MAJLIS akad nikah yang diadakan di rumah banglo milik keluarga Sophia berjalan lancar. Hanya dengan sekali lafaz yang sah disaksikan wali dan saksi, Sophia sah menjadi isteri kepada Luke mengikut hukum syarak. Bermulanya drama air mata setelah Luke melafazkan akad. Air mata kebahagiaan.
Selesai majlis akad nikah, diteruskan dengan majlis bersanding yang diadakan di The Sapphire Residence Hotel, sebuah kediaman atau hotel yang eksklusif dan mewah. Hotel ini berada di bawah syarikat yang sama dengan Royal Palace Hotel. Persembahan hebat daripada penyanyi terkenal menambahkan lagi aura majlis. Tidak lupa juga, kehadiran para tetamu turut menceriakan suasana.
Az-Zahra berdiri tegak di sebelah Sophia dengan tangan memegang erat kipas gaharu yang dihias cantik, tidak berhenti mengipas pengantin baru itu. Dua jam sudah berlalu, kaki dan tangannya terasa lenguh. Sesekali Az-Zahra mengerling ke arah pengapit lelaki yang berdiri di sebelah pengantin lelaki. Tak silap Az-Zahra, namanya Luth Mahfuz. Kacak dan tinggi orangnya. Kerja pun bagus dan memegang jawatan inspektor polis. Tetapi sudah berpunya, jadi dia dah tak ada peluang. Tak apa ramai lagi lelaki kacak di luar sana.
Perut Az-Zahra tiba-tiba berbunyi, memberikan amaran agar diisi dengan segera. Bila lapar begini, tenaganya hampir berkurang. Sejak pagi tadi, dia belum menjamah nasi. Cuma beberapa biji kismis saja yang sempat dikunyah tadi.
“Sophia, boleh tak aku pergi makan sekejap. Laparlah,” bisik Az-Zahra ke telinga Sophia.
Sophia hanya mengangguk. Dia juga perasan sahabatnya belum menjamah nasi sejak tadi. Takut pengsan je budak tu nanti.
Az-Zahra senyum lebar. Akhirnya, dia boleh berehat sekejap.
Az-Zahra melangkah ke sebuah meja panjang yang dipenuhi dengan pelbagai jenis hidangan. Aroma masakan memenuhi rongga hidungnya, membuatkan perutnya berkeroncong untuk kesekian kalinya. Makanan yang dihidangkan sungguh menyelerakan sehingga menyukarkannya untuk membuat pilihan.
Tanpa berfikir panjang, tangannya laju mencapai sebuah pinggan kaca lalu menyenduk nasi beriani dengan penuh tertib. Ayam madu dan daging kicap dijadikan sebagai lauk utama.Tangannya sempat mengambil segelas jus buah.
Usai, Az-Zahra berjalan sambil memerhati sekeliling ruang dewan yang besar, mencari jika masih ada meja kosong, tetapi semua meja sudah penuh dengan para tetamu yang hadir. Kalau semua meja dah penuh, di mana lagi dia nak makan? Atas lantai?
Tiba-tiba matanya tertumpu pada sebuah meja bulat yang kosong di suatu sudut, meja yang tidak diduduki oleh sesiapa. Meja yang agak tersembunyi kerana berada di hujung ruang. Senyuman lebar terukir pada wajah cantik Az-Zahra. Kakinya mengatur langkah menuju ke arah meja tersebut. Namun, perhatiannya terganggu tatkala dia perasan ada sebuah telefon pintar berjenama mahal diletakkan di atas sebuah kerusi yang berbalut kain itu.
“Siapa punya telefon pula ni? Tak takut ke kalau ada orang curi?” Az-Zahra berkata sendirian, hanya didengari oleh telinganya sendiri. Telefon itu diambil lalu diperhatikan jikalau ada klu yang membolehkannya mencari pemilik sebenar telefon ini.
“Sorry, miss. But, that’s my phone. Can I have it back?” Suara garau yang begitu dalam menyapa gegendang telinga Az-Zahra, membuatkan gadis itu terkejut.
Az-Zahra menoleh ke arah punca suara. Kelihatan seorang jejaka tinggi yang lengkap berpakaian baju Melayu berwarna navy blue dan bersongkok hitam sedang berdiri di hadapannya. Berkerut kening Az-Zahra. Agak sukar untuk dia melihat keseluruhan wajah jejaka di hadapannya ini kerana dia memakai pelitup muka dan terdapat kaca mata hitam yang dipakainya.
Gila ke apa lelaki ni? Dah kenapa pula pakai kaca mata hitam dekat sini? Bukannya ada cahaya matahari yang terik dalam dewan ni.
Mendengarkan lelaki itu berdehem kuat, Az-Zahra bagaikan tersedar sesuatu lalu memulangkan semula telefon pintar mahal itu kepada lelaki yang masih berdiri tegak di hadapannya.
Tanpa mengucapkan terima kasih, lelaki itu duduk semula di atas kerusi kosong di meja yang sama Az-Zahra pilih.
Az-Zahra mencebik. Geram sungguh dengan perilaku lelaki ini.
Dia dah tolong pulangkan semula telefon pintarnya, tak reti nak ucap terima kasih pula mamat ni. Nasib baik dia tak jual. Az-Zahra memandang dengan pandangan tidak percaya. Selamba saja lelaki itu duduk di meja yang Az-Zahra pilih tanpa menghiraukan langsung wajahnya yang berubah cemberut.
“Maaf, encik. Saya yang cop meja ni dulu. Encik duduklah tempat lain.” Selamba Az-Zahra menghalau lelaki tinggi itu tanpa rasa bersalah.
Dia bukan apa, dia kurang selesa mahu duduk semeja dengan orang yang tidak dikenali, dengan lelaki pula tu. Lagipun, dia yang nampak meja ni dulu.
“I was already sitting here before you came. You found my phone when you tried to sit down, so that’s proof I’ve already claimed this spot,” balasnya, bersahaja tanpa memandang wajah Az-Zahra. Tumpuannya hanya pada telefon pintarnya saja.
Az-Zahra telan air liur.
Suara garau lelaki itu sungguh menakutkannya, meremang bulu romanya.
Kenapa dalam sangat suara dia ni? Tapi, kenapa suara itu seperti pernah didengar sebelum ini?
“Tapi, saya...” Az-Zahra kehilangan kata-kata.
Mungkin benar apa yang dikatakan oleh lelaki itu, sebab masa dia datang ke meja ini dia nampak telefon pintar miliknya. Habis tu, dia nak makan di meja mana lagi.
“You can eat here if you want, but please, don’t disturb me,” ujar lelaki itu lagi.
Bersinar-sinar mata Az-Zahra mendengar kata-kata lelaki itu.
“Be...betul ke?” soal Az-Zahra, menginginkan kepastian sekali lagi.
“Aku malas nak ulang dua kali.”
Az-Zahra mencebik, menyampah. Reti pula nak cakap bahasa Melayu. Tapi sumpah, suara itu mengingatkannya pada seseorang.
“Terima kasih, encik. Saya janji takkan ganggu encik. Saya cuma nak makan saja,” ujar Az-Zahra, lalu mengambil tempat duduk di sebuah kerusi kosong, jaraknya dengan lelaki itu hanya selang tiga kerusi.
Az-Zahra memulakan santapannya tanpa menghiraukan lelaki misteri itu. Dari hujung mata, Az-Zahra perasan lelaki itu banyak kali menoleh ke arahnya, atau itu hanyalah sekadar halusinasinya saja. Mungkin dia yang cepat perasan.
♡ ♡ ♡ ♡
SELESAI majlis bersanding, barulah Az-Zahra dapat menarik nafas lega. Berjam-jam Az-Zahra bekerja sebagai seorang pengapit. Lenguh tangan dan kakinya. Para tetamu yang hadir juga semakin berkurang. Suasana yang pada awalnya meriah kini bertukar sunyi sepi. Masing-masing sibuk mengemas agar dewan itu kembali kepada keadaan asal.
Az-Zahra juga meringankan tulang membantu pekerja-pekerja di situ mengemas. Setakat menyusun kerusi, satu kerja yang sangat mudah. Lagipun, dia juga ada tolong menghias dewan ini tempoh hari, jadi biarlah dia tolong kemas sekali biarpun dia penat. Takkanlah dia nak duduk goyang kaki sedangkan pekerja lain sibuk mengemas.
“Terima kasih, Zahra. Sebab awak dah tolong kami kemaskan dewan ni. Maaf kalau dah menyusahkan awak sebab kalau ikutkan ini sebenarnya tugas kami,” ujar salah seorang pekerja hotel.
Az-Zahra hanya melemparkan senyuman manis.
“Saya hanya tolong susun kerusi aje. Tak menyusahkan pun,” balas Az-Zahra mudah.
“Bukan apa, kami cuma risau kalau bos kami nampak kami curi tulang dan membenarkan orang luar pula yang buat kerja.”
Kata-kata pekerja hotel itu membuatkan Az-Zahra ketawa kecil. Entah kenapa dia rasa lucu.
“Awak janganlah beritahu dia. Dia takkan tahu kalau awak tak beritahu. Lagipun, bukannya dia ada dekat sini, kan?” Yakin saja Az-Zahra berkata, macamlah dia kenal dengan bos yang dimaksudkan oleh pekerja hotel itu.
“Erk...tapi...”
“Awak janganlah risau. Tak perlu fikir sangat. Saya rasa saya pun dah nak kena balik. Saya nak berehat,” ujar Az-Zahra.
Malam ini, dia ada kelas mengaji dengan anak-anak muridnya. Seharian ini dia langsung tak sempat nak berehat.
Setelah meminta diri, Az-Zahra mengatur langkah menuju ke arah pintu utama dewan. Tak sabar rasanya ingin balik ke rumah. Rindunya dia pada tilam empuknya. Az-Zahra baru saja ingin menarik pintu besar itu tetapi seperti ada seseorang yang menolaknya dari luar.
Az-Zahra tersentak.
Sungguh déjà vu.
Az-Zahra bagaikan kembali pada setahun yang lalu, di saat pertama kali dia bertemu...
“Sorry.” Perlahan suara garaunya mengucapkan maaf. Tenggelam suaranya akibat pelitup muka yang dipakai, tetapi Az-Zahra masih dapat mendengarnya biarpun perlahan.
Membulat mata Az-Zahra apabila dia bertembung dengan lelaki itu sekali lagi.
Kenapa dia masih ada di sini?
Az-Zahra ingatkan semua tetamu sudah balik.
“Eh, encik...” Belum sempat Az-Zahra menghabiskan ayatnya, lelaki itu sudah pergi meninggalkannya membuatkan dia tercengang seketika.
Az-Zahra berdecit perlahan. Matanya tajam merenung belakang tubuh tegap lelaki tinggi itu dari jauh.
♡ ♡ ♡ ♡
“WELCOME back to Malaysia, bro!” ucap Luke ceria seraya memeluk erat tubuh tegap sahabatnya.
“Dah terlambat, aku balik sini dua hari lepas, baru sekarang kau nak sambut kedatangan aku. Dahlah tak jemput aku di airport haritu,” bebelnya tidak puas hati.
“Ala, kau ni pun. Aku minta maaf sebab tak dapat jemput kau, aku busy dengan persiapan kahwin aku.”
Gibran diam, tidak membalas. Dia cuma bergurau, langsung tidak mengambil hati sebab dia faham Luke sibuk dengan urusan kahwinnya.
“Yang kau datang bilik aku ni dah kenapa? Isteri kau tak cari ke? Baru beberapa jam kahwin dah tinggalkan isteri seorang diri,” soal Gibran seraya membuka songkok hitam di kepalanya. Butang baju Melayu di tubuhnya dibuka satu persatu.
“Aku nak jenguk kau sekejap, dah lama kita tak kongsi cerita sama-sama. Kau jangan risau, aku dah beritahu Sophia. Cumanya dia tak tahu aku jumpa kau, aku cuma cakap dekat dia yang aku nak jumpa kawan.”
Luke menghampiri Gibran lalu duduk di sebelah jejaka itu.
“Macam mana kehidupan kau dekat Switzerland? Is everything going well? Ceritalah apa perasaan kau sejak memulakan hidup sebagai seorang Muslim?” soal Luke tanpa sempat Gibran mengambil nafas. Luke antara orang yang paling teruja bila dapat tahu Gibran ingin memeluk Islam.
Gibran menggeleng kepala perlahan. Banyak sangat soalan si kawan.
“Alhamdulillah, aku dapat rasa perubahan yang berlaku dalam hidup aku. Sepanjang aku tinggal di Swiss, kehidupan aku jadi lebih baik. Aku dapat tenangkan fikiran dan lupakan masalah di Malaysia,” ujar Gibran, tenang.
“Momen yang paling aku tak sangka adalah di mana aku terserempak dengan seorang Islamic scholar dekat sana. Allah pertemukan aku dengan beliau, satu nikmat yang aku sangat syukuri.” Gibran memulakan cerita.
“Siapa yang kau maksudkan?” soal Luke ingin tahu.
“Sheikh Ibrahim Al-Muhtadi, beliau banyak bimbing aku mengenai Islam dan bantu aku memahami ajaran Islam yang sebenar. Beliau sering berkongsi kisah-kisah inspirasi dan ilmu yang sangat bermakna. Sedikit sebanyak ilmu yang aku dapat daripada beliau membolehkan aku mengenali keindahan Islam, sebuah agama yang sempurna dan sesungguhnya Allah meredai Islam.”
“Keindahan Islam membuatkan aku jatuh cinta untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam. Setiap ajaran Islam, mendidik umatnya untuk hidup dengan penuh keadilan, kasih sayang dan menghormati antara satu sama lain. Tujuan manusia hidup di dunia untuk mengabdikan diri kepada Allah, beribadah dan sujud kepada-Nya dan jangan sesekali menyekutukan Allah. Manusia hidup di dunia untuk diuji, menguji keimanan dan kesabaran manusia. Kita kena ingat, hidup di dunia hanya sementara dan lakukan amal ibadah untuk mendapatkan reda Allah.
Firman Allah dalam Surah Al-An’am, ayat 162,
قُلْ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحْيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
Panjang lebar Gibran bercerita, berkongsi tentang kisah hidupnya dan ilmu yang dipelajari. Air matanya hampir mengalir namun ditahan. Hatinya sarat dengan penuh keinsafan. Dia bersyukur kerana Allah telah mempertemukannya dengan seorang insan yang faham agama dan mengurniakan hidayah yang tak ternilai kepadanya. Kehidupannya yang dahulu kelam kini diterangi dengan cahaya Islam.
Gibran menoleh ke arah Luke. Sahabatnya itu jelas tergamam, memandang wajah Gibran dengan pandangan tidak percaya.
Gibran menahan ketawa melihat reaksi Luke.
“Kau...betul ke kau Gibran?”
Mendengarkan soalan Luke yang seakan-akan tidak masuk akal, Gibran menggeleng kepala.
“Asal? Kau tak percaya?”
Luke senyum.
“Bukan aku tak percaya, aku cuma terkejut dengar kau bertazkirah. Aku gembira sangat bila dapat tahu kau nak masuk Islam. Akhirnya Allah makbulkan juga doa aku. Cumanya aku tak ada di sisi kau masa kau mengucapkan syahadah. Sheikh Ibrahim Al-Muhtadi ke yang ajar kau melafazkan kalimah syahadah?”
“Ya, beliau yang bimbing aku. Aku dah bertekad nak jadi seorang Muslim yang terbaik. Bila belajar tentang Islam, aku rasa seronok sangat. Sebab perkara tu membuatkan aku lebih dekat dengan Allah,” ujar Gibran.
“Keluarga kau tahu?”
“Of course, bila aku beritahu dekat mama aku, dia pun nak masuk Islam sekali. Cumanya, Asher dengan Stella saja yang masih kekal dengan agama yang dulu,” balas Gibran, sedih.
“Tak apa, kita sama-sama doakan semoga adik-adik kau dapat hidayah,” kata Luke seraya menepuk bahu tegap Gibran.
Share this novel