"Maaf pasal tadi."
"Hmm..."
Ali Firdaus fokus memandu. Malam dan hujan renyai, sedikit mengganggu pemanduannya.
"Dia orang nak buat family day bula..."
"Awak pergilah."
Ali Firdaus terus memotong cakap Sumayyah. Dia tidak mahu turut serta.
Sejak kebelakangan ini dia perasan perubahan sikap Sumayyah. Sudah mula berani cuba-cuba berbual panjang dengannya. Sudah mula melepasi sempadan privasi Ali Firdaus di rumah kelamin mereka.
Lepas satu, satu lagi perjanjian ketika minggu pertama pernikahan Sumayyah langgar. Dia perasan semua itu.
"Esok awak nak sarapan apa? Saya masuk kerja lambat sikit esok, boleh siapkan sarapan untuk awak."
"Saya tak biasa ambil sarapan pagi sangat."
Lihat!
Sesuatu yang tidak pernah untuk hampir tiga tahun kerana ada di dalam perjanjian do and don't rumah tangga mereka.
"Okay. Ermm... lunch sama, boleh?".
"Awak ada apa-apa nak beritahu saya ke Su?".
"Eh! Tt... tak ah."
Ali Firdaus tahu ada. Dia dapat mengagaknya. Seperti mana dia orang luar yang tertekan dengan sikap keluarga mertuanya dia yakin itulah yang Sumayyah rasa. Masa perpisahan semakin dekat.
Dia masih ingat Sumayyah yang menangis merayu-rayu meminta Ali Firdaus menikahinya selepas tertangkap basah di sebuah air terjun rekreasi hampir tiga tahun yang lalu.
Sumayyah yang hilang arah selepas kehilangan suami yang dinikahi tanpa restu. Sumayyah yang dilarang bersedih atau meratapi kehilangan itu. Suami tanpa nisan.
Dia gunakan rayuan Sumayyah sebagai alasan tunjukkan protes pada keluarganya pula untuk percintaannya yang juga sama seperti cerita Sumayyah tidak direstui keluarga.
Kenapa harus ada keluarga menghalang untuk cerita hanya dua orang yang bercinta!?.
Sumayyah lebih kasihan kerana itu dia masuk dalam cerita Sumayyah mahu menolong. Keluarga sombong mertuanya itu lebih mengongkong.
Jika tiada dia dalam hidup Sumayyah dia yakin arwah adalah kata ganti nama Sumayyah. Dia saksi cubaan Sumayyah untuk gelaran itu.
Jadi untuk sikap-sikap pelik Sumayyah ini dia dapat menekanya. Dia yakin Sumayyah cuba mahu mengekalkan dia dalam perkahwinan mereka, supaya tidak sepenuhnya ada dalam keluarga toksik Mejar(B) Jailani.
Sumayyah sedang mencuba menyelamatkan dirinya sendiri.
"Su..."
"Ya."
Ceria dan cepat pantas menyahut. Ali Firdaus jatuh kasihan.
"Masanya hampir tiba seperti janji kita. Saya dah tolong awak. Awak kena tolong saya."
Dari segera menoleh kepadanya dengan senyum manis, Sumayyah sudah tegak kembali memandang cermin hadapan yang dibasahi renyai malam.
@@@@@@@
"Kau duduk rumah Datin kebal betul kau kan Chem."
Tegur salah seorang rakan kerja di lantai tiga.
Ratna Chempaka sedang photostat dokumen di lantai tiga kerana tiada 'soft copy' untuk dokumen yang dia perlukan daripada Siti Noraini.
Oleh kerana masih awal pagi dan belum bermula waktu kerja ramai yang berlonggok di meja Siti Noraini untuk menolong teman itu memilih barang hantaran di katalog. Siti Noraini bakal berkahwin dalam waktu terdekat.
"Datin okaylah. Dia tak banyak cakap, muka serius, pada aku tak ada masalah. Aku rasa lagi senang nak handle orang macam tu."
Ratna Chempaka bukan memuji Datin Soraya tapi dia sedang membela dirinya jika mereka sedang memandang buruk dia yang masih duduk menumpang di banglow Datin Soraya.
Walaupun sudah kerap kali dia bercerita, tinggal di situ adalah salah satu syarat di dalam surat tawaran kerjanya.
"Aku bukan cakap kebal dengan Datinlah..."
"Habis tu?".
"Kebal dengan Dato'!. Dahlah handsome, ganteng pulak tu."
Astaghfirullah! Yang bukan-bukan saja fikiran rakan-rakannya.
"Astaghfirullah! Kau dah kenapa Umie?".
Sengaja menghentikan kerjanya. Menoleh kepada rakan sekerja dengan wajah pura-pura ralat dan terluka yang amat. Mudah-mudahan cara ini menghentikan fikiran tidak baik rakan yang bercakap dan yang lainnya.
"Sorrylah Chem. Guraulah! Alah engkau ni, tak boleh gurau duduk suraulah."
"Pesan orang tua-tua, makan boleh sebarang makan Mie... hah, kau sambung. Bahaya tau gurau kau ni."
"Yelah, yelah!. Tapi betul apa Dato handsome nak mam..."
"Anak dia pun handsome."
Sambut seorang yang lain. Ha? Biar betul?.
"Anak dia?". Ratna Chempaka menyoal pelik.
"Tak kan kau dah dekat setahun serumah dengan dia orang tak nampak anak dia."
Kawan yang menjawab juga pelik dengan soalannya, tapi... handsome?.
"Nampak... perempuan, dua."
"Ooo... Kau tak pernah nampak ke Chem? Maknanya dia tak balik rumahlah! Dia memang dah kena buang dengan family ke?".
Sahut seorang yang lain. Meninggalkan terus urusan katalog hantaran Siti Noraini.
Tiba-tiba Ratna Chempaka rasa seram. Adakah dia sudah melanggar terma dan syarat dalam perjanjian surat tawaran kerja dan perjanjian kerahsiaan?.
Dia tinggal di bilik belakang rumah banglow. Ketika hari pertama sampai sahaja dia masuk dari pintu hadapan banglow.
Setakat hari ini Ratna Chempaka amanah dengan arahan dan peraturan Datin Soraya.
Sekarang dia penasaran mahu tahu sesuatu yang tidak patut dia tahu ke?.
@@@@@@@
"Silakan Datin."
Suaminya dengan melawak tak akan berpisah.
Tidak pernah kira atau fikir dahulu 'mood' dia bagaimana. Dia tidak pernah marah untuk sikap suaminya yang satu itu tapi sejak hampir tiga tahun ini... haihh! Allah sahaja yang tahu bagaimana dia cuba bersabar mengawal emosinya sendiri.
Soraya paut lengan suaminya mendaki tangga naik ke tingkat atas rumah tanpa kata. Suami kiriman tuhan untuknya menggosok perlahan belakang badannya. Menenangkannya.
"Dia wasap you?".
"Ya."
"Bila?."
"Petang semalam."
"Dia cakap apa?".
Setiap kali bercerita isu yang satu ini suaminya akan menunggu dahulu dia yang bertanya. Ketika awal ribut berlaku langsung perkara ini tidak boleh dibincang di dalam rumah banglow ini.
Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh berkeras dengan kehendak hati. Langsung tidak mahu beralah dan bertolak ansur dengan cakapnya sebagai ibu.
Argh! Kekecewaan yang paling besar.
Lebih kecewa dari ketika hidupnya diabai, dihina dan dibuang. Berganda kecewanya sekarang kerana cerita bersusun dan berkait.
"Ampunkan dia, dan Mawar balik awal tahun hadapan."
Kenapa pilihan hati anak bujangnya mesti suku sakat keturunan keluarga itu. Punya besar Tanah Melayu ini kenapa mesti mereka!?. Pertama, kedua juga!.
"Dia sedar tak apa dia nak buat. Mana kepala otak dia? Dia nak cabar siapa sebenarnya? I? You?."
Geramnya! Mahukan Mawar, apabila ditegah memilih Sumayyah. Yang pertama anak saudara, yang kedua cucu lelaki itu!.
Kepala batu! Degil! Ya Allah tolong ampunkan dia...
Dengan Sumayyah kononnya sekadar menolong. Anak itu fikir mudah untuk lepas dari lelaki bongkak itu?.
"Sabarlah Yang. Doa ibu very powerful. You tau kan."
"Every second I..."
"I tau, I tau."
Suaminya kembali menggosok perlahan belakang badannya.
"Patutnya I mengalah aje masa dia nak sangat dengan Mawar. Cucu sebenar lebih parah dari anak saudara."
"Semua ni... semua yang jadi ni, baik sengketa, jodoh dia, semuanya dah tertulis. You larang sebagai ibu itu tanggungjawab you. You yang paling kenal siapa keluarga tu. Dia tak dengar cakap kita itu ujian dia, ujian kita sebagai ibu bapa. Benda dah jadi kita mampu tengok aje. Mungkin, mudah-mudahan keluarga tu dah berubah sebab faktor umur."
"Berubah? Kalau berubah anak I tak akan ada dalam keluarga tu. Dia orang tau siapa mak budak yang dia orang paksa kahwin tu! Dan you tau kenapa mereka paksa, sebab Sumayyah tu sakit. Sekarang pulak, anak I masih dalam keluarga tu you tau jugak sebab apa!."
"Yang..."
"I'm sorry. It's just mungkin sepatutnya dulu I cerita asal usul I pada anak-anak. Kalau I cerita mungkin tak ada cerita Mawar, tak ada cerita Sumayyah."
"Jodoh Yang. Siapa kita? Dah kerja tuhan."
"I takut... Takut bila fikir kenapa dia cakap Mawar balik tahun depan".
"I know dear..."
"I tak sedap hati. Dia tak tahu orang tua tu macam mana!. Allah... anak You tu ikut perangai siapa hah?. Kenapa dia tak soft hearted macam you."
"You tak rasa ke sebab dia banyak perangai I dia ada dalam masalah sekarang."
Soraya terdiam. Teringat cerita dulu. Bersyukur sangat dia berjumpa Abu Bakar. Jika tidak entah di mana hidupnya melarat.
Suaminya yang baik hati. Suka menolong orang yang entah siapa, entah dari mana... dialah orangnya. Kata suaminya nama perangai itu 'busy body'.
Tanpa ada prasangka, tanpa fikirkan imbuhan kembali, menolongnya yang melarat dan merempat dibuang oleh mereka yang pada mata orang lain sebagai keluarganya.
Soraya merebahkan kepala ke bahu suami di sebelah. Terus sahaja suami yang baik tu memeluk dan menggosok-gosok lengannya menyalurkan kehangatan pada hatinya yang bungkam sedih angkara anak lelaki seorang.
Ali Firdaus ke puncanya? Atau sebenarnya cerita-cerita dia dahulu di dalam keluarga Mejar(B) Jailani? Kenangan yang tidak mahu diingat tapi sekarang tiba-tiba sahaja di usianya yang sudah sejauh ini menjadi duri dalam kehidupan dia dan tiba-tiba anaknya juga.
Adakah begini dia harus membayar cerita dulu? Tapi kenapa mesti dengan anaknya. Jika dia, dia sahajalah....
Soraya mengeluh lagi dengan takdir Ali Firdaus. Kasihannya anak lelaki seorang. Dia bukan ibu yang tidak memahami. Dia tidak kisah siapa jodoh Ali Firdaus walau apa bentuk, apa warna sekalipun. Dia cuma tidak mahu berhubung kait dengan suku-sakat Mejar(B) Jailani!.
@@@@@@@
Sejak kebelakangan ini Datin Soraya sudah melepaskan dia pada waktu makan tengah hari. Tidak lagi dia mengekor majikannya hingga tidak perlu keluar wang sendiri untuk makan.
Waktu makan Datin sekarang selalunya dengan Dato'. Agaknya ada perubahan dalam jadual harian Dato'. Suka Ratna Chempaka dengan keadaan sekarang. Dapatlah dia bercampur dengan kakitangan lain yang rata-rata hampir sebaya.
Maklumlah sekarang sibuk sangat, tapi dia teringin juga mahu beria.
Hmm... entah dari mana Datin Soraya dapat tenaga. Pelancaran produk baharu, photoshoot, pemasaran produk, kilang pengeluaran, urusan di pejabat lagi, Dato' pun ya juga.
Patutlah kaya. Patutlah berjaya. Kalau dia sendiri langsung tak terfikir macam mana nak menyusunnya. Sudah lebih tujuh bulan bekerja dia masih harus dipimpin Datin Soraya dalam urusan kerjanya.
Datin beritahu mahu apa dan apa kemudian dia belajar menyusun. Datin kena beritahu bila dan di mana dia belajar lagi dan lagi. Segalanya masih harus dipandu Datin Soraya.
Kerana itu Ratna Chempaka kata dia tidak kisah dengan Datin Soraya yang serius dan tegas tapi kerjanya cekap dan cepat. Senang kata memang Datin pandai cakap dan pandai buat. Bukan mengarah sahaja.
"Ratna Chempaka!".
Langkahnya terhenti. Siapa panggil di tengah jalan ni?. Guard ke? Pejabat urusan tidak ramai kakitangan lelaki. Office boy ke?. Abang Halim akaun, mana orangnye?. Ada beberapa orang lelaki sahaja dia kenal di sini.
"Ratna!".
Sampai terpusing-pusing Ratna Chempaka mencari orang yang memanggil. Bukan dia sahaja rakan-rakan lain yang sama-sama keluar makan tengah hari ikut sama mencari. Sebab sekeliling ramai orang dan sibuk dengan kenderaan.
"Tu la Chem, yang nak melintas tu kan."
Kata salah seorang dari tiga orang rakan yang sama-sama keluar makan tengah hari sambil menunjuk ke satu arah.
Ratna Chempaka pincing mata melawan terik panas. Siapa tu?. Kawan-kawan lain dah mula komen cakap segak. Memanglah segak tengok dari jarak mereka. Tapi siapa?.
"Ratna..."
Sampai depannya si segak tercungap-cungap sedut oksigen. Merah muka dan berpeluh. Dia tenung lagi dan masih berfikir cuba mengingat lelaki di hadapannya.
"Semalam saya nampak awak, tapi awak dah hilang naik kereta. Hari ni saya kejar awak dari sana sampai sini tau."
Hilang cungap si segak terangkan walau tak ditanya. Macam teman lelaki tertangkap ada skandal. Ratna Chempaka masih tercengang sebab tiba-tiba sangat orang tegur dia di Bangi ni macam kenal lama.
Kawan di sebelah senggol dia di lengan. Baru dia termalu sendiri tenung muka anak teruna orang. Kawan-kawan yang tiga orang sudah mula tersenyum menyakat.
"Maaf... Siapa ya?".
Tanya lagi senang dari terfikir-fikir. Memang tak ada yang padan dengan ingatan dia lelaki ini.
"Awak tak ingat saya ke Ratna. Kecik hati saya."
Eh!
Dia ke? Siapa nama dia? Aduh! Lupalah.
"Awak... auditor tu kan."
Si segak tersenyum manis walau sudah tak ada kumis. Mungkin sebab itu dia terlupa wajah di hadapannya.
"Ermm, ermm... boyfriend ke Chem?".
Tanya teman yang sudah ber'awning' kekura tangan di dahi kerana berjemur di tengah panas untuk babak jejak kasih.
"Eh, bukan... ni dulu auditor tempat kerja lama, Encik Muhammad..."
Ratna Chempaka tunduk, pejam, kerut mata kemudian cubit pangkal kening cuba mengingat nama si segak.
"Muhammad Zain, kawan Ratna. Saya pinjam dia boleh tak? Lama gila tak jumpa."
Si segak memperkenalkan diri pakej cuba melarikan dia dengan izin. Kawan-kawan apa lagi setuju sahaja sebab balik nanti ada cerita 'hot' boleh dikongsi.
Aduh! Tak apa ke?. Bukan lagi kerana Fakarudin.
Dia... isteri orang.
Okay tak Bab hari ni? Sila Komen :-)
Share this novel
banyak juga perkara nak hadam....tak apa masih awal lagi....tak sabar tunggu Ali jumpa ratna