12 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

AZ-ZAHRA baru sahaja tiba di hadapan Scarlett Florist lalu kelihatan susuk tubuh tinggi Gibran yang sedang bersandar pada pintu kaca sambil menyilangkan tangannya ke dada. Gaya seolah-olah sedang menanti kehadiran seseorang.

Az-Zahra menghampirinya sambil mengukir senyuman manis.

“Hai, awak!” Ceria sungguh suara Az-Zahra pada pagi itu. Dia mengangkat tangan sebagai tanda menyapa.

“Hmm,” balasnya bersahaja bersama riak wajah yang kosong.

“Awal awak datang kerja hari ni. Tak sabar nak bekerja dekat kedai bunga saya ke?” duga Az-Zahra sambil tersenyum senget. Dia mengerling sekilas ke arah Gibran yang berwajah dingin seperti selalu.

“Kau juga yang pesan untuk datang awal, kan?” Gibran berkata sambil mengingatkan gadis itu tentang pesanannya kelmarin. Dia berganjak ke tepi untuk memberi ruang kepada Az-Zahra agar dapat membuka kunci pintu kedai bunga itu.

Az-Zahra tersengih. Tak sangka lelaki ini akan mengingati pesanannya.

Setelah pintu kaca itu dibuka, Az-Zahra melangkah masuk ke dalam kedai bunga diikuti oleh Gibran dari belakang. Az-Zahra sengaja membiarkan pintu kaca itu terbuka luas supaya tidak menimbulkan fitnah mengenai dirinya mahupun Gibran. Di dalam kedai bunga ini dia bersama dengan seorang lelaki ajnabi jadi dia tidak mahu timbul spekulasi negatif yang tidak diingini. Biarpun kedai bunganya terletak di tengah-tengah bandar dan ramai orang yang lalu-lalang melewati di hadapan kedai bunganya, Az-Zahra tetap mengambil langkah berjaga-jaga sebelum perkara buruk akan berlaku.

“Kau dah sarapan pagi ke?” Soalan mengejut daripada Gibran. Tiba-tiba sahaja lelaki itu muncul di hadapannya sambil merenungnya dengan wajahnya yang sentiasa beku. Di tangannya terdapat satu bungkusan roti Gardenia perisa coklat. Roti kegemarannya.

“Dah, saya dah sarapan dekat rumah pagi tadi,” jawab Az-Zahra sambil meletakkan beg tangannya di atas meja kaunter.

“Aku baru je berniat nak bagi roti Gardenia ni dekat kau tapi memandangkan kau dah makan mesti kau tak nak terima, kan?” kata Gibran perlahan. Riak wajahnya juga tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Sukar untuk meneka perasaannya.

“Eh, tak apalah. Kalau awak nak bagi saya bagi jelah. Saya akan terima,” ujar Az-Zahra sambil menguntum senyum manis. Roti kegemarannya mestilah dia akan ambil.

Gibran mengangguk seraya menghulurkan roti tersebut kepada Az-Zahra yang sudah tersenyum lebar. Setelah mengucapkan terima kasih, Az-Zahra tanpa segan-silu terus menyumbat roti tersebut ke dalam mulutnya lalu dikunyah dengan penuh kenikmatan. Sedapnya. Tidak dihiraukan langsung mulutnya yang sudah penuh dengan roti. Hilang sudah keayuannya sebagai seorang gadis.

Gibran diam memerhatikan tingkah laku Az-Zahra dengan tatapan kosongnya. Serupa orang yang dah tak makan setahun. Kuat betul gadis ini makan. Tadi kata dah makan dekat rumah.

“Memandangkan hari ini adalah hari pertama awak bekerja, saya nak awak jaga kaunter dan siapkan pesanan pelanggan yang menempah bunga. Saya nak susun bunga dekat bahagian rak,” ujar Az-Zahra sebelum meneguk air putih di dalam botol mineral. Sengaja dia menyuruh lelaki itu menjaga bahagian depan untuk melihat bagaimana dia melayan seorang pelanggan.

Gibran hanya mengangguk setuju tanpa sebarang bantahan.

Ketika dia memegang jawatan sebagai seorang ketua, dia yang memberikan arahan kepada pekerja bawahannya untuk menjalankan tugas tetapi sekarang ketika dia meninggalkan semua jawatan tertinggi itu, dia pula yang diarah oleh seorang perempuan untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Benarlah kehidupan itu umpama roda yang sentiasa berputar. Ada masanya kita berada di atas dan ada masanya kita berada di bawah. Tidak selama-lamanya kita akan kekal berada di paling atas.

“Oh, aku lupa nak tanya. Aku patut panggil kau apa, ya?” Pertanyaan Gibran membuatkan Az-Zahra sedikit tercengang.

“Awak tak ingat nama saya ke? Bukannya Sophia ada perkenalkan nama saya dekat awak ke masa dekat hotel minggu lepas?” soal Az-Zahra. Takkanlah Gibran lupa namanya sedangkan dia ingat akan nama lelaki itu.

Gibran menaikkan kedua-dua belah bahunya sambil menyilangkan tangannya.

“Aku tak ingat apa nama kau.” Selamba sahaja Gibran menjawab tanpa riak.

“Sampai hati awak, Gibran. Saya ingat nama awak tapi awak pula tak ingat nama saya,” katanya tidak berpuas hati. Bibirnya dijuihkan ke hadapan.

“Kau ingat kau tu siapa sampai aku nak kena ingat nama penuh kau? Kau bukannya orang terpenting dalam hidup aku sampai aku nak kena ingat semua tentang kau. Kau tu cuma orang asing yang tak sengaja hadir dalam hidup aku,” ujar Gibran agak kasar.

Mendengarkan pengakuan daripada Gibran membuatkan hati Az-Zahra sedikit terasa. Terlampau jujur sehingga hatinya terluka. Entah kenapa dia rasa sedikit kecewa sedangkan apa yang dikatakan oleh Gibran sangatlah benar. Dia cuma orang asing sahaja.

Az-Zahra cuba menutup kekecewaannya dengan menguntum senyuman manis biarpun senyuman itu jelas kelihatan tidak ikhlas.

“Awak boleh panggil saya Zahra saja,” ujarnya dengan nada suara yang agak perlahan. Wajah Gibran langsung tidak dipandang.

“Aku nak tahu nama penuh kau,”

Hampir sahaja Az-Zahra ingin menjulingkan mata ke atas namun tindakannya sempat ditahan apabila perasan renungan tajam Gibran.

“Az-Zahra Al-Mahyra,” jawab Az-Zahra dengan wajah malasnya. Beritahu nama penuh pun bukannya lelaki ini akan ingat. Dia seorang saja yang beria-ia ingat nama penuh Gibran sedangkan lelaki itu tidak pernah ambil kisah pun tentang namanya. Mungkin sebab itulah Gibran memanggilnya pendek ketika di pasar raya tempoh hari sebab Gibran tak ingat namanya langsung.

“Hmm, aku panggil kau Mahyra,” putus Gibran.

“Panggil saya Zahra jelah. Jarang orang panggil saya dengan nama Mahyra. Jangan nak mengada sangat panggil saya Mahyra. Awak ingat awak akan jadi orang yang paling istimewa dalam hidup saya kalau awak panggil saya macam tu? Huh, lambert lagi!” ujar Az-Zahra dingin. Kedengaran agak tinggi suaranya berkata.

Dia sengaja menjegilkan mata ke arah Gibran.

“Aku tak cakap pun yang aku nak jadi orang istimewa dalam hidup kau kalau aku panggil kau dengan nama panggilan macam tu. Suka hati akulah nak panggil kau apa. Mulut aku bukannya mulut kau. Kalau aku panggil kau dengan nama panggilan yang menyakitkan hati nanti kau nangis pula.” Sinis Gibran membalas.

Az-Zahra menjeling tajam.

“Suka hati awaklah!” Az-Zahra mengalah. Dia malas hendak berperang mulut dengan Gibran lagi dan terus meninggalkan lelaki itu dan memulakan kerjanya.

Pada pagi itu, mereka berdua melakukan kerja masing-masing tanpa bersuara langsung. Gibran menjalankan tugasnya dengan sangat baik sebagaimana yang dimahukan oleh Az-Zahra. Gibran memberikan layanan yang baik kepada pelanggan-pelanggan yang datang berkunjung ke Scarlett Florist.

Sesekali Az-Zahra melirikkan anak mata ke arah lelaki itu.

Dia sangat berpuas hati dengan cara Gibran bekerja tetapi ada sesuatu yang kurang. Setiap kali pelanggan datang berkunjung ke kedai bunganya, Gibran menyambut kedatangan mereka tanpa senyuman membuatkan Az-Zahra kurang senang dengan sikap lelaki itu.

Bukannya dia dah pesan awal-awal ke untuk senyum jika menyambut kedatangan pelanggan? Takkanlah Gibran boleh lupa pula?

Az-Zahra menahan perasaan geram yang melanda di hati.

Perlahan-lahan dia menghampiri Gibran yang sedang menyiapkan tempahan bunga seorang pelanggan wanita. Setelah selesai sesi pembayaran, pelanggan wanita itu pun mengucapkan terima kasih sambil tersenyum sebelum melangkah keluar dari kedai bunga. Gibran langsung tidak membalas senyumannya malah wajah pelanggan wanita itu juga sedikitpun tidak dipandang.

Az-Zahra menepuk dahinya lembut.

“Gibran,” panggilnya dengan suara yang tertahan.

Lelaki itu mengangkat wajahnya lalu mengangkat sebelah keningnya. Dia memandang tepat wajah Az-Zahra yang seolah-olah tidak berpuas hati. Renungannya juga agak tajam.

“Saya dah pesan dekat awak kelmarin untuk senyum kalau awak layan pelanggan. Jangan asyik nak tayang muka dingin awak yang menyeramkan tu di hadapan pelanggan-pelanggan saya. Nanti mereka lari kalau tengok muka awak yang serupa macam beruk tu. Saya tak kisah kalau awak nak tayang muka beku dan dingin awak tu sepanjang hari kalau di hadapan saya tapi kalau dengan pelanggan-pelanggan saya awak tunjuklah muka yang manis sikit,” bicaranya serius. Wajah Gibran yang langsung tiada perasaan menambahkan kesakitan di hati Az-Zahra. Geram sungguh dia!

“Aku risau anak dara dekat luar sana makin menjadi-jadi nanti,” luah Gibran sambil merenung wajah cantik milik Az-Zahra.

“Huh?” Berkerunyut wajahnya mendengar kata-kata Gibran. Dia tak faham.

“Nanti ramai anak dara yang terjatuh hati dekat aku kalau aku senyum di hadapan dia orang,” kata Gibran sambil tayang muka bangga.

Az-Zahra buat muka toya. Ada juga yang kena sepak nanti.

“Konfiden awak memang setinggi Gunung Everest. Mana awak beli konfiden awak tu? Shopee ke Lazada?Cepat sangat perasan. Bukannya awak seorang saja lelaki kacak yang ada dalam dunia ni. Jadi tak perlu nak mengada sangat,” sindir Az-Zahra dengan riak wajah menyampah.

“Sekurang-kurangnya kau mengaku yang aku termasuk di antara lelaki kacak tu,” balas Gibran semula tidak mahu kalah. Tanpa dia sedari, bibirnya mengukir segaris senyuman sehingga menyerlahkan sepasang lesung pipitnya. Dia menahan senyum lucu melihat reaksi daripada Az-Zahra.

Az-Zahra terpanar melihat senyuman indah yang terukir di bibir merah jambu lelaki itu. Jantungnya pula tiba-tiba saja berdegup semakin laju. Dunianya terasa seperti berhenti berputar. Ini kali pertama dia melihat senyuman manis itu menghiasi wajah Gibran. Senyuman yang tampak begitu ikhlas.

Bagaikan tersedar sesuatu, Az-Zahra kemudiannya berpaling ke belakang dengan membelakangi Gibran. Tangannya dilekapkan pada bahagian dada, jantungnya yang terletak di situ semakin lama semakin laju degupannya bagaikan hendak tercabut. Lantas dia mengangkat kaki dan meninggalkan lelaki itu.

♡ ♡ ♡ ♡

“JADI kau buat keputusan untuk bekerja dekat kedai bunga tu selama sebulan?” Luke bertanya sekadar ingin memastikan. Terkejut juga dia mendengar cerita daripada Gibran sebentar tadi.

Gibran hanya sekadar mengangguk bagi menjawab pertanyaan Luke.

“Kenapa, bro? Kenapa banyak-banyak kerja yang sesuai untuk kau di Malaysia kau pilih juga untuk bekerja di kedai bunga? Kerja macam tu tak sesuai langsung untuk kau,” bantah Luke tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh sahabatnya.

“Aku kerja dekat sana bukannya lama pun. Hanya sebulan.” Gibran membalas sebelum menyuap masuk nasi tomato ke dalam mulutnya.

Mereka sedang makan tengah hari bersama di sebuah restoran memandangkan sekarang adalah waktu rehat. Satu-satunya waktu yang sesuai untuk mereka berjumpa memandangkan Gibran tidak lagi bekerja di syarikat yang sama dengan Luke.

“Aku tak kisahlah berapa bulan pun kau nak kerja dekat sana cuma yang aku tak boleh fikir, kenapa kedai bunga juga yang kau pilih? Sejak bila kau suka bunga? Kenapa tak kerja dekat tempat lain macam di restoran ke? Kau kan ada bakat memasak. Kau boleh jadi tukang masak sementara. Atau kerja di kafe, jadi barista? Atau paling tidak pun kau kerja dekat kedai haiwan? Alang-alang kerja zoo teruslah. Biar kau kena jaga singa betina dekat sana.” Luke memberikan cadangan. Dia kurang setuju jika Gibran bekerja di kedai bunga. Badan sado tapi lebih memilih untuk menggubah bunga. Sangat tidak sesuai untuk seorang lelaki seperti Gibran.

“Aku tak minat,” balas Gibran ringkas.

Luke melepaskan keluhan kecil.

“Aku tak faham langsung dengan perangai kau ni, Gib.” Kepala digelengkan perlahan sambil memusingkan straw di dalam air minumannya.

“Tak payah faham.” Selamba Gibran menjawab. Bibirnya yang comot dilap menggunakan tisu bersih.

Tiba-tiba Gibran mengangkat tinggi tangannya ke udara, memanggil salah seorang pelayan di restoran tersebut. Seorang pelayan lelaki dengan pantas meluru ke arah Gibran bersama sebatang pen dan sehelai kertas sebagai persediaan jika Gibran ingin memesan apa-apa makanan atau minuman lagi.

“Bagi nasi beriani ayam satu. Bungkus tau. Terima kasih,” pesan Gibran sambil melayangkan satu senyuman manis. Pelayan lelaki itu mengangguk faham sebelum berlalu dari situ.

“Weh, kau baru je habis makan dan sekarang kau nak tambah lagi? Perut kau ni perut tong ke apa?” Luke memandang pelik ke arah Gibran yang sedang bermain dengan telefon pintarnya.

“Bukan untuk akulah,” balas Gibran tanpa memandang langsung wajah Luke.

Bertambah hairan Luke mendengar jawapan yang meniti di bibir Gibran. Wajah kacak sahabatnya dipandang lama menanti Gibran menyambung ayatnya semula.

“Tapi untuk seseorang,” beritahunya ringkas. Anak mata masih melekat pada skrin telefon pintar.

Luke tersenyum senget.

“Siapa?” tanya Luke ingin tahu. Keningnya diangkat ke atas berkali-kali bersama senyuman mengusik.

Takkanlah Gibran dah ada buah hati. Bercinta pun tak pernah. Sepanjang perkenalannnya bersama dengan Gibran, Luke tidak pernah melihat sahabatnya keluar berdua-duaan dengan mana-mana perempuan. Dia tidak pernah melihat Gibran bercinta dan obses dengan sesiapa sebaliknya perempuan-perempuan di luar sana yang terhegeh-hegeh untuk mendekatinya. Tetapi Gibran tidak pernah layan seorang pun. Nak kata Gibran ni bernafsu songsang tak juga sebab kalau Gibran sukakan kaum sejenis dah lama Luke jadi mangsanya.

“Aku tanya ni, kau belikan makanan tu untuk siapa?” Luke mengulangi soalannya untuk kali kedua tatkala Gibran tidak memberikan sebarang respon.

“Manusia,” jawab Gibran sepatah. Penuh bersahaja.

Luke mendengus perlahan.Tangannya pula mencengkam kuat rambut hitamnya. Wajah Gibran dijeling sekilas.

Stres betul bila bercakap dengan orang yang jawab sepatah-sepatah ni. Cubalah bagi penerangan sedikit bagi dia faham. Huraikan fakta. Ini tidak, nyatakan fakta saja kemudian biarkan ayat tergantung macam tu. Ini kalau kena suruh buat ayat karangan, paling tidak pun dapat satu markah saja. Markah kesian.

♡ ♡ ♡ ♡

SEBAIK-BAIK sahaja Gibran tiba di hadapan kedai bunga, telinganya cekap sahaja menangkap perbualan seseorang dari dalam kedai bunga itu. Dia melajukan langkahnya sehinggalah melihat Az-Zahra yang sedang bergelak ketawa bersama dengan seorang lelaki yang sedang duduk di hadapan Az-Zahra di bahagian kaunter.

Gibran mengerutkan keningnya.

Dia menghampiri mereka tatkala kehadirannya masih lagi tidak disedari. Dia melemparkan renungan membunuh ke arah Az-Zahra yang sedang ketawa bersama dengan lelaki itu.

Apa yang lawak sangat?

Gibran berdehem kuat lalu menghentikan tawa Az-Zahra dan lelaki tersebut. Serentak mereka berdua menoleh ke arah Gibran yang tegak berdiri bersama wajah yang begitu menakutkan. Sesiapa saja yang melihatnya pasti bergetar lutut.

“Eh, awak bila sampai? Sorry, saya tak perasan pula tadi.” Az-Zahra tersengih menyerlahkan sebaris giginya yang putih.

“Memanglah tak perasan kalau ketawa tak ingat dunia,” getusnya perlahan namun masih jelas kedengaran di telinga Az-Zahra.

Zafran juga turut memandang ke arah lelaki tinggi yang sedang berdiri tegak di situ. Matanya mengecil tatkala melihat wajah kacak lelaki itu seperti pernah dilihat sebelum ini tapi dia lupa di mana. Zafran bangun dari tempat duduknya lalu berjalan ke arah Gibran. Tangan dihulur untuk bersalaman. Bibirnya pula mengukir senyuman manis yang kelihatan sungguh ikhlas.

“Saya Aathif Zafran.” Zafran memperkenalkan dirinya tanpa rasa segan. Dia seorang yang peramah. Semua orang yang baru saja dikenalinya pasti akan dijadikan sebagai kawan.

Gibran menyambut huluran tangan Zafran tanpa bersuara. Dia sengaja mengetatkan genggaman tangan mereka sehingga berkerut wajah Zafran menahan kesakitan. Zafran cuba untuk menarik tangannya semula namun tenaganya tidak mampu untuk melawan tenaga Gibran.

Az-Zahra yang menyedari wajah adik lelakinya bertukar menjadi merah memandang pelik ke arah mereka berdua. Apa pasal lama sangat bersalaman tu?

“Erk, Gibran. Zafran ni adik lelaki saya,” ujar Az-Zahra seraya menghampiri mereka berdua. Dia berdiri di sebelah Zafran.

Mendengarkan kata-kata Az-Zahra, Gibran terus melonggarkan genggamannya pada tangan Zafran sambil memandang wajah Az-Zahra dengan pandangan yang tidak puas hati. Ketika itulah Zafran mengambil peluang untuk menarik tangannya semula. Dia mendesis kesakitan.

“Dia adik kau?” tanya Gibran untuk kepastian.

Az-Zahra mengangguk.

Gibran mengalihkan pandangannya semula ke arah Zafran. Wajah itu ditenungnya bagai hendak tembus ke belakang. Baru dia teringat sesuatu. Wajah Zafran pernah dilihat di hospital tempoh hari ketika dia menemani Az-Zahra pada waktu itu. Patutlah macam pernah nampak.

Perasaan bersalah menyelubungi jiwa lelaki itu tatkala dia tersedar dengan tindakannya yang tidak sengaja menyakitkan tangan Zafran.

“Maaf, aku tak sengaja sakitkan tangan kau. Ada masalah teknikal tadi,” ucap Gibran sambil menggosok belakang tengkuknya.

“Tak apalah. Cuma saya terkejut tadi,” balas Zafran sambil tersenyum biarpun tangannya masih rasa sakit. Hebat betul penangan lelaki itu.

“Zafran nak balik sekarang ke?” soal Az-Zahra apabila melihat Zafran mencapai telefon pintarnya di atas meja kaunter lalu memasukkannya ke dalam poket seluar.

“Ha’ah. Zafran singgah kedai bunga kakak pun sekejap je. Zafran gerak dulu, ya. Assalamu'alaikum.” Zafran mencium tangan Az-Zahra sebagai tanda hormat sebelum dia melangkah keluar dari kedai bunga itu.

Hilang sahaja bayangan Zafran, kini tinggal mereka berdua lagi. Gibran merenung wajah Az-Zahra dengan tatapan tajam.

“Kenapa kau tak cakap awal-awal yang dia tu adik kau?”

“Awak yang tak tanya,”

Gibran mendengus kasar. Sakit pula hatinya mendengar jawapan selamba daripada gadis itu. Nafas ditarik perlahan sebelum dihembus keluar. Cuba untuk menenangkan fikiran.

“Nah!” Plastik lut sinar yang berisi dengan sebungkus makanan dihulurkan kepada Az-Zahra.

“Awak belikan saya makanan?” soal Az-Zahra seraya mengambil plastik tersebut dari tangan lelaki itu. Dia memeriksa sedikit makanan yang dibelikan oleh Gibran. Nasi beriani ayam. Makanan kegemarannya! Macam mana lelaki ini boleh tahu dia suka makan nasi beriani ayam?

“Kau belum makan tengah hari lagi, kan? Jadi alang-alang aku belikanlah sekali,” kata Gibran sambil memandang wajah Az-Zahra yang kelihatan gembira.

“Baik juga awak ni, ya. Pagi tadi awak bagi saya roti Gardenia lepas tu tengah hari pula awak belanja nasi beriani ayam. Saya tak sangka awak ni pemurah orangnya. Baik sungguh hati awak,” puji Az-Zahra ikhlas.

“Jadi kau ingat aku jahatlah selama ni?”

“Mana ada saya fikir macam tu!”

Gibran menjulingkan mata ke atas.

“Yelah tu,” gumamnya perlahan.

“Saya nak makan dekat belakang dulu. Awak boleh tolong jagakan kaunter, kan?”

Gibran mengangguk perlahan.

“Kau pergilah makan. Aku boleh jaga,”

Tersenyum lebar Az-Zahra mendengarnya. Memang dia tahan lapar saja dari tadi. Niatnya baru saja hendak membeli makanan selepas Gibran datang tadi tapi tengok-tengok lelaki itu dengan baik hatinya belikan dia makanan. Murah rezekinya hari ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience