SIAPA sangka dalam tempoh tiga hari sahaja Az-Zahra berjaya menyiapkan gubahan bunga sebanyak 300 tempahan. Tetapi semuanya juga dapat disiapkan dalam tempoh masa yang singkat disebabkan oleh pekerjanya yang banyak membantunya untuk menggubah bunga-bunga tersebut.
Siang malam mereka berdua bertungkus-lumus menyiapkan tempahan bunga sehingga larut malam dan mereka terpaksa bermalam di kedai bagi menghasilkan gubahan bunga yang terbaik. Mereka bersungguh-sungguh menggubahnya dengan cantik supaya dapat memuaskan hati pelanggan dan dapat memikat hati si penerimanya nanti.
Az-Zahra melabuhkan punggung di atas sofa berwarna kelabu. Bibirnya melepaskan keluhan berat namun bibirnya masih lagi mampu melakarkan senyuman manis. Demi menyiapkan tempahannya dia sering tidur lewat dan tidak makan secukupnya. Akibatnya, kesihatannya terganggu dan dia juga sering mengalami sakit kepala atau migrain.
Dia memandang ke arah bakul bunga yang banyak tersusun kemas di hadapannya bersama hati yang gembira. Dia sangat berpuas hati melihat hasil gubahannya bersama pekerjanya. Nampak kemas dan sejuk mata memandang. Jika di matanya saja kelihatan begitu cantik dan indah dia pasti di mata orang lain juga akan sama jika melihat bunga-bunga yang sudah digubah dengan cantik itu. Lagipun, bunga yang digunakannya adalah sejenis bunga segar dan mampu bertahan lama. Memang akan nampak lebih menarik jika dipandang.
Dia merasakan usahanya tidak sia-sia. Walaupun keletihan namun akhirnya dia berjaya juga. Rasanya ini memang pertama kali dia menerima tempahan bunga yang sungguh banyak dan dapat menyiapkannya dalam tempoh masa yang singkat. Memang akan dijadikan pengalaman dalam hidupnya sebagai seorang pengusaha kedai bunga.
Az-Zahra terlalu leka menikmati keindahan bunga-bunga tersebut sehingga dia tidak menyedari pekerjanya yang bernama Qaireen sudah pun melabuhkan punggung di sebelahnya sambil memerhatikannya.
“Jauhnya termenung, Kak Zahra,” tegur Qaireen perlahan seperti sedang berbisik.
Az-Zahra terkejut mendengar suara Qaireen yang tiba-tiba sahaja muncul di sebelahnya. Lantas dia berpaling ke sisi memandang Qaireen yang sedang tersenyum manis.
“Isy, Qaireen ni boleh tak jangan buat saya terkejut macam tu,” ujar Az-Zahra seraya mengusap bahagian dadanya. Dia ingatkan hantu Cina mana yang tegur tadi.
Qaireen tergelak kecil.
“Jauh sangat termenung sampai tak sedar yang saya dah duduk di sebelah Kak Zahra. Kak Zahra tengah fikir apa sebenarnya? Ada masalah ke?” Qaireen memandang ke arah Az-Zahra dengan penuh tanda tanya.
Az-Zahra hanya menggelengkan kepala tanda dia tiada apa-apa masalah. Az-Zahra senyum manis.
“Tak ada apa-apa. Saya cuma gembira sebab kita berjaya siapkan semua tempahan bunga yang banyak ni dalam tempoh yang singkat. Rasa macam...wow, hebatnya kau, Az-Zahra. Tapi, saya tak naklah bersikap ujub pula. Lagipun, saya dapat siapkan semuanya sebab awak yang selalu tolong saya. Tanpa pertolongan awak, saya takkan mampu untuk siapkan semua tempahan ni. Terima kasih Qaireen sebab setia bekerja dengan saya sehingga ke hari ini walaupun kedai ni baru saja beroperasi,” ucap Az-Zahra panjang lebar.
Semakin lebar senyuman Qaireen. Dia mengangguk perlahan.
“No hal lah. Saya kan pekerja Kak Zahra jadi dah memang tanggungjawab saya untuk bantu Kak Zahra menyiapkan semua tempahan,” balas Qaireen pula.
Az-Zahra cuma tersenyum mendengarnya.
“Bila Kak Zahra nak hantar semua bunga ni ke sana?” soal Qaireen. Pandangannya dialihkan ke arah bunga-bunga yang sudah digubah kemas di dalam bakul yang terhias cantik.
“Insya-Allah, sekejap lagi saya gerak ke sana,” balas Az-Zahra seraya bangun dari sofa yang bertekstur lembut itu.
“Sekarang kita kena letakkan semua bakul bunga ni dulu masuk ke dalam kereta saya,” arahnya sebagai seorang ketua.
Qaireen hanya menuruti sahaja arahan Az-Zahra. Dia juga turut membantu gadis tersebut memasukkan semua bakul bunga ke dalam bonet kereta milik Az-Zahra. Tetapi nampaknya tidak semua bakul bunga dapat dimasukkan ke dalam kereta kerana muatannya tidak mencukupi untuk 300 bakul bunga tersebut.
“Alamak, macam tak muat je nak masukkan semuanya ke dalam kereta,” kata Qaireen sedikit gusar. Dia menggaru kepalanya yang dilapisi dengan tudung bawal.
Az-Zahra menggeleng kepala melihat Qaireen pula yang bersikap terlebih gelabah. Rilek sudahlah.
“Memang tak muat pun tapi awak janganlah risau. Setiap masalah pasti akan ada jalan penyelesaiannya. Saya dah telefon kawan saya pagi tadi dan dia cakap akan ada sebuah lori datang ke kedai kita nanti untuk bawa bakul bunga yang masih tinggal. Bakul bunga yang dalam kereta saya ni nanti biar saya saja yang hantar ke sana sebab alang-alang saya nak jumpa kawan saya dekat sana,” ujar Az-Zahra bersama senyuman pendek.
Qaireen mengangguk faham.
“Jadi awak kena jaga kedai sementara saya tiada di sini. Awak tunggu saja di sini sehingga lori tu sampai. Jangan nak berkeliaran pula,” pesan Az-Zahra dengan tegas.
“Baik, bos!” balas Qaireen sambil meletakkan tangannya di dahi sebagai tanda dia akan mendengar pesanan daripada Az-Zahra.
Az-Zahra menggeleng kepala melihat tingkah laku pekerjanya itu namun bibirnya tetap mengukir senyuman manis.
“Bagus, nanti saya akan naikkan gaji awak,” ujar Az-Zahra sambil mengeyit sebelah matanya. Bibirnya mengukir segaris senyuman lebar.
Qaireen hanya tersengih.
Beruntung dia sebab dapat majikan yang baik hati dan cantik.
♡ ♡ ♡ ♡
AZ-ZAHRA memandang bangunan yang tinggi di hadapannya ini dengan mulut yang terbuka luas. Kepalanya didongakkan ke atas untuk melihat tulisan yang terdapat pada bangunan tersebut.
Royal Palace Hotel.
Ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini. Bangunan ini memang sangat tinggi dan sangat luas. Sekuriti di hotel ini juga sangat ketat sehinggakan dua orang lelaki yang berpakaian sut hitam sedang berdiri di bahagian pintu masuk hotel untuk menjaga keselamatan bangunan tinggi tersebut daripada diceroboh masuk sesuka hati.
Az-Zahra menelan air liur yang terasa kesat tatkala memandang wajah dua orang pengawal tersebut yang begitu menyeramkan. Terasa skru lututnya hampir tercabut. Mahu saja dia jatuh melutut sekarang ini gara-gara ketakutan.
Az-Zahra merenung kembali alamat hotel yang tertera di atas kertas bagi memastikan yang dia tidak salah tempat. Setelah berpuas hati dan yakin bahawa dia tidak salah alamat, Az-Zahra pun kemudiannya membuka langkah mendekati pintu masuk bersama beberapa bakul bunga di tangan. Memandangkan tangannya cuma ada dua sahaja jadi dia terpaksa membawa sedikit demi sedikit bakul bunga untuk naik ke tingkat atas.
Dua orang pengawal keselamatan itu terus saja membuka pintu besar itu sebaik sahaja melihat Az-Zahra bagi memberi laluan kepadanya untuk masuk ke dalam. Langsung dia tidak ditanya apa tujuannya untuk menjejakkan kaki ke hotel mewah tersebut. Barangkali mereka tahu yang dia merupakan penghantar bunga yang sudah ditugaskan untuk menghantar bunga ke sini.
Az-Zahra melemparkan senyuman manis kepada dua orang pengawal tersebut sebagai tanda menyapa.
Sebaik sahaja dia masuk ke dalam hotel, sekali lagi dia terpegun melihat keunikan dekorasi hotel tersebut. Hotel ini sungguh mewah dan menakjubkan ditambah pula susun atur perabot juga sangat kemas dan tidak menyesakkan. Az-Zahra memerhatikan semua manusia di dalam hotel ini. Masing-masing sibuk dengan aktiviti mereka sendiri. Sepuluh minit sudah berlalu barulah dia tersedar semula akan tujuan sebenarnya dia menjejakkan kaki ke hotel mewah ini.
Az-Zahra menghampiri sebuah kaunter pertanyaan yang terdapat di situ. Dia melemparkan senyuman manis kepada seorang pekerja wanita yang bertugas menjaga kaunter tersebut.
“Welcome to the Royal Palace Hotel. A hotel that provides the best service to all customer. Yes, can I help you?” bicaranya dengan sungguh ramah. Pekerja wanita itu turut membalas senyuman manis Az-Zahra.
Az-Zahra terkedu beberapa saat sebelum dia cuba untuk berlagak selamba.
“I came here just to send this flowers near the hall...,” Az-Zahra terlupa nama dewan tersebut. Dia mengeluarkan kembali kertas kecil tersebut dari dalam poket seluarnya.
“Aula Orchidaceae Hall,” sambungnya. Hampir terbelit lidahnya mahu menyebut nama dewan tersebut. Siapalah manusia yang bertanggungjawab meletakkan nama dewan itu?
“Oh, I see. Are you a flower delivery person, right?” soalnya menginginkan kepastian.
Az-Zahra hanya sekadar menganggukkan kepalanya.
“What is your full name?” soalnya lagi.
“Az-Zahra Al-Mahyra,” jawabnya bersama senyuman pendek.
Pekerja wanita itu seakan-akan terkedu mendengar nama penuh Az-Zahra. Tidak berkelip matanya memandang ke arah Az-Zahra bersama mulut yang sedikit terbuka. Az-Zahra hanya tersenyum melihat reaksi pekerja wanita tersebut. Dia sudah tahu mengapa reaksinya begitu. Semuanya disebabkan oleh namanya yang dikatakan ramai begitu cantik dan unik.
Selalu sangat menerima pujian sebegitu, Az-Zahra hanya mampu mendiamkan diri dan cuma tersenyum.
“What a beautiful name! As beautiful as the owner,” puji pekerja wanita itu.
Az-Zahra tersengih mendengarnya.
Usai semua urusan selesai di bahagian kaunter, Az-Zahra diarahkan untuk pergi ke Aula Orchidaceae Hall yang terletak di tingkat paling atas dengan diiringi oleh dua orang pengawal lelaki yang segak memakai sut hitam sama seperti pengawal yang menjaga bahagian pintu masuk tadi. Mereka berdua yang akan menunjukkan jalan untuk ke dewan tersebut. Az-Zahra hanya patuh.
Sepanjang menuju ke dewan yang dimaksudkan, Az-Zahra tidak henti-henti memuji keunikan dekorasi dan rekaan yang terdapat dalam hotel ini. Dia sangat mengagumi corak-corak yang terdapat pada dinding hotel. Sangat sejuk mata memandang. Bahkan corak-corak yang diukir dapat dijadikan sebagai tatapan untuk menenangkan jiwa. Nampak begitu elegan dan terserlah kemewahannya.
Sebaik sahaja tiba di hadapan dewan tersebut, sekali lagi Az-Zahra melihat terdapat dua orang pengawal yang sedang menjaga bahagian pintu masuk ke dalam dewan tersebut.
Az-Zahra hanya memerhatikan saja dua orang pengawal itu bertukar dialog. Dia juga tidak pasti apa yang mereka bualkan. Setelah itu, dua orang pengawal yang menjaga pintu tersebut mengizinkan Az-Zahra untuk masuk ke dalam.
Az-Zahra mengucapkan terima kasih sebelum melangkah masuk ke dalam. Bakul bunga yang dibawanya digenggam erat supaya tidak terjatuh.
Sebaik sahaja dia melangkah masuk, mulutnya terlopong luas tatkala melihat dewan yang begitu luas. Matanya memerhatikan ke segenap ruangan dewan tersebut bersama perasaan yang sungguh teruja. Hanya satu perkataan yang boleh menggambarkan keadaan dewan tersebut sekarang ini.
Mewah.
Sungguh dia terkaku seketika melihat dewan ini begitu elegan dan tampak mewah. Lampu candelier yang tergantung tinggi di tengah-tengah sungguh menarik perhatiannya. Lama matanya tertancap pada lampu candelier yang besar itu.
“Zahra!” Suara lunak milik seseorang yang menyeru namanya dengan sangat kuat menyentakkan lamunannya. Matanya melilau ke sekeliling mencari gerangan yang memanggil namanya tadi dan terhenti pada susuk tubuh seseorang yang sangat dikenalinya.
“Lambatnya kau sampai, lama aku tunggu, tahu!” Kedengaran bunyinya seperti tidak berpuas hati.
Az-Zahra hanya tersengih.
“Mana bakul bunga yang lain?” soal Sophia sambil memandang ke arah bakul bunga yang berada pada genggaman Az-Zahra. Hanya ada empat bakul sahaja.
“Ada dalam kereta aku. Aku tak boleh nak bawa semua sekaligus sebab tangan aku ada dua je. Lainlah kalau aku ni Doraemon. Memang aku guna je terus pintu ajaib untuk naik ke tingkat atas ni tanpa perlu bersusah-payah nak naik lif bagai,” ujar Az-Zahra seraya meletakkan semua bakul bunga di atas meja kaca yang bulat.
“Kenapa kau tak telefon aku je untuk tolong kau angkat semua bakul bunga tu? Aku boleh je turun tadi dan tolong kau angkat semuanya. Aduhai, harap muka je lawa nak mampus tapi otak tak boleh guna!” Selamba Sophia menyindir Az-Zahra tanpa rasa bersalah.
Az-Zahra mencebik bibir.
“Kalau aku telefon kau pun supaya turun ke bawah, kau jamin ke yang kau akan angkat? Kau tu dahlah sibuk memanjang. Nak hadap telefon pun bukannya selalu!” bidas Az-Zahra pula.
Dia menjeling sekilas ke arah Sophia.
Sophia menjulingkan mata ke atas.
“Kau letak je dulu bakul-bakul bunga ni dekat atas meja ni. Nanti kami susun,” arah Sophia.
“Selebihnya, pekerja-pekerja kami dah bergerak ke kedai kau untuk ambil semua bunga yang masih tinggal,” kata Sophia lagi.
Az-Zahra hanya mengangguk.
“Jadi sekarang kau kena tolong aku angkat bakul bunga yang masih ada dalam kereta aku. Dah, jom!” Belum sempat Sophia ingin membalas, Az-Zahra sudah menarik lengannya dengan agak kuat namun tidak kasar. Terpaksa dia mengikuti langkah gadis tersebut.
“Isy, kau ni! Tak padan dengan saiz badan yang kecil, tenaga bukan main kuat!” sindirnya.
Az-Zahra hanya buat-buat pekak.
♡ ♡ ♡ ♡
DUA cawan plastik bersaiz besar yang tertulis perkataan Tealive diletakkan di hadapan Az-Zahra. Sophia melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi kosong di sebelah Az-Zahra. Dia menghulurkan satu cawan besar itu kepada Az-Zahra yang sedang khusyuk memerhatikan para pekerja melakukan tugas masing-masing.
“Nah, minuman tealive perisa Strawberry Mango Smoothie kegemaran kau,” ujar Sophia seraya menolak cawan besar itu ke arah Az-Zahra.
“Wah, kau belanja ke, Sophia?”
“Yup, sekali-sekala aku belanja sahabat aku ni, apa salahnya, kan?” balas Sophia sebelum menyedut air coklatnya yang berperisa Hazelnut Coco dengan menggunakan straw. Hilang dahaganya tatkala air itu melalui bahagian farinks. Terasa sejuk dan menyenangkan.
Terharu Az-Zahra mendengar kata-kata Sophia.
“Terima kasih, Sophia. Aku doakan semoga kau sentiasa dimurahkan rezeki,” ucap Az-Zahra sebelum menikmati air kegemarannya itu.
Sophia tersenyum lebar.
“Aku pun nak berterima kasih dekat kau sangat-sangat sebab dah tolong aku untuk siapkan tempahan bunga walaupun dalam tempoh yang singkat. Aku tahu kau takkan kecewakan aku. Aku suka sangat hasil gubahan kau. Lawa dan kemas,” puji Sophia ikhlas.
“Bukan aku seorang je yang buat tapi pekerja aku pun ada tolong sekali. Sebab itulah kami dapat siapkan semua tempahan dalam tempoh tiga hari ni je,” ujar Az-Zahra sambil tayang muka bangga di hadapan Sophia.
“Alhamdulillah, lega sikit hati aku sekarang ni. Aku bukan apa tapi ketua eksekutif aku tu cerewet dan panas baran sikit. Eh, pembetulan, bukan sikit tapi banyak! Dia ada persoalkan mampu ke kau siapkan semua tempahan bunga sebanyak 300 tu dalam tempoh masa yang singkat? Cara dia bercakap tu seolah-olah macam pandang rendah dekat kau pula. Berlagak sungguh mamat tu. Menjengkelkan!” Sophia meluahkan segala ketidakpuasan hatinya terhadap Az-Zahra.
Fokus betul dia bercerita. Langsung tiada rasa bersalah bila kutuk majikan sendiri.
Az-Zahra hanya mampu membuka telinga luas-luas. Dia terpaksa mengorbankan telinganya untuk mendengar segala luahan hati Sophia.
“Aku pasti dia akan menyesal sebab cakap macam tu. Mesti dia terkejut sebab kau dapat siapkan semua tempahan bunga ni. Heh, padan muka dia!” Sophia tersengih jahat.
Az-Zahra menggeleng kepala beberapa kali.
Contoh sikap seorang pekerja yang tidak berguna. Mengumpat majikan sendiri tanpa rasa takut langsung.
“Zahra, aku sebenarnya ada nak minta tolong lagi,” ujar Sophia perlahan. Dia menggigit bibirnya.
“Hmm, apa dia?” Az-Zahra menyedut lagi air tersebut sehingga berbaki separuh.
“Sebenarnya aku nak minta tolong kau untuk temankan aku pergi majlis ulang tahun syarikat malam esok. Boleh tak?”
Tersembur sedikit air yang diminum oleh Az-Zahra tatkala mendengar permintaan Sophia. Bulat matanya memandang tepat ke arah wajah Sophia yang sedang tersengih.
“Ala, bolehlah, Zahra! Temankanlah aku, please! Aku perlukan teman untuk pergi majlis esok. Tak syoklah kalau tak ada kawan. Kau je satu-satunya sahabat aku. Tolonglah, Zahra. Aku bosan sangat-sangat sebab tak ada kawan nak ajak berborak.” Belum pun sempat Az-Zahra ingin bersuara, Sophia terlebih dahulu membuka mulut.
“Selama ni kau okey je pergi company party seorang-seorang. Tak ada pula kau nak minta aku teman bagai,” balas Az-Zahra.
“Itu yang kau tak tahu. Aku memang dah terbiasa pergi majlis macam ni seorang diri tapi hakikatnya aku bosan sangat sebab tak ada siapa nak ajak aku berborak. Lagipun, aku masih seganlah dengan staf yang lain,” cerita Sophia.
Az-Zahra mendiamkan diri seketika. Hendak menolak pun dia rasa kasihan pula melihat wajah Sophia yang sepertinya sedang berharap padanya.
Az-Zahra mengeluh perlahan.
“Okeylah, aku setuju tapi...,”
“Yeay! Terima kasih, Zahra! Sayang kau sangat-sangat!” cantas Sophia sambil bertepuk tangan beberapa kali dengan perasaan yang sungguh teruja. Dia terus memeluk tubuh Az-Zahra dengan erat lalu pipi mulus itu dikucupnya sekilas.
Az-Zahra hanya pasrah diperlakukan sedemikian. Dia langsung tidak menolak tubuh Sophia malah membalas pelukan sahabatnya.
“Insya-Allah, malam esok aku jemput kau di rumah. Kau tak perlu susah-susah nak bawa kereta sendiri. Disebabkan aku yang ajak kau jadi biar aku yang jemput kau,” kata Sophia.
Az-Zahra hanya mengangguk setuju. Dia tersenyum bahagia melihat senyuman gembira yang terukir pada wajah Sophia.
Tiba-tiba telefon pintarnya berdering kuat minta diangkat. Lantas dia mengalihkan pandangannya ke arah skrin telefon pintarnya untuk melihat nama si pemanggil.
“Erk, Sophia, aku rasa aku dah nak kena gerak sekarang ni. Ayah aku dah telefon ni mesti dia risau aku tak balik-balik lagi. Lagipun, sekarang dah lewat petang ni.” Az-Zahra meminta diri. Dia bingkas bangun dari kerusi.
“Oh, okey, okey! Hati-hati tau. Jumpa malam esok!”
Az-Zahra angguk.
Dia menggeser ikon hijau tersebut lalu melekapkan telefon pintarnya di telinga. Gara-gara dirinya yang tergesa-gesa ingin pulang ke rumah, Az-Zahra tiba-tiba terlanggar tubuh seseorang. Nasib baik punggungnya tidak terhantuk di atas lantai. Kalau tidak mahu patah tulang punggungnya.
“Maafkan saya, encik. Saya tak sengaja,” ucap Az-Zahra sebelum berlari menuju keluar. Dia langsung tidak memandang wajah orang yang dilanggarnya tadi tapi apa yang dia pasti orang tersebut adalah seorang lelaki.
“Wait, you...”
Belum sempat dia ingin membalas, dia melihat gadis tersebut sudah angkat kaki dan berlalu pergi. Belakang tubuh gadis itu ditenungnya tajam.
Perempuan yang langgar dia ni buta ke apa? Mata tu mesti letak kat lutut sebab itu dia kena langgar secara mengejut tadi. Minta maaf pun macam tak ikhlas je.
Tapi kenapa dia rasa dia macam pernah nampak wajah gadis itu? Wajah itu seakan-akan pernah dilihat sebelum ini tapi dia sudah lupa di mana.
Gibran menggeleng kepala.
Mungkin dia terlampau tertekan sehingga fikir yang bukan-bukan. Dia malas mahu mengambil tahu mengenai gadis itu lagi. Bukannya jumpa pun lagi lepas ni.
Cara mudah untuk bertemu jodoh: Pura-pura langgar orang tu lepastu cepat-cepat minta maaf >< Tapi sebaiknya jangan buatlah takut nanti kena tendang >< By the way, Selamat menunaikan ibadah puasa. Salam Ramadan Al-Mubarak ♡
Share this novel