"Cantik gila girlfriend Zain."
Setuju. Budak perempuan itu memang cantik semula jadi.
Dia ingat lagi bertemu Ratna Chempaka ketika dilanggar kerana tiba-tiba berlari keluar dari belukar di Hatyai. Comot, selekeh, busuk dan berlumuran darah tapi tetap wajah itu nampak cantik.
"Zain cakap dah dekat setahun ushar budak tu tak dapat. Nak kawan aje tak nak kahwin."
Ermm, bagus... Sedar diri. Lagi?
"Dengar tak Mawar cakap?".
Soal Mawar Baiduri tiba-tiba. Ali Firdaus menoleh ke sisi. Cemberut wajah gadisnya yang skala kecantikannya biasa-biasa sahaja.
Tapi, soal hatinya buat Mawar Baiduri bukan diukur dari paras rupa, ianya suatu perasaan ikhlas yang suci murni tanpa dia tahu bagaimana dan bila hadir melekat. Chewah!.
"Abang tengah fikir ni..."
"Fikir apa?".
"Dalam kelas Abang, lelaki yang tak kahwin lagi Abang dengan Zain aje..."
"Abang tak kahwin lagi?".
Eh! Dia tahu ke?.
"Sihat ke tak ni?. Habis tu Sumayyah tu siapa?".
Ooohh iyalah... Apa la!.
"Okay... yang solo sekarang."
Ali Firdaus membetulkan ayatnya. Iddah akan tamat kurang dari sebulan.
Dia sudah pun makan penampar jepun Mejar (B) Jailani. Tak mengapa, kau orang tunggu tamparan hebat dari aku pula lepas ni.
"Jadi...?".
"Jom kita cepat nikah. Biar tinggal Zain sorang-sorang."
Ali Firdaus ketawa jahat. Dua minggu lagi dia akan pergi umrah dengan Sumayyah nanti dia bertaubat di sana.
Astaghfirullah!.
(Serius tak ada idea. Huhu).
"Abang ni kenapa? Bercakap macam lalok je."
"Tak ada apa. Abang tak sabar nak nikah Mawar."
Lepas nikah baru uruskan Ratna Chempaka. Tak boleh daftar sekarang. Bimbang ketika berurusan mengisi borang untuk nikah dengan Mawar Baiduri terkeluar rekod itu adalah pernikahan untuk kali ketiganya.
Sekarang biar Mawar Baiduri tahu dia cuma pernah menikahi Sumayyah. Lagipun... walau dua kali bernikah dia masih teruna hingga kini.
Hah! hebatkan dia. Berusia 30 tahun, dua kali bernikah dan masih teruna...
Hebat wak lu!. huhu.
"Mama tak izinkan Abang. Mawar dah pujuk."
"Mawar relax okay. Jangan paksa mama. Bagi Abang uruskan Sumayyah dulu."
"Mawar cuma nak Abang bersedia. Andai kata mama tetap tak bersetuju sebab marah dia pada Mommy Abang... Mawar tak akan nikah dengan Abang okay. Mawar nak mama happy. Mama dah lama hidup sedih. Untuk hal besar yang ini, biarlah dia rasa gembira. Abang fahamkan."
"Mawar tak sayang Abang?".
"Sayang, tapi... Mawar lebih sayang mama."
"Mawar bagi Abang uruskan semua ni. Bagi Abang satu peluang ni."
Ali Firdaus capai tangan Mawar Baiduri di atas riba. Cepat pantas gadis itu menariknya semula. Kerana sikap inilah dia rasa Mawar Baiduri istimewa.
InsyaAllah. Niatnya baik. Cintanya ikhlas. Dia akan buktikan.
@@@@@@@
"Ali cakap, kalau hal Sumayyah dia dah berjaya settlekan dia nak balik rumah."
"Balik sini?".
Dari duduk menyandar di kepala katil terus dia berpusing duduk tegak dan menghadap suaminya.
Suaminya mengangguk dan tersenyum manis.
"Makbul doa you Yang."
Dia tidak boleh terlalu teruja dan berharap. Anak itu pernah marah besar kepadanya. Sudah padamkah api kemarahan itu?.
"Hal Sumayyah dia nak uruskan macam mana? Betul ke pasal surat lawyer tu?. Dia nak setuju ke dengan permintaan orang tua tu?."
"Betul. Surat lawyer tu betul. Saya baca surat tuntutan tu masa keluar dengan Ali."
"Ali setuju dengan semua tuntutan tu?".
Allah... habislah sebahagian harta arwah bapa mertuanya pergi kepada lelaki tua yang tamak dan tidak fikir akan mati itu.
"Kalau dah begitu permintaan dia, saya cakap dengan Ali bagi sahajalah. Tak mengapa kita hilang harta janji kita dapat merdekakan Ali semula."
Datin Soraya terdiam tidak bergerak. Menunduk memandang cadar tilamnya yang berbunga tulip. Itu bukan hartanya. Harta itu milik arwah bapa mertuanya dan bahagian yang diminta milik suami dan anak lelakinya.
Tapi...
Ralat juga rasa hati harta itu pergi kerana dia.
Dia yang menyebabkan Ali Firdaus terpaksa menikahi Sumayyah kerana kecewa. Dia yang menghalang permintaan anak itu menikahi Mawar Baiduri. Dia yang enggan merestui percintaan anak itu.
Bagaimana dia mampu bersetuju? Mawar Baiduri anak kepada lelaki yang paling dia benci. Lelaki yang beberapa kali mencuba merosakkan dirinya.
Pada suatu masa dahulu...
Dia tinggal di sebuah rumah besar. Rumah sahaja besar dan mewah tapi tiada nilai kasih sayang untuknya di rumah itu walau hanya sebagai manusia.
Dia dilayan bagai sampah sejak kecil. Patah perkataan dari awal yang dia dengar dari pasangan ibu dan bapa angkatnya, anak-anak dan saudara-mara mereka hanyalah kebencian dan hinaan.
Dia membesar di tangan pembantu rumah. Mujur pembantu rumah berhati emas. Mengasihani dia anak yatim piatu dari rumah kebajikan yang ibu bapa angkatnya ambil untuk nama baik sahaja.
Untuk menunjuk-nunjuk sahaja dalam suatu program kemasyarakatan. Dengarnya, salah satu dari beberapa perkara bapa angkatnya buat untuk mendapatkan gelaran pangkat Dato' dan Datin.
Apabila tidak berjaya bagai dirancang... walau mungkin berjaya sekalipun, dengan sikap mereka dia dilayan dengan zalim. Sepak terajang, maki hamun perkara biasa untuknya sejak kecil.
Hinggalah...
Sehabis peperiksaan akhir SPM!.
Malamnya dia melarikan diri sehelai sepinggang di badan dengan sekeping kad pengenalan. Sebelum matahari terbit dia harus pergi dari rumah besar itu kerana mereka akan nikahkan dia dengan adik kepada bapa angkatnya.
Lelaki itu bapa Mawar Baiduri!. Lelaki paling jahat!, paling zalim!. Dia hampir dirosakkan lelaki jahannam itu!.
Entah bagaimana nasib ibu Mawar Baiduri bersuamikan lelaki seperti itu. Entah bagaimana ibu Mawar Baiduri boleh berjodoh dengan lelaki seperti itu. Adakah sama seperti dirinya? dipaksa, diugut.
Masih terasa kakinya yang tidak beralas berlari laju merentas semak, padang dan jalan tar. Jatuh berdarah tetap bangun dan berlari lagi demi menyelamatkan maruah diri dan masa depannya.
Jika dia beralah pada malam itu dia akan mati. Jiwanya akan mati walau masih bernafas.
Berlari dan berlari dalam gelap malam.
Sebuah kereta berhenti, dia yang ketakutan fikir orang di dalam kereta mungkin salah seorang orang upahan bapa angkatnya untuk menangkap dia.
Dia lari lagi lebih laju. Sehingga dia putus nafas. Kepenatan dan ketakutan. Jatuh pengsan entah di bahagian mana daerah situ.
Apabila dia terjaga dia sudah di atas katil hospital. Lama dia di hospital. Demam teruk, cedera dan tertekan kemurungan.
Apabila dia pulih dan mampu bercakap barulah dia tahu seorang doktor pelatih membawanya ke hospital. Menemuinya tidak sedarkan diri di pondok menunggu bas. Lelaki berkereta yang sama menegur dia pada awalnya.
Kebijaksanaan lelaki itu menilai tahap kecederaan dan situasi dirinya ketika ditemui dapat menyelamatkan dia dari ditemui bapa angkatnya. Doktor pelatih itu menyimpan dokumen pengenalan dirinya.
Tiada siapa yang tahu siapa warisnya sehingga dia benar-benar pulih dan mampu keluar dari hospital.
Sepanjang di dalam hospital dia berkawan rapat dengan doktor pelatih itu, mencurahkan rahsia diri dan masalah. Jadi, apabila dia dibenarkan pulang doktor pelatih itu membawa dia ke rumah keluarganya.
Sebuah keluarga bahagia yang baik budi pekerti. Dengan seorang bapa dan seorang ibu berhati mulia. Adik-beradik yang baik-baik belaka. Dia dijaga sehingga benar-benar pulih dan bersemangat dalam hidup.
Apabila keputusan SPM diumumkan dia lulus cemerlang. Mujur dan bersyukur Allah beri dia kekuatan hati dan mental untuk melarikan diri pada malam hitam itu.
Dia diberi peluang hidup baru. Keluarga doktor pelatih menghantarnya belajar ke Indonesia. Dia tidak lepaskan peluang menuntut ilmu dan berjaya.
Pulang ke Malaysia, hubungannya dengan sang doktor dari kawan baik sudah bertukar istimewa.
Lelaki di hadapannya inilah sahabat baiknya dan cinta hatinya, Dato' Dr Abu Bakar. Penyelamat hidupnya. Bersama lelaki ini dia ada anak-anak sekeluarga berlima termasuk Ali Firdaus.
Ali Firdaus...
Adakah anak yang ini harus membayar hutang sejarah hidup awalnya kepada keluarga Mejar (B) Jailani?.
Kasihannya Ali Firdaus, anak Mommy buah hati pengarang jantung.
Maafkan Mommy sayang.
@@@@@@@
"Awak dah lama berkawan dengan Encik Ali dan Kak Wawa?".
Mereka berjalan beriringan. Menyusuri ruang pejalan kaki di dalam pusat membeli belah berdekatan dewan pertemuan kawan-kawan seuniversiti Muhammad Zain.
Bagus sungguh urus setia majlis memilih waktu bermula awal pagi jam sembilan. Cuma sahaja semua harus berkorban waktu cuti hujung minggu seawal pagi. Majlis selesai selepas azan Zuhur.
Selepas sahaja dia dan Muhammad Zain selesai menunaikan solat Zuhur di surau pusat membeli belah itu mereka pusing-pusing dahulu cuci mata.
"Kami berkawan dari SBP. Saya sebaya Ali. Wawa muda dari kami dua tahun. Rezeki kami masuk universiti yang sama lepas tu. Masa kami buat degree Wawa masuk untuk diploma."
Bijak pandai mereka ni. Dia sahaja yang kentang dalam pelajaran. Mujur Datin Soraya sudi mengambilnya bekerja untuk jawatan yang elok walaupun hanya berkelulusan SPM yang tidak cemerlang.
Dengar cerita dari kawan-kawan sekerjanya Datin Soraya sudah tidak mahu mengambil pembantu peribadi berkelulusan tinggi.
Nanti apabila cukup setahun semuanya akan lari mencari pekerjaan lain kerana sudah ada kelayakkan dan pengalaman. Maklumlah semua tidak tahan dengan cara kerja Datin Soraya yang sentiasa mahukan kecekapan dan kesempurnaan.
Terima kasih Ya Allah. Setiap sesuatu perkara ada hikmah yang tersembunyi. Hanya perlu berbaik sangka dengan segala yang dapat atau tidak dalam sepanjang perjalanan hidup ini.
"Dia orang tu couple ke?".
"Ya, dari zaman sekolah. Ali tu memang baik. Dia kan handsome, ramai perempuan cantik nak dia tapi dia pilih Wawa yang biasa-biasa aje."
"Kak Wawa tu manislah."
"Bolehlah...".
Ratna Chempaka menoleh kepada Muhammad Zain. Selamba sahaja wajah lelaki itu selepas membuat komen paras rupa Mawar Baiduri. Memang dari lubuk hatikah itu?.
"Awak memilih ye Zain?. Tadi saya dengar kawan-kawan awak menyakat awak kata awak memilih sebab tu tak kahwin lagi."
"Beli baju pun kita kena pilih kan Ratna."
"Okay... jadi kenapa awak pilih saya?. Dari latar belakang pun kita tak sepadan. Saya orang kampung aje, pelajaran setakat SPM."
Sambil berjalan Muhammad Zain menoleh sekilas kepada Ratna Chempaka dan tersenyum.
Tak boleh jadi ni. Anggap sahaja dia perasan cantik, tapi dia tidak mahu begitu. Sesiapa sahaja yang akan menjadi pasangan hidupnya nanti tidak boleh menerima dia kerana paras rupa ini.
Dia sudah melihat akibat yang amat buruk jika dirinya dipilih kerana sebab itu. Buruk pada dirinya dan pada lelaki itu juga. Ratna Chempaka mahu dinikahi seikhlasnya.
"Saya sebenarnya dah ada seseorang."
Muhammad Zain berhenti tiba-tiba. Menoleh kepada dia yang tadinya berjalan sedikit ke belakang.
"Siapa? Fakarudin?."
"Bukan..."
Muhammad Zain merenung wajahnya. Nampak air muka tidak puas hati di situ.
"Saya dah kejar awak nak dekat setahun ni. Kawan-kawan awak pun cakap awak tak pernah keluar dengan sesiapa selain saya. Saya terlalu letak harapan atau awak main-mainkan saya Ratna?."
Argh kawan-kawannya pun satu hal. Melihat sahaja pada paras rupa dan pekerjaan lelaki ini terus sahaja diputus elok dan sesuai. Memberi dia pendapat yang tidak sesuai dengan keputusan akhir dia yang memilih.
"Dari awal saya dah cakap dengan awak jangan berharap. Awak juga yang kata berkawan biar seribu."
"Siapa lelaki tu?. Alasan saja kan?. Sebab tak lama lepas awak putus dengan Fakarudin saya jumpa awak."
Malasnya mahu berbalah. Nampaknya sudah nasib dia akan terpaksa hadapi perkara begini dengan lelaki.
"Zain please... Siapa dia bukan soalannya. Saya dah cakap dari awal tentang hubungan kita ni."
"Okay... Okay... Sejauh mana hubungan awak dengan dia?."
"Kami sudah ada perjanjian. Saya kena tunggu dia balik. Sekarang dia jauh dari saya. Saya suka hubungan yang jauh macam ni. Dia tidak mendesak saya. Saya tidak rasa dikongkong."
Apa sahajalah dia jawab. Biar Muhammad Zain tidak berharap lagi. Dia sudah bertemu Ali Firdaus. Apa-apa boleh berlaku selepas ini. Muhammad Zain dan Ali Firdaus pula rupanya berkawan baik.
Sebelum dia jadi mangsa keadaan macam dulu baik dia letak amaran pada Muhammad Zain. Ada sempadan perasaan harus lelaki itu berhenti mendekati dia dengan harapan.
Bab smlm situasi yg sama pov Dr 2 org sb Sy jeng tak ada idea hahaha
Share this novel