Bab 10

Drama Series 8960

Silau dari satu keping bumbung plastik lutsinar itu menandakan hari sudah siang. Kenapa dia tidur di ruang dapur rumah Tok?.

Tok minta abah letak atap lutsinar sekeping di situ supaya ruang dapur yang sebelah sini masih terang walau tingkap berdaun papan di situ ditutup.

Baik dia bangun sekarang dan masuk tidur di bilik. Tok tak suka sungguh anak cucu baring tidur di dapur kerana banyak semut merah yang menggigit. Nanti habis berkudis kulit.

Dia mahu bangun tapi tubuhnya rasa letih sungguh. Rasa tidak larat walau mahu menguit sebatang jari. Ratna Chempaka memejam kembali matanya yang rasa mengantuk. Dia yakin dia hilang lagi dalam lena yang panjang.

@@@@@@@

Sayup...
Bunyi suara bercakap-cakap itu dari sayup kedengaran menjadi semakin kuat dan kuat.

Sedaya-upaya dia melawan rasa mengantuk supaya boleh mencelikkan mata dan sedar sepenuhnya. Supaya dapat dia memahami biji butir suara-suara yang bercakap.

Bunyinya tidak terdengar seperti perbualan tapi lebih kepada pertengkaran. Sudah kenapa dengan dia?. Sekujur tubuhnya rasa pegal-pegal tapi gagal untuk dia regangkan tangan mencari lega.

Apabila dia mampu mencelikkan mata sepenuhnya dia melihat sepasang tangannya berikat dengan tali pengikat plastik putih yang biasanya dia beli di kedai DIY untuk mengikat barang.

Hah!?
Kakinya juga!? Kenapa ni!? Kenapa!?.

Dia terbaring di atas sebuah katil bujang bertilam nipis bertutup kelambu nipis. Dia di mana?. Mimpi apa ini?.

Ini bukan rumah Tok! Walau ada sekeping bumbung plastik yang sama dan dinding ruangan ini dari papan seperti di dapur rumah Tok.

Ratna Chempaka cuba menjerit tapi dia sekadar mampu mengeram! Hah! Kenapa!? Kenapa mulutnya bertampal pita pelekat!?.

Apa sudah berlaku!?
Di mana Baizura!?.

Sudahnya dia mengeram sekuat hati dan bergolek-golek ke kiri dan ke kanan di atas katil bujang itu mengharapkan pertolongan datang dari siapa-siapa sahaja.

Suara bercakap-cakap itu berhenti. Dari dalam kelambu nipis dia boleh nampak sosok tiga orang yang bercakap-cakap itu sudah datang menghampirinya. Ratna Chempaka diserang rasa takut yang amat.

Siapa mereka!? Kenapa dia di sini!?. Ini bukan mimpi!. Di mana Baizura?.

Ya! Di mana Baizura!?.

Dia sudah ingat sepenuhnya. Kali terakhir dia bersama Baizura teman serumahnya. Mereka masuk ke Thailand untuk 'healing' di Hatyai.

Di Hatyai untuk tiga malam dan apabila pulang ke Malaysia Baizura akan menolongnya mendapatkan pekerjaan di Seberang Prai. Dia sudah berhenti kerja di syarikat lama kerana mahu lari dari cinta Fakarudin yang cemburu buta.

Bukankah sepatutnya dia bangun dari tidur kemudian keluar berjalan-jalan mencari sarapan viral seperti rancangan Baizura!.

Ya! Ya! itulah yang sepatutnya berlaku! Tapi... apa pula dah berlaku sekarang!?.

Belahan kelambu nipis diselak oleh salah seorang dari dua lelaki, perempuan yang seorang pula memandangnya dengan riak tidak puas hati.

Lebih tepat ketiga mereka merenungnya dengan pandangan tidak puas hati dan yang perempuan terlebih lagi.

Lelaki yang menyelak kelambu dan yang paling hampir dengannya bercakap sesuatu di dalam bahasa Thai. Disahut pula dengan nada marah perempuan yang seorang. Perempuan pertengahan umur sekitar lebih 50 tahun.

Akhirnya ketiga mereka bertengkar lagi di hadapannya seperti yang dia dengar sebelum ini. Benarlah telahannya mereka sedang bertengkar tentang suatu perkara dan Ratna Chempaka pasti ianya disebabkan dia.

@@@@@@@

Hari sudah malam. Atap plastik sekeping sudah gelap. Jam di dinding papan menunjukkan sekitar jam lapan. Kelambu nipis menghalang pandangan Ratna Chempaka nampak jelas muka jam dan keadaan di sekitar ruang.

Siang tadi agak lama ketiga mereka bertengkar di hadapannya. Terjerit-jerit perempuan separuh umur itu marahkan entah apa di dalam bahasa Thai kepada dua orang lelaki yang mungkin lebih tua sedikit dari Ratna Chempaka.

Apabila mereka berhenti bertengkar perempuan itu hilang di sebalik ruang. Ratna Chempaka rasa dia berada di aras atas sebuah bangunan kerana perempuan separuh umur nampak seperti turun tangga. Di mana dia sekarang?.

Apabila perempuan itu muncul kembali dia menatang sebuah dulang berisi makanan dan sebotol kecil air putih.

Dia didudukkan secara paksa dan disandarkan pada kepala katil. Sebelum pita pelekat dimulutnya dibuka, salah seorang dari lelaki itu mengeluarkan sepucuk pistol dan bercakap sesuatu dalam bahasa Thai kepadanya.

Sungguh dia takut!...
Ratna Chempaka rasa mereka mengugutnya supaya diam. Apabila pita pelekat dibuka perempuan pertengahan umur itu yang menyuapkan makanan kepadanya.

Dia makan sehingga habis sepinggan nasi berlauk sayur kangkung kerana takut yang amat melihat pistol yang diacu.

Sekarang sudah malam.

Pundi kencingnya minta dikosongkan. Tidak nampak sesiapa di ruangan itu yang pandangan jadi kurang jelas kerana kelambu nipis berwarna putih keruh.

Ratna Chempaka terpaksa mengeram lagi seperti siang tadi. Agak lama dia mengeram barulah nampak kelibat kepala terjenggul dari kawasan yang Ratna Chempaka jangkakan sebuah tangga untuk naik dan turun.

Kemudian sosok itu naik dan mendekat. Kelambu diselak kasar. Hanya mengangguk kepala sekali bertanya kemahuannya. Dia mengeram lagi memberitahu sebabnya.

Tiba-tiba pita pelekat di mulut direntap kuat. Dia terjerit kecil kerana perit dan terperanjat aksi tiba-tiba seperti itu.

Sekali lagi dia ditanya dengan isyarat kepala sahaja.

"Toilet."

Dia menjawab takut-takut. Lelaki itu merengus kuat. Mengusal rambut kerintingnya sehingga kusut-masai. Kaki Ratna Chempaka yang berlunjur di atas katil bujang diangkat kasar lalu dihempas ke bawah.

Dia di dalam posisi duduk sekarang ini. Laci di hujung gerobok tinggi bersebelahan katil bujang dibuka. Lelaki itu mengambil sebilah gunting dari dalam laci. Jantung Ratna Chempaka berdegup laju.

Bimbang di hatinya usah ditanya. Rupanya lelaki itu mahu memutuskan tali tebal pengikat plastik di kakinya. Barulah dia sedikit lega dan bertambah lega apabila lelaki itu menyimpan semula gunting ke dalam laci tadi. Mulutnya ditampal kembali pita pelekat.

Satu suara menegur dari muka tangga. Perempuan separuh umur yang menyuapkan Ratna Chempaka makan siang tadi. Mereka bercakap sesuatu di dalam bahasa Thai yang tidaklah Ratna Chempaka faham.

Lelaki itu membangunkan Ratna Chempaka mendorongnya bergerak cepat dengan menolak kasar belakang bahu Ratna Chempaka dari belakang. Hampir sahaja Ratna Chempaka tersungkur di muka tangga menuju lantai bawah.

Perempuan separuh umur menyambut tangannya yang berikat dari muka tangga. Memimpinnya menuruni tangga kayu yang sempit dan curam. Mata tangga dari kayu bulat menyukarkan pergerakkan mereka.

Betullah telahan awal Ratna Chempaka. Dia ditahan di dalam sebuah rumah atau entah bangunan apa ini. Ruang atas sepenuhnya papan.

Di ruang bawah pula separuh batu dan separuh papan. Kiri dan kanan ruang tiada tanda-tanda berdaun tingkap sama seperti di ruang atas. Tingkap kaca bentuk cermin Nako hanya bersebelahan daun pintu hadapan yang bertutup.

Kedudukannya sama sudut seperti tingkap berdaun papan di atas. Bermakna bangunan ini pastinya sebuah rumah kedai atau sebuah bangunan berteres.

Dia di bawa ke ruang dapur. Di atas tungku dapur gas bertenggek periuk dan cerek. Meja makan jenis lipat penuh barang entah apa.

Perempuan separuh umur bercakap sesuatu, menunjukkan satu pintu yang dia tolong tolakkan. Mangkuk tandas jenis cangkung di dalamnya. Mujur ada kepala paip bergetah panjang berwarna oren. Begini sahaja dia sudah cukup bersyukur.

Perempuan separuh umur membiarkan dia menyudahkan urusannya dengan aman. Manakala lelaki tadi yang mengekori mereka mengambil tempat di bangku meja makan bersama pistol di tangan. Ratna Chempaka tidak berani berbuat apa-apa.

Mungkin bukan sekarang...

@@@@@@@

"Hoi! @#&$ @#(-_-) ?!';';$".

Ratna Chempaka hanya faham perkataan 'hoi' sahaja. Kata ganti nama dirinya untuk tiga kali siang yang dia agak melalui cahaya matahari dari sekeping atap plastik.

Dia sudah agak lama terjaga dari tidur kerana bunyi ayam berkokok. Sudah tiga kali terang dari atap plastik membuatkan dia membaca dan mengamati keadaan sekeliling melalui pendengarannya.

Satu-satunya dia dapat mengagak untuk kali ini sekejap lagi atap plastik itu akan diterangi cahaya matahari selepas beberapa ketika bunyi ayam berkokok.

Jam di dinding tidak membantu langsung kerana jarum pendek kekal di nombor lapan.

"?$&/ ;!*)(_- gjj?!"!+ &$);;;"

Entah apa lelaki di luar kelambu memberi arahan kepadanya. Dia menunggu sahaja tindakan seterusnya dari mereka. Selagi mereka tidak berbuat jahat kepadanya dia sudah cukup bersyukur.

Kelambunya diselak, perempuan separuh umur datang menurunkan kakinya dari atas katil lalu mendudukkan Ratna Chempaka di birai katil.

Dia ditarik supaya berdiri. Kali ini untuk turun ke bawah dia diangkat oleh dua orang lelaki itu menuruni tangga.

Dia mengeram tapi tidak berani meronta. Bimbang jatuh dari mata tangga yang tinggi dan curam. Mengikut rancangan akalnya yang ketakutan dia perlu kekal sihat fizikal untuk cuba melarikan diri di masa yang sesuai.

Pengikat plastik di kaki dan tangan dipotong. Pita pelekat di mulut juga ditanggal. Lega rasa perit di pergelangan kaki dan tangannya. Dia dipaksa ke tandas. Dengan menggunakan bahasa isyarat perempuan separuh umur menyuruhnya membersihkan diri.

Siap sahaja urusannya dia dibawa ke ruang hadapan. Tangan diikat semula. Kali ini di belakang tubuh. Ratna Chempaka nampak kapas muka di tangan perempuan itu. Apa pula kali ini?.

Aduh!.
Matanya pula dilekat kapas muka. Kemudian dipakaikan cermin mata. Dia yakin ianya cermin mata hitam. Adakah dia akan dibawa ke tempat lain?.

Rasanya ya!. Tubuhnya dipakaikan sesuatu. Ratna Chempaka agak sehelai kemeja yang besar dan tebal untuk melindungi tangannya yang berikat di belakang.

Kemudian dia dibawa keluar rumah kerana dapat dirasa udara subuh segar yang sejuk . Dia dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan dan dia agak sebuah van kerana cara masuk ke dalam kenderaan tersebut.

Kakinya diikat kembali dan tiba-tiba mulutnya dipekup sesuatu. Ratna Chempaka meronta pada mulanya kerana terperanjat tapi perlahan-lahan hilang perasan dan akhirnya dia hilang sepenuhnya.

@@@@@@@

Bunyi suara ketiga mereka bertengkar sekali lagi mengejutnya dari lena tidur.

Sudah berapa lama dia tidak sedarkan diri dan persoalan lebih penting sudah berapa jauh perjalanan ini?.

Ke arah mana?. Utara, timur, atau barat?. Tidak mungkin ke Selatan. Jantungnya berkompang hebat. Gerun yang menjerut urat perut rasa takutnya.

Jika ke utara Thailand bermakna ke China, jika ke timur bermakna ke Laos dan jika ke barat bermakna ke Myanmar. Mahu diapakan dia?.

Pertengkaran menjadi bertambah buruk. Rasanya kedua lelaki muda itu marahkan sesuatu kepada perempuan pertengahan umur.

Kemudian dia terdengan bunyi sesuatu diikuti bau yang sangat-sangat meloyakan. Walaupun dia rasa dipakaikan pelitup muka bau tersebut sangat-sangat busuk.

Rasanya pelitup muka mereka pakaikan kepadanya selepas dia pengsan untuk melindungi pita pelekat di mulutnya.

Perempuan separuh umur membebel sesuatu. Bunyi kemarahan perempuan itu membingitkan ruang di dalam kenderaan.

Kepala Ratna Chempaka rasa pening yang amat. Ditambah pula bau busuk yang amat meloyakan dari bunyi yang tidak henti-henti datang dari dua lelaki di hadapan.

Kenderaan berhenti.

Dapat Ratna Chempaka dengar perempuan separuh umur membuka tingkap bersebelahannya sambil membebel sesuatu. Kalaulah dia faham...

Lelaki berdua bercakap sesuatu. Mereka berbincang entah apa. Rasanya persetujuan dicapai apabila kedua pintu hadapan dibuka dan tiada lagi suara kedua lelaki, bunyi dan bau meloyakan terhasil.

Seketika suasana senyap sahaja.

Tiba-tiba perempuan separuh umur bercakap dalam nada cemas. Dia rasa ikatan tali plastik di kakinya dipotong kemudian di tangan pula.

Ratna Chempaka ragu-ragu untuk membuang kapas muka penutup mata tapi perempuan separuh umur sudah melakukannya dahulu.

Kali ini Ratna Chempaka sudah nampak sekeliling. Tangan dan kakinya sudah lepas bebas. Perempuan separuh umur menarik sesuatu dari bawah bangku duduknya.

Beg Mickey Mouse hitam merah hadiah dari abah!. Ratna Chempaka menangis melihat beg sandang itu.

Pintu van perempuan itu buka lalu keluar. Menarik tangannya agar turut segera keluar. Mereka berada di sebuah pekan dengan deretan tiga buah rumah kedai beratap zink, bangunannya pula separuh papan dan separuh batu.

Tiada kelibat lelaki muda berdua.

Tangannya tiba-tiba direntap perempuan separuh umur memandunya agar bersegera bergerak.

Dari berjalan laju perempuan itu mula berlari anak memimpinnya menuju ke belakang kawasan rumah kedai yang memanjang.

Berlari dalam keadaan berpimpinan tangan.

"Hoi!!!".

Lelaki berdua! Sudah muncul!

"Fast! Fast!".

Jerit perempuan separuh umur kepada Ratna Chempaka.

Mereka berlari pula menuju kawasan beberapa buah rumah yang berjarak. Kemudian tiba pula di kawasan belukar di belakangnya.

Mereka berlari dan berlari lagi di celah pokok-pokok renek dengan ranting tajam dan ada yang berduri penuh semak dari rumput menjalar dan lalang tinggi.

Kawasan belukar habis.

Dalam ketakutan mereka perlu melompat sebuah parit yang agak lebar. Mahu menuju ke jalan raya di seberang parit.

Perempuan separuh umur terjatuh di tepi tebing, Ratna Chempaka menolongnya bangun walaupun dari isyarat tangan dan bahasa yang dia tidak faham perempuan itu rasanya menyuruhnya terus berlari.

Dia terhutang budi dengan perempuan ini yang sudah merisikokan nyawanya sendiri dari dua lelaki bersenjata untuk menolongnya.

Berjaya sahaja mereka melepasi tebing parit dan naik ke jalan raya...

Poonnnnn!!!....
Screeettttt!!!!....
Dum!.

Sy delete dua stgh bab. dh jauh jln smpi Chiang Mai tp delete sb tak logik. watak ni ingat penulis bnyk duit nk bwk diowg jln jauh sgt agaknye. hihi. 1st time tk blh gerak cm ni. cite yg lps masih blh goreng ctu cni. lama kn terdiam. ni jom kite gerak dlu klw tk lps kite duk diam2 smla. ada lg ke kwn2 yg tgu cite ni. sorry tau sume. makcik jem hilang otaknye

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience