16 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

MINGGU ini merupakan minggu terakhir Gibran bekerja di Scarlett Florist. Masa berlalu dengan sungguh pantas sehingga tidak sedar hampir sebulan Gibran bekerja di Scarlett Florist dan tidak lama lagi lelaki itu akan meninggalkan kedai bunga ini.

Hubungan Gibran dan Az-Zahra bertambah dingin. Sudah beberapa hari mereka tidak berbual kerana Gibran sering mengelak daripada bertembung dengan Az-Zahra. Agak sukar untuk Az-Zahra berbincang dengan Gibran berkenaan hal kerja kerana Gibran langsung tak pernah nak bagi kerjasama. Pandang muka dia pun tak sudi.

Az-Zahra mengerling ke arah jam di pergelangan tangannya sekilas. Tiga jam Gibran keluar tanpa meminta kebenaran daripadanya. Seolah-olah lelaki itu yang berkuasa sekarang ini. Sesuka hati keluar tanpa meminta izin terlebih dahulu. Dia dianggap macam halimunan di kedai bunga ini. Siapa majikan dan siapa pekerja sekarang ini? Sakit hati dia diperlakukan sebegitu.

“Assalamu’alaikum. Hai, Zahra!” Suara yang sungguh ceria itu menegur Az-Zahra sekali gus telah mengganggu ketenangannya. Suara garau yang tidak asing lagi di telinganya. Az-Zahra mengangkat wajah lalu anak matanya bertembung dengan anak mata hitam pekat itu.

Khair Faqih.

Az-Zahra menghela nafas berat.

Berkunjung ke Scarlett Florist sudah menjadi rutin harian seorang manusia yang bernama Khair Faqih. Setiap hari Faqih akan datang ke kedai bunga tetapi bukan dengan tujuan untuk membeli bunga sebaliknya dengan bawakan makanan tengah hari untuk Az-Zahra.

“Kau tak bosan ke selalu datang kedai bunga aku hari-hari?” soal Az-Zahra menahan sebal. Dia tak sampai hati nak menghalau Faqih keluar dari kedai bunganya ini. Dia tidak sekejam itu.

“Kalau ya pun jawablah salam aku dulu,” tegur Faqih dengan suara yang agak lembut.

“Wa’alaikumussalam,” jawab Az-Zahra perlahan seraya mendekati sebuah sofa berwarna hijau gelap itu. Dia melabuhkan punggung di atasnya.

Faqih senyum manis.

Dia meletakkan satu beg kertas di atas meja kaca sebelum mengambil tempat duduknya di hadapan Az-Zahra. Az-Zahra hanya memandang kosong ke arah beg kertas itu. Tidak perlu dia membukanya kerana dia sudah tahu isi di dalamnya.

“Rajinnya kau bawakan makanan untuk aku,” puji Az-Zahra ikhlas namun jauh di sudut hatinya dia kurang senang dengan layanan Faqih terhadapnya. Dia tidak berapa selesa jika Faqih sering menghantar makanan kepadanya. Dia seperti menyusahkan hidup lelaki itu.

Faqih masih tersenyum. Matanya masih merenung seraut wajah cantik Az-Zahra.

“Faqih, kau boleh tak berhenti hantar makanan dekat aku. Kau tak perlu nak susahkan diri kau untuk hantar makanan hari-hari. Aku bukannya isteri kau untuk kau layan macam ni,” ujar Az-Zahra meluahkan perasaan yang terpendam di hati. Beg kertas itu masih lagi tidak disentuh.

“Kalau macam tu jomlah kahwin dengan aku.” Selamba Faqih membalas semula.

Az-Zahra ketawa kecil sambil menggelengkan kepala beberapa kali.

“Kahwin dengan kau? Memang taklah aku nak naik pelamin dengan kau. Kau tu sekadar sahabat baik aku je, okey. Jadi jangan nak berangan sampai ke tahap macam tu sekali,” ujar Az-Zahra sekali gus mengingatkan lelaki itu tentang hubungan persahabatan mereka.

Az-Zahra sudah menganggap Faqih sebagai seorang sahabat kerana mereka berkawan baik semenjak sekolah rendah lagi. Hubungan persahabatan Az-Zahra dan juga Faqih lebih lama berbanding dengan Sophia. Selain menganggap Faqih sebagai seorang sahabat, Az-Zahra juga menganggap lelaki itu sebagai seorang abangnya kerana Faqih lebih tua dua tahun daripadanya dan dia juga tidak mempunyai seorang abang.

Faqih cuma diam mendengar kata-kata Az-Zahra.

“Aku tak nak kau datang sini lagi semata-mata nak bawakan aku makanan. Aku bukan tak suka makanan yang kau bawa cuma aku tak nak kau menyusahkan diri sendiri. Aku dah besar, Faqih. Aku bukan budak-budak lagi yang tak reti nak uruskan diri sendiri. Aku dah dewasa dan boleh cari makan sendiri. Lebih baik kau fokus pada hidup kau saja.” Az-Zahra memberikan nasihat.

Dia perlu sedarkan Faqih yang dia bukan lagi Az-Zahra yang dulu. Az-Zahra yang masih kanak-kanak dan tidak tahu menguruskan semua benda sehingga mengharapkan Faqih sentiasa ada di sisinya untuk membantunya. Sekarang dia sudah berumur dua puluh empat tahun dan dia juga sudah pandai berdikari. Bukan bermaksud dia tidak perlukan Faqih lagi cuma dia tak suka Faqih menyusahkan diri sendiri sedangkan Az-Zahra mampu buat benda itu.

“Kau sepatutnya hargailah aku. Ini tidak, ditegahnya lagi aku supaya jangan hantar makanan. Sedih aku bila kau cakap macam ni. Aku dekat Malaysia cuma tiga bulan saja dan lepas ni kita mungkin takkan berjumpa lagi. Aku tahulah kau dah muak sangat nak hadap muka aku,” kata Faqih dengan ekspresi wajah yang sedih. Kedengaran jelas nada merajuknya.

Az-Zahra mengeluh kecil. Ini yang dia lemah sangat. Dia lemah dalam bab-bab memujuk orang.

“Janganlah merajuk dengan aku pula. Aku cuma cakap semua ni sebab aku tak nak dianggap menyusahkan kau. Aku tak suka kau paksa diri untuk buat semua ni,” tutur Az-Zahra lembut.

“Aku bukan merajuk tapi aku terasa sikit dengan kata-kata kau tadi. Tapi, aku faham kau bagi nasihat dekat aku untuk kebaikan aku juga, kan?”

Az-Zahra senyum lebar seraya mengangguk kepala. Nasib baik Faqih boleh faham. Tak perlulah dia karang ayat berjela-jela semata-mata untuk memujuk lelaki itu.

“Kalau kau dah cakap macam tu aku dah tiada pilihan lain selain turuti kehendak kau. Cuma aku harap kau makanlah makanan yang aku bawa tu untuk kali terakhir. Kali ini aku janji aku takkan hantar makanan dekat kau lagi dan aku harap kau jaga makan kau lepas ni,” janji Faqih sekali gus menitipkan pesanan.

Az-Zahra angguk sekali. Dia mengeluarkan sebuah bekas makanan dari beg kertas itu. Bibir merahnya melorek senyum lebar tatkala melihat makanan di dalam bekas tersebut.

Az-Zahra mula membaca doa makan sebelum mengisi perutnya yang terasa kosong itu. Faqih pula memandang ke sekeliling mencari susuk tubuh Gibran. Sedari tadi dia tidak melihat pekerja Az-Zahra itu.

“Mana pekerja kau?”

“Entah,” jawab Az-Zahra malas.

Faqih mengerutkan keningnya.

“Dia dah berhenti kerja ke?” tanya Faqih lagi.

“Belum lagi,”

“Dia memang kerja dekat kedai bunga kau untuk selama-lamanya ke?” Faqih bertanya lagi.

Az-Zahra menggeleng kepala menjawab pertanyaan Faqih.

“Gibran cuma kerja sebulan dekat sini sebab dia cuma pekerja sementara. Dia gantikan pekerja aku yang sedang bercuti di kampung sekarang ni. Minggu ni merupakan minggu terakhir dia,” jelas Az-Zahra sebelum menyuap masuk mi kari itu ke dalam mulutnya.

“Ouh, baguslah kalau macam tu,” gumamnya perlahan namun telinga Az-Zahra cekap mendengarnya.

“Apa yang bagus?”

“Erk, maksud aku bagus pekerja kau yang seorang lagi tu, balik ke kampung nak lawat orang tua dia. Sekurang-kurangnya dia tak lupa keluarga dia dekat sana,” balas Faqih sambil senyum manis.

Az-Zahra cuma diam.

“Urm, kenapa dia tiba-tiba kerja dekat kedai bunga kau? Bukannya sebelum ni dia CEO ke?”

“Macam mana kau tahu dia CEO sebelum ni?” soal Az-Zahra agak hairan. Seingat Az-Zahra, dia tidak pernah lagi memberitahu kerja Gibran sebelum ini kepada Faqih.

“Aku pernah nampak wajah dia dekat majalah sebulan yang lepas. Tak silap aku dia seorang CEO bagi sebuah syarikat perhotelan. Royal Palace Hotel yang terkenal tu milik syarikat dia. Betul, kan?” soal Faqih mahukan kepastian. Dia masih ingat lagi gambar seorang lelaki yang terpampang pada sebuah majalah yang pernah dibacanya sebulan yang lalu. Wajah kacak lelaki itu sangat mirip dengan wajah Gibran. Dia sangat yakin mereka adalah orang yang sama.

“Oh, ha’ah. Gibran seorang CEO sebelum ni tapi dia dah berhenti kerja dengan alasan yang aku sendiri tak pasti,” kata Az-Zahra.

“Kenapa dia pilih untuk kerja dekat sini? Dah tak ada kerja lain dah ke yang dia boleh mohon?” Faqih bertanya dengan nada yang kedengaran seperti tidak berpuas hati.

“Entah, aku pun tak berapa pasti sangat kenapa dia beria-ia nak kerja dekat kedai bunga aku sedangkan dia lebih layak kerja di tempat yang gajinya lebih tinggi berbanding dekat sini,” sokong Az-Zahra pula.

“Jangan-jangan dia ada rancangan jahat sebab tu dia beria-ia nak kerja dekat sini. Kau tak rasa pelik ke dia tiba-tiba letak jawatan kemudian mohon kerja di kedai bunga kau? Ada sesuatu yang tak kena dengan dia,” tuduh Faqih tanpa berfikir panjang.

Az-Zahra menggeleng kepala. Dia sangat tak suka dengan sikap Faqih yang menuduh Gibran sesuka hati tanpa sebarang bukti.

“Aku tak suka kau cakap macam ni, Faqih. Jangan nak tuduh Gibran macam tu. Aku tahu dia baik dan dia tak ada rancang apa-apa yang jahat pun. Mungkin dia ada sebab kenapa dia letak jawatan sebagai CEO dan mohon kerja dekat sini. Cuba bersangka baik sikit,” ujar Az-Zahra sambil menatap wajah Faqih yang jelas tidak berpuas hati.

“Kenapa kau bela dia pula? Kau jangan cakap dengan aku yang kau dah jatuh cinta dengan dia.” Nadanya penuh dengan tuduhan. Faqih merenung tajam wajah Az-Zahra.

Az-Zahra terdiam.

“Kau jangan macam-macam, Zahra. Gibran tu bukan Islam. Dia tak layak langsung untuk kau,” ujar Faqih lagi.

“Mana ada. Aku cuma tak suka kau tuduh dia melulu tanpa ada bukti,” balas Az-Zahra seraya menggeleng kepala. Hairan melihat sikap Faqih yang tiba-tiba saja menuduhnya begitu.

“Kalau betul dia ada niat jahat?” Faqih masih lagi ingin memprovokasi Az-Zahra.

“Gibran bukan macam tu. Walaupun dia nampak saja dingin dan sombong tapi sebenarnya hati dia baik. Niatnya cuma ingin bekerja dan cari duit untuk tampung kehidupan dia. Kita tak tahu cerita di sebalik kehidupannya jadi kau janganlah sesuka hati nak fitnah dia,” tegas Az-Zahra berkata, mempertahankan Gibran.

Faqih terdiam tatkala mendengar bicara Az-Zahra.

♡ ♡ ♡ ♡

AZ-ZAHRA baru saja selesai menyusun bunga-bunga di dalam bakul yang diletakkan di atas rak dan ketika itu Gibran baru saja tiba di Scarlett Florist. Wajah kacak itu sangat dingin sehingga membuatkan Az-Zahra yang memandangnya terasa menggigil seluruh tubuh badan. Wajah Az-Zahra langsung tidak dipandang walau sesaat pun sedangkan gadis itu berdiri tidak jauh daripadanya.

Az-Zahra mendengus perlahan. Dia sangat tak puas hati. Dia dah tak boleh sabar dengan sikap Gibran. Lalu dia membuka langkah mendekati Gibran yang sedang meneguk air putih di dalam botol mineral itu. Az-Zahra bercekak pinggang di hadapan Gibran. Dia sabar menanti lelaki itu habis minum. Namun, Gibran langsung tak peduli dengannya dan selamba meninggalkan Az-Zahra di situ. Az-Zahra tergamam.

“Gibran, awak pergi ke mana tadi, hah?” soal Az-Zahra sambil mengekori langkah besar Gibran. Lelaki itu sengaja menyibukkan diri dengan kerja menggubah bunga. Soalan Az-Zahra sengaja tidak dijawab

“Hei, awak dengar ke apa yang saya tanya ni?” Az-Zahra berdiri betul-betul di sebelah sofa yang menjadi tempat duduk Gibran. Lelaki itu masih mendiamkan diri. Tangannya pula tidak henti-henti bergerak menyusun bunga.

Az-Zahra semakin hilang sabar namun dia cuba untuk mengawal kemarahannya dan cuba untuk bersabar melayan sikap dingin Gibran.

“Awak pergi ke mana tadi? Kenapa awak keluar tak minta izin saya dulu? Awak keluar awal sangat tadi sedangkan waktu makan tengah hari belum masuk. Saya tunggu awak lebih daripada tiga jam. Saya layan pelanggan-pelanggan yang datang seorang diri. Awak pergi ke mana lama sangat di luar tu?” Az-Zahra bertanya dengan penuh kesabaran. Suaranya juga diperlahankan sedikit supaya dapat memujuk hati Gibran.

Hampanya lelaki itu masih tidak bersuara.

“Awak tu pekerja saya jadi jangan sesuka hati keluar masuk kedai bunga ni macam awak tinggal di hotel! Kalau awak dah tak sudi nak kerja dekat sini lebih baik awak berhenti awal!” jerit Az-Zahra agak kuat. Dia juga sebenarnya tidak sengaja meninggikan suara di hadapan lelaki itu. Az-Zahra seperti hilang kawalan.

Gibran mencampak gunting di tangannya ke atas meja kaca itu sehingga menghasilkan bunyi yang agak kuat. Dia kemudiannya berdiri lalu menghadap Az-Zahra. Kepala ditundukkan sedikit untuk memandang wajah Az-Zahra dengan lebih jelas.

“Berani kau jerit dekat aku tadi, kan?” Kedengaran sinis bunyinya. Tajam anak mata helang itu menikam dalam anak mata Az-Zahra.

Az-Zahra sudah mula rasa seram sejuk dengan perubahan mendadak Gibran. Wajah itu sangat seram dipandang sehingga bulu romanya berdiri tegak. Jika nak dibandingkan Gibran dengan hantu, lelaki itu lebih seram. Silap-silap hantu pun boleh pengsan melihat wajah seram Gibran. Namun, Az-Zahra tidak mahu menunjukkan dirinya takut dengan lelaki ini. Dia mendongak kepala memandang Gibran yang lagi tinggi daripadanya bersama senyuman sinis.

“Memang saya berani jerit depan awak! Lelaki macam awak memang patut diajar! Awak boleh tak sematkan rasa tanggungjawab dalam diri awak sebagai seorang pekerja? Awak layan saya macam saya musuh awak. Awak tiba-tiba berubah dingin dengan saya. Apa yang saya dah buat sampai awak layan saya dingin, Gibran? Awak langsung tak nak bercakap dengan saya macam sebelum ni. Apa salah saya?” Segala luahan hatinya diungkapkan di hadapan Gibran.

Terasa panas tubir matanya saat ini. Dia rasa hendak menangis. Jujur hatinya berbisik, dia rasa rindu nak bercakap dengan Gibran seperti selalu. Gibran tetap melayannya walaupun perangainya tak semenggah langsung.

Gibran cuma diam. Hanya menatap wajah Az-Zahra yang berubah kemerah-merahan.

“Saya sabar saja layan perangai dingin awak yang tak habis-habis ni walaupun saya tak tahu apa salah saya pada awak sampaikan awak tak sudi nak bercakap dengan saya dan pandang muka saya. Kalau saya ada buat salah, saya minta maaf. Saya tak nak kita bermusuhan. Saya nak berkawan dengan awak. Saya nak bercakap dengan awak macam sebelum ni. Tapi, awak pula yang tiba-tiba berubah,” ujar Az-Zahra lagi. Sedaya-upaya dia menahan air matanya untuk tidak jatuh di hadapan Gibran. Kalau tidak, memang Gibran lelaki pertama yang melihat dia menangis.

“Aku tak suka kau rapat dengan dia,” ujar Gibran tiba-tiba.

Az-Zahra tersentak. Dia memandang wajah Gibran dengan penuh tanda tanya. Siapa ‘dia’ yang dimaksudkan oleh Gibran? Az-Zahra cuma diam dan menanti Gibran bersuara semula.

“Aku tak suka kau bercakap dengan dia dan aku nak kau jauhkan diri daripada dia. Dia bukan lelaki yang baik seperti yang kau sangka selama ni,” tutur Gibran kembali.

“Siapa yang awak maksudkan sebenarnya?” soal Az-Zahra ingin tahu. Dari tadi Gibran asyik sebut perkataan ‘dia’ sedangkan Az-Zahra sendiri tak tahu siapa yang dimaksudkan oleh lelaki itu.

Gibran senyum sinis.

“Orang yang kau anggap sebagai sahabat lama,” tutur Gibran perlahan seperti berbisik.

Az-Zahra yang sudah mula faham automatik fikirannya terbayang wajah seseorang.

“Maksud awak Faqih?”

Gibran tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng kepala. Dia cuma diam.

“Kenapa awak tiba-tiba cakap Faqih bukan lelaki yang baik? Apa bukti awak? Awak kenal dia ke?” tanya Az-Zahra sambil memeluk tubuh. Dia hairan kenapa Gibran tiba-tiba bercakap tentang Faqih sedangkan Faqih tidak terlibat langsung dalam hal ini.

Gibran menapak selangkah ke hadapan menjadikan jarak di antara mereka semakin rapat. Az-Zahra hanya tayang muka selamba walaupun hatinya bergelojak saat ini. Dia cuma untuk menenangkan dirinya.

“Kau masih belum kenal dia sepenuhnya. Kau tak tahu siapa dia yang sebenarnya. Aku beritahu kau sebab aku tak nak kau jadi mangsa dia,” kata Gibran bersungguh-sungguh lagaknya seperti dia lebih lama mengenali Faqih.

“Jangan nak mengarut boleh tak? Awak kenal ke dia sampai sanggup nak fitnah dia bukan-bukan? Saya tak suka awak reka cerita tentang dia sebab saya lebih lama kenal dia daripada awak jadi awak tak ada hak nak cakap macam tu!” tegas Az-Zahra.

Gibran ketawa sinis namun bunyinya kedengaran agak sedih. Sedikit sebanyak kata-kata Az-Zahra mengguris hatinya. Pedih yang dirasakan saat ini kerana Az-Zahra membela lelaki itu.

“Lantak kaulah!” ucap Gibran malas. Kemudian, dia duduk semula di atas sofa dan menyambung kerjanya yang tergendala tadi.

Az-Zahra mengetap bibir menahan geram.

“Awak tak jawab lagi soalan saya, Gibran. Apa salah saya sampai awak layan saya dingin sangat macam ni, hah? Apa yang awak tak puas hati sangat dengan saya?” Az-Zahra masih tidak berpuas hati kerana soalannya masih lagi tidak dijawab. Macam mana dia nak tahu salahnya jika Gibran tak nak buka mulut?

“Perlu ke untuk kau tahu apa salah kau?” soal Gibran tanpa memandang wajah Az-Zahra.

Az-Zahra melepaskan keluhan berat. Tangannya digenggam erat. Dia rasa macam nak cekik Gibran sekarang ini.

“Mestilah saya kena tahu apa salah saya supaya saya takkan ulang kesilapan yang sama pada awak lagi lepas ni. Saya tak nak bergaduh dengan awak dan bermusuhan macam ni,” kata Az-Zahra dengan suara yang perlahan. Tidak lagi tinggi seperti tadi.

“Sejak bila pula kita bermusuhan?” soal Gibran lagi.

“Habis tu, awak tak layan saya tu apa? Saya cuba ajak awak bercakap tapi awak pula sengaja nak mengelak. Awak yang tiba-tiba berubah.” Az-Zahra mengingatkan kembali layanan Gibran terhadapnya sebelum ini.

Gibran tiba-tiba berhenti melakukan kerjanya. Dia berdiri semula lalu memusingkan tubuhnya ke arah Az-Zahra. Az-Zahra sudah bersedia mendengar lelaki itu bersuara. Mereka saling menghadap antara satu sama lain dan bertatapan mata.

Kelihatan halkum lelaki itu bergerak-gerak.

“This feeling shouldn’t be in my heart,” ungkapnya sambil memandang wajah Az-Zahra yang jelas kebingungan.

“Huh?”

Gibran memejam mata beberapa saat sebelum membukanya semula. Dia cuba untuk mencari kekuatan agar dapat meluahkan segala perasaannya yang dipendam selama ini.

“Seeing you with another guy breaks my heart. It’s very painful. I can’t deny it,” kata Gibran lagi sambil melekapkan tapak tangannya pada bahagian dada yang terletak jantungnya di situ.

“A...apa benda yang awak mengarut ni, Gibran?” soal Az-Zahra sambil menatap wajah Gibran yang sepertinya sedang berperang dengan perasaan sendiri. Panahan mata lelaki itu juga sungguh lain. Sangat lembut membuatkan jantungnya semakin tak tentu arah.

“I don’t like the way he stares at you. I don’t like you talking to him and I don’t like you laughing in front of him. It breaks my heart. I’m jealous when your attention is only for him,” luah Gibran dengan perasaan yang bercampur-baur.

Az-Zahra telan air liur yang terasa kelat. Dia semakin berdebar-debar melihat Gibran berkelakuan seperti ini.

“Kenapa awak perlu cemburu, Gibran?” tanya Az-Zahra kurang faham.

“Sebab aku cintakan kau!”

Terasa nafasnya tersekat di bahagian kerongkong. Az-Zahra rasa macam nak pengsan mendengar pengakuan lelaki itu. Betulkah apa yang dia dengar tadi?

“I have fallen in love with you, Az-Zahra Al-Mahyra,” ucap Gibran lembut. Renungannya juga menjelaskan semuanya.

Az-Zahra seperti hendak pitam. Debaran jantungnya semakin laju. Dia tak pernah menduga Gibran yang sedingin ini akan jatuh cinta terhadapnya. Tak pernah terlintas di fikirannya langsung.

Gibran mengambil nafas seketika. Sudah tiba masanya dia patut ceritakan satu persatu kepada Az-Zahra supaya gadis itu faham.

“Sejak kita terserempak di restoran lagi, kau dah beri kesan pada aku. Waktu kita hampir terlanggar di sana, aku rasa sesuatu sangat dekat kau tapi aku hanya abaikannya. Aku jadi rasa bersalah sebab kutuk kau dengan panggilan yang kau tak suka. Dan beberapa hari kemudian, aku tak sangka kita berjumpa lagi di hotel masa majlis makan malam. Aku masih ingat lagi wajah kau waktu tu. Aku mengaku yang kau sangat cantik malam tu sehingga aku tak pandang perempuan lain. Dan malam tu juga aku ambil kesempatan nak minta maaf dekat kau,” ceritanya.

Gibran menarik nafas panjang dan dihembus perlahan. Setelah itu, dia menyambung ceritanya.

“Aku sendiri tak faham dengan diri sendiri. Aku ingatkan pertemuan kita di hotel adalah pertemuan yang terakhir tapi aku silap. Kita banyak kali terserempak. Di mana saja aku berada, aku pasti akan terjumpa kau. Sejak pertemuan kita di hotel lagi, semakin kuat hati aku nak kenal kau dengan lebih mendalam. Aku bukan lelaki yang mudah sukakan perempuan apatah lagi perempuan Muslimah. Aku tak pernah sukakan mana-mana perempuan sebelum ni tapi semenjak aku kenal kau, hati aku rasa tertarik sangat dengan kau. Aku cuba untuk hapuskan perasaan mengarut ni tapi aku tak mampu.”

“Bila aku letak jawatan sebagai CEO memang aku berniat nak cari pengalaman baharu dengan melakukan kerja-kerja yang aku tak pernah buat sebelum ni tapi bukan kerja di kedai bunga. Aku memang tak ada niat nak kerja dekat kedai bunga sehinggalah aku lalu di hadapan kedai bunga kau dan nampak notis pencarian pekerja sementara. Aku dapat tahu kau kerja di Scarlett Florist disebabkan Sophia yang beritahu. Lagipun, syarikat kami pernah tempah bunga di sini. Dan aku ambil peluang yang ada untuk kerja di sini supaya aku dapat kenal kau lebih rapat lagi,” ujar Gibran berterus-terang. Memang itulah niatnya bekerja di Scarlett Florist.

Az-Zahra tergamam. Cukup membuatkan dia terkejut mendengar cerita lelaki itu.

“Aku selesa bila bercakap dengan kau. Aku rasa tenang sangat tapi bila dia muncul, aku rasa tergugat. Aku tak kisahlah Faqih tu sahabat lama kau ke apa sebab melalui hubungan persahabatan pun perasaan cinta tu mesti akan wujud juga antara salah seorang, kan? Aku cemburu tengok kau layan dia. Dan dari situlah aku sangat yakin yang aku memang dah terjatuh hati dekat kau,” katanya lagi.

“Aku pilih untuk pendam perasaan ni sebab aku tahu kita takkan dapat bersama sampai bila-bila. Kehidupan kita bagaikan langit dengan bumi. Sangat jauh beza. Tapi, aku tak kuat untuk pendam perasaan ni sebab aku sakit hati bila tengok kau dengan dia. Dan sekarang kau beritahu aku, dengan cara aku luahkan perasaan aku ni kau akan terima aku ke?” soal Gibran berharap walaupun dia sudah tahu jawapan Az-Zahra.

Az-Zahra terdiam. Bibirnya terkunci rapat. Dia rasa hendak mengalirkan air mata sekarang ini gara-gara menahan sebak. Wajah Gibran yang jelas terpancar kekecewaan itu membuatkan hatinya sangat sakit. Dadanya terasa sempit. Dia tak pernah terfikir dia akan mengalami situasi begini.

“Nah, it’s okay. Sekurang-kurangnya kau tahu juga perasaan aku terhadap kau sebelum aku berhenti kerja dekat sini,” tutur Gibran perlahan. Akhirnya lelaki itu membuka langkah dan pergi meninggalkan Az-Zahra sekali lagi bersendirian di situ. Entah ke mana tujuannya namun dia hanya ingin menenangkan fikirannya yang sedang bercelaru.

♡ ♡ ♡ ♡

SAYUR-SAYURAN hijau yang sudah dibasuh sehingga bersih tadi kini dipotong oleh Az-Zahra. Tangannya yang memegang pisau itu lincah memotong sayur sawi namun fikirannya melayang ke tempat lain.

Kata-kata Gibran siang tadi terngiang-ngiang di telinganya. Fikirannya cuma dipenuhi dengan wajah lelaki itu. Jantungnya mula berdegup laju tatkala teringatkan kembali perasaan yang diluahkan oleh Gibran terhadapnya. Bibirnya mengukir senyuman. Tak sangka lelaki dingin macam Gibran boleh jatuh cinta pada perempuan yang hanya biasa-biasa seperti dia.

“Hah, termenung!” Suara garau yang menegurnya itu membuatkan Az-Zahra terperanjat. Mujur sahaja dia tidak terpotong jarinya tadi. Az-Zahra menjeling tajam ke arah Zafran yang tayang muka tak bersalah di hadapannya.

“Sekali lagi buat macam tu, memang hilang kepala kau terus!” ugut Az-Zahra sebelum menyambung kembali kerja memotong sayur-sayuran itu. Dia cuba mengawal ekspresi wajahnya agar tidak disedari oleh Zafran.

Zafran mencebik bibir.

“Patutnya kakak bersyukur sebab Zaf kejutkan kakak macam tu. Kalau tidak memang dah terpotong jari tu,” ujar Zafran sambil menyandarkan tubuhnya pada kabinet dapur. Tangannya disilangkan ke dada.

Az-Zahra cuma menjeling sekilas wajah Zafran.

“Tadi Zaf tengok kakak tersengih-sengih sendirian. Ingatkan siapa tu? Buah hati pengarang jantung ke?” tanya Zafran sambil tersenyum senget.

“Eh, diamlah kau!” balas Az-Zahra agak kasar. Sekadar ingin menutup perasaan malu. Tak sangka Zafran dapat tangkap dia tersenyum-senyum sendiri tadi. Kan dah kantoi.

“Ala, Zafran tanya je, kan?”

“Dah tak ada soalan lain ke yang kau boleh tanya?” soal Az-Zahra kembali.

“Tapi, Zafran nak tahu siapa yang kakak fikirkan tadi sampai tersengih-sengih macam orang dilamun cinta. Biar Zaf teka. Ini mesti lelaki yang Zaf jumpa hari tu, kan?” tanya Zafran sambil menaikkan sebelah keningnya ke atas beberapa kali.

Semakin erat pegangan Az-Zahra pada pisau itu. Tak perlu disebut pun namanya Az-Zahra sudah tahu lelaki yang dimaksudkan oleh adik lelakinya.

“Mana ada! Jangan nak memandai boleh tak?” Az-Zahra menafikannya.

“Mengaku ajelah. Zafran tahu dia mesti ada perasaan pada kakak, kan? Tengok muka dia masa tu Zafran tahu dia sedang cemburu sampaikan tangan Zaf jadi mangsa,” ujar Zafran lagi.

Az-Zahra diam. Teringat kembali kejadian pada tempoh hari.

“Boleh tahan kacak juga bakal abang ipar Zafran. Lawa anak mata dia.” Zafran bergurau sekadar ingin mengusik.

Az-Zahra mendengus perlahan.

“Tak payah nak berangan. Lagipun, dia bukan Islam jadi kau tak payah nak berangan-angan tinggi nak jadikan dia sebagai abang ipar kau,” tegas Az-Zahra.

“Ala, mana tahu suatu hari nanti terdetik hati dia nak memeluk agama Islam? Kita tak tahu perancangan Allah dan kita juga tak tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan,” tutur Zafran.

Terkunci rapat mulut Az-Zahra mendengarnya.

“Siapa nama dia, kak? Zafran tak sempat tanya nama dia hari tu,”

“Gibran,” jawab Az-Zahra. Automatik jantungnya juga terus berdebar-debar bila menyebut nama lelaki itu.

“Masya-Allah, unik nama dia. Bunyi macam nama orang luar negara sikit. Kakak kenal-kenalkanlah Zafran dengan dia. Mana tahu nanti kami boleh jadi rapat,”

“Gibran tak berkawan dengan orang yang nakal macam kau jadi sila berhenti berangan,” ujar Az-Zahra. Malas hendak melayan perangai nakal adiknya itu.

“Zafran cuma nak kenal lebih rapat je dengan bakal abang ipar...”

“Siapa abang ipar?” Satu suara mencelah dalam perbualan antara dua orang adik-beradik itu.

Percakapan Zafran terhenti serta-merta. Mereka berdua tersentak mendengar suara yang agak tegas itu tiba-tiba muncul. Serentak, kepala berpaling ke arah Haji Arsyad yang sedang berdiri di sebelah peti sejuk.

“A...ayah,” tegur Zafran. Automatik dia berdiri tegak tatkala melihat susuk tubuh ayahnya di situ. Az-Zahra telan air liur.

“A...ayah buat apa dekat sini?” soal Zafran lagi. Sempat dia mengerling ke arah Az-Zahra yang masih kaku.

“Ayah tanya tadi, siapa abang ipar? Sejak bila pula keluarga kita terima orang baru?”

“Erk...” Zafran kehilangan kata-kata. Dia tak tahu hendak jawab apa.

“Tak ada siapa, ayah. Zafran sengaja cakap macam tu sebab dia teringin sangat nak ada abang ipar. Yalah, dia seorang je kan anak lelaki dalam keluarga ni. Itu yang dia dari tadi cakap pasal bakal abang ipar,” jawab Az-Zahra sebelum ketawa kecil. Wajah Zafran yang pucat itu dijeling tajam.

Haji Arsyad hanya angguk-angguk kepala.

“Sajalah ayah nak beritahu yang ayah takkan terima mana-mana lelaki jadi menantu ayah,” ujar Haji Arsyad dengan tegas.

Az-Zahra rasa nak nangis ketika itu. Takkanlah dia membujang sampai bila-bila?

“Kecuali Harith. Ayah cuma terima dia sebagai menantu ayah sebab dia satu-satunya lelaki yang layak untuk kamu, Zahra. Harith menantu pilihan ayah. Kamu suka atau tidak, itu bukan urusan ayah,” ucap Haji Arsyad sebelum melangkah pergi.

Jantung Az-Zahra bagai nak gugur mendengar kata-kata ayahnya itu.

Harith?

Adakah lelaki yang dimaksudkan oleh ayahnya itu Aysar Harith? Lelaki yang dia tak pernah cinta selama ini? Jadi ayahnya memang sudah merancang ingin satukan dia dengan Harith. Tapi dia tak boleh terima Harith sebab hatinya bukan untuk lelaki itu. Ya, dia tahu Harith lelaki yang cukup sempurna. Baik, faham agama dan hormat orang tua tapi kalau dah hatinya tak terpaut pada lelaki itu takkan nak dipaksa?

“Tak sangka ayah dah cop Abang Harith sebagai menantu. Untunglah kakak tak payah susah-susah cari calon suami. Dah ada depan mata.” Suara Zafran menghentikan lamunan Az-Zahra.

Az-Zahra memandang kosong ke arah adik lelakinya itu.

“Masalahnya, kakak tak cintakan Harith,” ujar Az-Zahra lemah.

“Habis tu, takkanlah kakak nak melawan cakap ayah pula?”

Az-Zahra cuma diam. Dia buntu sekarang ini. Di saat dia membayangkan dirinya dipersatukan dengan Harith, wajah Gibran muncul di fikirannya. Takkanlah dia juga sudah mula sukakan lelaki itu? Ya Allah, dugaan apakah ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience