03 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

“ASSALAMU’ALAIKUM,” ucap Az-Zahra sebaik sahaja tiba di rumahnya. Jarum jam tepat menunjukkan jam 6:00 petang. Gara-gara kesesakan lalu lintas, dia terpaksa berada di atas jalan raya selama hampir satu jam. Nasib baik dia sejenis yang penyabar. Kalau tidak memang dia langgar saja semua kereta tadi.

“Wa’alaikumussalam,” jawab Haji Arsyad yang sedang duduk berehat di atas kerusi malas sambil membaca surat khabar di beranda. Pandangannya dialihkan kepada anak daranya yang baru saja tiba di rumah. Jelas kelihatan penat pada wajah anaknya itu.

“Lewat kamu balik hari ni,” tegur Haji Arsyad sambil melipat surat khabar tersebut lalu meletakkannya di atas meja kecil di sebelahnya.

Az-Zahra tetap mengukirkan segaris senyuman biarpun sedang kepenatan.

Seluruh tubuhnya sangat letih ketika ini. Dia cuma ingin masuk ke dalam rumah dan membersihkan diri kemudian tidur sepuas-puasnya. Rindunya dia dengan tilam empuknya.

“Hari ni pelanggan banyak sangat, ayah. Zahra terpaksa kerja lebih masa. Tadi masa nak balik pun jalan raya sesak. Sebab itu Zahra balik lewat sikit,” jelas Az-Zahra seraya mendekati Haji Arsyad. Dia mencapai tangan tua ayahnya itu lalu menciumnya lembut.

“Ibu mana, ayah? Adik-adik semua pergi mana? Tak nampak pun batang hidung dia orang dari tadi.” Az-Zahra meliarkan pandangannya ke sekeliling mencari figura ibu dan adik-adiknya.

“Ibu ada je dekat dapur tengah memasak. Adik-adik kamu pula biasalah, waktu macam ni masih lagi memancing tak ingat dunia. Dari tadi ayah tunggu sampai sekarang tak nampak batang hidung mereka. Memang ada yang nak kena rotan kejap lagi,” balas Haji Arsyad sambil menahan perasaan geram. Rotan panjangnya yang sentiasa menemani Haji Arsyad sudah berada pada genggamannya. Hanya menunggu untuk hinggap pada tubuh seseorang saja.

Az-Zahra menggelengkan kepalanya beberapa kali.

“Ayah janganlah garang sangat. Karang tak pasal-pasal mereka tak nak balik rumah pula sebab takut ayah rotan mereka. Kurangkan sikit marah tu. Nanti tekanan darah ayah semakin tinggi,” pesan Az-Zahra dengan lembut.

“Ayah cuma nak mendisiplinkan mereka, Zahra. Adik-adik kamu tu semakin meningkat dewasa. Ayah tak nak mereka selalu keluar lewat petang lepas tu balik lambat sampai tak ingat Maghrib. Tadi masa keluar pergi memancing, mereka dah janji nak balik sebelum jam 6:00 petang. Ini dah jam 6:15 petang, mana tidaknya ayah marah kalau mungkir janji macam ni,” bidas Haji Arsyad kembali. Dia mendengus kasar.

Az-Zahra tersenyum kelat.

Salah satu sikap ayahnya yang dia kurang gemari. Terlebih garang sehingga adik-adiknya takut untuk tinggal sebumbung dengan Haji Arsyad. Bukan apa, tidak salah untuk bersikap tegas tetapi berpada-padalah juga. Sikap Haji Arsyad yang garang dan panas baran telah mengakibatkan adik lelakinya, Aathif Zafran pernah lari dari rumah selepas dirotan oleh ayah mereka. Semuanya berpunca daripada Zafran yang mandi air terjun sampai lewat petang. Akibatnya, Zafran dirotan sehingga tubuhnya menjadi bengkak.

Bila mengenangkan kejadian tersebut, Az-Zahra berasa simpati dengan keadaan adiknya pada waktu itu. Dia tiada di sisi adiknya untuk melindunginya kerana pada ketika itu dia sedang melanjutkan pengajiannya di universiti. Dia tahu semuanya kerana ibunya, Hajah Aisyah ada menceritakan kepadanya sewaktu dia cuti semestar.

“Assalamu’alaikum, kita orang dah balik.” Suara seseorang memberi salam menghapuskan segala khayalan Az-Zahra. Lantas dia menoleh ke arah adik-adiknya yang baru saja tiba bersama dengan seorang lelaki yang sangat dikenalinya.

“Wa’alaikumussalam. Haa...Balik pun! Ingatkan dah lupa dah jalan nak balik ke rumah!” kata Haji Arsyad berbaur sindiran.

“Maafkan kita orang, ayah. Tadi kami memang nak balik awal tapi tiba-tiba terserempak pula dengan Abang Harith. Dia belanja kami makan cendol tadi.” Zafran mewakili adik-adiknya untuk bersuara. Bukan dia tidak nampak rotan panjang yang berada dalam genggaman Haji Arsyad. Dia sudah trauma untuk dirotan sekali lagi.

“Betul tu, pak cik. Janganlah marah mereka pula. Saya yang ajak mereka untuk makan cendol sebab tadi kebetulan pula saya terserempak dengan mereka masa baru balik dari masjid.” Lelaki yang bernama Harith itu pula menyampuk. Senyuman manis terukir di bibirnya.

Haih...kacak sungguh jodoh orang.

Dia yang segak memakai kopiah itu berdiri di sebelah Zafran sambil memeluk bahu lelaki muda itu. Sempat dia mengerling ke arah Az-Zahra yang hanya mendiamkan diri.

“Terima kasih sebab belanja mereka makan cendol. Tak cukup dengan itu kamu tolong hantarkan pula mereka pulang ke rumah. Kalau tak ada kamu mesti budak-budak ni tak reti nak balik. Pak cik berterima kasih sangat dengan kamu. Baik sungguh akhlak kamu ni. Untung siapa jadi suami kamu,” ujar Haji Arsyad diselitkan dengan pujian. Dia tersenyum lebar saat melihat wajah jejaka muda itu.

Harith tersipu-sipu malu tatkala dipuji sedemikian.

Az-Zahra hanya menahan matanya daripada dijulingkan ke atas.

Amboi, sukalah tu dipuji macam tu. Gedik mengalahkan perempuan betul mamat ni.

“Tak adalah, pak cik. Saya ni hanyalah manusia biasa yang banyak kekurangannya. Orang pandang saya mulia sebab Allah dah tutup semua aib saya sedangkan saya ni hambaNya yang penuh dengan dosa,” balas Harith pula.

Haji Arsyad tersenyum nipis sambil mengangguk perlahan. Kemudian, matanya beralih pula kepada tiga orang anaknya yang baru saja balik dari memancing.

“Kamu bertiga ni pergilah masuk. Zahirah dengan Zafirah pergi masuk dalam rumah sekarang. Kamu berdua tu masih lagi anak dara. Tak elok lama-lama di luar. Zahra, bawa adik-adik kamu masuk rumah. Bersihkan diri kemudian kita solat Maghrib berjemaah.” Intonasi suara Haji Asryad begitu tegas memberikan arahan. Masih terserlah gaya seorang komando biarpun sudah bertahun-tahun berhenti menjadi askar.

Az-Zahra hanya menuruti arahan ayahnya tanpa banyak soal. Dia mengarahkan adik-adiknya untuk membersihkan diri terlebih dahulu sebelum bersiap untuk solat fardhu Mahgrib.

Harith memerhatikan saja pergerakan Az-Zahra sehingga tidak sedar Haji Arsyad sedang memerhatikannya.

“Harith, apa yang khusyuk sangat kamu pandang tu? Anak pak cik ke?” Soalan Haji Asryad membuatkan dirinya tersentak. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan.

“Eh, t...tak. Pak cik jangan salah faham. Sa...saya cuma...” Harith kehilangan kosa kata. Dia tidak tahu hendak jawab apa.

Hah, sudah! Tak pasal-pasal kantoi!

Haji Arsyad tertawa kecil melihat reaksi anak muda itu.

“Kalau kamu suka dekat puteri sulung pak cik, luahkanlah perasaan kamu tu dekat dia. Pak cik tahu kamu sebenarnya ada hati kan dekat anak pak cik. Sebelum dia menjadi milik orang lain, lebih baik kamu pantas bertindak,” pesan Haji Arsyad. Awal-awal lagi dia dah berikan lampu hijau.

Harith berasa malu kerana diusik sebegitu namun dalam masa yang sama dia juga berasa begitu teruja kerana Haji Asryad sepertinya sudah merestui dirinya untuk menjadi menantu.

Harith berdehem seketika untuk menghilangkan rasa malunya di hadapan Haji Asryad.

“Rasanya Harith dah nak kena balik rumah ni. Nanti umi cari saya pula. Pelik kenapa anak terunanya tak reti-reti nak balik.” Harith berpura-pura melihat jam tangannya.

Haji Arsyad tersenyum lucu.

“Haaa, yelah. Hati-hati jalan,” pesan orang tua tersebut.

Harith mengangguk faham.

“Baik, pak cik. Saya jalan dulu, ya. Assalamu'alaikum.”

“Wa’alaikumussalam,”

♡ ♡ ♡ ♡

UMPAMA patung yang tidak bernyawa, Gibran berdiri bersendirian di luar beranda sambil menikmati angin malam yang sungguh sejuk.

Pemandangan pada malam itu sungguh indah. Langit malam dihiasi dengan bintang-bintang yang berkilauan. Bulan yang memantulkan cahaya matahari telah menjadikan langit pada malam itu bertambah menarik untuk dipandang.

Dirinya sungguh tenang kerana tiada gangguan daripada sesiapa. Hanya dia seorang saja yang berdiri di sini seperti tugu negara dan menikmati keindahan alam semula jadi.

Walaupun begitu, biarpun dirinya tidak diganggu oleh sesiapa tetapi fikirannya terganggu dengan apa yang berlaku beberapa jam lepas. Kejadian yang berlaku di restoran pada waktu siang tadi kembali ulang tayang di fikirannya. Entah kenapa dia tiba-tiba sahaja diselubungi dengan perasaan serba-salah.

Disebabkan pada waktu itu dia berasa sungguh marah kepada Tuan Aldric dan ditambah pula dengan fikiran yang serabut kerana sering diarahkan untuk mengurus banyak hal, orang lain yang terpaksa menjadi mangsa kemarahannya. Belum sempat dia ingin menyuap masuk makanan ke dalam mulutnya, Tuan Aldric sudah mengarahkannya untuk balik semula ke pejabat. Memang dia bertukar terus jadi singa yang kelaparan.

Gibran kembali teringatkan gadis yang dijumpainya siang tadi. Jujur dia katakan, memang gadis tersebut ada gaya yang tersendiri. Wajahnya begitu lembut dan sungguh cantik. Jarang dia menjumpai wanita yang memakai baju kurung. Mungkin sebab kebanyakan wanita-wanita yang dia sering temui berpakaian seperti tidak cukup kain. Sebab itulah dia berpendapat bahawa gadis tersebut agak berbeza daripada perempuan lain.

“Hoi! Kau mengelamun apa?” Tiba-tiba bahunya ditepuk oleh seseorang daripada belakang.

Gibran sedikit terperanjat gara-gara disergah secara tiba-tiba. Dia menjeling tajam ke arah Luke yang sedang tersengih.

“Kau memang suka menempah maut dengan aku ke?” Sinis soalan yang diajukan buat Luke.

Lelaki itu hanya ketawa tanpa menghiraukan langsung renungan tajam Gibran.

“Santailah, Gibran. Jangan marah-marah. Aku cuma bergurau je. Kau ni, sikit-sikit nak marah. Rilek sudahlah.” Luke menepuk-nepuk lengan sasa sahabatnya itu bersama sengihan.

Gibran hanya menjeling tajam.

“Uish, dia bagi kita side eye. Takutlah titew,” usik Luke sebelum ketawa terbahak-bahak.

Gibran cuma diam. Wajahnya kekal dingin. Telinganya hanya mendengar suara Luke yang ketawa seperti tidak cukup nafas.

Apa yang lawak sangat?

“Kau tinggal di rumah aku ni berapa lama?” tanya Luke sebaik sahaja ketawanya reda.

“Kenapa? Kau nak halau aku? Kau tak suka aku tinggal di rumah kau ni?” Laju sahaja Gibran bertanya kembali.

“Bukan macam tu. Aku cuma nakkan kepastian je sebab kalau kau nak tinggal di rumah aku lebih lama aku kena beli banyak stok makanan. Habis semua makanan aku dalam peti sejuk tu kena rembat oleh kau. Satu hal lagi yang aku nak kena urus,” rungutnya.

“Kau tak payah nak banyak sembanglah. Beli je lah stok makanan banyak-banyak. Gaji kau tu bukannya sikit. Syarikat aku bukannya kedekut sangat nak bagi gaji masuk sikit. Kau tu pun kerja ada jawatan yang tinggi juga, kan. Jadi, tak payah nak merungut sangat,” bidas Gibran pula.

Luke mencebik bibir.

Wajah Gibran daripada sisi dipandang dengan penuh hairan.

“Kau fikir apa tadi? Aku tengok khusyuk sangat kau tenung bulan tu. Takkanlah kau rindukan seseorang pula ni? Nak kata kau ada awek memang rasanya lambert lagi. Yalah kau kan spesies lelaki yang suka sesama jan...” Belum pun sempat Luke menghabiskan ayatnya, kepalanya terus dipukul.

“Kau sambung ayat kau memang aku tak teragak-agak untuk humban kau dari atas ni pergi bawah sana,” ugutnya bersama renungan tajam.

Luke mengusap-usap kepalanya yang dipukul tadi bagi mengurangkan kesakitan. Dia mengutuk Gibran sepuas-puasnya di dalam hati. Hanya mampu di dalam hati sebab kalau kutuk depan-depan memang nyawanya sudah melayang.

“Aku cuma nak tahu je apa yang kau fikirkan sangat tadi. Jauh betul kau termenung. Tak pernah-pernah kau berperangai macam ni,” kata Luke.

Gibran mengeluh kecil.

“Bukan hal penting pun. Tapi, aku tak tahu kenapa tiba-tiba aku rasa bersalah dengan perempuan tu,” luah Gibran. Matanya masih tertumpu pada bulan yang bercahaya itu.

Berkerut kening Luke tatkala mendengarnya.

“Perempuan? Perempuan mana pula kau ni?” tanya Luke bersama riak wajah yang sedikit pelik. Hairan dia apabila sahabatnya ini tiba-tiba berbicara tentang perempuan yang dia langsung tidak kenal.

“Siang tadi aku ada termarah dekat seorang perempuan ni dalam restoran. Memang emosi aku masa tu tengah dalam keadaan tak baik jadi aku tanpa sengaja tengking perempuan tu. Dan tiba-tiba aku rasa bersalah pula dekat dia sampaikan aku asyik terfikirkan dia sedangkan aku langsung tak kenal dia,” cerita Gibran secara ringkas.

Dia melepaskan keluhan berat.

“Oh, wow! Setahu aku tiada langsung perkataan rasa bersalah dalam kamus hidup seorang Raja Gibran Xavier,” komen Luke selamba. Dia menutup mulut tanda betul-betul terkejut.

Gibran menjulingkan mata ke atas. Ada juga yang kena hempuk sekejap lagi.

“Kau boleh tak serius sekejap? Aku tengah dalam kedaan dilema sekarang ni,” marah Gibran tidak puas hati. Dia mendengus geram melihat reaksi Luke yang hanya bersikap selamba itu.

“Okey, okey. Aku minta maaf. Aku serius,” ujar Luke sambil mengangkat sebelah tangan.

“Hurm, siapa perempuan tu? Rupa dia macam mana? Cantik ke tidak? Gaya dia pula?” tanya Luke ingin tahu.

“Dia cantik sebenarnya tapi aku kutuk dia minah selekeh,” jujur Gibran.

Automatik Luke ketawa mendengar pengakuan sahabatnya itu.

“Minah selekeh? Woi, ini dah melampau. Tak baiklah kau ni kutuk dia macam tu. Kenapa kau cakap macam tu kalau kau tahu dia cantik?” soal Luke seraya menggelengkan kepalanya.

Aduhai, mulut Gibran memang tak pernah nak cakap benda yang baik. Semua yang keluar dari mulut lelaki itu semuanya menyakitkan hati.

“Sebab aku tengok gaya dia macam perempuan kampung. Pakai baju kurung macam perempuan yang tak pandai nak bergaya,” jawab Gibran lagi tanpa rasa bersalah.

“Ya Allah, lawaklah kau ni, Gibran Tak sangka pemikiran kau terhadap perempuan yang pakai baju kurung macam ni.” Luke tidak habis-habis lagi ketawa.

“Kau tahu tak? Perempuan yang pakai baju kurung nampak lebih cantik dan lebih menawan daripada perempuan yang pakai baju macam tak cukup kain dekat luar sana. Perempuan yang pakai baju kurung ni juga akan kelihatan lebih lemah-lembut dan sopan-santun di mata lelaki. Ah gitu!” ujar Luke sambil tersenyum sumbing ke arah Gibran.

“Memang sekarang kau tak kenal lagi siapa perempuan tu tapi tak mustahil kalau suatu hari nanti kau akan kenal dia. Dan kita juga tak tahu kalau tiba-tiba dia yang akan bawa kau ke jalan yang benar. Manalah tahu dia jodoh kau, kan?” bicara Luke sambil mengangkat sebelah keningnya ke arah Gibran.

“Huh, mustahillah! Dia perempuan Muslim kut. Takkanlah tiba-tiba kami bersama pula sedangkan agama kami berbeza. Dia ada kehidupan dia sendiri dan aku ada kehidupan aku sendiri. Kehidupan aku dengan dia bagaikan langit dan bumi,” ujar Gibran pula.

Luke menggeleng kepala tanda tidak bersetuju dengan kata-kata Gibran.

“Tiada yang mustahil bagi Allah SWT. Kalau dah ditakdirkan perempuan itu memang akan hadir dalam hidup kau, pasti akan berlaku juga sebab semuanya atas kehendak Allah SWT. Dia yang mengizinkan semua perkara ini terjadi. Setiap pertemuan yang berlaku pasti ada sebabnya. Jadi jangan terkejut kalau kau jumpa lagi perempuan tu,” hujah Luke panjang lebar.

Dia hanya mampu berdoa semoga sahabat baiknya ini terdetik hati untuk memeluk agama Islam. Dia sudah lama menginginkan perkara itu terjadi.

Gibran terdiam mendengar tazkirah daripada Luke.

Mencintai tak semestinya memiliki. Seseorang yang mampu mengubah hidup kita menjadi lebih baik tidak semestinya dia merupakan jodoh kita. Boleh jadi Allah hantar dia sebagai satu ujian untuk kita. - Luke Eskandar, 2024

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience