yang kosong. Seolah-olah tidak punya perasaan.
“You have two options either you want to marry Eleanora and live happily or I will kick you out of this house and no longer consider you as my son. The CEO position you hold will be taken over by Asher if you choose options number two,” ujar Tuan Aldric bersama senyuman sinis.
Dia pasti ugutan itu akan membuatkan Gibran tunduk padanya. Mana mungkin anaknya akan melepaskan jawatan CEO itu kepada orang lain. Lagipun, dia tidak akan sesuka hati memberikan jawatan tertinggi itu kepada Asher kerana anak lelakinya yang satu itu masih belum mahir menguruskan hal syarikat mahupun hal berkaitan dengan perniagaan.
Berbeza pula dengan Gibran yang memang sudah diberikan didikan dan diasah mengenai urusan perniagaan dari kecil lagi. Baginya, Gibran merupakan aset yang sangat penting untuk memajukan perniagaannya. Sebab itu dia memberikan jawatan CEO kepada Gibran kerana dia boleh nampak anak sulungnya itu membawa tuah dalam hidupnya.
Dengan gelaran ‘Raja’ yang dipegangnya menjadikan seluruh keluarganya disanjung tinggi dan dihormati oleh masyarakat di sini. Dia semakin bongkak dengan apa yang dimilikinya.
Gibran melangkah ke hadapan mendekati Tuan Aldric bersama wajah yang begitu dingin.
“Gladly, I will choose option number two, daddy. Opss! I mean, Raja Aldric Alexander. I will leave this house with pleasure and never see your face again after this. Because I won’t live in this hellish house anymore,” ujar Gibran separa berbisik. Wajah tegang Tuan Aldric direnungnya tajam.
Gibran mengambil keputusan untuk berlalu dari situ tetapi dia menghentikan langkahnya lalu berpaling ke arah Tuan Aldric semula yang masih dengan wajah tegangnya.
“And one more thing I almost forgot. If you really want Eleanora to be your daughter-in-law, I suggest you marry her to Asher,” ujar Gibran sambil memandang Asher.
Asher yang langsung tidak terlibat dalam masalah itu terus merenung tajam ke arah abangnya setelah mendengar cadangan mengarut daripadanya. Ini dah melampau! Kenapa dia pula yang kena jadi pengganti Gibran? Memang taklah dia nak kahwin dengan Eleanora kerana dia sudah menganggap wanita itu seperti kakaknya sendiri.
“Or what do you say you are the only one married to Eleanora. Make her as your third wife. Good suggestion, isn't it?” Gibran melemparkan senyuman mengejek ke arah Tuan Aldric yang sedang menahan perasaan marah itu.
“If you can marry another woman after mommy dies, it doesn't feel wrong if you want a new wife again, right? I think Mrs. Matilda is fine if you want to get married again. Isn't that right, Mrs. Matilda?” ujar Gibran lagi sambil memandang ke arah ibu tirinya pula tanpa senyuman yang menghiasi wajahnya.
“You!” Tuan Aldric menuding jarinya ke arah Gibran yang hanya berwajah tenang itu. Langsung tidak gentar bila berhadapan dengannya.
Ungku Matilda pula hanya mendiamkan diri sahaja. Dia sungguh terasa dengan kata-kata sinis yang keluar dari mulut Gibran. Bertambah sedih dia apabila anak muda itu tidak pernah terlintas langsung untuk memanggilnya dengan panggilan ‘mama’.
Anak beranak itu hanya bertentang mata tanpa bersuara langsung. Seolah-olah mereka berkomunikasi melalu isyarat mata. Gibran dengan riak wajahnya yang tenang dan Tuan Aldric yang sudah bertukar merah wajahnya gara-gara menahan perasaan marah. Mulut anaknya itu mahu saja dicilikan. Suka sangat menyakitkan hatinya.
Tidak mahu membuang masa lagi, Gibran terus memusingkan tubuhnya lalu meninggalkan tempat tersebut dan menuju ke bilik tidurnya. Dia ingin membersihkan diri dan mengemas semua barangnya sebelum berhambus dari rumah yang dianggap neraka ini.
♡ ♡ ♡ ♡
TALI lehernya dilonggarkan lalu dibuka dengan kasar. Dia mencampak tali leher tersebut ke atas meja lalu butang kemejanya di bahagian atas dibuka menampakkan sedikit bahagian dada bidangnya yang terdedah.
Fikirannya serabut setelah apa yang terjadi di ruang tamu tadi. Dia sudah nekad tidak ingin mengahwini Eleanora sampai bila-bila. Dia langsung tiada perasaan terhadap wanita itu. Biarpun pedang dihunus ke lehernya, dia takkan sesekali mengubah pendiriannya. Kali ini, dia takkan ikut telunjuk ayahnya. Biarlah dia hilang harta dan darjatnya asalkan dia tidak dipaksa untuk berkahwin dengan Eleanora. Dia tak sanggup untuk hidup bersama dengan wanita itu.
Gibran mendekati cermin besar yang terdapat di dalam bilik tidurnya. Anak matanya tertumpu pada darah yang masih mengalir di kepalanya. Lantas dia mencapai tuala kecil berwarna putih dan meletakkannya di bahagian kepalanya yang masih berdarah bagi menghentikan pendarahan. Dia melabuhkan punggung di atas sebuah sofa berwarna kelabu sambil tangannya masih memegang tuala kecil yang berada di kepalanya.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk lalu dikuak oleh seseorang dari luar. Tersembul wajah lembut ibu tirinya bersama dengan senyuman manis. Wanita itu melangkah masuk ke dalam bilik Gibran walaupun dia tahu anak muda itu akan menghalaunya keluar.
“Kau buat apa dekat sini? Siapa yang benarkan kau masuk ke dalam bilik aku?” Kasar Gibran bertanya. Wajah ibu tirinya langsung tidak dipandang walaupun sesaat.
“Gibran, are you okay, son?” soal Ungku Matilda dengan penuh prihatin. Perlahan-lahan dia menghampiri lelaki muda yang sedang duduk di atas sofa lembut itu.
Gibran diam.
“Mama nak tengok luka dekat kepala Gibran tu, boleh? Mama nak bersihkan darah dekat kepala Gibran tu,” ujar Ungku Matilda lagi. Dia merenung sayu ke arah Gibran yang masih tidak mahu memandang wajahnya.
Benci sangatkah lelaki itu terhadapnya?
“Gibran...” seru Ungku Matilda sekali lagi dengan penuh kelembutan.
“Keluar,” halau Gibran kasar.
Air liur ditelan kesat. Ungku Matilda langsung tidak menghiraukan permintaan Gibran yang menyuruhnya untuk keluar malah dia beranikan diri untuk duduk di sebelahnya.
“Bagi mama tengok luka Gibran dulu,” tegas Ungku Matilda seraya menyentuh tuala putih yang dipegang oleh Gibran.
Serentak dengan itu, Gibran terus mencampak tuala putih yang kini sudah berubah warna menjadi merah ke atas lantai dengan kasar. Dia mendengus kasar lalu bingkas berdiri. Wajah ibu tirinya yang berubah menjadi pucat direnung tajam.
“Kau memang perempuan yang tak faham bahasa ke?! Aku kata keluar, keluarlah! Apa yang kau bebal sangat nak faham, huh?!” herdiknya kasar.
Air mata kini bergenang di kelopak matanya. Ungku Matilda terkejut mendengar suara tengkingan Gibran. Luruh jantungnya tatkala diherdik sedemikian.
“Mama...mama cuma risaukan kamu,” ucapnya perlahan bersama perasaan pilu.
Gibran meraup wajahnya kasar. Dia kembali merenung wajah wanita tersebut dengan penuh kebencian.
“Eh, kau dengar sini baik-baik, perempuan! Kau tak payah nak berlagak baik depan aku seolah-olah kaulah ibu yang paling tersakiti di dunia ni! Kau tak payah nak berangan untuk gantikan tempat ibu aku sebab sampai bila-bila pun aku takkan terima kau dan anggap kau sebagai seorang ibu! Aku bencilah tengok muka kau! Lebih baik kau pergi berhambus dari bilik aku sebelum aku gunakan cara kekerasan untuk halau kau dari sini!” bentaknya lagi. Meja kecil di hadapannya ditendang kuat sehingga terbalik.
Terhinjut kedua-dua belah bahunya melihat tindakan agresif Gibran. Jejaka itu seperti hilang kewarasan akal dan fikiran.
“Kenapa...” Lirih suaranya saat ini.
“Kenapa Gibran susah sangat untuk terima mama? Apa salah mama pada Gibran selama ni?” soal Ungku Matilda bersama dengan air mata yang mengalir jatuh membasahi pipinya. Dia membalas renungan tajam yang penuh dengan kebencian terhadap dirinya itu.
“Kau sendiri tahu kenapa aku benci kau sangat-sangat. Kau sendiri dah ada jawapannya jadi berhenti berlakon macam kau tak tahu apa-apa,” bidas Gibran semula. Dia rasa menyampah pula apabila wanita itu seolah-olah anggap dirinya tidak bersalah.
“Mama sayangkan Gibran seperti anak kandung mama sendiri. Mama tahu Gibran tak dapat nak lupakan satu-satunya wanita yang bersusah-payah melahirkan Gibran tapi Gibran harus terima hakikat yang dia dah meninggal dunia. Gibran kena lepaskan semuanya dan mulakan hidup yang baru. Sampai bila asyik nak tersekat di masa silam? Gibran perlu buka buku baru dan terima insan yang hadir dalam hidup Gibran,” nasihat wanita itu dengan lemah-lembut dengan harapan agar Gibran mendengar nasihatnya untuk memulakan kehidupan yang lebih baik.
Gibran mencengkam kuat rambutnya. Rahangnya diketap kuat menahan marah yang semakin membuak-buak.
“Kau keluar dari bilik aku boleh tak? Aku rimas tahu tak dengar nasihat kau yang tak ada gunanya untuk aku. Kalau kau nasihat aku macam ni pun tak akan dapat ubah apa-apa dah. Kau cakap dengan aku sekarang. Nasihat kau ni boleh bangkitkan semula ke mommy aku yang dalam kubur tu? Tak boleh, kan? Jadi kau tak payah nak bazirkan air liur kau semata-mata nak nasihatkan aku yang memang dah derhaka dengan kau,” balas Gibran dengan perasaan yang sangat rapuh. Dia memandang ke arah ibu tirinya dengan mata yang berkaca-kaca. Bila-bila masa saja cecair mutiara itu boleh jatuh.
“Just leave me alone,” halaunya sekali lagi tetapi suaranya tidak lagi tinggi seperti tadi. Dia sudah tidak berdaya untuk menengking lagi.
Tatkala dia melihat ibu tirinya masih lagi tidak mahu berganjak, Gibran lantas menuju ke bilik airnya. Pintu dihempas dengan begitu kuat. Nasib baik tak tercabut.
Ungku Matilda menggelengkan kepalanya perlahan melihat sikap anak tirinya itu. Dia melepaskan tangisan di situ namun tidak menghasilkan sebarang bunyi. Hanya air matanya saja yang mengalir deras membasahi pipinya.
Dia kecewa.
♡ ♡ ♡ ♡
USAI makan malam, Az-Zahra terus berlari menuju ke tandas dan membuang segala isi perutnya. Dia baru saja makan tadi kemudian kena pula buang semula apa yang dijamahnya. Memang semakin lemah tubuhnya.
Demamnya kini bertambah teruk. Suhu badannya tidak normal seperti kebiasaannya. Kepalanya masih lagi sakit umpama ada batu besar yang sedang menghempap kepalanya ketika ini.
Hajah Aisyah menghampiri Az-Zahra yang sedang memuntahkan sesuatu di dalam sinki. Belakang tubuh Az-Zahra diusap-usap perlahan.
“Kamu demam ni, Zahra. Panas sangat badan kamu ni. Kenapa tak pergi ke hospital siang tadi?” Hajah Aisyah bertanya lembut.
Az-Zahra mencuci mulutnya menggunakan air bersih sehingga hilang kekotoran di mulutnya. Dia berpaling ke arah ibunya lalu memeluk erat tubuh wanita itu.
“Zahra tak nak pergi hospital,” balasnya perlahan. Matanya dipejam rapat.
“Kamu demam ni mesti sebab terkena hujan kan semalam?” teka Haja Aisyah.
Az-Zahra diam. Tidak angguk dan tidak juga geleng. Dia tidak berdaya untuk membalas pertanyaan ibunya.
“Itulah, ibu dah pesan awal-awal supaya balik ke rumah awal sikit. Tak payah nak balik jam 12:00 malam, tengok bila lewat balik tahu-tahu je dah hujan lepas tu demam pula,” bebel wanita itu.
Az-Zahra masih kekal diam.
Dia demam macam ni pun terpaksa buka telinga luas-luas untuk dengar segala bebelan ibunya.
“Biar Zafran hantar kakak pergi hospital.” Suara garau Zafran tiba-tiba muncul di ruangan tersebut. Penampilannya sungguh segak dengan baju Melayu yang masih tersarung di tubuh tegapnya beserta dengan songkok hitam di kepalanya.
Az-Zahra mengangkat wajahnya lalu memandang tepat ke arah Zafran yang sedang bersandar di pintu tandas sambil memeluk tubuh. Begitu juga dengan Hajah Aisyah.
“Kakak tak larat nak pergi hospital. Tak payahlah susahkan diri, Zaf,” kata Az-Zahra dengan suara yang sedikit serak. Dia berjalan lemah menuju ke katilnya dibantu oleh Hajah Aisyah.
“Ayah kamu mana?” soal Hajah Aisyah sambil merenung wajah anak lelakinya.
“Ayah masih lagi dekat masjid, tengah bersembang dengan Tok Imam. Zafran balik awal sebab risaukan kakak. Zafran nak bawa kakak pergi hospital,” balasnya seraya menghampiri dua orang wanita itu.
Az-Zahra menggeleng lemah.
“Tak payahlah pergi hospital. Esok lusa kakak sembuhlah. Tak payah risau,” balas Az-Zahra mudah. Hidungnya mula bertukar merah gara-gara tersumbat.
“Biarlah Zafran nak hantar pergi hospital. Sekurang-kurangnya demam kakak cepat kebah nanti,” kata Hajah Aisyah sedikit tegas.
Az-Zahra bungkam. Kalau dah ibu bersuara memang tidaklah dia nak membangkang.
Baru saja dia hendak bersuara tiba-tiba terbatuk-batuk. Hajah Aisyah cepat-cepat menghulurkan segelas air putih kepada Az-Zahra lalu disambut olehnya.
“Demam kamu makin teruk, Zahra. Pergilah hospital dengan Zafran. Jangan pandang remeh pada penyakit kecil. Biarpun hanya sekadar demam tapi kita kena tetap berhati-hati. Kalau nak sembuh kena cari ikhtiar, barulah bertawakal kepada Allah,” pesan Hajah Aisyah lembut.
Az-Zahra terdiam lama. Cuba mencerna setiap bait pesanan ibunya. Zafran pula hanya kekal memasang telinga tanpa ada niat untuk masuk campur.
“Okeylah,” balas Az-Zahra malas. Jelas sekali dia tidak rela untuk pergi ke hospital. Dia hanya mahu tidur.
Hajah Aisyah dan Zafran tersenyum lebar.
♡ ♡ ♡ ♡
GIBRAN tayang riak wajah yang tidak puas hati di hadapan Luke yang masih kekal selamba seolah-olah dia tidak melakukan perkara yang menyakitkan hatinya. Wajah itu tenang seperti tiada apa-apa yang berlaku. Dia pula yang geram melihatnya.
“Alhamdulillah, kita dah sampai.” Luke menoleh ke sebelahnya, memandang wajah tegang Gibran. Dia tahu lelaki itu masih lagi tidak berpuas hati dengannya.
“Turunlah, kita dah sampai,” ujar Luke sekali lagi apabila melihat Gibran masih lagi tidak bergerak.
“Aku tak nak turun,” jawab Gibran dingin. Masih dengan sikap degilnya.
Luke mengeluh perlahan.
“Jangan degil boleh tak? Kalau kecederaan dalam kepala kau tu membahayakan macam mana? Mana tahu ada serpihan-serpihan kaca yang tertusuk dalam kepala kau? Kau juga yang tanggung kesakitan tu nanti. Kalau doktor buat pemeriksaan di kepala kau sekurang-kurangnya kita dapat cegah dari awal kemungkinan besar yang akan berlaku. Dah, sekarang turun!” Luke menggesa. Dia membuka pintu keretanya lalu keluar dari perut kereta. Laju sahaja kaki panjangnya menuju masuk ke dalam hospital.
Gibran mendengus kasar.
Tatkala melihat sahabatnya sudah pun meninggalkan dirinya bersendirian di dalam kereta, Gibran mengambil keputusan untuk turut keluar dari perut kereta. Dengan langkah yang perlahan, dia menuju ke arah bangunan tinggi tersebut. Pintu kaca itu ditolak dengan kasar. Luke pula sedang menguruskan pendaftaran di kaunter.
Gibran memerhatikan keadaan di sekelilingnya. Pada waktu malam sebegini memang agak kurang pelawat yang datang melawat pesakit. Suasana yang agak lengang membuatkan bulu romanya sedikit meremang. Pendingin hawa di hospital tersebut membuatkan seluruh tubuhnya menggigil. Menyesal dia tak pakai baju lengan panjang malam ini.
Matanya tiba-tiba terpaku pada seseorang yang pernah dijumpainya. Dia macam kenal tapi takut tersalah orang pula. Maklumlah, kepala dia bukannya betul sangat lepas kena baling dengan pasu bunga siang tadi, terus dia jadi bendul.
Tatkala dia mengamati wajah itu dengan lebih teliti, barulah dia yakin bahawa dia tidak silap orang. Dia tidak menyangka bahawa mereka akan berjumpa lagi. Dan kali ini mereka bertemu di hospital.
Gibran berura-ura untuk menegurnya tetapi apabila dia menyedari gadis tersebut tidak bersendirian dan ada seorang lelaki yang sederhana tinggi sedang menemaninya dan duduk di sebelahnya, niatnya terus terbatal. Perasaannya kini bercampur-baur. Entah kenapa dia tidak berpuas hati melihat kedaan mereka sekarang ini.
Dia nampak dengan jelas gadis itu sedang melentokkan kepalanya di bahu lelaki itu sambil memejamkan mata. Dia perasan ada cool fever dilekatkan pada dahi gadis tersebut. Tapi, kenapa dia rasa dadanya sedang turun naik menahan perasaan marah?
Gibran merenung tajam dua orang manusia itu dari jauh. Dia tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki itu.
Abang?
Adik?
Sepupu?
Suami?
Atau tunang?
“Jom!” Bahunya ditepuk dari belakang. Gibran memalingkan wajahnya ke arah Luke.
“Dah selesai?” soal Gibran terpinga-pinga.
“Aku dah selesai buat pendaftaran. Sekarang kita tunggu giliran untuk berjumpa dengan doktor,” ujar Luke.
Gibran mengangguk faham. Dia menoleh semula ke arah gadis itu tadi namun bayangannya tiba-tiba hilang.
Dia tergamam.
Takkanlah dia mengkhayal pula? Dia yakin dia nampak dengan jelas gadis tersebut sedang duduk di kerusi besi itu tadi bersama dengan seorang lelaki. Penglihatannya masih lagi berfungsi. Dia belum buta lagi.
“Hoi, jomlah kita duduk dulu. Kau berangan apa sampai aku panggil dua kali kau tak dengar?” Suara Luke yang tinggi menyentakkan lamunan Gibran.
Dia berdehem perlahan.
“Tak ada apa,” balas Gibran pendek. Dia menghampiri kerusi besi yang memang disediakan di situ sebagai satu kemudahan bagi pelawat.
Luke juga turut melabuhkan punggung di sebelah Gibran namun hanya sekejap saja sebelum dia berdiri semula kerana ingin menjawab panggilan telefon. Sudah tentu berkenaan dengan kerja.
Gibran pula ditinggalkan bersendirian di situ, menunggu namanya diseru oleh jururawat.
Dia memegang kepalanya yang sedang berbalut. Balutan itu masih belum ditukar sejak siang tadi. Dia bukannya reti sangat membalut kepala yang luka sebab itu balutannya sedikit tidak kemas.
Pintu di hadapannya terbuka dari dalam lalu seorang gadis dan seorang lelaki yang dilihatnya sebentar tadi menapak keluar dari dalam bilik kesihatan tersebut. Gibran terus berdiri saat matanya terpaku pada wajah gadis itu. Dia memang tidak salah nampak.
Ketika itu, Az-Zahra mengangkat wajahnya lalu tepat memandang ke arah Gibran. Matanya sedikit meluas, mulutnya terlopong. Mungkin terkejut kerana melihat lelaki itu turut berada di hospital pada waktu malam begini. Tetapi apa yang paling mengejutkan dirinya adalah melihat kepala lelaki itu berbalut. Terdapat kesan tompokan darah pada kain balutan tersebut. Terlintas perasaan risau dalam hatinya apabila melihat keadaan lelaki itu.
“Gibran.” Tidak sedar nama itu terpacul pada bibir pucat Az-Zahra.
Zafran di sebelah sudah mengerutkan dahi. Dia menilik lelaki itu dari atas hingga bawah. Tinggi dan tegap. Itu yang dapat dia gambarkan tentang lelaki di hadapannya ini.
Tapi, dia tak pernah nampak pula wajah itu sebelum ini. Macam mana kakaknya boleh kenal dengannya?
Gibran hanya diam. Dia tidak sangka gadis itu tahu akan namanya.
“Kakak, Zafran pergi ambil ubat demam dulu, ya,” bisik Zafran di telinga Az-Zahra. Memberi ruang untuk mereka berdua.
Az-Zahra mengangguk lemah.
Maka, tinggallah mereka berdua di kawasan koridor itu. Tidak juga terlalu sepi kerana ada beberapa orang pesakit yang lalu-lalang di kawasan tersebut.
Az-Zahra memandang wajah Gibran yang sentiasa dingin itu. Mata mereka bertaut tatkala Gibran tidak mengalihkan pandangannya.
“Tak sangka kita boleh jumpa lagi.” Az-Zahra bersuara bagi menghilangkan rasa kekok yang melanda di hati. Jantungnya tiba-tiba berdegup laju.
“Kau demam ke?” soal Gibran walaupun dia tahu bahawa gadis itu memang demam. Tengok wajahnya yang pucat lesi, dengar saja suaranya yang agak serak ditambah pula dengan hidungnya yang merah dia sudah tahu gadis itu tidak berapa sihat.
Az-Zahra senyum pahit. Dia angguk perlahan.
“Kenapa dengan kepala awak, Gibran?” soal Az-Zahra tertanya-tanya. Dia melihat kepala lelaki itu yang sedang berbalut.
Gibran menggosok belakang lehernya.
“Tak ada apa. Cedera sikit je,” ujar Gibran sekadar menjawab pertanyaan gadis itu.
Az-Zahra merenung wajah kacak itu dengan perasaan musykil. Dia merasakan lelaki ini seperti menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya. Tapi dia tahu itu bukan urusannya untuk masuk campur akan hal tersebut.
Masing-masing kembali diam. Suasana di antara mereka sangat canggung. Az-Zahra ingin meminta diri tetapi dia tidak tahu hendak menuturkan ayat. Otaknya tidak dapat berfikir dengan baik bila tengah demam macam ni. Sel-sel otaknya terasa tercabut.
Kehadiran seorang jururawat menghilangkan suasana janggal itu. Nama Gibran dipanggil untuk berjumpa dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan terhadap kecederaan di kepalanya.
Sebelum beredar, Gibran sempat menoleh ke arah Az-Zahra. Wajah pucat itu ditatapnya lama.
“Semoga cepat sembuh.” Gibran menitipkan ayat tersebut dengan ikhlas. Dia sendiri tidak percaya yang dia akan mengungkapkan kata-kata tersebut di hadapan Az-Zahra.
Sejak bila pula dia bersikap baik dengan perempuan?
Az-Zahra cuba untuk berlagak tenang walaupun detakan jantungnya sudah bertukar rentak. Dia mengukir senyuman manis.
“Awak pun sama. Semoga cepat sembuh, Gibran,” ucap Az-Zahra perlahan.
Gibran hanya mengangguk sebelum melangkah masuk menuju ke dalam bilik pemeriksaan. Begitu juga dengan Az-Zahra. Dia mendekati Zafran yang sedang menunggunya di kerusi besi bersama satu plastik di tangannya.
Bibirnya tiba-tiba mengukir segaris senyuman pendek. Teringat kembali perbualan mereka sebentar tadi.
Dia rasa demamnya sudah kebah tatkala berjumpa dengan lelaki itu tadi. Dia rasa segar bila berbual dengannya. Hilang terus sakit kepalanya.
Sah! Dia memang sudah gila.
Share this novel