27 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

“BILA kamu nak kahwin?”

Soalan itu datang daripada seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an. Sudah tentu soalan itu ditujukan khas kepada Az-Zahra. Di sebelah wanita tua itu, seorang gadis muda yang sebaya dengan Az-Zahra tersenyum sinis ke arahnya. Senyuman yang jelas memperlekehkan Az-Zahra secara halus.

Az-Zahra hanya mengabaikan pandangan menjengkelkan itu. Dia membalas dengan senyuman manis. Wajahnya tetap tenang, langsung tidak tergugat dengan soalan yang dilontarkan kepadanya. Memang kerap Az-Zahra mendapat soalan begini sehingga dia sudah biasa mendengar soalan yang serupa, seolah-olah mahu pecah gegendang telinganya kerana diulang hampir setiap hari.

“In Syaa Allah, ada rezeki Zahra akan kahwin juga nanti. Soal jodoh tak perlu risau sangat, Allah dah aturkan perjalanan hidup kita dengan cantik dan tersusun. Cuma perlu tunggu masa yang tepat saja,” jawab Az-Zahra, tenang. Setiap kali dia mendapat soalan seperti itu, jawapannya tetap sama.

Sejujurnya, dia tidak pernah terfikir mahu berkahwin. Az-Zahra masih belum bersedia mahu mendirikan rumah tangga. Dia tiada rasa minat mahu hidup berpasangan buat masa sekarang. Dia lebih selesa dengan kehidupannya sekarang ini biarpun tiada pasangan yang menjadi peneman hidup. Biarlah dia menikmati zaman bujangnya puas-puas dulu, sudah tiba masanya nanti barulah fikir soal jodoh. Tapi, kalau tak kahwin pun bukannya dihukum sampai masuk penjara, kan.

“Kalau setakat tunggu jodoh muncul depan mata, memang sampai bila-bila kamu takkan kahwin, Zahra. Kalau nak dapatkan jodoh yang baik, kamu kena berusaha cari. Bukannya duduk goyang kaki dekat rumah. Kamu kan anak dara, tak elok jadi pemalas,” ujar wanita tua itu lagi dengan nada sinis.

“Bukan dia yang tak nak cari mama. Memang dah tak ada lelaki dekat luar sana yang nak dekat dia. Tak laku lah maksudnya.” Suara lunak itu mencelah perbualan Az-Zahra dengan wanita tua tadi.

Gadis itu duduk berhadapan dengan Az-Zahra, memandang jelik ke arah Az-Zahra seolah-olah sedang menyimpan dendam terhadap Az-Zahra.

Az-Zahra membalas pandangan gadis itu dengan tatapan tajam.

Ayra Malissa.

Gadis muda sebaya Az-Zahra dan merupakan sepupu Az-Zahra. Memang sukar untuk berjumpa dengannya kerana selama ini Ayra tinggal di England. Gadis muda itu sambung belajar di Universiti Durham dalam bidang seni. Az-Zahra dan Ayra jarang berbual bersama, menjadikan hubungan mereka agak renggang. Kalau terserempak pun bukannya menyapa malah buat-buat buta.

“Kalau angah datang sini semata-mata nak ganggu hidup Az-Zahra, lebih baik angah balik. Ayra pun sama, jangan nak ganggu anak mak long. Bawa mak kamu balik sekali.” Hajah Aisyah bersuara tegas.

Sedari tadi, dia hanya jadi pemerhati. Rasa kasihan melihat puteri sulungnya yang selalu mendapat soalan yang kurang menyenangkan. Cubalah tanya soalan lain.

“Angah bukan apa, tapi kau tak risau ke anak kau belum kahwin sampai sekarang? Tahun ni umur Si Zahra kan dah dua puluh lima tahun, umur yang sangat sesuai untuk kahwin. Kau tengok anak aku, Si Ayra ni laju je dia dapat kekasih, padahal Ayra dengan Zahra sebaya,” ujar Azizah, mak ngah kepada Az-Zahra dan adik kepada Hajah Aisyah.

“Angah tak perlu nak masuk campur hidup Zahra. Dia tahu apa yang dia buat. Aisyah dah didik anak-anak Aisyah dengan didikan yang baik. Aisyah tak pernah suruh mereka bercinta kalau tujuannya hanya untuk mengikut kehendak nafsu dan tiada niat mahu teruskan ke alam perkahwinan. Aisyah tak nak mereka terjebak dalam dunia percintaan yang berlandaskan nafsu semata-mata,” balas Hajah Aisyah dengan tenang tetapi tegas membuatkan Azizah terkedu.

Ayra Malissa turut tersentap setelah mendengar kata-kata mak longnya itu.

Az-Zahra tersenyum melihat ibunya yang sentiasa menjadi pendukung setianya.

“Kalau dah ada kekasih, kenapa tak kahwin je terus? Sampai bila nak terikat dengan hubungan haram macam tu? Bertahun-tahun bercinta tapi sampai sekarang tak dengar berita nak kahwin. Takut nanti tak jadi kahwin, menangis di bucu katil,” ujar Hajah Aisyah dengan lembut tetapi terselit sindiran tajam.

“Apa cakap macam tu kau ni, kak. Selama ni, Ayra sambung belajar di luar negara, dia tak fikir pasal kahwin dulu sebab nak fokus belajar. Bukan semua orang berpeluang nak sambung Master. Tapi sekarang, dia dan kekasih dia dah ada perancangan nak kahwin. Lainlah kalau Si Zahra tu, belajar sampai Degree aje. Kekasih pun tak ada. Kalau dulu ada kedai bunga, tapi sekarang dah terbakar sebab kecuaian sendiri.” Lancang mulut mak ngah berkata tanpa memikirkan langsung perasaan Az-Zahra.

Az-Zahra hanya senyum.

Dia langsung tidak terasa dengan kata-kata yang diungkapkan oleh Mak Ngah Azizah. Az-Zahra yakin pasti ada hikmah disebalik kehidupannya yang penuh dengan cabaran ini. Dia juga tahu mak ngahnya sengaja berkata demikian, tidak lain dan tidak bukan untuk melemahkan semangatnya. Az-Zahra tetap menguatkan hati apabila menerima sindiran orang-orang di sekelilingnya. Dia cuma mahu hidup dengan tenang tanpa perlu memikirkan kata-kata orang yang membencinya.

Hajah Aisyah beristighfar mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh Azizah. Kalau bercakap, memang tak pandang kiri kanan.

“Walaupun kedai bunganya dah hangus terbakar, Az-Zahra tetap meneruskan perniagaannya secara online. Angah jangan sesuka hati nak memperlekehkan usaha Zahra. Dia dah berusaha sehabis baik,” balas Hajah Aisyah, membela anak perempuannya. Ibu mana yang tidak sakit hati bila anak sendiri jadi bahan ejekan.

Azizah mencebik.

“Setakat jual bunga, apalah sangat. Macamlah ada orang nak beli bunganya tu,” kata Azizah, seakan-akan merendahkan Az-Zahra.

Az-Zahra mengetap bibir, menahan perasaan geram dan marah yang semakin menguasai diri.

Ini sudah lebih.

Jangan sampai ada yang balik rumah, lebam satu badan. Penumbuknya sudah sedia, cuma perlu tunggu masa yang sesuai untuk menumbuk wajah tua itu. Peduli apa mak ngah sendiri atau bukan, wanita tua itu sudah melampau. Dari tadi dia menahan sabar.

Az-Zahra diam bukan bermaksud dia lemah, tetapi dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Selagi dia boleh bersabar, dia akan bersabar. Tapi, dia juga punya limit kesabaran. Jangan sampai dia meletus di situ. Kalau dia bersuara, dia bukan pakai mulut tapi pakai tangan. Kena main kasar sikit.

Hajah Aisyah mengeluh perlahan. Penat mahu bersuara lagi.

“Sudahlah, ngah. Baliklah ke rumah kau sendiri. Az-Zahra nak rehat, Aisyah pun nak masak makan malam. Lain kali datang sini, bawa keberkatan bukan bawa bala. Nampak tak pintu rumah yang terbuka luas tu, tolong keluar ikut pintu tu, ya.” Hajah Aisyah menghalau, kedengaran agak kasar bunyinya.

Azizah mencebik manakala Ayra Malissa hanya tayang muka menyampah.

“Tak payah nak halau kami. Memang kami nak balik pun. Tak hingin nak berlama-lama dekat sini. Panas duduk sini lama-lama,” ujar Azizah, menahan sakit di hati apabila dihalau oleh Hajah Aisyah.

“Memanglah panas kalau mulut tu suka sangat sakitkan hati orang. Baru rasa panas di dunia, belum lagi panas di akhirat. Kalau api di dunia pun kita tak mampu tahan, apatah lagi api neraka yang jauh lebih dahsyat. Tak terbayang macam mana panasnya,” bidas Hajah Aisyah membuatkan Azizah tersentap.

Puas hati melihat wajah Azizah yang berubah merah menahan perasaan marah. Itulah, kutuk lagi puteri kesayangan aku.

Ayra Malissa menjulingkan mata ke atas.

Setelah bayangan anak-beranak itu hilang dari pandangan mata, Az-Zahra melepaskan tawanya yang ditahan sejak tadi.

“Ibu nampak tak muka mereka macam mana tadi? Cayalah, bu. Tak sangka ibu pandai berdebat juga rupanya. Sentap terus anak-beranak tu,” ujar Az-Zahra lalu menghabiskan sisa tawanya. Terhibur melihat perubahan reaksi pada wajah Mak Ngah Azizah dan Ayra Malissa tadi tatkala dihentam dengan kata-kata Hajah Aisyah.

Hajah Aisyah senyum bangga.

“Kamu jangan nak ambil hati sangat dengan kata-kata mak ngah kamu tadi. Mulut dia memang macam tu dari dulu. Kalau bercakap mana pernah nak fikir perasaan orang lain. Ibu minta maaf bagi pihak dia, sayang.”

“Santailah, bu. Zahra tak ambil hati pun. Memang dari dulu mak ngah tak suka dekat Zahra. Waktu Zahra kecil dulu, dia selalu cubit Zahra. Entah apa dendam dia pada Zahra,” balas Az-Zahra, seakan-akan tidak berpuas hati.

“Oh, ya! Zahra nak bermalam di rumah Sophia untuk satu malam sebab nak temankan dia. Esok majlis akad nikah dia dan Luke berlangsung. Boleh kan, ibu?”

“Boleh, ibu tak ada masalah. Jadi maksudnya kamu batalkan kelas mengaji dengan budak-budak tu semua?”

Az-Zahra angguk.

“Yalah, bu. Kalau ada ustaz atau ustazah lain yang boleh tolong ajar mereka lebih baik, tapi cuma Az-Zahra seorang saja yang buat kelas mengaji secara percuma di kampung kita. Tapi Zahra dah pesan dengan mereka supaya mengaji dekat rumah,” balas Az-Zahra.

♡ ♡ ♡ ♡

SEPERTI yang dijanjikan, Az-Zahra bermalam di rumah Sophia pada malam itu. Suasana di dalam rumah banglo itu agak bising dengan suara penghuni-penghuni di dalam rumah itu. Masing-masing sibuk mengemas bagi persiapan akad nikah yang akan berlangsung esok.

Az-Zahra dan Sophia pula berada di dalam bilik. Az-Zahra yang harus mengukir inai di tangan sahabatnya itu.

“Pandai juga kau inai tangan aku. Tak sangka kau berbakat,” puji Sophia. Matanya bersinar-sinar melihat tangannya yang cantik dengan ukiran inai. Kagum melihat kepakaran Az-Zahra.

“Tengok kakilah. Aku memang berbakat dalam semua benda,” kata Az-Zahra sambil tayang muka bangga.

“Asal kena tengok kaki kau pula? Kau inai tangan aku bukan guna kaki,” balas Sophia lalu tertawa kecil.

Az-Zahra menjulingkan mata ke atas.

“Tinggal beberapa jam saja lagi sebelum aku bergelar isteri kepada Luke. Tak sabarnya! Berdebar pula jantung aku ni,” ujar Sophia teruja. Lengan Az-Zahra dirangkul kemas.

Az-Zahra senyum bahagia melihat Sophia yang kelihatan sungguh gembira menantikan saat itu tiba. Dia turut tumpang gembira kerana sahabatnya akan menamatkan zaman bujangnya. Namun, senyumannya kembali pudar tatkala dia teringatkan sesuatu. Wajah Az-Zahra yang ceria kini bertukar suram.

Alamak, macam mana kalau lelaki itu turut ada sekali? Kalau lelaki itu kembali muncul dalam hidupnya, macam mana? Az-Zahra terpaksa buat keputusan untuk tidak hadir pada majlis akad nikah dan majlis bersanding nanti. Tapi, dia tak boleh buat begitu sesuka hati sebab dia dah berjanji dengan Sophia yang dia akan jadi pengapit untuk sahabatnya itu nanti. Macam mana pula kalau pengapit Luke ialah lelaki itu? Urgh! Tertekan dia dibuatnya.

“Urm...Sophia, boleh aku tanya sesuatu?”

“Haa...apa dia?”

“Siapa pengapit Luke nanti?” tanya Az-Zahra dengan penuh berhati-hati. Jantungnya berdegup kencang.

“Abang dia, Luth namanya.”

Jawapan Sophia membuatkan Az-Zahra menghembus nafas lega. Syukur.

“Kalau kau ada niat nak menggatal dengan abang dia, lebih baik kau buang niat tak suci kau tu. Abang dia dah kahwin dan dah ada anak dah,” kata Sophia, memberikan amaran keras.

Terbuntang luas mata Az-Zahra. Amboi, sesuka hati tuduh dia yang bukan-bukan. Lantas, Az-Zahra menampar lembut lengan Sophia.

“Hey, sejak bila pula aku cakap yang aku nak menggatal dengan abang dia. Aku just tanya, okey!”

Sophia ketawa melihat wajah cemberut Az-Zahra.

“Kau jangan risaulah, Zahra. Dia tak datang pun majlis akad nikah dengan majlis bersanding kami nanti,” beritahu Sophia membuatkan Az-Zahra terkejut. Wajah Sophia dipandang lama.

“Macam mana kau tahu apa yang aku sedang fikir?”

“Of course aku tahu. Dia dan Luke dah bersahabat lama. Jadi, kau mesti risau kalau dia ada sekali masa majlis nanti, kan? Kau tak perlu risau, dia takkan datang sebab dia tiada di Malaysia. Dia dah lama tinggalkan bumi Malaysia sejak tahun lepas lagi. Dia dah pergi jauh, jauh dari hidup kau seperti mana yang kau minta,” ujar Sophia.

Az-Zahra bungkam.

Jadi, selama ini lelaki itu tiada di Malaysia? Dia pergi ke mana?

Huh, itu bukan urusannya. Mungkin tengah berbulan madu dengan isterinya. Kan dah kahwin. Entah-entah dah anak sepuluh. Lelaki itu sudah mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia sedangkan dia masih belum ada niat mahu menoktahkan zaman bujangnya.

“Jom kita turun bawah. Dari dalam bilik ni aku dah boleh hidu bau masakan mak aku. Teman aku makan, jom! Aku lapar,” ajak Sophia. Perutnya berbunyi minta diisi.

Az-Zahra membalas dengan anggukan. Emosinya berubah menjadi tidak baik setelah mengetahui bahawa lelaki itu tiada di Malaysia selama ini. Lelaki itu benar-benar memenuhi permintaannya sehingga sanggup meninggalkan Malaysia. Lelaki itu memang lenyap terus daripada hidup Az-Zahra.

Kenapa dia perlu sedih? Bukan itu ke yang dia nak?

Sepatutnya dia bahagia dengan kehidupannya sekarang. Kerana tiada lagi insan yang bernama Gibran wujud dalam hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience