SEAWAL jam 7:00 pagi, Luke bertandang ke rumah agam milik Gibran. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan bersama dengan lelaki itu. Luke sudah maklum keberadaan Gibran lalu dia mengatur langkah menuju ke bilik gim yang sememangnya diwujudkan untuk memudahkan Gibran melakukan senaman fizikal jika dia malas hendak keluar rumah.
Tatkala Luke menapak masuk ke dalam bilik gim yang sangat luas itu membuatkan dia terpegun seketika melihat kemewahan dan kecanggihan peralatan sukan yang terdapat di situ. Sangat teratur susunannya dan tidak tunggang-langgang. Bilik gim ini sangat luas sehingga boleh memuatkan ramai manusia.
Luke menghampiri Gibran yang sedang berlari di atas treadmill. Kehadiran Luke masih belum disedari oleh jejaka tinggi itu. Matanya menghala ke hadapan dan terdapat earpods di telinganya. Titisan peluh membasahi hampir keseluruhan tubuh jejaka itu sehingga baju hitam yang dipakainya melekap pada belakang tubuh.
Luke berdiri betul-betul di hadapan Gibran. Mahu menyedarkan lelaki itu dengan kehadirannya. Kalau dibiarkan lama memang dia ibarat tunggul di sini menanti Gibran untuk berhenti berlari.
Gibran menghentikan larian tatkala melihat wajah Luke sudah berada di hadapannya. Earpods yang disumbat di telinganya dicabut. Dia mendekati Luke lalu melagakan bahu mereka sebagai tanda menyapa. Luke memeluk tubuh sasa Gibran untuk beberapa saat. Sudah beberapa hari mereka tidak berjumpa dan baru hari ini ada peluang.
Gibran mencapai botol mineral sebelum penutup botol itu dibuka hanya dengan sekali pusingan sahaja. Air putih itu diteguk rakus bagi menghilangkan dahaga.
“Awal kau datang,” ujar Gibran sekadar berbasa-basi. Dia meletakkan semula botol mineral itu di atas meja bulat yang terdapat di situ.
“Aku ada hal penting yang nak beritahu dekat kau. Banyak benda yang aku nak laporkan pada kau,” beritahu Luke bersama riak wajah yang serius.
Berkerut kening Gibran mendengarnya.
“Kita bincang dekat ruang tamu,” kata Gibran sedikit tegas.
Mereka keluar dari bilik gim lalu menuju ke ruang tamu hanya dengan menggunakan lif. Ruang tamu ini berhadapan dengan kolam renang yang besar dan terdapat pemandangan hijau dengan tanah lapang yang luas serta pokok-pokok yang tersusun kemas. Pemandangan menarik seperti itu sangat cantik jika dilihat dari tingkat atas kerana boleh nampak suasananya dengan lebih jelas.
Gibran membuka sliding door agar udara segar pada pagi itu dapat memasuki bahagian dalam rumahnya. Dia kemudiannya menghampiri Luke. Sofa kosong di hadapan Luke menjadi tempat dia melabuh punggung. Betul-betul berhadapan dengan lelaki itu. Senang sikit nak berbincang nanti.
“Talk,” arah lelaki itu untuk terus ke perbincangan utama. Dia tidak mahu membuang masa. Sebelah kaki panjangnya diletakkan di atas paha dengan tangan disilangkan ke dada.
“Aku nak beritahu pasal syarikat terlebih dahulu. Sekarang aku yang uruskan tentang semua hal berkenaan syarikat semenjak kau letak jawatan. Sejak kau berhenti, syarikat kita semakin hari semakin tak terkawal dan semakin kurang orang ramai datang melawat ke hotel kita. Jadi memang menjejaskan gaji pekerja-pekerja kita. Ramai juga yang dah berhenti kerja sekarang,” lapor Luke. Jelas terpancar kerisauan pada seraut wajah tampannya.
Gibran hanya menadah telinga mendengar setiap butir bicara Luke. Wajahnya kekal tenang. Perhatiannya diberikan seratus-peratus kepada Luke.
“Aku tak boleh kendalikan syarikat perhotelan seorang diri, Gib. Kau pun tahu kan aku menjaga bahagian kewangan jadi aku tahu status perkembangan syarikat perhotelan kita macam mana. Semakin hari Royal Palace Hotel semakin kurang menerima pelanggan dan ini akan menjatuhkan reputasi hotel,” Luke berbicara lagi dengan harapan Gibran boleh faham dengan situasi yang dialaminya sekarang.
Gibran melepaskan keluhan berat.
“Aku minta maaf, Luke. Kalau boleh aku memang nak sangat kembali pada jawatan CEO semula untuk memperbetulkan semuanya. Tapi kau kena faham punca sebenar aku letak jawatan. Kalau aku kembali jejakkan kaki ke syarikat, aku akan disatukan dengan Eleanora. Aku tak nak kahwin dengan perempuan tu. Aku sanggup korbankan semuanya semata-mata tak nak kahwin dengan dia. Kau sendiri tahu yang aku tak sukakan dia,” balas Gibran setelah lama berdiam diri.
“Ya, aku faham dan aku tahu kenapa kau letak jawatan. Aku beritahu kau semuanya bukan sebab aku nak kau kembali pada jawatan kau semula. Aku takkan paksa kau. Pilihan ada di tangan kau dan kau juga berhak buat keputusan. Aku cakap sebab aku nak kau tahu perkembangan terkini syarikat perhotelan kita. Itu saja. Dan sejujurnya Tuan Aldric juga yang arahkan aku untuk pujuk kau supaya kembali pada jawatan CEO semula,” beritahu Luke tentang perkara yang sebenar.
Gibran mengukir senyuman sinis.
“Tahu pula dia nak cari aku semula. Kenapa dia tak minta tolong dekat anak kesayangan dia yang seorang lagi. Dia kan sayang sangat dekat budak hingusan tu,” perli Gibran sambil tayang muka menyampah.
Luke mengeluh perlahan seraya menggelengkan kepala beberapa kali.
“Aku bukan berniat nak masuk campur tapi kau tak nak berbaik semula ke dengan keluarga kau? Sampai bila nak hidup macam ni? Jangan berdendam dengan mereka yang tak bersalah. Kau marah cuma dengan Tuan Aldric. Adik-adik kau tak bersalah, Gib. Mereka cuma mangsa. Jangan menangkan sangat ego tu. Kau dan Tuan Aldric sama-sama ego. Sebab itu hubungan kau dengan dia tak pernah baik. Dua-dua tak nak meminta maaf,” bicara Luke bagi menyedarkan sahabatnya itu.
“Orang tua yang tak sedar diri macam dia hanya pergunakan aku untuk memperluaskan perniagaan dia. Disebabkan dia mommy aku meninggal dunia. Dia kahwin dengan perempuan lain dan hidup bahagia. Aku pula dibiarkan terseksa. Dipaksa untuk belajar tentang dunia perniagaan hanya semata-mata untuk berikan keuntungan pada dia. Lelaki tua tu memang parasit!” cemuh Gibran tanpa rasa bersalah.
“Tapi dia ayah kandung kau, Gib!” Luke menegaskan kenyataan yang sebenar. Walau bagaimanapun Gibran harus terima hakikat bahawa Tuan Aldric merupakan ayah kandungnya.
“Dia tak pernah anggap aku sebagai anak kandung dia, Luke. Macam yang aku kata dia hanya pergunakan aku untuk kesenangan hidup dia. Di hadapan orang lain memang dia akan layan aku persis seorang anak emas tapi hakikatnya dia langsung tak kisah pasal hidup aku. Di mata dia aku seseorang yang boleh berikan keuntungan dalam hidup dia. Aku dilayan macam sampah. Digunakan bila perlu saja tapi bila dah tak berguna dibuang,” bidas Gibran lagi. Dadanya turun naik menahan perasaan marah yang semakin membuak-buak.
Luke meraup wajahnya.
Tiada guna dia menasihati Gibran jikalau lelaki itu sentiasa mengagungkan egonya yang setinggi langit. Umpama mencurah air ke daun keladi. Bila dinasihati bukannya reti nak dengar.
“Ada lagi yang aku nak beritahu dekat kau.” Luke bersuara kembali setelah dapat menenangkan dirinya. Beralih ke hal lain pula.
Gibran mengangkat sebelah keningnya sebagai isyarat bertanya.
“El ada cari kau beberapa hari yang lepas. Dia ada tanya keberadaan kau sekarang tapi aku tak beritahu dia. Dan dia juga tahu kenapa kau letak jawatan. Dia cakap dia takkan berputus asa untuk buat kau jatuh cinta dengan dia. Dia takkan benarkan kau kahwin dengan perempuan lain sebab kau tu hak dia. Itu apa yang dia cakap,” beritahu Luke sebijik dengan apa yang dikatakan oleh Eleanora beberapa hari yang lalu.
“Perempuan gila,” kutuk Gibran selamba.
Luke mengangguk setuju. Betul, Eleanora memang perempuan gila yang tak sedar diri.
“Dia psiko! Aku syak dia obses dengan kau,” kata Luke mengungkapkan firasatnya. Dia dapat merasakan Eleanora obses terhadap sahabatnya dari dulu lagi.
“Lantaklah! Aku malas nak layan perempuan gila macam dia,” ungkap Gibran dengan muka malasnya.
“Kau dah makan ke belum? Kalau belum jomlah kita makan. Aku masak,” ujar Gibran seraya menukar topik. Dia berura-ura untuk bangkit dari tempat duduknya namun terbatal apabila Luke bersuara.
“Tak payah susah-susah, Gib. Aku dah makan kuih sebelum gerak ke sini tadi. Lagipun, tengah hari nanti aku ada janji temu dengan seseorang,” ujar Luke bersama sengihan lebar.
Berkerut kening Gibran mendengarnya.
“Janji temu? Dengan siapa?” soal Gibran ingin tahu.
“Haa...ini yang aku nak beritahu kau sesuatu lagi. Tapi sebelum tu aku nak minta tolong sikit dengan kau, boleh?” pinta Luke.
“Hmm, apa dia?” Gibran hanya bersetuju tanpa berfikir panjang. Luke sudah banyak membantunya jadi apa salahnya jika dia menuruti sahaja kehendak lelaki itu.
“Aku nak minta tolong kau untuk temankan aku pergi janji temu tengah hari nanti. Please...tolonglah sahabat baik kau yang kacak bergaya ni,” pinta Luke dengan suara yang sengaja dimanjakan. Sedaya-upaya dia cuba untuk membuat muka comel di hadapan Gibran. Berharap agar lelaki itu cair sedikit.
“Makin hodoh aku tengok muka kau ni,” kutuk Gibran dengan muka jijiknya.
Mata dijulingkan ke atas tatkala mendengar kutukan Gibran. Cis, tak guna punya manusia. Buatlah apa pun memang takkan mampu untuk cairkan hati beku itu.
“Bolehlah, Gib. Kau cuma temankan aku saja. Aku tak biasalah keluar dengan perempuan. Sebab itu aku ajak kau sekali. Kau jangan risau sebab kita keluar bukan bertiga tapi berempat. Dia pun ada ajak kawan dia sekali,” kata Luke masih lagi memujuk.
“Kau nak keluar dengan siapa sebenarnya? Anak dara orang kau ajak keluar sesuka hati? Tak layak jadi suami kau ni,” balas Gibran berbaur sindiran.
“Sebab itulah aku ajak kau, sengal. Kalau aku keluar berdua-duaan dengan dia jadi canggung pula nanti. Kalau kau teman sekurang-kurangnya hilanglah juga perasaan gugup aku. Aku dah cakap kan dia ajak kawan dia sekali. Lagipun, ini kali pertama kami keluar sama-sama,” ujar Luke menahan geram.
“Cakap dulu kau nak jumpa dengan siapa?” Gibran masih lagi mendesak. Perasaan ingin tahunya semakin menebal.
Luke menggosok belakang tengkuknya.
Teragak-agak dia hendak buka mulut.
“Perempuan tu kau kenal sangat. Nanti kau tahulah siapa dia,” jawab Luke perlahan.
Gibran mencebik bibir tanda tak puas hati. Wajah Luke dijeling sekilas. Dengan sahabat baik sendiri pun nak berahsia.
“Tak apalah kalau macam tu. Aku nak mandi sekejap. Berpeluh tubuh badan aku. Kau buatlah apa yang kau nak buat sementara tunggu aku bersiap,” ujar Gibran seraya mengangkat punggungnya dari sofa.
Luke tersenyum lebar sehingga menyerlahkan sebaris giginya yang putih. Lega rasanya hati bila mana dia berjaya memujuk Gibran.
Telefon pintar mahalnya dicapai sebelum aplikasi WhatsApp dibuka untuk menghantar mesej kepada seseorang.
♡ ♡ ♡ ♡
JAM di pergelangan tangan dikerling sekilas untuk melihat waktu ketika ini. Sesekali dia mengalihkan pandangan ke arah pintu kaca itu dengan mengharapkan seseorang yang dinanti-nantikan saat ini muncul jua.
Az-Zahra melepaskan keluhan kecil.
Sudah dua jam dia duduk bersendirian di kafe ini menunggu kehadiran Sophia. Cadangnya, mereka hendak berjumpa di Sunshine Caféteria iaitu salah satu kafe kegemaran Az-Zahra untuk meluangkan masa bersama setelah sekian lama tidak bertemu kerana masing-masing sangat sibuk sekarang ini. Namun sehingga sekarang bayangan gadis itu masih belum muncul lagi. Bukan setakat bayangan tetapi batang hidungnya juga masih tidak kelihatan.
Az-Zahra mendengus perlahan.
Dia paling tak suka menunggu seseorang dengan begitu lama. Sophia sudah berjanji hendak datang awal tetapi sebaliknya gadis itu memungkiri janjinya sendiri. Rasa geram pun ada juga. Memang dia akan cekik gadis itu bila dah sampai nanti.
Cawan putih yang diletakkan di atas pinggan kecil dicapai sebelum air latte itu disisip perlahan. Ini merupakan kali yang ketiga dia mengoder air yang sama sejak tiba di kafe. Perutnya kembung kerana diisi dengan air sahaja.
Sementara menunggu kehadiran Sophia, Az-Zahra membuka aplikasi Tik Tok untuk melihat video-video menarik yang dimuat naik oleh pengguna-pengguna media sosial. Sekurang-kurangnya dia dapat menghilangkan rasa bosan.
Sedang khusyuk dia bermain aplikasi tersebut, tiba-tiba muncul Sophia yang berdiri di hadapannya dengan nafas yang tidak teratur. Gadis itu melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan dengan Az-Zahra.
Az-Zahra mengerutkan keningnya.
“Sampai pun kau, ingatkan dah tak jumpa jalan tadi. Lama aku tunggu kau, tahu!” ujar Az-Zahra tidak berpuas hati.
“Sorry, aku lupa kita ada janji temu hari ni. Aku terlajak tidur pagi tadi,” balas Sophia sambil cuba untuk mengatur pernafasannya. Dia penat sebab mengejar masa tadi.
Az-Zahra tayang muka tak puas hati. Telefon pintarnya diletakkan semula di atas meja.
“Nasib baik aku tak balik rumah je tadi. Ikutkan hati aku yang panas membara ni memang dah lama aku keluar dari kafe ni. Penat aku tunggu kau tahu tak? Kau pun tahu kan aku ni jenis yang tak suka tunggu orang lama-lama,” ujar Az-Zahra lagi. Menghamburkan amarahnya.
“Ya, aku minta maaf. Janganlah marah. Nanti aku belanja kau makan dekat Secret Recipe. Kau cakap je nak makan apa nanti aku tolong bayarkan,” tutur Sophia sambil mengangkat sebelah tangannya separas bahu sebagai tanda berjanji.
Az-Zahra menggembungkan pipinya. Masih lagi merajuk.
“Ala, tak payahlah nak merajuk sangat dengan aku. Aku minta maaf, okey. Aku penat sangat sampai terlajak tidur. Lepas Subuh tadi aku cadang nak tidur sekejap je tapi bila bangun tengok-tengok dah jam 11:00 pagi,” cerita Sophia secara ringkas. Mengharapkan Az-Zahra akan faham.
Az-Zahra tersenyum pendek.
“Aku tak marah kau pun sebenarnya. Aku cuma rasa geram saja dengan perangai kau yang suka mungkir janji. Semalam kau janji nak datang awal, sampai kesudahnya aku tunggu kau dua jam dekat sini. Pelayan-pelayan dekat kafe ni pun dah muak tengok muka aku,” kata Az-Zahra dengan perasaan geram.
Sophia tersengih. Rasa bersalah pula dekat Az-Zahra yang terpaksa menunggunya selama dua jam.
“Kau tak nak oder apa-apa ke?” tanya Az-Zahra sebelum dia menghabiskan secawan air latte kegemarannya itu.
“Aku makan dekat Secret Recipe je nanti. Sekarang, aku nak tahu apa rancangan kau untuk hari ini?”
“Kita makan tengah hari dulu. Kau cakap kau nak belanja aku, kan?” Az-Zahra tersengih lebar memikirkan tentang makanan.
“Ya, sebagai tanda minta maaf. Kau oder je apa-apa yang kau nak nanti,” ujar Sophia sambil tersenyum ikhlas.
Az-Zahra tersenyum lebar mendengarnya. Orang nak belanja terima je lah. Jimat sikit duit dia. Selepas ini dia akan pastikan Sophia selalu lewat sampai supaya gadis itu rasa bersalah dengannya dan mahu belanja dia makan sebagai tanda minta maaf. Terukir senyuman jahat di bibirnya tatkala dia memikirkan tentang hal tersebut.
“Tapi aku tak naklah makan dekat Secret Recipe. Makanan dekat sana semuanya mahal. Kita makan dekat restoran yang murah-murah je lah. Aku okey kalau nak makan dekat restoran biasa,” ujar Az-Zahra kerana dia tidak mahu Sophia menghabiskan duitnya terlalu banyak.
Tetapi Sophia menggeleng kepala.
“Tak apalah. Bukan selalu pun aku belanja kau makan dekat sana,” balas Sophia selamba membuatkan Az-Zahra terdiam.
Kalau dah Sophia berkata begitu, dia hanya setuju. Asalkan dia tidak menyusahkan gadis itu.
“Weh, kau nak tahu tak? Tuan Gibran dah letak jawatan sebagai CEO,” beritahu Sophia tiba-tiba walhal Az-Zahra sudah mengetahuinya lebih awal. Lelaki itu sekarang bekerja di kedai bunganya jadi sudah tentu dia tahu.
“Oh, ya?” Sengaja Az-Zahra berlakon seolah-olah tidak mengetahui apa-apa.
“Ya, dia tiba-tiba letak jawatan. Dia kata dia berhenti sebab nak cari pengalaman buat perkara-perkara yang yang dia tak pernah buat sebelum ni. Mungkin dia dah bosan asyik duduk dalam pejabat lepas tu hadap komputer saja dua puluh empat jam,” ujar Sophia sebelum mengeluh kecil.
“Tapi, ada juga yang cakap sebenarnya Tuan Gibran letak jawatan sebab ada masalah keluarga. Aku pun tak tahu nak percaya atau tak sebab aku malas nak masuk campur urusan orang lain. Lagipun, Tuan Gibran tak suka kalau pekerja-pekerja dia sibuk sangat nak tahu pasal hidup dia. Dia jenis yang berahsia,” sambung Sophia lagi.
Fokus Az-Zahra mendengar cerita Sophia. Perasaannya bercampur-baur. Dia keliru sama ada dia perlu memberitahu Sophia bahawa Gibran kini bekerja di kedai bunganya atau dia perlu diamkan saja. Jika difikirkan semula itu bukan hal penting untuk diberitahu kepada orang lain. Lagipun, Gibran bekerja di kedai bunganya pun hanya sementara waktu. Selepas ini dia tidak akan bertemu dengan lelaki itu lagi.
“Aku tak tahulah aku patut rasa gembira atau sedih. Aku rindu pula nak kena marah dengan dia tapi kadang-kadang aku rasa menyampah pula dengan dia. Kau tahu tak sejak dia letak jawatan, syarikat perhotelan kami makin tak terkawal. Nasib baik ada Tuan Luke yang membantu. Mujur dia pandai atur semuanya.” Sophia kembali bercerita lalu mematikan lamunan Az-Zahra.
“Tuan Luke tu siapa?”
“Sahabat baik Tuan Gibran. Boleh tahan kacak juga,” jawab Sophia bersama senyuman miangnya.
Az-Zahra menjulingkan mata ke atas. Keluar sudah perangai gatal dia.
“Nanti kita makan di Secret Recipe lepas tu baru kita jalan-jalan di Pavilion. Petang nanti kita pergi taman bunga. Kau okey, kan?” Az-Zahra kembali ke perbualan asal.
“Aku okey aje. Aku ikut perancangan kau. Tapi...” Kata-kata Sophia terhenti di situ. Dia menggigit bibir bawahnya. Terasa serba-salah pula dia jika tidak memberitahu Az-Zahra awal-awal.
“Kenapa?”
Sophia kemam bibir.
“Kita jalan-jalan bukan berdua hari ni,” tutur Sophia perlahan.
Berkerut kening Az-Zahra.
“Kau ada ajak sesiapa ke?”
“Urm, ada sebenarnya tapi nanti kau tahulah. Lagipun, aku ada nak beritahu kau sesuatu tapi tunggu kita sampai di Secret Recipe,” ujar Sophia sambil tersengih.
Az-Zahra menatap lama wajah itu dengan penuh tanda tanya. Hatinya meronta-ronta ingin tahu sekarang tetapi dia perlu sabar menunggu sehingga dia jumpa jawapannya nanti.
♡ ♡ ♡ ♡
AZ-ZAHRA kejung di tempat duduknya. Mulutnya terbuka sedikit melihat wajah kacak Gibran yang berada di hadapannya. Lelaki itu juga turut memandangnya dengan tatapan tajamnya sambil memeluk tubuh. Kepala berpaling pula memandang lelaki yang sedang duduk di sebelah Gibran. Lelaki itu sungguh murah dengan senyuman. Dia ada memperkenalkan dirinya sebagai Luke Eskandar. Jadi inilah Tuan Luke yang dimaksudkan oleh Sophia tadi. Dia menoleh ke arah Sophia yang sedang memandangnya sambil tersengih.
Apa semua ini?
Dia membalas pandangan Sophia meminta penjelasan. Dia bingung dengan apa yang sedang terjadi saat ini.
Tiba sahaja mereka di Secret Recipe beberapa minit yang lalu, Sophia terus mendekati meja yang dihuni oleh dua orang jejaka kacak ini. Az-Zahra yang kebingungan hanya membuntuti sahaja langkah Sophia. Bila sedar wajah Gibran ada di hadapannya, dia rasa macam nak pengsan. Terkejut melihat Gibran turut ada sekali di sini.
Apa yang sedang berlaku?
Seorang pelayan lelaki menghampiri meja mereka lalu meletakkan makanan-makanan yang dipesan tadi di atas meja dengan penuh berhati-hati. Suasana di antara mereka sungguh senyap. Mereka hanya melihat pelayan lelaki itu melakukan tugasnya.
Mata Gibran tajam merenung wajah Az-Zahra yang sedang duduk di hadapannya. Az-Zahra berusaha untuk mengelak daripada bertentang mata dengan Gibran. Dia masih terkejut dengan apa yang berlaku. Dia mahu dengar penjelasan daripada Sophia.
“Lebih baik kita makan dulu. Nanti makanan sejuk tak sedap pula.” Luke mewakili mereka semua terus bersuara. Wajah Az-Zahra dipandang sekilas sebelum dia menoleh ke arah Sophia.
Az-Zahra membaca doa makan terlebih dahulu sebelum dia mencapai garpu lalu memutarkan Spaghetti Meatball itu dan dimasukkan ke dalam mulut. Luke dan juga Sophia mula menikmati hidangan mereka. Gibran pula masih kekal merenung wajah Az-Zahra. Makanannya langsung tidak disentuh.
Az-Zahra mula tak senang duduk. Ikutkan bisikan syaitan, mahu saja dia cucuk mata Gibran menggunakan garpu di tangannya. Dia rasa sungguh tak selesa namun sedaya-upaya dia cuba untuk berlagak tenang.
“Asal kau tak makan, Gib?” soal Luke sambil mengerling sekilas wajah Gibran di sebelahnya.
“Kenyang,” jawab Gibran sepatah. Anak matanya masih tertumpu pada seraut wajah Az-Zahra.
Luke mengerutkan keningnya. Dia menoleh ke arah gadis yang duduk berhadapan dengan Gibran. Dia perasan Gibran dari tadi merenung wajah gadis itu sejak mereka tiba tadi. Agak-agaknya mereka dah kenal ke?
Luke dan Sophia saling membalas pandangan sebelum mengangguk sekali. Luke berdehem perlahan sekadar ingin membasahkan tekak.
“Sebenarnya, kami berdua ada nak beritahu sesuatu.” Tiba-tiba Luke bersuara. Mengganggu perhatian Az-Zahra yang sedang menghabiskan makanannya itu. Dia mengangkat wajah untuk memandang lelaki yang bernama Luke itu.
“Kami berdua dah buat keputusan untuk bernikah tahun depan,” ucap Luke sambil tayang sengihan lebar.
Pengumuman itu membuatkan Az-Zahra berhenti mengunyah. Mulutnya ternganga. Dia tak silap dengar, kan? Gibran juga terkejut mendengar kata-kata Luke itu. Wajah Luke dan Sophia dipandang silih-berganti bersama wajah yang berkerut.
“Bernikah?” Az-Zahra mengulangi semula perkataan tersebut. Dia ingin pastikan yang dia tidak salah dengar.
“Ya, aku dan Luke akan bernikah tahun depan. Kami dah buat keputusan untuk bertunang dulu.” Kali ini Sophia pula yang bersuara.
Gibran merenung tajam wajah Luke dan Sophia. Mereka dalam diam menjalinkan hubungan cinta rupa-rupanya. Patutlah dia selalu ternampak Luke dan Sophia kerap berbual bersama-sama ketika dia masih bekerja di syarikat dulu. Dia ingatkan mereka bincang tentang kerja tapi sebaliknya berbincang pasal benda lain. Bincang pasal masa depan mungkin.
“Ke...kenapa kau tak beritahu aku pasal benda ni dari awal?” soal Az-Zahra kegeraman. Garpu di tangannya digenggam erat.
“Sebenarnya saya baru saja luahkan perasaan dekat Sophia dua hari lepas. Tak sangka pula dia pun ada hati dengan saya. Jadi saya terus ajak dia bernikah tapi Sophia kata dia nak tunda dulu memandangkan kami belum kenal dengan lebih dekat lagi. Jadi kami buat keputusan untuk bertunang dan dalam fasa pertunangan nanti kami cuba untuk kenal antara satu sama lain.” Luke menjadi tukang jawabnya. Lelaki itu menjelaskan secara ringkas.
“Bila korang rancang nak bertunang?” soal Gibran.
“Hari Ahad minggu depan. Nanti datanglah, ya.” Luke menjawab sambil tersenyum lebar. Tak sabar pula nak kahwin.
Az-Zahra memandang wajah Sophia yang kelihatan sungguh gembira. Mungkin bahagia sebab dah bertemu jodoh yang sebenar. Tak sangka jodoh dia ada di tempat kerja.
“Nanti datang tau masa majlis pertunangan aku nanti,” ujar Sophia perlahan. Hanya untuk didengari oleh dia dan Az-Zahra.
Az-Zahra tersenyum manis seraya menganggukkan kepala. Sudah tentu dia akan datang ke majlis pertunangan Sophia untuk bahagiakan sahabatnya itu. Walaupun pada mulanya dia agak terkejut mendengar berita itu tadi tetapi dalam pada masa yang sama dia gembira apabila Sophia bakal menamatkan zaman bujangnya pada usia muda.
♡ ♡ ♡ ♡
SETELAH mengisi perut, mereka bercadang untuk singgah di masjid bagi menunaikan solat fardhu Zohor. Gibran hanya menunggu di luar masjid memandangkan dia berbeza agama dengan mereka yang lain. Sementara menunggu mereka bertiga menunaikan kewajipan mereka sebagai seorang Muslim, Gibran bermain dengan telefon pintar mahalnya. Dia bersandar pada keretanya yang diparkir di hadapan masjid.
Tanpa disedarinya, seorang lelaki tua yang berusia dalam lingkungan umur 50-an mendekatinya.
“Assalamu’alaikum, anak muda.” Lelaki tua itu menyapa Gibran sambil tersenyum lebar.
Gibran tersentak tatkala disapa oleh seseorang yang langsung tidak dikenalinya. Dia menegakkan tubuh lalu telefon pintar itu dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
Apa yang dia nak jawab? Takkanlah dia nak balas salam pak cik itu pula?
“Kamu tak masuk ke dalam untuk solat sekali? Waktu solat dah masuk. Jomlah kita solat berjemaah sama-sama. Tak baik tangguhkan solat,” ujar lelaki tua itu tanpa mengetahui agama sebenar Gibran.
“Erk...” Gibran kehilangan kata-kata. Belakang tengkuknya digosok perlahan.
“Oh, kamu sebenarnya bukan Islam, ya?” soal lelaki tua itu setelah tersedar sesuatu.
Gibran angguk.
“Astaghfirullahal’azim. Maafkan pak cik. Pak cik ingatkan kamu Islam tadi,” ujarnya sambil menggeleng kepala sebelum tertawa kecil.
Gibran hanya tersenyum. Dia dah terbiasa orang sekeliling menganggap dirinya Muslim.
“Pak cik doakan kamu mendapat hidayah Allah,” ucap lelaki tua itu sambil menepuk-nepuk bahu tegap Gibran. Dia tersenyum lebar sehingga menampakkan giginya.
Gibran cuma diam. Bibirnya tersenyum kelat.
Setelah lelaki tua itu beredar, Gibran kembali bersandar pada pintu keretanya. Bibir melepaskan keluhan berat. Dia termenung sejenak.
Fikirannya kembali mengingati kisah silam ketika dia masih kanak-kanak. Dia masih ingat lagi punca sebenar ibu kandungnya diceraikan. Walaupun dia masih lagi seorang kanak-kanak yang tidak mengetahui apa-apa namun dia faham apa yang terjadi. Hanya kerana ibunya ingin memeluk agama Islam wanita itu diceraikan sehingga terpaksa meninggalkan Gibran tinggal bersama Tuan Aldric. Setelah itu, dia dikhabarkan bahawa ibunya sudah meninggal dunia. Sedangkan dia tidak sempat untuk bertemu untuk kali yang terakhir.
Gibran mengetap bibir. Tangannya digenggam erat sehingga timbul
urat-urat hijau.
♡ ♡ ♡ ♡
AZ-ZAHRA tersenyum lebar menikmati keindahan alam semula jadi di hadapan matanya. Sangat tenang melihat ciptaan Allah yang sungguh indah. Sambil itu dia memuji kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang menciptakan alam semesta ini untuk tempat tinggal sementara bagi manusia. Dia kagum melihat keindahan alam di sekelilingnya.
Mereka berempat kini berada di Fleur Garden. Sebuah tempat yang sering dikunjungi oleh Az-Zahra dan juga Sophia jika ada masa lapang. Setelah puas membeli-belah di Pavilion tadi, mereka terus bergerak ke sini dengan menggunakan kenderaan masing-masing.
Luke dan Sophia berjalan beriringan di hadapan manakala Az-Zahra dan Gibran berjalan di belakang mereka serupa pengawal peribadi yang menjaga kedua-dua pasangan itu. Sepanjang mereka berjalan di taman bunga itu, Az-Zahra hanya diam sambil merakam pemandangan menarik itu untuk dijadikan video nanti. Gibran juga turut diam. Melainkan Luke dan Sophia yang sering bertukar cerita. Ada kalanya terdengar gelak tawa mereka.
Seronok sangat sehingga lupa Az-Zahra dan Gibran hanya menjadi pemerhati sejak tadi.
“Guys, korang nak makan aiskrim tak? Aku belanja.” Tiba-tiba Luke bertanya. Dia memusingkan tubuh menghadap Gibran dan juga Az-Zahra. Automatik pergerakan Az-Zahra yang merakam momen-momen indah itu terhenti tatkala mendengar soalan Luke.
“Nak! Saya nak makan aiskrim!” jawab Az-Zahra dengan sungguh ceria. Bibirnya melakarkan senyuman lebar. Lama juga dia dah tak makan aiskrim.
“Kau pula tak nak?” Luke menyoal Gibran memandangkan lelaki itu cuma diam.
“Tak nak. Budak-budak saja yang suka makan aiskrim. Lagipun, aku tak suka makan benda tu,” jawab Gibran acuh tak acuh. Dia berpaling ke arah lain.
Luke cuma mengangguk sebelum dia melangkah ke arah seorang lelaki yang sedang menjual aiskrim di sini. Sophia pula menemani Luke untuk membeli aiskrim.
Az-Zahra menjegilkan mata ke arah Gibran. Mesti lelaki itu nak kata dia macam budak-budak sebab makan aiskrim.
Tidak lama kemudian, Luke dan Sophia kembali bersama aiskrim di tangan mereka. Aiskrim berperisa coklat dihulurkan kepada Az-Zahra. Sophia sangat tahu aiskrim kegemaran sahabatnya itu.
Mereka kemudiannya sambung berjalan di sekitar taman bunga itu sehinggalah masing-masing mengikut jalan yang berbeza. Mereka berempat kini terpisah. Langkah kaki Az-Zahra terhenti tatkala dia menjumpai suatu kawasan yang dipenuhi dengan bunga tulip yang berlainan warna. Terdapat air pancut di tengah-tengah kawasan itu sebagai perhiasan.
Az-Zahra tersenyum lebar.
Lantas dia merakam panorama yang sungguh indah itu dengan lebih estetik. Dia mahu simpan video-video yang dirakam untuk dijadikan kenangan.
“Kau memang suka bunga ke?” Suara maskulin itu berbisik sangat dekat di telinga Az-Zahra. Gadis itu tersentak lalu menjauhkan sedikit dirinya daripada Gibran yang berdiri terlalu rapat dengannya.
Sejak bila pula Gibran ikut dia? Sangkaannya lelaki itu pergi ke tempat lain tadi.
Gibran berdiri tegak semula. Kepalanya tunduk memandang wajah Az-Zahra dengan lebih jelas.
“Awak tanya apa tadi?” soal Az-Zahra meminta Gibran mengulangi soalannya semula. Dia menjilat aiskrim coklat itu.
“Aku tanya, kau memang suka bunga?” soal Gibran semula. Tangannya disilangkan ke dada.
Az-Zahra mengangguk laju.
“Suka sangat! Sebab itu saya buka bisnes kedai bunga. Awak tahu tak bunga-bunga ni semua kita perlu jaga dengan baik dan jangan sesuka hati nak memetik sana sini. Kesian dekat bunga tu nanti hmm,” ujar Az-Zahra dengan wajah sedihnya.
“Kalau awak nak tahu bunga yang paling saya suka ialah bunga tulip. Bunga tulip adalah bunga yang melambangkan keindahan dan kesempurnaan. Kalau awak dapat lihat dekat sini bunga tulip terdiri daripada pelbagai warna yang menarik dan setiap warna pasti ada maksudnya yang tersendiri,” bicara Az-Zahra dengan penuh semangat meskipun Gibran langsung tidak berminat ingin tahu.
“Contohnya, tulip kuning sebagai lambang persahabatan. Tulip yang berwarna merah jambu pula melambangkan penghargaan dan harapan yang baik. Tulip putih melambangkan rasa simpati atau permintaan maaf, pengampunan, dan penyesalan.” Az-Zahra menunjuk satu demi satu bunga tulip di situ sambil memberitahu lambang setiap warna.
Jari telunjuknya kini dihalakan pula pada tulip merah.
“Dan tulip merah yang selalu diberikan kepada pasangan melambangkan...”
“Rasa cinta yang sangat mendalam kepada seseorang,” sambung Gibran sambil menatap wajah Az-Zahra.
Az-Zahra mengangguk sambil tersenyum lebar. Matanya cuma dihalakan pada pemandangan indah di hadapannya tanpa menghiraukan tatapan Gibran.
“Betul, kebanyakan orang ramai mengungkapkan perasaan cinta kepada seseorang dengan cara menghadiahkan bunga tulip merah,” kata Az-Zahra sebelum menjilat aiskrim semula.
Bibirnya mengukir senyuman hambar. Jujur dia katakan, dia juga sangat teringin untuk menerima bunga daripada seseorang. Tapi dia hanya mampu berangan. Entah siapalah yang nak dekat dia.
“Awak suka bunga apa, Gibran?” soal Az-Zahra sekadar ingin tahu. Pasti lelaki itu juga minat pada bunga.
Malah Gibran hanya tersenyum sinis. Tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.
“Aku tak suka bunga,” balas Gibran selamba.
Az-Zahra mencebik. Menyampah.
“Semua benda dalam dunia ni awak tak suka. Habis tu, apa je yang awak suka?”
“Aku suka kau,”
Hampir saja Az-Zahra tercekik kon aiskrim itu mendengar pengakuan selamba daripada Gibran. Dia memandang wajah Gibran lama. Dia tahu lelaki itu cuma bergurau.
Gibran hanya bergurau. Lelaki itu cuma main-main dengannya. Gibran sengaja berkata begitu sebab dia hanya mahu mainkan perasaannya. Mustahil lelaki itu suka dia. Sangat mustahil.
Az-Zahra mengingatkan diri sendiri. Dia tidak mahu terjebak dalam tipu daya seorang lelaki. Pada pengakhirannya nanti, hatinya juga yang akan sakit.
“Sini rupanya dua orang manusia ni. Nasib baik tak hilang. Penat kami cari.” Tiba-tiba kedengaran suara Luke yang muncul entah dari mana datangnya.
Kelihatan Luke dan Sophia melangkah ke arah Gibran dan juga Az-Zahra.
“Jom kita tangkap gambar sama-sama. Bukan selalu kita keluar ramai-ramai macam ni,” kata Luke sambil tersenyum riang.
Sophia mengangguk setuju.
“Telefon siapa kamera dia lawa? Telefon aku dah habis bateri jadi tak dapat guna.” Kedengaran agak sedih bunyinya.
“Kita guna telefon Az-Zahra. Kamera dia lawa sangat,” kata Sophia memberikan cadangan. Langsung tidak dihiraukan jelingan tajam Az-Zahra.
Amboi, telefon pintar dia juga yang nak kena guna.
“Boleh saya pinjam sekejap?” Luke meminta izin dengan penuh sopan.
Az-Zahra tiada pilihan lain melainkan bersetuju. Dia menghulurkan telefon pintar itu kepada Luke. Belum sempat Luke ingin mengambilnya, Gibran terlebih dahulu merampasnya dengan agak kasar.
“Biar aku yang tangkap gambar. Kalau aku tangkap cantik sikit gambar tu,” pelawa Gibran.
“Rajin pula kau hari ni? Kalau aku ajak bergambar ada saja alasannya.” Luke menyindir secara halus. Dalam hati sudah mengejek Gibran.
“Diamlah, mangkuk!”
“Okey juga tu. Lagipun, Tuan Gibran kan tinggi. Jadi boleh nampak kita semua dalam gambar tu nanti.” Sophia juga turut bersetuju.
“Jadi awak nak kata saya tak tinggilah?” soal Luke dengan nada merajuknya.
“Eh, bukan macam tu. Jangan salah faham. Awak pun tinggilah tapi lebih baik Tuan Gibran saja yang tangkap gambar kita. Lagipun saya tak naklah tangan awak sakit. Nanti saya risau,” jelas Sophia. Dia tersenyum malu.
Gibran menjulingkan mata ke atas. Az-Zahra pula kemam bibir menahan ketawa. Entah kenapa dia rasa lucu.
“Cepatlah! Tadi kata nak bergambar, kan! Kau tak payah nak merajuk sangatlah macam budak-budak!” Gibran menjerit kuat di situ.
“Pastikan kau senyum. Kalau tidak, memang jadi buruk gambar tu.” Luke memberikan amaran.
Telefon pintar itu diangkat tinggi. Mereka mengambil posisi yang sesuai untuk mengambil gambar. Az-Zahra dan Sophia berdiri bersebelahan sambil membuat gaya yang menarik manakala Luke berdiri di sebelah Gibran sambil memeluk bahu lelaki itu.
“1, 2, 3!”
Klik!
♡ ♡ ♡ ♡
MALAM itu setelah menunaikan solat fardhu Isya’ berjemaah bersama keluarga, Az-Zahra terus masuk ke dalam bilik tidurnya. Telefon pintar dicapainya. Dia ingin menghasilkan satu klip video yang sangat menarik. Video itu akan disimpan untuk dijadikan kenangan. Bila-bila masa saja boleh tengok semula.
Gambar-gambar yang diambil tadi turut dimasukkan ke dalam klip videonya. Az-Zahra tersengih-sengih sendirian tatkala melihat gambar-gambar yang diambil pada petang tadi.
Dia melihat satu persatu wajah yang ada di dalam gambar tersebut. Sehinggalah matanya terhenti pada wajah Gibran. Lelaki itu sedang tersenyum manis sehingga menyerlahkan sepasang lesung pipitnya yang dalam. Senyuman itu sangat cantik.
Tanpa dipinta, fikirannya kembali teringat akan kata-kata Gibran petang tadi.
“Aku suka kau,”
Tiga patah perkataan tetapi cukup membuatkan dia tertanya-tanya. Dia tak nak layan perasaan ini. Puas sudah dia menepis namun tetap juga sama. Dia asyik memikirkan ayat tersebut. Terngiang-ngiang sehingga sekarang.
Dia tahu Gibran sengaja mengungkapkan ayat itu hanya sekadar gurauan. Lelaki itu sendiri pernah mengaku yang dia tak pernah sukakan perempuan. Tapi melihat wajah Gibran yang serius ketika mengucapkannya membuatkan dia keliru.
Ah, apa nak hairan. Gibran memang selalu tayang muka dinginnya.
Az-Zahra menggeleng kepala. Bibirnya mengucapkan istighfar. Dia mahu lupakan semuanya.
Hai :) Sekadar ingin menyapa, hihi ^^
Share this novel