SUDAH sepuluh minit Az-Zahra memandang kalendar di hadapannya. Tarikh keramat yang ditanda pada kalendar itu ditatap lama bersama perasaan yang bercampur-baur. Kini tinggal dua hari saja lagi Gibran berkerja di sini sebelum lelaki itu berhenti kerja dan Qaireen pula akan kembali semula ke Scarlett Florist.
Selepas Gibran meluahkan perasaannya terhadap Az-Zahra tempoh hari, hati Az-Zahra agak berat untuk melepaskan Gibran pergi. Az-Zahra seperti belum bersedia untuk kehilangan Gibran dari dalam hidupnya. Kemungkinan besar dia tidak akan berjumpa lagi dengan lelaki itu selepas ini. Mereka juga akan menjadi orang asing seperti sebelum-sebelum ini ketika mereka masih belum mengenali antara satu sama lain. Dia dan juga Gibran akan menjalani kehidupan seharian seperti biasa tanpa perlu mengambil tahu akan hal masing-masing.
Az-Zahra juga semakin menjauhkan diri daripada Gibran selepas mengetahui isi hati lelaki itu. Dia sebenarnya malu untuk berhadapan dengan Gibran. Kalau dulu, Gibran yang selalu mengelak daripada Az-Zahra dan sekarang ini giliran Az-Zahra pula yang mengelak daripada bertembung dengan Gibran. Macam-macam alasan yang diberikan oleh Az-Zahra untuk tidak bercakap dengan lelaki itu.
Az-Zahra mengeluh kecil.
“Kau mengelamun apa?” Suara maskulin itu menjengah sistem pendengaran Az-Zahra sehingga membuatkannya terkejut. Hampir saja dia terjatuh dari kerusi namun sempat dia berpaut pada meja. Az-Zahra memandang wajah Gibran yang dingin seperti selalu. Automatik jantungnya berdegup laju.
“Tak ada apa-apa. Saya cuma tengok kalendar,” jawab Az-Zahra dengan suara yang agak perlahan.
Az-Zahra mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Dia tak mampu untuk bertentang mata dengan Gibran. Degupan jantungnya semakin lama semakin laju tatkala dia menyedari Gibran dari tadi merenungnya namun dia sengaja memandang ke arah lain. Pandang cicak lagi bagus.
Az-Zahra berdehem kuat untuk mengalihkan perhatian lelaki itu.
“Kedai dah tutup, kenapa awak tak balik rumah lagi?” soal Az-Zahra tanpa memandang wajah Gibran. Sengaja dia menyibukkan diri dengan mengemas barang-barangnya di atas meja kaunter itu.
“Aku tunggu kau,” balas Gibran, berterus-terang.
Az-Zahra cuba untuk menahan bibirnya daripada mengukir senyuman. Hanya tiga patah perkataan itu mampu membuatkan jantungnya berdebar-debar. Sanggupnya lelaki itu menunggunya dari tadi. Tetapi pada masa yang sama dia rasa seperti menyusahkan Gibran. Gibran tak sepatutnya tunggu dia.
“Awak pergi balik dulu. Saya balik sekejap lagi. Saya nak kemas barang saya sebelum balik,” ujar Az-Zahra, sengaja mencari alasan. Dia mahu bersendirian waktu ini namun tidak menyangka Gibran masih lagi berada di sini.
“Biar aku tolong,” pelawa Gibran. Dia meletakkan helmetnya di atas meja sebelum menghampiri Az-Zahra.
“Tak perlu. Saya boleh buat sendiri,” tolak Az-Zahra. Cepat-cepat dia memasukkan segala barang berharga miliknya ke dalam beg tangannya. Buku-buku kecil di atas meja kaunter disusun. Kalendar yang diambilnya tadi diletakkan di tempat asal semula.
Tidak sempat Gibran membantu, semuanya sudah dikemaskan oleh Az-Zahra. Az-Zahra tersengih di hadapan Gibran.
“Saya dah cakap tadi tak perlu tolong. Lagipun, bukannya banyak sangat pun barang yang nak dikemaskan,” kata Az-Zahra bersama sengihan. Wajah Gibran langsung tiada perasaan. Agak sukar untuk Az-Zahra menebak apa yang bermain di fikiran lelaki itu.
“Dah siap, kan? Jomlah balik,” ajak Gibran.
“Awak pergilah balik dulu sebab saya nak sapu lantai. Banyak habuk pula. Nanti pelanggan-pelanggan saya komplain kedai bunga saya kotor dan tak bersih. Saya juga yang susah,” ujar Az-Zahra. Dia memang sengaja mencari alasan sebab dia nak mengelak daripada Gibran.
Baru saja tangannya ingin memegang batang penyapu itu, Gibran terlebih dahulu pantas mencapainya.
“Let me help you,” katanya lembut. Bibirnya tersenyum nipis.
“Gibran, awak tak perlu...”
“Can you shut up? Boleh tak biarkan aku untuk tolong kau? Bukannya susah pun setakat menyapu. Kalau kau nak tolong juga, kau pegang penyodok tu.” Suara Gibran sengaja ditinggikan saat menuturkan ayat tersebut.
Az-Zahra terdiam tatkala mendengar Gibran bersuara. Tangannya mencapai penyodok sampah yang diletakkan di sudut paling hujung. Gibran menyapu dan Az-Zahra pula memegang penyodok sampah itu. Masing-masing diam. Hanya kebisuan yang menyapa suasana di antara mereka.
Az-Zahra diam memerhatikan Gibran yang sedang menyapu. Tumpuan lelaki itu hanya pada kerjanya. Gibran seperti sudah terbiasa melakukan kerja-kerja rumah seperti ini. Langsung tak nampak kekok. Dalam diam Az-Zahra simpan senyum melihat kesungguhan Gibran yang ingin membantunya.
Tiba-tiba kedengaran bunyi perut Az-Zahra memecahkan kesunyian di antara mereka. Sangat jelas bunyinya memandangkan keadaan pada waktu itu sangat lengang. Automatik wajah Az-Zahra bertukar kemerah-merahan. Dia memalingkan wajah ke tempat lain apabila melihat senyuman yang terukir pada bibir Gibran. Lelaki itu seperti sedang menahan ketawa. Malu dia tak boleh nak bawa bincang. Mana dia nak sorok muka dia yang lawa ni?
“Lapar?” tanya Gibran walaupun dia sudah mengetahuinya.
Az-Zahra menggigit bibir bawahnya. Perlahan-lahan dia mengangguk kepala.
“Jom kita pergi makan lepas ni,” ajak Gibran tiba-tiba.
“Awak ajak saya ke?” tanya Az-Zahra sambil menuding jari pada diri sendiri.
“Taklah. Aku ajak orang yang berdiri dekat belakang kau tu,” jawab Gibran selamba.
Berkerut kening Az-Zahra mendengarnya. Lantas dia berpaling ke belakang dan melihat tiada sesiapa pun yang berdiri di belakangnya ketika ini. Hanya dia dan Gibran saja yang berada di dalam kedai bunga sekarang. Jadi siapa yang Gibran maksudkan tadi? Wajah Az-Zahra terus berubah pucat.
Gibran mengeluh perlahan. Lurus bendul sangat perempuan ni.
“Aku bergurau je tadi. Jangan jadi pembaris sangat. Dah tentulah aku ajak kau. Takkanlah aku ajak cicak pula,” kata Gibran sambil meneruskan kerjanya. Sikit lagi dah nak selesai.
Az-Zahra berfikir sejenak sebelum membuat keputusan.
“Okeylah kalau macam tu. Lagipun, saya ada sesuatu nak bincang dengan awak nanti,” kata Az-Zahra bersetuju. Wajahnya sungguh serius. Sudah tiba masanya untuk dia berbincang dengan Gibran akan hal tersebut. Dia tidak mahu mengelak daripada lelaki itu lagi. Jika dia terus mengelak, hal itu tidak akan pernah selesai.
“Kau nak bincang pasal apa?” soal Gibran tertanya-tanya. Tiba-tiba saja Az-Zahra hendak berbincang sesuatu dengannya. Kening lebat lelaki itu bertaut rapat.
“Nanti saya beritahu. Sekarang tak sesuai,” balas Az-Zahra.
Gibran cuma mengangguk. Kepalanya memikirkan hal apa yang ingin dibincangkan sangat oleh Az-Zahra.
“Kau nak makan dekat mana?” soal Gibran setelah selesai menyapu. Batang penyapu itu diletakkan di tempat asal semula. Dia mengambil penyodok di tangan Az-Zahra lalu membuang sisa-sisa habuk ke dalam tong sampah.
“Kita makan burger dekat tepi jalan nak tak?” cadang Az-Zahra dengan suara yang sangat teruja.
“Tepi jalan? Dah tak ada tempat lain lagi ke nak pergi? Asal tempat kotor macam tu juga kau ajak aku makan?” soal Gibran sambil tayang muka jijiknya. Selama dia hidup di muka bumi ini, dia tidak pernah lagi makan dekat gerai-gerai di tepi jalan.
Az-Zahra menjulingkan mata ke atas. Tipikal orang kaya. Selalu sangat makan dekat restoran mewah sehingga pandang rendah terhadap mereka yang berniaga di tepi jalan.
“Awak jangan risaulah. Saya bukannya jahat sangat sampai nak ajak awak pergi makan dekat tempat-tempat yang kotor macam tu. Kedai burger yang kita nak pergi persekitarannya sangat bersih. Langsung tak ada sampah-sarap. Burger dia pun sedap awak tahu. Keju dia meleleh-leleh. Saya jamin yang awak akan sukakannya. Lama saya tak makan burger sebab tu saya cadang nak ajak awak makan burger sekali,” ujar Az-Zahra sambil membayangkan burger daging yang sangat menggiurkan itu. Dia tak sabar nak makan.
Az-Zahra memandang wajah Gibran yang langsung tiada reaksi. Gibran cuma diam. Az-Zahra menggaru kepalanya yang dilapisi tudung bawal. Entah apa yang bermain di fikiran Gibran dia juga tidak tahu. Mungkin lelaki itu tidak bersetuju dengannya dan ingin makan di tempat lain.
“Erk, tapi kalau awak tak selesa kita boleh makan dekat...”
“No, it’s okay. Aku ikut je apa yang kau nak makan.” Gibran mencantas sebelum sempat Az-Zahra menghabiskan percakapannya.
“Betul awak tak kisah?” tanya Az-Zahra menginginkan kepastian. Dia tak nak Gibran memaksa diri sendiri.
Tetapi Gibran tetap mengangguk. Az-Zahra senyum gembira. Mujur saja Gibran tidak membebel seperti tadi.
Tapi, apa yang menyebabkan lelaki itu ubah fikiran?
Az-Zahra malas mahu berfikir panjang. Dia terus mencapai beg tangannya lalu disangkut pada bahunya. Mereka sama-sama melangkah keluar dari kedai bunga. Az-Zahra mengunci pintu kedai bunga itu terlebih dahulu agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.
Az-Zahra memusingkan tubuhnya menghadap Gibran yang sedang menyarungkan jaket kulit berwarna hitam di tubuh tegapnya. Az-Zahra hanya memerhatikan perbuatan lelaki itu dari jauh. Gibran menoleh ke arah Az-Zahra tatkala menyedari dirinya seperti sedang diperhatikan.
“Asal kau pandang aku macam tu? Nak naik motor dengan aku sekali?” soal Gibran sambil tersenyum nakal. Sengaja ingin menyakat Az-Zahra.
Wajah Az-Zahra terasa membahang tatkala mendengarnya. Dia menggenggam erat bahagian hujung baju kurung yang dipakainya.
“Jangan nak mengarut. Awak ingat saya kemaruk sangat ke nak naik motor dengan awak? Saya tak hinginlah!” ujar Az-Zahra sebelum memalingkan wajahnya dan memandang ke tempat lain. Terasa pipinya berona merah tatkala Gibran merenungnya dengan renungan yang sukar ditafsirkan.
Gibran senyum sinis.
“Aku pun belum gila lagi nak bawa anak dara orang naik motor dengan aku. Lagipun, tempat duduk bahagian belakang ni istimewa hanya untuk bakal isteri aku saja nanti. Jadi tak ada sesiapa yang boleh duduk dekat belakang aku kecuali isteri aku,” ujar Gibran sebelum memakai helmet di kepalanya. Dia menarik visor lalu menutup bahagian matanya.
Entah mengapa jantung Az-Zahra semakin berdegup laju mendengar kata-kata Gibran sedangkan lelaki itu langsung tidak menyebut namanya. Dia saja yang selalu perasan lebih.
Az-Zahra menggeleng kepala. Dia tidak mahu melayan perasaannya. Bimbang jika memudaratkan dirinya.
“Awak ikut kereta saya dari belakang. Jangan ikut kereta lain pula,” pesan Az-Zahra sebelum masuk ke dalam kereta miliknya.
Gibran cuma mengangguk faham. Akur dengan pesanan Az-Zahra.
♡ ♡ ♡ ♡
SETIBANYA di kedai burger yang dimaksudkan oleh Az-Zahra, mereka berdua mengambil tempat duduk di sebuah meja yang kosong. Gibran fokus memerhatikan sekitar kawasan kedai burger ini. Anak matanya tajam mengimbas persekitaran di sini jika terdapat sampah-sampah yang dibuang di merata-rata tempat. Bukan apa, dia cuma tidak mahu selera makannya terbantut jika terhidu bau yang kurang menyenangkan nanti. Lagipun, ini kali pertama dia makan burger yang dijual di tepi jalan. Kebiasaannya dia akan makan di restoran mewah yang sering dikunjunginya.
Namun, tiada satu pun sampah-sarap yang dijumpainya. Benar apa yang dikatakan oleh Az-Zahra. Persekitaran di kedai burger ini sangat bersih. Agak ramai juga pelanggan yang datang ke sini hanya untuk merasai burger yang terkenal itu.
Az-Zahra melemparkan senyuman manis kepada Abang Irfan yang sedang berjalan mendekati meja mereka. Lama juga dia tidak bertemu dengan Abang Irfan. Maklumlah, dia pun bukan selalu sangat datang ke kedai burger ini.
“Hai, Zahra. Nak oder burger apa?” soal Abang Irfan sebaik-baik sahaja tiba di meja yang diduduki oleh Gibran dan Az-Zahra. Di tangannya terdapat sebuah buku kecil dan juga sebatang pen. Bersedia untuk menulis pesanan daripada pelanggannya.
“Macam biasalah, Zahra nak burger daging cheese special,” jawab Az-Zahra sambil tersengih lebar.
Abang Irfan mengangguk seraya senyum manis. Matanya beralih pula ke arah lelaki berwajah dingin yang duduk di sebelah Az-Zahra. Telan liur dia dibuatnya apabila memandang wajah lelaki itu. Sangat serius. Dia tak pernah lagi nampak lelaki itu datang ke sini sebelum ini. Wajahnya juga sangat asing.
“Gibran, awak nak pesan burger apa?” tanya Az-Zahra kepada Gibran seakan-akan berbisik.
“Sama macam kau,” jawabnya sambil memandang wajah Az-Zahra. Az-Zahra mengangguk.
“Abang Irfan, bagi dua burger daging cheese special tau,” ujar Az-Zahra dan senyum manis.
Abang Irfan mengangguk faham. Pesanan Az-Zahra dan juga Gibran dicatat di dalam buku kecil tersebut. Setelah itu, anak matanya melekat pada wajah Gibran sekali lagi. Agak lama juga dia memandang wajah itu. Kemudian, dia mengalihkan pandangan ke arah Az-Zahra sambil melirikkan anak mata ke arah Gibran. Memberi isyarat kepada Az-Zahra untuk memberitahu siapa gerangan lelaki itu. Rasa ingin tahunya menebal saat itu kerana dia belum pernah melihat Az-Zahra keluar bersama dengan lelaki ini. Tengok saja wajahnya dan cara pemakaian lelaki itu pasti bukan calang-calang orang.
Az-Zahra yang faham akan maksud Abang Irfan itu lantas bersuara.
“Abang Irfan, ini kawan saya. Nama dia Gibran. Ini kali pertama Gibran datang sini sebab tu abang tak pernah nampak muka dia sebelum ni.” Az-Zahra memperkenalkan Gibran kepada Abang Irfan. Sekilas dia memandang wajah Gibran yang sememangnya sedang merenungnya sejak tadi. Dah kenapa pula pandang-pandang dia dari tadi? Muka macam nak cari gaduh saja dengan dia.
“Kawan?” soal Abang Irfan meminta kepastian. Dia memandang wajah Gibran dan Az-Zahra silih berganti.
Az-Zahra mengangguk. Keningnya bertaut rapat saat melihat reaksi Abang Irfan. Ada apa-apa yang tak kena ke?
“Muka awak berdua hampir sama. Jodoh kuat sangat ni,” kata Abang Irfan sambil tersengih.
Az-Zahra hampir tercekik air liur mendengarnya. Langsung tak menyangka pemikiran Abang Irfan jauh ke situ. Jodoh kuat? Dia langsung tak nampak masa depan dia dengan Gibran sekarang ini. Awal-awal dah tersasar jauh jodoh dia dengan Gibran.
Abang Irfan meminta diri seketika untuk menyiapkan pesanan Az-Zahra dan juga Gibran. Meninggalkan mereka berdua dalam keadaan Az-Zahra yang sedang kekok.
“Erk, awak tak payah fikir sangatlah apa yang Abang Irfan cakap tadi. Dia memang suka bergurau,” ujar Az-Zahra mengharapkan Gibran tidak mengambil serius dengan kata-kata Abang Irfan sebentar tadi.
“Aku tak kisah pun. Apa salahnya kalau memang dah betul, kan?” Lain pula yang dijawab Gibran. Az-Zahra makin sesak nafas. Renungan lelaki itu sungguh lain macam.
Az-Zahra mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Dia tak mampu untuk bertentang mata dengan Gibran kerana jantungnya semakin laju berdegup. Pipinya juga terasa panas.
“Kau memang panggil dia dengan panggilan ‘abang’ ke?” tanya Gibran sekadar ingin tahu. Az-Zahra angguk.
“Ha’ah. Sebab Abang Irfan tu lagi tua daripada saya. Dan memang sejak kecil lagi saya panggil dia abang sampai sekarang. Jadi saya dah terbiasa. Kenapa awak tanya?”
“Aku tak suka kau panggil dia abang. Sakit telinga aku dengar,” kata Gibran serius. Jujur sangat sehingga membuatkan Az-Zahra kehilangan kosa kata. Terkebil-kebil dia memandang wajah Gibran yang seperti tidak punya perasaan.
“Kau mesti nak tahu kenapa aku kerja di kedai bunga kau, kan?” soal Gibran seraya menukar topik. Dia meletakkan tangannya di atas meja lalu mencantumkan jari-jemarinya.
“Awak kan dah beritahu sebabnya. Awak kerja di Scarlett Florist sebab nak rapat dengan saya,” balas Az-Zahra.
“Memang betul tapi bukan sebab itu saja. Ada sebab lain juga,” beritahu Gibran sambil senyum manis. Az-Zahra sungguh terpana melihat senyuman itu. Bukan selalu Gibran senyum kepadanya. Dah gila agaknya.
“Apa sebabnya?”
“Aku kerja di Scarlett Florist memang sebab nak rapat dengan kau. Tapi, aku juga nak melepaskan rindu pada arwah mommy aku. Arwah mommy juga sangat sukakan bunga. Setiap hari aku pasti akan temankan arwah mommy menggubah bunga tapi semenjak arwah pergi dari hidup aku semuanya tak sama macam dulu. Yang tinggal hanyalah secebis kenangan antara kami,” ujar Gibran sambil menahan sebak.
“Arwah?” soal Az-Zahra pelik. Panjang lebar Gibran bercerita namun satu perkataan itu saja yang menarik perhatiannya.
“She is Muslim. She converted to Islam before she died,” ujar Gibran membuatkan Az-Zahra agak terkejut.
“Selepas bercerai dengan daddy, arwah mommy terus memeluk agama Islam. Aku terpaksa ditinggalkan hidup bersama dengan daddy. Daddy pula kahwin dengan perempuan lain dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Aku tak pernah anggap mereka sebagai adik aku sebab aku tak suka mereka lahir di dunia ni.” Gibran memulakan cerita. Rahangnya diketap kuat. Jelas terpancar kebencian yang sangat dalam terhadap keluarganya melalui anak mata lelaki itu.
Az-Zahra ingin bertanya sesuatu namun dia terpaksa membatalkan niatnya saat melihat Abang Irfan sedang menghampiri meja mereka. Suasana di antara mereka menjadi senyap seketika tatkala Abang Irfan tiba di meja mereka dengan membawa makanan yang dipesan oleh mereka sebentar tadi.
“Enjoy your burger, guys!” ucap Abang Irfan sebelum berlalu pergi.
Gibran dan Az-Zahra hanya senyum kepada Abang Irfan.
“Apa punca kematian arwah mommy awak?” tanya Az-Zahra sebaik-baik sahaja kelibat Abang Irfan hilang dari pandangannya.
“Daddy cakap arwah mommy meninggal dunia sebab sakit. Aku pun tak tahu itu benar atau tidak. Walaupun aku masih kecil tapi hati aku sakit sangat kehilangan seorang wanita yang menjaga aku dengan penuh kasih sayang. Hati aku bertambah sakit bila mana aku tak sempat nak menatap wajah arwah mommy untuk kali yang terakhir. Aku tak tahu kuburannya dekat mana sebab daddy tak cakap dengan aku. Arwah pernah berjanji akan ambil aku semula dari daddy dan tinggal bersama-sama dengan dia tapi janji tu tak kesampaian,” ujar Gibran. Bibirnya tersenyum kelat.
Az-Zahra merenung wajah Gibran dalam-dalam. Wajah kacak itu langsung tidak menunjukkan sebarang riak. Dia tahu Gibran sedang sembunyikan kesedihan dan kesakitan yang dialaminya sekarang. Anak mata lelaki itu memancarkan seribu duka. Gibran seperti sedang menahan air mata daripada jatuh.
“Boleh saya tahu, kenapa ibu bapa awak bercerai?” tanya Az-Zahra ingin tahu.
“Sebab arwah mommy buat keputusan untuk memeluk Islam. Arwah mommy berniat nak ajak daddy sekali untuk mempelajari ilmu-ilmu agama tapi daddy tak setuju. Setiap hari mereka pasti bergaduh dan aku menjadi saksi pergaduhan mereka. Arwah mommy juga selalu sangat beritahu aku tentang hasrat dia yang nak masuk agama Islam. Dengan siapa lagi dia nak kongsi cerita kalau bukan dengan aku. Daddy pun tak sudi nak dengar hasrat arwah mommy. Arwah ada belajar sikit-sikit tentang ilmu agama tapi semuanya terbongkar. Daddy tak mampu nak bersabar lagi dan dia terus ceraikan arwah mommy di depan mata aku sendiri,” cerita Gibran lagi. Fikirannya mengimbau kembali kejadian silam sewaktu dia berusia lima tahun.
“Kalau kau nak tahu, arwah mommy yang ajar aku cara untuk menggubah bunga. Aku suka temankan dia gubah bunga sewaktu dia masih hidup. Bila dah besar, aku belajar mengenal jenis bunga yang ada di dunia untuk tambah pengetahuan. Aku juga cuba belajar menggubah bunga supaya dapat mewarisi kehebatan arwah mommy aku,” cerita Gibran sambil senyum manis. Az-Zahra tahu senyuman itu hanya sekadar senyuman palsu untuk menutup kesedihannya.
“Kehidupan aku sangat kelam. Aku dah tahu macam mana nak tersenyum. Aku dah tak tahu macam mana nak bergembira. Aku dibesarkan dengan penuh seksaan. Sebab itulah aku jadi macam ni,” luah Gibran. Dia menggeleng kepala perlahan.
Az-Zahra tersenyum pahit.
“Saya turut bersimpati apa yang terjadi pada awak,” ucap Az-Zahra perlahan. Bertahun-tahun Gibran tempuhi dugaan ini seorang diri. Kesedihan dan kedukaan yang dialami oleh lelaki itu tiada siapa yang tahu.
Gibran senyum hambar.
“Kenapa awak ceritakan semuanya pada saya?” soal Az-Zahra. Hairan juga dia tiba-tiba saja Gibran rajin bercerita kepadanya tentang masa lampau lelaki itu. Kalau sebelum ini, buka mulut pun susah.
“Saja. Aku nak berkongsi cerita pada orang tersayang,” balas Gibran lalu mengenyit sebelah mata sambil tersenyum menawan. Az-Zahra terpempan melihat sikap Gibran di hadapannya. Pipinya terasa panas. Lantas dia menoleh ke tempat lain.
“Jom makan. Dari tadi tak bersentuh burger ni,” ujar Gibran sebelum mula menjamah burger daging di hadapannya.
Az-Zahra mengangguk setuju. Fokus sangat mendengar cerita Gibran sehingga terlupa tujuan sebenar mereka datang ke sini.
Baru sekali gigitan, Gibran sudah jatuh cinta dengan burger daging cheese itu. Roti yang sangat lembut. Isi daging juga sangat tebal dan memuaskan. Keju yang meleleh-leleh dan sayur-sayuran yang sungguh segar. Dia sangat berpuas hati. Burger ini lagi sedap daripada burger yang selalu dia makan di restoran. Tidak sia-sia dia mengikuti Az-Zahra ke sini.
“Tadi kau kata nak bincang sesuatu dengan aku. Apa dia?” tanya Gibran. Baru dia teringat Az-Zahra mahu membincangkan sesuatu dengannya.
“Saya cuma nak tanya awak kerja di mana lepas berhenti nanti?” soal Az-Zahra.
“Aku belum fikir lagi benda tu. Aku pun tak pasti nak cari kerja dekat mana. Faham-fahamlah zaman sekarang bukan senang nak dapat kerja tetap,” balas Gibran selamba.
Az-Zahra menggigit bibir merahnya. Tangannya mencengkam kuat baju kurung yang dipakainya. Dia rasa malu untuk beritahu hal sebenar kepada Gibran.
“Kenapa kau tanya?”
“Saya...sebenarnya...” Terhenti percakapan Az-Zahra tatkala anak matanya bertembung dengan anak mata Gibran. Lantas Az-Zahra menundukkan pandangannya kerana tak mampu untuk bertentang mata dengan lelaki itu. Jantungnya juga sudah bertukar rentak.
Gibran mengangkat sebelah keningnya ke atas.
“Kau kenapa sebenarnya? Apa yang kau nak cakap tadi?” Gibran sudah tidak boleh bersabar lagi. Dia mahu tahu apa yang ingin Az-Zahra katakan.
“Saya sebenarnya tak nak awak berhenti kerja sebab saya belum bersedia untuk kehilangan awak.” Laju sahaja ayat itu meluncur keluar dari mulut Az-Zahra. Dia juga tidak menyangka langsung apa yang terbuku di hati kini diungkapkan keluar. Az-Zahra pantas menekup mulutnya. Dia berpaling ke arah lain. Dapat dia rasakan wajahnya semakin merah saat ini.
Gibran agak terkejut mendengarnya. Lama dia merenung wajah Az-Zahra untuk mencari kejujuran dan keikhlasan di sebalik ayat yang dituturkan oleh gadis itu.
Az-Zahra semakin resah. Renungan tajam Gibran membuatkan dia berasa gugup.
“Awak jangan salah faham. Maksud saya yang sebenarnya, saya tak nak awak berhenti kerja sebab saya suka dengan gubahan bunga awak. Cantik sangat. Lagipun, saya tak nak membebankan awak untuk cari kerja lain. Apa salahnya kalau awak teruskan bekerja di Scarlett Florist.” Sengaja Az-Zahra beralasan untuk mengelakkan daripada Gibran mengesyaki apa-apa.
Az-Zahra memberanikan diri untuk memandang wajah Gibran yang langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Mereka hanya menatap wajah masing-masing tanpa bersuara. Lama mereka berkeadaan seperti itu sehingga Gibran memecahkan kesunyian.
“Kau tak kisah aku kerja di sana untuk selama-lamanya?” tanya Gibran.
Laju Az-Zahra menganggukkan kepala.
Gibran senyum manis.
“Kalau macam tu, terpaksalah aku batalkan niat untuk berhenti kerja,” ujar Gibran sebelum mengeluh kecil. Pura-pura tayang muka terpaksa walhal hatinya bersorak gembira kerana Az-Zahra masih mengizinkannya untuk terus bekerja di Scarlett Florist. Dia belum bersedia untuk berjauhan dengan Az-Zahra.
“Awak memang betul-betul ikhlas ke nak teruskan bekerja di sana? Kalau awak bekerja hanya sebab terpaksa awak boleh je teruskan niat nak berhenti,” ujar Az-Zahra dengan hati yang separuh tidak rela. Melalui riak wajah Gibran juga dia sudah dapat tangkap bahawa lelaki itu memang ingin berhenti kerja. Mungkin dah tak sudi nak hadap muka dia.
Gibran tersenyum lucu.
“Siapa kata? Aku bergurau je lah. Aku memang ikhlas nak bekerja dekat sana. Aku lagi suka kalau teruskan saja pekerjaan aku macam tu. Lagipun, aku tak bolehlah nak berjauhan dengan kau. Aku takut aku tak sanggup.”
“Tak sanggup apa?” soal Az-Zahra dengan muka bingungnya.
“Tak sanggup menahan rindu,” ucap Gibran sambil senyum manis.
Az-Zahra mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Debaran jantung semakin tidak normal. Silap-silap dia boleh dapat serangan jantung tak lama lagi. Gibran kalau bercakap memang straight to the point. Langsung tidak bertapis. Tiada ayat mukadimah atau pembuka bicara. Apa yang terpendam di dalam hati terus dikeluarkan. Namun, Az-Zahra tetap tersenyum sendiri.
♡ ♡ ♡ ♡
“RINDUNYA saya pada Kak Zahra,” ucap Qaireen sambil memeluk erat tubuh Az-Zahra. Bibirnya tersenyum lebar. Az-Zahra juga turut membalas pelukan Qaireen sambil senyum manis.
Setelah sebulan Qaireen bercuti di kampung akhirnya gadis muda itu kini kembali bekerja di Scarlett Florist seperti biasa.
Anak mata Qaireen memandang ke arah seorang lelaki tinggi lampai yang sedang berdiri di belakang Az-Zahra. Keningnya bertaut rapat melihat wajah lelaki itu. Dari atas hingga bawah dia menilik penampilan diri lelaki itu. Gibran cuma senyum pendek sekadar menyapa. Qaireen terpana seketika melihat senyuman lawa yang terukir pada bibir merah lelaki itu. Terasa longlai lututnya saat ini.
Qaireen meleraikan pelukan namun anak matanya masih memandang wajah lelaki itu. Dia sangat terpegun melihat keunikan warna anak matanya. Sungguh indah. Lelaki itu juga sangat tinggi. Sesuai dengan tubuhnya yang tegap seperti atletik. Dia tak pernah lagi melihat wajah itu sebelum ini.
“Qaireen, kenalkan ini Gibran. Pekerja baru Scarlett Florist. Dia yang gantikan tempat awak masa awak bercuti di kampung dulu. Gibran sebenarnya pekerja sementara tapi sekarang dia dah jadi pekerja tetap dekat sini,” ucap Az-Zahra setelah menyedari Qaireen memandang wajah Gibran dengan riak wajah terkejut.
Qaireen senyum manis ke arah Gibran.
“Gibran, perkenalkan ini Qaireen. Pekerja saya juga.”
Gibran angguk sekali. Dia hanya memandang sekilas wajah gadis itu sebelum memandang ke tempat lain.
“Masing-masing pun dah kenal jadi jom kita sambung buat kerja. Kedai pun dah buka. Kalau nak bersembang tu nanti-nantilah ya,” ujar Az-Zahra sambil memandang wajah Gibran dan Qaireen silih berganti. Az-Zahra perasan Qaireen asyik menatap wajah Gibran tanpa berkelip.
Qaireen tersengih.
Anak matanya masih memandang wajah kacak Gibran. Umpama ada magnet yang menarik perhatiannya untuk terus menatap wajah lelaki itu.
Gibran berdehem kuat bagi menyedarkan gadis itu. Dia rasa sungguh tak selesa bila dipandang lama-lama. Rimas.
Qaireen bergerak mendekati sebuah rak yang menempatkan bahan-bahan untuk menggubah bunga. Sempat dia mengerling sekilas ke arah Gibran yang sedang berjalan mendekati Az-Zahra. Dia baru tersedar Gibran sedang memegang tiga kuntum bunga tulip berwarna merah yang disorokkan di belakang. Keningnya bertaut rapat melihat Gibran yang sedang senyum manis ke arah Az-Zahra. Dia dapat menghidu sesuatu yang tidak kena antara mereka berdua. Namun dia tahu itu bukan urusannya untuk masuk campur. Mungkin hal privasi yang tak patut dia ambil tahu. Qaireen mengambil bahan-bahan untuk menggubah bunga lalu meninggalkan Az-Zahra dan juga Gibran di situ.
“Mahyra,” seru Gibran.
Az-Zahra mengangkat sebelah kening sebagai isyarat bertanya.
“I have something for you,” ucap Gibran sambil tersenyum manis. Senyuman yang mampu mencairkan hati Az-Zahra.
“Apa dia?” soal Az-Zahra. Cuba untuk berlagak selamba.
Gibran mengeluarkan sesuatu dari belakangnya. Az-Zahra menekup mulutnya kerana terlalu terkejut melihat apa yang ada depan matanya ketika ini. Tiga kuntum bunga tulip berwarna merah. Sungguh cantik.
“A...awak bagi saya bunga?”
Gibran angguk sambil tersenyum lebar. Dia sudah dapat mengagak reaksi Az-Zahra. Az-Zahra hanya memandang ke arah bunga tulip itu bersama perasaan yang bercampur-baur. Dia sangat terharu namun pada masa yang sama dia keliru sama ada dia perlu mengambilnya atau tidak.
Bunga tulip berwarna merah melambangkan cinta yang sangat mendalam. Az-Zahra tahu maksudnya dan dia tahu Gibran juga pasti tahu lambang tulip merah. Mereka sama-sama tahu. Kerana itulah tangannya masih kekal di sisi. Adakah Gibran sedang meluahkan perasaannya sekarang ini?
Az-Zahra mengangkat wajah dan membalas tatapan Gibran.
“Aku hadiahkan bunga tulip khas untuk kau sebagai tanda terima kasih sebab sudi hadir dalam hidup aku. Aku tak tahu pengakhiran kita macam mana nanti tapi aku harap kau tak akan pernah lupakan aku. Aku seronok berkawan dengan kau. Aku nak kau tahu sebab aku pilih bunga tulip merah. Hanya itu satu-satunya cara untuk ungkapkan perasaan aku. Aku tahu kau susah nak percaya yang aku dah jatuh cinta dengan kau tapi itulah kenyataannya. Aku minta maaf. Aku minta maaf sangat-sangat sebab dah jatuh cinta dengan kau. Aku cuba untuk hilangkan perasaan ni kalau aku mampu,” ucap Gibran panjang lebar. Bibirnya tersenyum kelat.
Az-Zahra tunduk memandang lantai. Tidak sanggup dia untuk menatap wajah Gibran saat ini. Setiap butir bicara Gibran membuatkannya rasa sebak.
Perlahan-lahan tangannya mengambil bunga tulip itu dari tangan Gibran.
“Terima kasih,” ucap Az-Zahra. Bibir merahnya merekah senyuman manis. Gibran juga turut membalas senyuman itu. Az-Zahra menerima bunga tulip itu sudah cukup membahagiakan hatinya.
“Aku harap kau dapat jaga bunga tulip tu dengan baik. Kalau ditakdirkan suatu hari nanti kita berpisah dan tak akan bertemu kembali, kau tataplah bunga tulip yang aku hadiahkan tu sepuas hati. Aku cuma nak kau tahu yang aku sangat bertuah sebab dapat mengenali kau. Pertemuan kita tetap akan jadi bahagian yang paling indah dalam jalan cerita hidup aku,” ujar Gibran sambil merenung dalam wajah Az-Zahra.
“Saya tak pernah menyesal sebab kenal awak, Gibran. Andai kita berjauhan suatu hari nanti saya harap kita akan dapat berjumpa lagi,” ucap Az-Zahra dengan penuh harapan. Bibirnya melorek senyuman manis. Dia menentang berani tatapan Gibran.
Benarlah, mungkin hatinya sudah terpaut pada jejaka itu tapi mereka tidak berpeluang untuk bersama. Az-Zahra buntu saat ini. Dia ingin meluahkan perasaannya pada lelaki itu tetapi mulutnya terasa berat untuk mengungkapkannya. Dia sedar mereka berdua tidak sekufu. Lagi pula, lelaki itu tidak halal untuknya mengungkapkan kata-kata cinta.
“I will never forget you because you are the only key to my happiness. You will always be in my heart and no one can replace you. Forever in my heart you’ll be,” ucap Gibran tulus dari lubuk hatinya sambil menatap wajah Az-Zahra.
Sejujurnya dia tidak pernah lagi mengungkapkan kata-kata ini di hadapan mana-mana perempuan sebelum ini namun Az-Zahra satu-satunya wanita yang berjaya tundukkan egonya. Az-Zahra satu-satunya wanita yang akan menjadi pilihan hatinya sampai bila-bila.
Az-Zahra cuma diam mendengar ucapan lelaki itu tetapi dia sangat terharu. Kedengaran sangat ikhlas di telinganya. Tatapan Gibran juga sangat lembut untuknya.
“Aku harap kau sukakan bunga tulip tu. Yalah, aku hanya mampu bagi bunga tulip. Kalau aku bagi cincin takut kau pengsan pula nanti,” kata Gibran berbaur gurauan.
Az-Zahra hanya senyum manis biarpun jantungnya sudah berubah tempo.
“Terima kasih sekali lagi sebab bagi saya bunga. Saya tak sangka awak akan ingat bunga kegemaran saya,” kata Az-Zahra sebelum mencium wangian daripada bunga tulip itu. Sangat menenangkan jiwa.
Bibir Gibran tersungging senyuman sinis.
“Semua tentang diri kau, aku akan ingat sampai bila-bila,” balas Gibran. Itu janjinya.
♡ ♡ ♡ ♡
BEBERAPA keping gambar yang tersusun di atas meja diperhatikannya satu persatu. Wajahnya kelihatan sungguh serius dan agak menyeramkan jika dipandang.
“Sekarang ini Tuan Gibran sedang bekerja di Scarlett Florist. Kedai bunga yang cukup terkenal milik seorang gadis muda yang berusia dalam dua puluh empat tahun. Saya dah cari semua maklumat tentang gadis itu,” ucap lelaki itu di hadapan Tuan Aldric.
Lelaki bernama Arthur yang sedang berdiri di hadapan Tuan Aldric memberitahu segala info baharu mengenai Gibran. Dia merupakan orang suruhan Tuan Aldric yang diarah untuk mengekori Gibran setiap masa dan selidik tentang aktiviti yang dilakukan oleh lelaki itu.
Tuan Aldric mencapai satu gambar yang sedari tadi menarik perhatiannya. Tajam anak matanya memerhatikan figura seorang gadis bertudung litup di dalam gambar tersebut. Gibran dan seorang gadis yang langsung tidak dikenalinya sedang makan di sebuah kedai burger.
“Mereka ada apa-apa hubungan ke?” soal Tuan Aldric dingin.
Ini kali pertama dia melihat Gibran senyum pada perempuan. Jika sebelum ini, dia tidak pernah lagi melihat Gibran senyum pada mana-mana perempuan termasuk Eleanora. Wajah anak sulung lelakinya itu akan sentiasa dingin di hadapan semua orang termasuk dirinya sendiri namun mengapa gadis bertudung di dalam gambar ini semudah itu dapat melihat senyuman Gibran?
Siapa pula gadis bertudung ini? Sejak bila anak lelakinya itu suka makan di gerai tepi jalan?
“Saya tak pasti mereka ada hubungan atau tidak tapi saya rasa mereka hanya sekadar berkawan. Tuan Gibran nampak sangat gembira bila berada dekat dengan gadis itu,” jawab Arthur melalui pemerhatiannya selama ini.
“Siapa nama perempuan ni?” soal Tuan Aldric lagi dengan nada yang kurang berpuas hati. Dia tak pernah menyangka bahawa gadis bertudung ini juga yang menjadi pilihan hati Gibran.
“Az-Zahra Al-Mahyra,” jawabnya lagi.
“Aku tak rasa mereka cuma berkawan. Gibran tak pernah berkawan dengan mana-mana perempuan sebelum ni. Anak aku tu bukannya suka pada perempuan. Sedangkan Eleanora di sebelahnya pun tak pernah langsung dipandang tapi kenapa dengan perempuan bertudung ni dia nampak macam ‘sesuatu’ sangat?” Kedengaran sangat musykil nada suara Tuan Aldric.
“Aku nak kau hapuskan perempuan tak guna ni. Mungkin disebabkan dia, Gibran tak nak kembali semula bekerja di Royal Palace Hotel dan tak nak berkahwin dengan Eleanora. Aku tak kisah kau nak buat apa dengan perempuan tu asalkan dia lenyap dari muka bumi ni. Aku tak nak Gibran bergaul lagi dengan perempuan macam dia,” arah Tuan Aldric dengan suara yang agak keras.
“Baik, tuan.”
“Aku nak mereka berpisah secepat mungkin. Aku nak kau buat sesuatu yang boleh buatkan Gibran tinggalkan perempuan ni supaya mereka tidak berjumpa lagi lepas ni. Aku nak dia benci pada perempuan ni dan memilih untuk berkahwin dengan Eleanora,” ujar Tuan Aldric sambil tersenyum jahat.
Arthur mengangguk faham menerima arahan daripada orang atasannya.
This will be the last chapter for this year [2024] Memandangkan saya dah nak sambung belajar jadi saya HIATUS dulu untuk beberapa tahun. In Sya Allah saya akan kembali dan akan tamatkan cerita Gibran dan Az-Zahra. Ending untuk mereka boleh jadi happy or sad. Saya sendiri pun tak pasti. I will miss them. Doakan segala urusan saya dipermudahkan. Jumpa lagi. Assalamu'alaikum :)
Share this novel