“LET’S not meet again,” ujar Gibran, serius bunyinya.
Serta-merta, Az-Zahra mengangkat wajahnya. Mata bundarnya yang bercahaya kini sudah dibasahi dengan titisan mutiara jernih yang mengalir deras, membawa bersama beban yang sarat di hatinya.
“Ap...apa maksud...aw...awak?” soal Az-Zahra, meminta Gibran mengulangi semula ayatnya. Mana tahu dia tersalah dengar.
Gibran menghela nafas panjang.
“Let’s not meet again, and may we live our lives as if we never existed in each other’s world. Anggap saja kita tak pernah kenal sebelum ini. Aku dengan hidup aku dan kau dengan hidup kau,” ujar Gibran, bertekad.
Az-Zahra cuba untuk menghadam kata-kata Gibran. Hatinya terlalu sakit untuk menerima semua ini. Lama dia merenung wajah kacak itu. Berharap agar Gibran hanya bergurau dengannya.
Tapi, pernahkah Gibran bergurau dengan kata-katanya?
“Kenapa? Kenapa bila saya mula mencintai awak, awak memilih untuk pergi dari hidup saya? Apa tujuan awak hadir dalam hidup saya, kalau hanya untuk tinggalkan luka yang mendalam? Kenapa?!” hambur Az-Zahra. Matanya yang bundar kini memerah, jelas tanda hati yang terluka dan air mata yang tidak berhenti mengalir.
“Apa yang awak pernah cakap pada saya selama ini, semuanya hanya sekadar kata-kata tanpa makna? Awak kata awak ada perasaan pada saya. Awak janji nak lindungi saya. Jadi semua itu hanya dusta semata-mata?” soal Az-Zahra dengan nada yang bergetar, memerlukan jawapan yang pasti daripada Gibran.
Jika benar semua itu hanya janji-janji kosong, Az-Zahra tahu dia sukar untuk memaafkan lelaki itu. Gibran telah memberikan harapan palsu yang kini hanya menjadi beban di hatinya.
Gibran tetap diam, matanya tak lepas memandang wajah Az-Zahra yang kini basah dengan air mata. Setiap titisan air mata itu menggambarkan kepedihan yang tak terungkapkan. Tangannya digenggam erat, sehingga urat-urat hijau jelas kelihatan, menandakan betapa dia menahan perasaan yang bercampur-baur.
“Jawab saya, Gibran!” Suara Az-Zahra mula meninggi. Gadis itu sudah hilang sabar.
Namun, Gibran masih kekal mengunci mulut.
Terpancar kekecewaan pada wajah jelita itu. Diam Gibran hanya mengukuhkan kebenaran. Jadi, selama ini dia ditipu. Betapa mudahnya dia terjerat dalam kata-kata manis lelaki ini. Betapa bodohnya dia mempercayai segalanya bulat-bulat!
Semakin lama Gibran membisu, semakin membara rasa sakit hati Az-Zahra. Pandangan kosong lelaki itu hanya menambah luka di hatinya. Tiada sepatah kata, tiada usaha untuk memujuknya. Az-Zahra sedar dia telah meletakkan harapan terlalu tinggi pada lelaki yang tak layak memilikinya.
“Awak tahu tak?” Az-Zahra akhirnya bersuara, suaranya penuh dengan kekecewaan dan emosi yang membuak-buak. “Perasaan ni tak sepatutnya wujud dari awal. Kalau masa boleh diputarkan, saya berharap sangat kita tak pernah berkenalan. Kalau saya tahu semua ni akan berlaku, saya takkan temankan Sophia ke hotel hari tu. Dan kita...kita takkan pernah saling mengenali!” Az-Zahra meluahkan segala isi hatinya. Az-Zahra bagaikan tidak sedar apa yang diucapkan kerana terlalu mengikut kehendak emosi.
Gibran mengetap rahang dengan kuat, menahan kesal yang kini menyelubungi jiwa. Halkumnya bergerak, seperti ingin mengucapkan sesuatu, namun kata-kata itu seolah-olah terhenti di hujung lidah. Matanya yang tajam terbias sesuatu. Sesuatu yang sulit diungkapkan, penuh dengan kekeliruan dan penyesalan yang mendalam.
Az-Zahra kemudiannya mengangguk beberapa kali.
“Baik. Kalau itu yang awak mahukan, saya setuju. Mulai hari ini, lelaki bernama Raja Gibran Xavier tidak lagi wujud dalam hidup saya. Dan saya juga takkan mengingati apa-apa tentang awak. Semoga kita takkan pernah bertemu lagi, walau dalam apa keadaan sekali pun,” ujar Az-Zahra dengan nada tegas, matanya tajam menikam wajah Gibran, penuh kebencian yang tak mampu disembunyikan.
“Tolong keluar dari kedai bunga saya sekarang! Dan kalau boleh, lenyap terus dari hidup saya!” bentak Az-Zahra, nadanya keras dan penuh amarah, tanpa ruang untuk belas kasihan.
Az-Zahra memalingkan tubuhnya, membelakangi Gibran. Dia tidak sanggup lagi untuk menatap wajah kacak lelaki itu. Wajah yang pernah menjadi harapan dan kebahagiaannya. Kini, dia harus menerima kenyataan pahit bahawa Gibran akan berkahwin dengan wanita lain. Mungkin, ini pengajaran untuknya agar sedar dia tidak pernah layak untuk lelaki seperti Gibran.
Sebaik sahaja dia mendengar bunyi pintu kedai bunga ditutup, menandakan Gibran telah pergi, air matanya jatuh lebih deras. Tangisannya tidak lagi mampu dibendung, semakin kuat bergema dalam sunyi ruang kedainya yang kini terasa begitu sepi.
Ini kali pertama dia menangis kerana seorang lelaki, dan dia berharap ini juga akan menjadi yang terakhir.
♡ ♡ ♡ ♡
“MI DISPIACE E TI AMO.”
Az-Zahra melihat ada satu susuk ingin mendekatinya. Tangannya dihulurkan kepada Az-Zahra namun gadis itu tiada daya mahu menyambut hulurannya. Matanya yang separuh terbuka tidak dapat mengecam wajah itu dengan lebih jelas. Tetapi, apa yang dia pasti itu adalah susuk seorang lelaki.
Az-Zahra mahu menyambut huluran tangannya tetapi ada sesuatu yang menghalang. Semakin lama, dia semakin jauh daripada lelaki itu. Az-Zahra ingin bersuara namun tidak terkeluar langsung apa yang ingin diucapkan.
Terasa bahunya digerakkan oleh seseorang dengan agak kasar. Az-Zahra mendengar suara lunak itu berkata, “Kak, bangunlah! Tidur mati ke?!”
Serentak dengan itu, matanya terbuka
luas. Lantas Az-Zahra bangun dari pembaringan. Seluruh tubuhnya berpeluh. Dia mimpi rupa-rupanya tapi dia rasa macam benda itu benar-benar berlaku. Az-Zahra menoleh ke sisi dan melihat wajah adik bongsunya yang sedang memandangnya dengan wajah yang begitu cemas.
“Sekarang dah jam berapa?” tanya Az-Zahra, mamai. Dia masih lagi mengantuk. Maklumlah, dia tidur jam 1:00 pagi tadi untuk siapkan kerja.
“Kak, adik ada berita buruk nak beritahu akak.” Lain yang ditanya Az-Zahra, lain pula yang dijawab oleh Zafirah. Wajah itu kelihatan sangat cemas dan seperti hendak menangis.
“Kau kenapa, dik?” tanya Az-Zahra, bingung.
“Kedai bunga kau, kak!”
Meluas mata Az-Zahra merenung wajah adik perempuannya. Jantungnya berdegup laju.
“Ke...kenapa dengan kedai bunga kakak?”
♡ ♡ ♡ ♡
TERGESA-GESA Az-Zahra keluar dari keretanya. Wajah cantik itu kini sudah dibasahi dengan air mata. Berita buruk yang disampaikan oleh adiknya membuatkan jantungnya hampir gugur.
Setibanya di Scarlett Florist, Az-Zahra terduduk lemah, tak mampu menggerakkan tubuhnya. Kedai bunganya yang dulu menjadi kebanggaannya kini tinggal bara, hangus dijilat api. Suasana yang cemas menyelubungi kawasan itu, dengan pihak bomba yang sedang berusaha keras memadamkan api yang semakin marak, sementara pihak polis pula sibuk mengawal orang ramai yang cuba mendekati kawasan larangan. Bunyi siren dan suara orang menjerit hanya menambah tekanan dalam dada Az-Zahra.
“Ya Allah...” Suaranya bergetar, penuh sayu. Melihat kedai bunganya dijilat api di depan mata membuatkan semangatnya runtuh. Segala usaha yang dicurahkan selama ini terasa sia-sia. Impiannya untuk menjadi seorang usahawan terkenal kini perlahan-lahan pudar, ditelan kehitaman asap.
Az-Zahra melangkah ke hadapan, cuba mendekati kedai bunganya yang masih terbakar, namun langkahnya segera dihalang oleh pihak polis.
“Minta maaf, cik. Kami terpaksa menghalang jalan cik kerana kami bimbang keselamatan dan nyawa cik akan terancam,” ujar salah seorang anggota polis yang bertugas di situ dengan nada tegas tetapi penuh hormat.
“Tapi, kedai bunga saya...” Lirih suaranya, berkata. Akhirnya, Az-Zahra terduduk lemah di situ. Hanya melihat kedai bunganya hangus dijilat api. Dia tidak mampu untuk melakukan apa-apa.
“Zahra!” Suara seseorang memanggil namanya, bergema di tengah kekecohan, tetapi Az-Zahra memekakkan telinga. Matanya tetap terpaku pada kedai bunganya, yang kini hampir menjadi abu.
Az-Zahra tidak mampu berfikir dengan waras saat ini. Fikirannya dipenuhi dengan pelbagai persoalan. Apa yang akan terjadi masa depannya? Bagaimana dia mahu meneruskan hidup tanpa sumber pendapatan? Jualan bunga ini adalah satu-satunya sumber rezeki yang membolehkannya berdikari, tanpa perlu bergantung kepada sesiapa, termasuk keluarganya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa.
Az-Zahra ingin meringankan beban ayahnya yang semakin dimamah usia, membantu mencari rezeki demi keluarga. Namun, mengapa saat dia hampir mencapai puncak kejayaan, ujian seberat ini menimpanya? Memikirkan tentang perkara itu, air matanya semakin mengalir laju.
“Zahra, jangan sedih, okey? Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.” Suara lembut itu menyapa telinganya Az-Zahra. Sophia yang tiba-tiba saja muncul segera menghampirinya lalu merangkul tubuh sahabatnya yang kian rapuh.
“Kedai aku, Sophia...” Az-Zahra menangis semahu-mahunya di bahu gadis itu.
Sophia datang ditemani Luke. Lelaki itu turut bersimpati dengan apa yang menimpa Az-Zahra. Satu persatu dugaan datang menguji Az-Zahra, seolah-olah tidak memberi ruang untuk dia menarik nafas. Luke tahu segalanya. Dia juga tahu apa yang telah terjadi pada hubungan Gibran dan Az-Zahra.
“Zahra!” Sekali lagi Az-Zahra mendengar namanya disebut oleh seseorang. Kali ini, suara seorang lelaki. Dengan tubuh yang lemah, Az-Zahra menoleh ke arah punca suara yang memanggil namanya.
Faqih.
Entah dari mana lelaki itu datang, tiba-tiba saja muncul dan berdiri di hadapan Az-Zahra. Lelaki itu duduk melutut di hadapan Az-Zahra lalu menarik bahu gadis tersebut agar menghadapnya. Faqih mencekup pipi Az-Zahra lalu dengan perlahan dia menyeka air mata yang jatuh pada pipi mulus itu.
Sophia tersentak melihat kelakuan Faqih, matanya terbeliak seketika. Dia tahu Faqih dan Az-Zahra sudah lama bersahabat, namun walaupun mereka sahabat, tetap ada batas yang perlu dihormati. Perasaan cemas dan curiga mula menghantui fikirannya.
“Sabar, Zahra. Aku tahu kau kuat. Kau kena tabah hadap semua ni.” Faqih memberikan kata-kata semangat.
“Aku...aku...tak...tak kuat, Faqih. Ke...kedai...bunga...a...aku...” Tersekat-sekat suara Az-Zahra, ingin menuturkan ayat tersebut.
“Kau jangan risau, Zahra. Aku akan cari siapa pelakunya. Aku akan cari punca di sebalik semua ni,” ujar Faqih dengan wajah serius. Anak matanya menjanjikan bahawa dia akan berusaha mencari siapa dalang sebenar di sebalik kejadian ini. Dia bertekad mahu membantu Az-Zahra.
♡ ♡ ♡ ♡
APABILA keadaan kembali tenang, mereka bercadang untuk berbincang di rumah Az-Zahra. Waktu kini menunjukkan jam 8:20 pagi. Masing-masing letih dan tidak mendapat tidur yang secukupnya kerana membantu Az-Zahra menyelesaikan kes kebakaran di Scarlett Florist.
Faqih yang paling bersemangat mencari pelaku sebenar. Kesungguhan Faqih membuatkan Az-Zahra berasa terharu. Tetapi tidak pada mata Luke. Sedari tadi, Luke hanya merenung tajam wajah Faqih dengan penuh curiga. Bukan dia tidak mahu tolong, tetapi dia mahu lihat sejauh manakah usaha Faqih mahu membantu Az-Zahra.
Az-Zahra melabuhkan punggung di atas sofa, wajahnya kelihatan sugul. Faqih tiba-tiba berdiri di hadapannya sambil memegang tablet, wajahnya sungguh serius.
“Zahra, kau kena tengok ni,” ujar Faqih, suaranya tenang tapi tegas. Dia menekan skrin tablet itu beberapa kali, membuka fail rakaman CCTV.
Rakaman itu dimulakan dengan pandangan luar kedai Az-Zahra. Waktu di skrin menunjukkan jam 2:00 pagi. Lampu jalan agak suram dan menyeramkan, hanya diterangi oleh biasan lampu kereta yang sesekali melintas.
“Cuba perhatikan ni,” Faqih menunjuk ke bahagian bawah skrin. Seorang lelaki bertubuh sederhana, mengenakan hoodie hitam, muncul dalam rakaman. Mukanya terlindung bayangan.
Mereka semua menyaksikan rakaman tersebut dengan khusyuk.
“Itu...” Az-Zahra menelan air liurnya. Wajahnya tegang.
Faqih menekan butang ‘pause.’ Dia menunjuk ke arah tangan lelaki itu, yang jelas memegang botol kecil.
“Itu botol petrol,” jelas Faqih. “Dan ini…” Dia menyambung rakaman. Lelaki itu menyimbah cecair petrol ke bahagian hadapan kedai. Dalam beberapa saat, api menjulang.
Az-Zahra menggenggam tepi sofa. “Tapi…tapi kenapa...”
“Aku tahu kau susah nak percaya. Tapi kau kena tengok ni pula.” Faqih mengalihkan rakaman ke sudut lain, kali ini dari bahagian belakang kedai bunga. Lelaki yang sama keluar melalui lorong belakang, tetapi kali ini dia membuka hoodie seketika dan memperlihatkan wajahnya yang serupa Gibran.
Az-Zahra terdiam. Tangannya menggeletar.
“Itu...Gibran. Tak, mustahil Gibran buat semua ni. Mesti ini salah faham.”
Faqih menghela nafas panjang. “Aku pun harap ini semua salah faham. Tapi bukti dah ada di depan mata, Zahra. Terbukti Gibran yang melakukan semua kerja terkutuk tu.”
Az-Zahra menggeleng kepala. Sukar untuk dia mempercayainya. Tak mungkin Gibran sanggup melakukan semua itu.
“Aku tak suka kau fitnah sahabat aku sesuka hati, Faqih!” Luke bersuara tegas setelah lama dia berdiam diri.
“Aku tak fitnah tapi bukti dah menunjukkan semua. Memang jantan tu yang bakar kedai bunga Zahra!” Faqih membalas, kasar.
Wajah lesu Az-Zahra ditatap dengan penuh sayu. Lelaki itu melutut di hadapan Az-Zahra.
“Zahra, percaya cakap aku. Gibran bukan lelaki yang baik. Bukti dah ada depan mata, memang jelas dia yang bakar kedai bunga kau!”
Az-Zahra hanya mampu mengalirkan air mata. Dia tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Sophia di sebelahnya cuba untuk menenangkan Az-Zahra.
“Something doesn’t seem right,” gumam Luke, perlahan. Tajam renungannya pada wajah Faqih.
Share this novel