AZ-ZAHRA membuka mata perlahan-lahan biarpun seluruh tubuhnya pada ketika ini sangat lemah. Kepalanya berdenyut-denyut umpama dicucuk-cucuk dengan jarum yang tajam. Sungguh dia tidak ingat apa yang berlaku sebelum dia pengsan. Satu perkara pun tidak melekat pada otaknya. Dia langsung tidak ingat apa yang telah terjadi.
Sebelah tangannya mengurut kepalanya bagi mengurangkan rasa kesakitan tersebut. Dia benar-benar berasa pening yang teramat. Bibirnya mendesis kesakitan.
Dia berada di mana sekarang ini?
Terasa tubuhnya seperti berada di atas sesuatu benda yang sangat empuk seperti tilam. Sangat selesa dan menyenangkan tubuhnya. Dan apabila dia cuba untuk bangun dari pembaringan, benar tekaannya. Dia memang berada di atas sebuah katil besar bersaiz king.
Matanya memerhatikan ke segenap ruangan bilik yang agak luas itu. Perabot-perabot yang terdapat di dalam bilik ini agak teratur susunannya. Kemas dan tidak berselerak. Bilik ini sungguh cantik.
Tetapi, macam mana dia boleh tertidur di atas katil? Siapa yang membawanya ke sini? Dan siapakah orang terakhir yang dia jumpa tadi?
Banyak persoalan yang sedang bermain di fikirannya namun sayangnya satu perkara pun dia langsung tidak ingat. Semakin dia cuba memaksa dirinya untuk mengingati kembali apa yang berlaku sebelum itu, semakin kuat kesakitan yang dirasainya pada bahagian otak.
Perlahan-lahan dia cuba untuk turun daripada atas katil. Kesakitan yang dialaminya masih terasa namun dia gagahkan juga dirinya untuk berdiri tegak. Wanita itu berjalan mendekati pintu bilik lalu tombol pintu dipulasnya namun dia agak terkejut kerana pintu tersebut tidak dapat dibuka. Sepertinya dikunci oleh seseorang dari luar bilik.
Az-Zahra semakin resah dan gelisah kerana dia tidak dapat untuk meloloskan diri dari bilik ini.
Siapakah dalang di sebalik semua ini?
Dia sepertinya sudah hilang akal ketika ini. Dia tidak tahu hendak berbuat apa untuk melepaskan diri daripada terkurung di bilik ini. Kalau adapun tingkap pasti dia sudah melompat keluar melalui tingkap tersebut tetapi bilik ini tidak mempunyai sebarang jalan keluar melainkan hanya pintu itu sahaja.
Sedang Az-Zahra cuba untuk memikirkan jalan penyelesaian tiba-tiba pintu tersebut dibuka oleh seseorang dari luar. Az-Zahra terus menapak ke belakang sebagai langkah berjaga-jaga. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan besar yang akan menimpanya.
Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki tinggi yang sangat dikenalinya melangkah masuk ke dalam bilik. Riak wajah lelaki itu sangat tenang bagaikan tiada apa-apa yang sedang berlaku. Bibirnya melakarkan senyuman sinis tatkala melihat wajah terkejut Az-Zahra.
“K...Kau rupanya...” Az-Zahra menutup mulut kerana terkejut dengan apa yang baru saja dilihatnya. Dia langsung tidak menyangka bahawa lelaki ini ada muslihat yang tersendiri selama ini.
Melihatkan saja wajah lelaki tersebut, terasa longlai seluruh tubuhnya. Kini, baru dia teringat semula apa yang telah berlaku sebelum dia pengsan dan dibawa ke sini. Dia telah berjumpa dengan lelaki ini di taman rekreasi tadi. Berborak bersama-sama. Dan tiba-tiba suaminya menelefonnya dan meminta dirinya untuk pulang kerana ada sesuatu yang ingin diberitahu. Malangnya, dia tidak sempat untuk pulang ke rumah kerana kepalanya sudah dipukul oleh objek yang keras dan akhirnya dia pengsan.
Perasaannya bercampur-baur saat ini. Dia berasa kesal dan kecewa apabila mengetahui bahawa orang yang sangat dipercayainya selama ini merupakan musuh dalam selimut. Dia dikaburi dengan kebaikan yang diberikan oleh lelaki itu selama ini menyebabkan dia terlepas pandang siapa yang telah menjadi punca rumah tangganya hampir hancur.
“Surprise, darling.” Lelaki itu cuba untuk menyentuh pipi mulus Az-Zahra namun pantas sahaja wanita itu menepis tangan lelaki tersebut. Air matanya mula bertakung. Dia benar-benar berasa kecewa kerana dikhianati oleh seseorang yang sudah dianggap sahabat olehnya.
“K...Kenapa kau buat semua ni?” Az-Zahra menyoalnya. Tangannya mencengkam kuat baju kurung moden yang sedang dipakainya. Dia sedang cuba untuk mengawal emosinya sekarang ini.
Lelaki itu hanya ketawa sinis. Tangannya meraup rambut hitamnya ke belakang. Dia berjalan mendekati Az-Zahra menjadikan jarak di antara mereka hanya sejengkal.
“Kau tanya aku kenapa aku buat semua ni? Soalan apa yang kau tanya ni, Zahra? Aku buat semua ni sebab aku cintakan kau. Aku sayangkan kau sangat-sangat tapi kau pula boleh-boleh kahwin dengan lelaki lain! Aku pendam perasaan cinta dan sayang aku sebab aku nak luahkan perasaan aku bila dah tiba masanya nanti. Aku nak melamar kau sebagai isteri aku tapi belum sempat aku nak luahkan perasaan aku, jantan kafir tu pula tiba-tiba muncul dan rampas kau daripada aku!” Lelaki itu mula memberontak. Tajam anak matanya menikam dalam wajah Az-Zahra.
“Stop it! Dia lelaki Muslim. Dia dah masuk Islam. Lelaki yang kau hina tu suami aku yang sah! Kau jangan sesuka hati nak menghina dia!” Az-Zahra juga tidak mahu kalah. Dia membalas semula kata-kata lelaki itu. Terasa darahnya menggelegak tatkala suaminya dihina oleh manusia yang tidak berperikemanusiaan. Dia paling pantang jika ada orang lain berani menghina atau berkata buruk tentang suaminya.
Bibir lelaki itu mengukirkan senyuman. Lebih kepada senyuman mengejek. Wajah wanita di hadapannya dipandang dengan perasaan bercampur-baur.
“Kau tak payah nak bela dia sangatlah, Zahra. Jantan tak guna tu bukannya ikhlas pun berkahwin dengan kau. Dia cuma nak pergunakan kau untuk merosakkan akhlak dan akidah kau. Dia nak kau terjatuh dalam lembah kemaksiatan. Dia nak hancurkan kehidupan kau. Sebab itu dia berusaha untuk buat kau jatuh cinta pada dia dan akhirnya berkahwin. Bila kau dah mabuk cinta dengan dia, kehidupan kau akan musnah. Rancangan dia akan menjadi lebih mudah. Dan dia juga akan buatkan kau tinggalkan agama sebenar kau.”
“Bohong!” Az-Zahra menjerit kuat dan menyebabkan perutnya tiba-tiba terasa sakit. Lantas tangannya memegang bahagian perutnya itu lalu diusap lembut. Dahinya berkerut menahan kesakitan.
Dia baru tersedar sesuatu.
Dia sedang mengandung. Uterus di dalam tubuhnya sedang membawa zuriatnya bersama dengan suaminya. Hasil perkahwinan mereka berdua. Macam mana dia boleh lupa akan hal itu?
“Oh, lupa. Kau mengandung, kan? Aku tak sempat nak sentuh kau tapi suami kau yang tak guna tu dah sentuh kau dulu. Suami kau memang jahanam. Sepatutnya aku bunuh dia dulu! Dia tak layak untuk hidup di muka bumi ni dan dia juga tak layak untuk menjadi suami kau!” jerkahnya. Matanya merenung tajam wajah Az-Zahra.
Az-Zahra pula tersentak mendengar kata-kata yang keluar dari mulut lelaki yang sedang berdiri di hadapannya ini. Dia tidak menyangka bahawa ini perangai sebenarnya. Perangai yang selama ini disembunyikan. Siapa sangka lelaki ini telah berjaya mengaburi semua mata manusia termasuk dengan dirinya sendiri dengan mempergunakan agama semata-mata ingin dianggap alim oleh masyarakat di sekeliling supaya dapat menutup kejahatannya. Perbuatannya itu memang munafik. Manusia sebegini yang telah merosakkan kesucian agama Islam.
Az-Zahra menggeleng kepala perlahan.
“Aku tak sangka kau boleh berubah sampai macam ni sekali. Aku hanya anggap kau sebagai seorang sahabat. Sahabat dunia dan akhirat. Aku ingatkan kaulah sahabat terbaik aku yang ikhlas bersahabat dengan aku tapi nampaknya aku silap. Kau ialah seseorang yang ingin musnahkan kebahagiaan aku. Aku paling tak sangka rupa-rupanya kaulah yang selama ini cuba untuk menghancurkan rumah tangga aku! Orang yang cuba hancurkan kehidupan aku tu memang dah ada depan mata aku selama ni tapi aku je yang butakan mata aku untuk tak nampak semua kesalahan kau! Sebab apa? Sebab aku fikir kau takkan sesekali mengkhianati aku sebab kau sahabat aku. Tapi aku tak sangka orang yang paling aku percaya akan tikam belakang aku. Aku kecewa sangat. Aku kecewa dengan sikap kau,” ujar Az-Zahra bersama perasaan yang bercampur-baur. Fikirannya bercelaru ketika ini.
“Ini semua salah suami kau yang tak guna tu! Disebabkan dia, aku jadi macam ni! Semenjak dia hadir, kau semakin banyak berubah! Kau lupakan aku! Kau lebihkan dia! Aku paling tak puas hati bila kau orang berdua dah jatuh cinta antara satu sama lain. Aku tak suka dia sebab dia dah rampas hak aku! Kau tu hak aku, Zahra! Jantan tu sepatutnya pergi mampus!” Lelaki itu menjerit kuat persis seseorang yang sakit mental. Barangan yang terdapat di atas meja kecil diambil lalu dibaling ke atas lantai sehingga menghasilkan bunyi yang sungguh kuat.
Tanpa diduga, dia mencengkam kuat lengan Az-Zahra. Wanita itu tersentak dengan tindakannya. Dia cuba untuk menarik semula lengannya namun lelaki itu semakin menguatkan cengkamannya sehingga berkerut wajah Az-Zahra menahan kesakitan.
“Sa...Sakitlah. Tolong lepaskan...” Az-Zahra mengadu kesakitan. Dia dapat rasakan lelaki ini semakin menguatkan cengkaman pada bahagian lengannya. Semakin bertambah kesakitan yang dia rasakan saat ini. Pasti cengkaman lelaki itu akan meninggalkan kesan lebam pada lengannya.
“Sakit? Hati aku lagi sakit bila tengok kau dengan dia bahagia! Hati aku terseksa bila melihat kau berkahwin dengan lelaki lain, Zahra! Aku tak sanggup nak lepaskan kau! Aku bersumpah yang aku akan bunuh dia!” tengkingnya kasar. Tidak cukup dengan itu rahang Az-Zahra juga dicengkam kasar menyebabkan wanita itu terpaksa mendongak ke atas.
“Kau nak tahu satu rahsia tak yang selama ini aku sembunyikan daripada pengetahuan orang ramai? Rahsia yang tiada sesiapa pun tahu kecuali aku. Kau mesti nak tahu, kan? Betul, kan? Kau nak tahu? Kau cakap dengan aku! Kau nak tahu ke tidak?!” jeritnya di hadapan wajah Az-Zahra. Cengkamannya dikuatkan pada rahang wanita itu.
Air mata yang bertakung pada tubir matanya akhirnya jatuh membasahi pipinya yang mulus itu. Dia sudah tidak dapat menahan kesakitan yang dirasainya sekarang ini. Sakit pada lengannya masih belum hilang kini ditambah pula sakit pada rahangnya. Hanya Allah saja yang tahu betapa terseksanya dirinya sekarang ini.
“To...Tolong. Le...lepaskan aku,” rayu Az-Zahra dengan lemah. Dia bimbang sekiranya lelaki ini akan bertindak lebih agresif. Dia risau jika kandungannya diapa-apakan.
Lelaki itu ketawa kuat tatkala melihat wajah pucat wanita itu. Hatinya berasa sungguh puas melihat Az-Zahra yang berada dalam ketakutan itu.
“Aku takkan sesekali lepaskan kau buat kali kedua. Aku tak akan lepaskan kau untuk balik pada jantan tu semula. Sebab aku nak tengok dia jatuh di hadapan aku. Aku nak dia melutut depan aku! Aku bukan saja nak hancurkan rumah tangga kau orang berdua tapi matlamat sebenar aku adalah untuk hancurkan kehidupan dia. Aku nak tengok dia hancur. Aku tak nak dia bahagia,” ujarnya lagi. Bibirnya mengukir senyuman sinis.
Az-Zahra hanya mampu mendiamkan diri. Cengkaman lelaki itu pada rahangnya telah membataskan dirinya untuk bersuara.
“Tujuan aku cuma satu, Zahra. Aku nak hancurkan kebahagiaan dia. Bermacam-macam cara aku dah buat tapi satu pun tak berjaya. Setiap kali dia jatuh pasti dia akan bangkit semula. Sebab apa? Semuanya berpunca daripada kau. Kau kuatkan semangat dia untuk kembali bangkit. Kau sentiasa ada di sampingnya dan salurkan kekuatan kepada dia. Dari situ aku boleh nampak yang kau satu-satunya punca kekuatan dia untuk kembali berdiri. Tapi, kau juga satu-satunya kelemahan buat dia,” bicaranya panjang lebar.
“Jadi, hanya ada satu cara saja yang aku boleh buat untuk tengok dia sengsara.” Senyuman sinis terukir di bibir lelaki itu. Di sebalik senyuman itu pasti ada maksud tersirat.
Az-Zahra semakin gelisah melihat senyuman jahat lelaki itu. Dia sepertinya sudah dapat mengagak apa yang ingin dilakukan oleh lelaki itu.
“Aku akan hapuskan kau dan anak kau orang berdua dari muka bumi ni.” Seraya dia berkata, lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari belakang poket seluarnya.
“Ada kata-kata terakhir untuk suami kesayangan kau. Biar aku yang akan sampaikan kepada dia sekali dengan mayat kau nanti,” ujarnya sinis. Pisau lipat itu didekatkan pada leher Az-Zahra yang ditutupi dengan tudung.
Az-Zahra tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Lelaki ini telah membataskan segala pergerakannya. Dia tiada kudrat untuk melawan kekuatan lelaki ini. Melihatkan ketajaman pada hujung pisau tersebut mampu membuatkan dia menelan air liur berliter-liter. Terasa berpeluh dahinya saat ini.
Apa yang dia boleh lakukan sekarang ini hanyalah berdoa. Berdoa semoga Allah SWT akan melindungi dia dan bayi dalam kandungannya ini. Dia juga berharap agar suaminya akan datang untuk menyelamatkannya secepat yang mungkin.
‘Abang, I need you right now, ’ getusnya di dalam hati.
Bismillahirrahmanirrahim, This is my first novel in NovelPlus. Enjoy reading.
Share this novel