TIGA hari sudah berlalu, keadaan Az-Zahra semakin membimbangkan. Seri pada wajahnya semakin pudar, tiada lagi senyuman manis yang menghiasi wajah jelita itu. Az-Zahra tidak lagi ceria seperti selalu. Air mata yang sentiasa menemani gadis itu siang dan malam.
Sophia sanggup berulang-alik dari tempat kerja ke rumah Az-Zahra untuk menemani gadis itu selama tiga hari ini. Faqih juga sentiasa di sisi Az-Zahra, memberikan kata-kata semangat buat gadis itu agar kembali bersemangat untuk meneruskan perjalanan hidup.
Az-Zahra bagaikan patung bernyawa, berdiri tegak di balkoni rumah dengan pandangan kosong menerobos hamparan hijau. Keindahan alam semula jadi di hadapan mata sungguh menenangkan jiwanya bagaikan sebuah terapi yang mampu merawat luka di hati. Fikirannya kosong tanpa arah, seiring dengan penatnya jiwa yang sudah tidak mampu menangis lagi.
“Jauhnya kau termenung,” tegur suara lembut itu. Tidak perlu toleh ke arah punca suara itu, Az-Zahra sudah tahu siapa yang rajin datang menjenguknya.
“Aku ada bawa buah tembikai untuk kau,” kata Sophia seraya mendekati Az-Zahra yang masih kaku, tidak bergerak langsung. Mulutnya juga tidak bersuara.
“Zahra...” panggil Sophia dengan lembut, seakan-akan ingin menarik perhatian Az-Zahra agar memandangnya. “Dah tiga hari kau diam, tak bercakap sepatah kata pun. Aku faham kau masih lagi tak boleh nak terima kenyataan yang kedai bunga kau dah terbakar tapi, sampai bila kau nak jadi macam ni?” Tegas suara Sophia berkata tetapi masih terselit kelembutan. Dia bimbang melihat kondisi Az-Zahra yang semakin memburuk.
“Sampai mati...” Bergetar suara Az-Zahra membalas.
“Astaghfirullahal’Adzim, kau sedar tak apa yang kau cakap sekarang ni?” Naik seoktaf suara Sophia.
“Ke...kenapa dia buat aku macam ni, Sophia? Apa salah aku pada dia?” Suara Az-Zahra bergetar, dan mata Az-Zahra mula berkaca tatkala mengenangkan nasibnya yang begitu malang. Wajah Gibran terbayang di ruang minda, menambahkan lagi perasaan benci yang semakin menebal dalam hatinya. Dia tidak pernah menyangka lelaki itu sanggup membakar kedai bunganya, meranapkan segala usaha dan impiannya.
Sophia mengeluh perlahan.
“Zahra, aku bukan nak bela Gibran. Tapi Gibran tak sekejam yang kau sangkakan. Dia takkan sanggup hancurkan kehidupan orang lain. Ya, aku mengaku mulut dia memang kadang-kadang macam minta penampar, tapi dia bukan seseorang yang sanggup khianati orang lain dan dia juga masih ada rasa simpati dan kemanusiaan dalam diri dia,” ujar Sophia bersungguh-sungguh.
“Bukti dah ada depan mata, Sophia! Faqih dah tunjukkan rakaman CCTV dekat kita semua! Memang jelas dia yang bakar kedai bunga aku atas alasan yang aku sendiri tak tahu! Dia memang nak hancurkan hidup aku, Sophia. Kau nak aku buat apa lagi?!” Dengan penuh emosi dan kemarahan yang semakin menguasai diri, Az-Zahra melontarkan kata-kata itu. Perasaannya semakin tertekan apabila Sophia lebih memilih untuk berada di pihak Gibran, seolah-olah mengabaikan derita yang sedang ditanggung.
“Setakat rakaman CCTV tak bermaksud Gibran bersalah sepenuhnya. Zaman sekarang teknologi semakin canggih, manusia boleh memanipulasi kita dengan kepakaran mereka dalam bidang teknologi. Ramai manusia sekarang yang mahir dalam bab-bab macam ni, Zahra. Boleh jadi itu sebenarnya orang lain tapi mereka edit rakaman tu supaya wajahnya menyerupai Gibran? Atau orang dalam rakaman tu pakai topeng menyerupai Gibran? Kita tak boleh nak menghukum seseorang kalau belum pasti kesahihannya. Kita juga tak boleh nak bertindak mengikut emosi dan hawa nafsu, Zahra. Kau juga yang selalu cakap macam tu, kan?” Panjang lebar Sophia berkata, menyedarkan sahabatnya itu.
Az-Zahra terdiam seribu bahasa.
“Trust me, Zahra. Gibran bukan seorang lelaki jahat macam yang kau sangkakan. Aku percaya ada seseorang yang cuba menjatuhkan imej dia. Ramai orang yang benci pada dia termasuklah ayah dia sendiri, jadi aku mohon sangat kau janganlah tergolong dalam kalangan orang-orang yang benci dia,” kata Sophia sambil memandang tepat wajah Az-Zahra yang kelihatan kosong, seolah-olah tidak punya perasaan.
“Aku tahu kau dah kenal Gibran dari awal, tapi aku memilih untuk diamkan diri. Aku mengaku aku agak kecewa sebab kau langsung tak pernah nak cerita yang Gibran pernah bekerja dengan kau. Tapi, aku tahu kau buat semua tu mesti bersebab,” sambung Sophia lagi.
Mata Az-Zahra membulat. Dia menelan air liur yang terasa pahit. Wajah Sophia dipandang dengan tatapan yang sukar untuk dipercayai. Jantungnya berdegup kencang.
“Ma...macam mana kau boleh tahu?” Suaranya tersekat di kerongkong.
“Luke yang ceritakan dekat aku. Dia cerita semua dari awal sampai habis. Dan aku juga tahu Gibran pernah luahkan perasaan terhadap kau,” jawab Sophia selamba, kemudian tertawa kecil. Geli hati melihat wajah terkejut Az-Zahra.
Az-Zahra menggigit bibir bawahnya, menahan perasaan malu bercampur geram. Ini mesti sebab Gibran cerita semua dekat Luke. Az-Zahra tahu Gibran dan Luke sering bertukar-tukar cerita. Luke pula cerita semula dekat Sophia. Lelaki kalau bergosip, mengalahkan perempuan. Mesti selama ini dia jadi bahan cerita antara Gibran dan Luke. Ergh, bencinya!
“Aku minta maaf sebab tak beritahu kau,” ucap Az-Zahra dengan nada suara yang hampir bergetar. Perasaan serba-salah hadir mencengkam jiwa, umpama duri yang tidak mampu dicabut.
“It’s okay. Tak perlu pun nak minta maaf. Aku tahu kau mesti ada sebab kenapa tak ceritakan perkara tu dekat aku,” kata Sophia lembut.
Az-Zahra cuba untuk tersenyum, tetapi senyuman itu pahit, terlalu sarat dengan beban yang menyesakkan dada
“Zahra, aku tahu kau seorang yang kuat. Allah sayang kau sangat-sangat sebab itulah Allah hantarkan dugaan seberat ini dalam hidup kau. Allah rindu nak dengar rintihan hamba-Nya. Kembali kepada Allah, Zahra. Luahkan segala perasaan terhadap-Nya. Allah sentiasa ada bersama dengan kita, cuma kita saja yang sering alpa. Allah tak pernah lupakan kita tapi kita yang selalu lalai daripada mengingati Allah,” nasihat Sophia dengan penuh kelembutan.
Kata-kata itu bagai hujan yang membasahi tanah gersang, menjentik ketenangan dalam hati Az-Zahra yang sedang bergelora.
“Sophia, boleh tak kau jangan sebut nama Gibran lagi depan aku,” pinta Az-Zahra dengan penuh berharap agar Sophia mengikut kehendaknya kali ini.
Sophia seakan-akan tersentak mendengar permintaan sahabatnya. Wajah pucat Az-Zahra dipandang lama.
“Tolong jangan sebut nama dia lagi. Aku tak nak dengar apa-apa cerita tentang dia dan aku juga tak nak ambil tahu tentang hidup dia lagi selepas ni. Dia dah nak kahwin dan aku tak nak terlibat lagi dalam hidup dia. Aku tak nak jadi orang ketiga dalam hubungan dia dan juga dengan kekasih hati dia,” ujar Az-Zahra tegas.
“Tapi, Gibran dan El sebenarnya...”
“Tolong, Sophia. Aku merayu sangat sebab aku nak belajar untuk lepaskan dia. Aku nak lupakan dia.” Az-Zahra mencantas laju tanpa sempat Sophia menghabiskan ayatnya.
Anak mata Az-Zahra memancarkan sebuah harapan yang tulus, membuatkan Sophia tidak sampai hati untuk menolaknya. Tatapan Az-Zahra yang penuh pengharapan menyentuh hati kecil Sophia. Dia tidak sanggup untuk mengecewakan gadis itu. Perlahan-lahan, Sophia mengangguk, bersetuju dengan permintaan Az-Zahra.
Melihat anggukan itu, senyuman lebar terukir di bibir Az-Zahra. Rasa syukur dan lega bercampur di hatinya.
“Terima kasih sebab faham keadaan aku,” ucap Az-Zahra penuh rasa terharu. Az-Zahra menarik Sophia dalam dakapannya.
Sophia membalas pelukan Az-Zahra dengan erat. Wajahnya penuh tekad. Asalkan Az-Zahra kembali ceria, dia sanggup melakukan apa saja.
♡ ♡ ♡ ♡
“KAU dah okey?”
Az-Zahra mengangkat wajah untuk memandang Faqih yang sedang duduk di hadapannya. Wajah kacak itu jelas memancarkan keprihatinan.
Az-Zahra senyum kecil.
Selain Sophia, Faqih juga sering bertanyakan khabar tentang keadaan Az-Zahra. Faqih sentiasa berada di sisi Az-Zahra, membantunya dalam menyelesaikan masalah termasuklah kes kebakaran yang berlaku di Scarlett Florist baru-baru ini.
“Alhamdulillah, okey sikit,” jawab Az-Zahra lembut. Pandangannya kembali tertumpu ke arah pemandangan indah di hadapan mata. Kawasan halaman rumahnya yang dipenuhi pokok-pokok hijau dan bunga-bunga mekar di sekeliling rumah benar-benar menyejukkan hati.
Ini adalah rutin hariannya setiap hari setelah badai melanda hidupnya. Az-Zahra bertekad mahu mengubah cara hidupnya dengan menikmati keindahan alam semula jadi ciptaan Allah. Menatap kehijauan halaman rumah menjadi terapi jiwa yang tidak ternilai. Tiupan angin lembut yang membawa harum bunga-bungaan sudah cukup untuk meredakan kekusutan hati. Hanya dengan cara ini, Az-Zahra mampu mencari dirinya yang sebenar. Tidak perlu mencari tempat jauh untuk ‘healing’, keindahan halaman rumahnya sudah menjadi oasis ketenangan yang sempurna.
Faqih turut tersenyum melihat Az-Zahra yang kembali seperti sediakala. Dia gembira jika gadis itu gembira. Dia mahukan Az-Zahra yang ceria seperti selalu.
“Aku datang sini sebenarnya nak beritahu kau sesuatu,” kata Faqih sambil merenung wajah tenang Az-Zahra.
“Hmm...apa dia?” tanya Az-Zahra tanpa memandang wajah Faqih.
“Sebenarnya, aku dah nak pulang semula ke England,” kata Faqih. Suaranya hampir bergetar, menahan perasaan sedih.
“Ke...kenapa?”
“Ayah aku perlukan aku dekat sana. Aku kena balik ke sana lebih awal jadi aku terpaksa tinggalkan kau dekat sini,” terang Faqih. Hatinya berat mahu berjauhan dengan Az-Zahra sekali lagi.
Az-Zahra senyum nipis.
“Tak apalah kalau macam tu. Dah memang tugas kau sebagai seorang anak, kan? Kau tak payahlah risau pasal aku. Aku boleh jaga diri aku baik-baik.”
Faqih menghela nafas berat.
“Kau jangan kahwin dulu tau. Tunggu aku balik Malaysia.”
“Dah kalau jodoh aku sampai awal, aku jalan dululah,” balas Az-Zahra selamba, lalu ketawa melihat wajah Faqih yang seakan-akan tidak berpuas hati. Dia cuma bergurau, tak sangka sampai begini reaksi Faqih.
“Okey, nanti aku cari jodoh aku dekat England. Mana tahu bakal isteri aku mat salih,” balas Faqih, tidak mahu kalah.
“Amboi, ada niat rupanya nak kahwin dengan perempuan luar negara.”
Faqih tersengih.
“Aku gurau aje. Aku takkan cari perempuan lain sebab hati aku dah terpaut pada seorang perempuan ni.”
“Kau biar betul? Tak cakap pun dengan aku yang kau dah ada buah hati,” kata Az-Zahra, nada suaranya agak tinggi seperti tidak berpuas hati.
“Aku belum luahkan lagi perasaan aku dekat dia. Aku tunggu masa yang sesuai.”
“Eleh, malu-malu pula dia. Semoga berjaya tawan hati dia. Mesti perempuan tu beruntung sangat sebab dapat lelaki macam kau. Kau baik, hensem, suka tolong orang pula tu.” Melambung-lambung pujian yang diberikan Az-Zahra.
Faqih senyum manis. Matanya tidak lepas dari memandang wajah Az-Zahra. Tatapan yang sukar ditafsirkan.
♡ ♡ ♡ ♡
SEBULAN telah berlalu dengan begitu pantas. Az-Zahra akhirnya mampu menerima hakikat bahawa kehidupannya tidak lagi seperti sebelum ini. Dia juga sudah boleh menerima kenyataan Scarlett Florist kini tiada lagi. Walaupun kenyataan itu pahit untuk ditelan tetapi Az-Zahra tetap menguatkan semangat.
Az-Zahra mengunjungi gerai Cik Siti pada petang itu. Setelah sekian lama dia asyik terperap di dalam rumah, hari ini baru dia ada mood mahu berjalan-jalan. Itupun masih di sekitar kawasan tempat tinggalnya. Hanya berjalan kaki saja.
Az-Zahra hanya memesan ais batu campur. Sambil menunggu, dia bermain telefon pintarnya, melihat video-video menarik di Instagram.
“Assalamu’alaikum, boleh saya duduk sekali?” Suara garau seseorang menyapa gegendang telinga Az-Zahra. Lantas gadis itu mengangkat wajah.
Kelihatan Harith sedang berdiri di hadapannya sambil senyum manis.
“Wa’alaikumussalam. Harith, lama tak jumpa awak. Erk, duduklah.”
“Apa khabar?” tanya Harith sekadar berbasa-basi.
“Alhamdulillah, sihat.”
Harith senyum.
“Untung saya jumpa awak dekat sini, bolehlah saya beritahu awak sesuatu.”
“Apa dia?”
Belum sempat Harith ingin bersuara, ais batu campur yang dipesan Az-Zahra tiba di meja mereka. Setelah memastikan kelibat pekerja tadi hilang, barulah Harith bersuara kembali.
“Tak lama lagi saya dah nak pergi.”
“Pergi mana?” Berkerut kening Az-Zahra.
“Saya nak sambung belajar di Jordan.”
Terkunci mulut Az-Zahra mendengarnya. Kenapa tiba-tiba?
“Selepas ini, saya takkan jumpa awak lagi. Dan awak jangan risau, saya takkan masuk meminang awak sebab saya tahu saya bukan pilihan hati awak, Zahra.”
“Ma...macam mana...”
“Saya terdengar perbualan awak dengan ayah awak hari tu. Awak bergaduh dengan ayah awak disebabkan seorang lelaki. Nama dia Gibran, ya? Saya dengar semuanya dan dari situ saya tahu awak tak ada apa-apa perasaan pada saya. Saya saja yang terhegeh-hegeh nak dekat awak.” Harith senyum pahit.
Az-Zahra mengingati kembali kejadian sewaktu dia bertengkar mulut dengan Haji Arsyad. Ketika ayahnya sudah mengetahui tentang Gibran.
“Kenapa awak ada dekat rumah saya waktu tu?”
“Saya nak jumpa dengan ayah awak,” jawabnya.
Az-Zahra mengeluh perlahan.
“Saya minta maaf. Saya tak boleh paksa hati saya untuk suka awak,” jujur Az-Zahra.
“Tak mengapa. Saya doakan awak bahagia. Kebahagiaan awak membuatkan saya juga turut tumpang bahagia,” ucap Harith, ikhlas.
Share this novel