29 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

CUACA pada pagi itu sungguh cerah. Matahari memancar lembut menyinari bumi sehingga membentuk sinaran yang berkilauan di atas permukaan air. Langit biru terbentang luas dan kedengaran burung-burung berkicauan, seolah-olah sedang menyanyi kecil sambil menikmati keindahan pagi. Gibran berdiri di tepi kolam renang sambil menatap langit biru. Kagum melihat kekuasaan Allah mencipta seluruh alam ini. Dia bersyukur kerana masih berpeluang untuk bernafas dan menikmati keindahan ciptaan Allah.

Baru hari ini dia berpeluang untuk balik ke rumah agam milik Tuan Aldric. Pagi-pagi lagi dia sudah terpacak depan pintu rumah. Kini, rumah agam ini tidak lagi dihuni oleh insan yang bernama Tuan Aldric. Susuk tubuh itu tiada lagi di muka bumi ini. Banyak kejadian yang berlaku setahun lalu.

Perkahwinannya bersama dengan Eleanora dibatalkan di saat akhir atas kehendaknya sendiri. Tuan Aldric pula menghidapi strok selepas Gibran membatalkan perkahwinannya sehingga lelaki tua itu meninggal dunia. Eleanora pula hilang entah ke mana setelah itu.

Akhirnya, Gibran membawa diri ke Switzerland, iaitu negara kelahiran arwah ibunya. Sejak dia memulakan kehidupan baru di Switzerland, Gibran merasakan ketenangan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Tiada sesiapa yang mengganggu ketenteramannya. Dia juga sudah boleh menerima Ungku Matilda sebagai ibu tirinya dan menerima Asher dan Aurisstella sebagai adik-adiknya walaupun berbeza ibu.

“Tuan muda, Ungku panggil tuan untuk sarapan pagi sama-sama.” Suara lembut seorang wanita muncul di belakang Gibran.

Kelihatan seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an sedang tersenyum manis ke arah jejaka muda itu. Mak cik Maryam tetapi lebih selesa dikenali sebagai Mak Yam, pembantu rumah yang sudah lama bekerja di rumah agam ini. Sejak Gibran masih kecil lagi, Mak Yam sudah mula bekerja dengan Tuan Aldric. Ketika itu, Tuan Aldric masih bersama dengan isteri pertamanya.

“Baik, Mak Yam. Saya masuk sekarang,” balas Gibran, sopan.

Langkahnya diatur menuju ke meja makan. Gibran melihat adik perempuannya, Aurisstella sedang menikmati sarapan pagi sambil bermain telefon pintarnya, jari runcingnya tidak berhenti skrol skrin telefon itu.

“Stella, waktu makan jangan main telefon. Hormat pada rezeki. Simpan dulu telefon tu, nanti sambung main,” ujar Gibran tegas.

Aurisstella memuncungkan bibirnya.

“Stella tengah layan Live kakak cantik ni je. Stella suka tengok dia sebab dia cantik macam bidadari,” kata Aurisstella sambil menatap skrin telefon pintarnya. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

Gibran menggeleng kepala perlahan.

“Mama dan Asher mana? Tadi masa abang sampai, abang langsung tak nampak Asher.”

“Mama ada je dekat dapur tengah goreng ayam. Abang Ash pula awal-awal pagi lagi dah keluar joging dengan kawan dia,” balas Aurisstella tanpa memandang wajah Gibran yang sedang duduk di hadapannya. Matanya masih melekat pada skrin telefon pintar, menyaksikan siaran langsung dari pempengaruh yang diminatinya.

“Abang Gibran makanlah nasi lemak yang mama masak ni. Mama masak sedap sangat. Stella nak cuci tangan sekejap.”

Gibran cuma mengangguk.

Tangannya mencapai pinggan kaca lalu menyenduk nasi dengan cermat. Pergerakannya terhenti seketika apabila telinganya seakan-akan mengecam suara yang datangnya dari telefon pintar adik perempuannya.

Gibran merenung tajam telefon itu. Aurisstella sengaja meninggalkannya di meja makan. Gibran mencapainya tanpa berfikir panjang. Perasaan ingin tahunya menebal.

Air liur ditelan kesat. Jantungnya berdegup laju.

Dia...

Terpampang jelas wajah lembut itu di skrin. Wajah yang sangat dirinduinya.

♡ ♡ ♡ ♡

AZ-ZAHRA fokus membaca satu persatu komen yang diterima menerusi siaran langsung di Instagram. Hampir mencecah tiga juta manusia yang menyaksikan siaran langsungnya pada ketika ini. Setiap soalan yang diterima berkenaan dengan jualan bunganya dijawab ringkas, manakala komen yang tidak sepatutnya dibiarkan begitu saja. Baginya, tiada guna melayan perkara yang tidak bermanfaat.

Semenjak Scarlett Florist terbakar, Az-Zahra meneruskan perniagaannya secara dalam talian. Bila ada masa lapang, dia akan buat siaran langsung di Tik Tok atau Instagram dengan tujuan untuk mempromosikan bunga-bunga jualannya.

anna_flower
Akak, bahan apa yang selalunya akak guna untuk hasilkan bunga kraf tangan?

Komen yang diterima daripada salah seorang pengikutnya dibaca.

“Saya selalu guna bahan seperti pipe cleaner. Awak boleh beli dekat Shopee atau kalau awak nak senang beli aje dekat Auravista Mall. Dekat sana banyak dijual,” jawab Az-Zahra.

serrabell_
Saya minat sangat dengan bunga kraf tangan awak sejak dulu lagi. Awak memang berbakat besar. Sending my love and support to you ♡

itsfloraroses
Minat dekat awak sejak tahun lepas lagi. Saya selalu beli bunga dekat Scarlett Florist dulu, suka tengok cara awak gubah bunga. Terserlah kelembutannya.

rissa ☘︎ ݁˖
Teringin sangat nak jadi macam akak. Tutup aurat, kreatif, pandai gubah bunga, cantik pula tu. Perfect!

dh.rhna
Zahra buatlah lagi tutorial nak hasilkan bunga guna pipe cleaner.

Az-Zahra hanya senyum.

Kadang-kadang dia juga buat Live bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pengikut-pengikutnya, terutamanya tentang cara menghasilkan bunga kraf tangan.

farhan.s
Jadi boyfriend I nak tak?

wanfiqri_
Kenapalah isteri aku tak cantik macam dia?

Contoh komen yang Az-Zahra malas nak layan. Ada juga yang dia tumbuk nanti.

Bersyukurlah sebab ada isteri, sekurang-kurangnya dia terima kekurangan kau. Entah-entah dia pun menyesal sebab pilih kau jadi suami dia. Muka pun tak siap.

Hati Az-Zahra berbisik geram.

Sungguh dia tak selesa membaca komen-komen lelaki gatal yang ditinggalkan di ruangan komen. Macam mana mereka boleh tersesat masuk ke dalam Live-nya.

s.erynn
Jual bunga je pun! Apa nak dibanggakan sangat? Paling-paling pun budak-budak je yang beli.

weena_
Jual bunga ni mesti sebab belajar sampai SPM je kan?

Komen seperti ini juga sering diterima setiap kali dia membuat siaran langsung di Instagram mahupun Tik Tok. Kadang-kadang dia juga akan dapat komen berbaur kecaman sedangkan Az-Zahra langsung tidak mengenali pemilik akaun tersebut.

Dalam hidup ini pasti akan ada sesetengah manusia yang tidak berpuas hati dengan kehidupan kita walaupun kita tak pernah ganggu hidup mereka. Memang lumrah kehidupan, sebaik macam mana pun seorang manusia tetap akan ada yang membenci. Az-Zahra tiada niat mahu bersuara tentang komen tersebut kerana dia sudah terbiasa. Jika dia membalas risau keadaan jadi semakin teruk.

Matanya tiba-tiba tertumpu pada satu komen yang tiba-tiba saja muncul. Jantungnya bertukar rentak tatkala membaca satu patah perkataan itu.

auriss_tella ✿
Bellisima!

Az-Zahra tersedar sesuatu. Hanya satu patah perkataan tetapi mampu memetik suis ingatannya kembali. Seseorang pernah mengungkapkan perkataan tersebut kepadanya.

Tapi, dia tidak tahu makna perkataan itu. Takkanlah dia kena carut guna bahasa asing pula.

Perkataan itu membuatkan Az-Zahra teringat kepada seseorang. Wajahnya terbayang di fikiran saat ini namun Az-Zahra pantas menepis. Tiada guna mahu mengimbau kisah lama. Lagipun, dia akan pastikan mereka tidak bertemu lagi selepas ini.

Az-Zahra cuba untuk mengabaikan komen tersebut. Dia meneruskan kerjanya kembali. Tetapi, fikirannya dipenuhi dengan tanda tanya. Mungkin itu hanya kebetulan saja.

♡ ♡ ♡ ♡

MASJID NUR AL-MAHABBAH. Gibran hanya memerhatikan masjid besar itu dari dalam kereta. Mata lawanya tajam memandang ke arah beberapa orang lelaki yang lengkap dengan pakaian solat melangkah keluar dari masjid. Mungkin baru selesai menunaikan solat Asar.

Gibran akan berkhidmat sementara sebagai imam muda di masjid ini. Pengerusi masjid ini yang melantiknya menjadi imam dan dipersetujui oleh ahli jawatankuasa di masjid ini. Rezeki yang dia tak pernah sangka. Sekurang-kurangnya dia boleh mencari pengalaman baru biarpun baru saja masuk Islam.

Bertambah komitmennya pada tahun ini. Hal syarikat perhotelan juga dia perlu uruskan. Nasib baik ada Asher dan Luke yang membantu.

Gibran keluar dari perut kereta. Dia mengatur langkah menuju masuk ke dalam kawasan masjid. Wajah yang sangat dikenalinya menyapa kornea matanya membuatkan Gibran tersenyum lebar.

“Assalamu’alaikum, baru sampai ke?” tegur ustaz muda itu sambil tersenyum ceria.

Gibran mengangguk seraya menjawab salam lelaki itu. Mereka berjabat tangan seketika.

Ustaz Idris merupakan seorang pengerusi Masjid Nur Al-Mahabbah, juga merupakan kenalan rapat Gibran. Ini bukanlah pertemuan kali pertama antara mereka, sebaliknya Gibran dan Ustaz Idris sudah lama berkenalan sejak zaman universiti lagi. Mereka bertemu kembali setelah sekian lama mereka tidak berhubung.

“Kau baru balik dari Swiss, kan?”

“Ya, baru saja aku balik Malaysia. By the way, kenapa kau suruh aku datang sini?” tanya Gibran, terus kepada perkara utama.

Ustaz Idris senyum manis.

“Kau tahu kan, aku lantik kau jadi imam muda di masjid ni sebab Tok Imam yang lama dah letak jawatan, beliau selalu sakit. Aku nak dengar jawapan kau untuk kali terakhir, aku nak kepastian. Kau betul-betul sudi nak jadi imam sementara di masjid ni?”

“Ya, aku setuju. Dah banyak kali aku ulang jawapan yang sama,” balas Gibran dengan nada malas.

“Aku bukan apa, Gib. Aku risau kalau kau tukar fikiran last-minute. Aku dah tak tahu nak cari siapa lagi yang sesuai untuk jadi imam. Kebanyakan orang-orang lelaki yang tinggal dekat sini tak berminat nak jadi imam. Bila aku suruh azan, semuanya lari lintang-pukang macam nak kena sunat. Bila aku dapat tahu kau dah masuk Islam, aku cuba nasib aje suruh kau jadi imam, tak sangka pula kau setuju.”

“Aku okey. Sekurang-kurangnya aku dapat pengalaman baru, kan. Cumanya, aku risau dengan tanggapan orang-orang di kampung ni. Macam mana kalau mereka tak setuju? Lagipun, aku mualaf. Tak ke nanti mereka pertikaikan latar belakang aku?” kata Gibran, meluahkan kebimbangannya.

Ustaz Idris menepuk bahu tegap Gibran.

“Sejak bila kau fikir tentang tanggapan orang lain? Gibran yang aku kenal dulu seorang yang berani dan langsung tak fikir tanggapan negatif orang di sekelilingnya. Tak perlu ambil risau sangat, lagipun ahli jawatankuasa masjid ni dah bersetuju dengan cadangan pelantikan kau. Masa mereka dengar suara azan kau melalui audio message, mereka suka dengar suara kau.”

Gibran diam. Tidak tahu hendak memberi reaksi bagaimana.

“Kami ada mengadakan mesyuarat baru-baru ni tentang aktiviti sempena bulan Ramadan. Kami nak kau terlibat sama dalam aktiviti bulan puasa nanti.”

“In Syaa Allah, kalau aku tak sibuk aku boleh ikut sebab aku kena uruskan hal syarikat perhotelan juga. Sejak ayah aku meninggal setahun yang lalu, aku kena ambil alih syarikat perhotelan tu.”

“Adik kau boleh tolong, kan?”

“Ya, tapi aku tak boleh harapkan Asher seratus-peratus sebab jawatan tertinggi tu aku yang pegang. Jadi, aku kena jalankan tanggungjawab.”

“Tak apalah, yang penting kau boleh luangkan masa dekat sini. Eh, aku sebenarnya nak ajak kau jalan-jalan dekat kawasan di kampung ni. Kau kan tak pernah merasa suasana kampung. Rumah pun dekat bandar.”

“Boleh juga.”

Mereka berjalan kaki meneroka kawasan kampung sambil menikmati pemandangan hijau yang sungguh indah. Pohon-pohon rendang melambai perlahan ditiup angin sepoi-sepoi. Gibran menghirup udara segar pada petang itu. Rambutnya kini berubah kusut gara-gara ditiup angin tetapi masih terserlah ketampanannya.

Telinganya hanya fokus mendengar cerita Ustaz Idris tanpa ada niat mahu mencelah. Langkah mereka terhenti di satu kawasan tanah lapang yang agak luas, kawasan yang sering menjadi tumpuan penduduk kampung kerana kawasan ini boleh digunakan untuk mengadakan pelbagai aktiviti.

Kelihatan sekumpulan remaja lelaki sedang bermain bola sepak di hujung padang. Sesekali terdengar sorakan mereka apabila bola berjaya dimasukkan ke dalam gawang.

Mata Gibran tiba-tiba terpaku pada seseorang di sudut lain padang. Seorang gadis berpakaian serba hitam sedang fokus dengan permainannya. Gadis itu mengangkat busur dan menarik anak panah lalu dilepaskan sehingga terkena sasaran. Sekumpulan kanak-kanak yang menjadi penyokong kecilnya bersorak kegembiraan.

“Kau pandang apa?” tegur Ustaz Idris apabila menyedari Gibran terlalu fokus memerhati ke satu arah.

Gibran diam, tidak menjawab. Soalan Ustaz Idris bagaikan angin lalu di telinganya. Matanya merenung tajam ke arah gadis itu. Jantungnya berdegup kencang.

Ustaz Idris tersenyum melihat reaksi Gibran. “Az-Zahra Al-Mahyra.” Sebaris nama itu meniti di ulas bibir Ustaz Idris.

“Apa dia?” soal Gibran, meminta Ustaz Idris agar mengulanginya semula. Dia tak salah dengar, kan?

“Perempuan yang kau tengah pandang sekarang ni namanya Az-Zahra. Dia seorang ustazah yang mengajar budak-budak di kampung ni mengaji. Dia seorang yang hebat memanah. Dia jadi ustazah sebab nak bantu kanak-kanak di sini supaya lancar mengaji. Dulu, dia pernah sekolah KAFA. Dekat kampung ni, dia jadi dambaan semua lelaki tapi satu pun dia tak layan. Setakat ni belum ada lagi lelaki yang berjaya buka pintu hati dia,” jelas Ustaz Idris menceritakan serba sedikit tentang Az-Zahra.

“Kenapa kau beritahu aku semua ni?”

Ustaz Idris tersenyum senget.

“Kau nampak berminat nak kenal dengan dia. Bukan semudah itu nak cairkan hatinya. Tapi kalau kau nak, usahakan sampai dia jadi milik kau,” tutur Ustaz Idris.

Gibran senyum sinis.

“I will,” gumam Gibran perlahan.

Dia bertekad mahu memperbaiki semula hubungan mereka dan menjelaskan semuanya kepada Az-Zahra.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience