Bab 2

Drama Series 8960

"Chemmm..."

Ratna Chempaka menoleh ke arah tangga menghubungkan rumah atas dan bahagian dapur rumah Kak Long. Umar berdiri di situ. Tersengih-sengih.

"Apa Chem! Chem!... Mak Usu lah!".

Ratna Chempaka tidak mengendahkan Umar. Menarik sebuah bangku di meja makan lalu duduk menyambung kerjanya menyiang ikan bilis.

"Eh! Salah ek? Bukan patutnya Sayang ke Chem?."

Umar tergelak suka. Bahagia terpancar dari wajah yang berpeluh kerana berpanas menunggang motosikal.

Ratna Chempaka malas menjawab. Nanti jadi panjang. Dia tahu perangai Umar bagaimana jika nampak dia. Miang!.

"Kau temankan Ibu ke Chem?. Budak dua ekor tu pergi camping berapa hari?".

"Esok balik."

"Alhamdulillah... maknanya kau ada sinilah malam ni?. Tak sangka, langkah kanan aku Chem."

Umar tarik bangku berhadapan Ratna Chempaka. Masih tersengih-sengih miang. Menyampah betul!.

"Apasal kau balik?. Kak Long cakap minggu ni kau OT."

"Aku terbau-bau ada kau kat sini. Tu yang aku balik."

Tengoklah!. Cucuk dengan tulang ikan bilis baru tau.

"Laparlah Chem. Kau masak apa?".

"Nasi goreng. Tu dalam kuali sana."

"Amekkan Chem. Bakal suami lapar ni."

Ratna Chempaka tepuk muka meja. Geram dengan ayat Umar. Langsung tidak hormatkan dia sebagai adik bongsu kepada ibunya sendiri.

Merenyuk-renyuk dia mengemas ikan bilis yang belum siap habis disiang. Kemudiannya bangun menyimpan ke dalam gerobok pak awang bersebelahan peti sejuk.

Tidak dia endahkan Umar yang meminta maaf dan memanggil-manggil namanya. Dia keluar ikut pintu dapur, menyarung selipar kemudian menunggang motosikal buruknya meninggalkan rumah Kak Long.

@@@@@@@

"Chem! Chem! Chem!".

Sayup-sayup dia dengar namanya dilaung. Dia perlahankan kelajuan motosikal yang ditunggang kemudian berhenti di bahu jalan.

Sebuah motosikal berhenti lalu memakir dihadapannya. Eh! mamat ni?

"Laju nak mampus kau merempit Chem! Macam orang gila aku jerit nama kau sepanjang jalan."

Kata lelaki itu sambil menyangkut helmetnya ke cermin sisi.

"Kenapa kau balik? Kena buang kerja eh?."

Ratna Chempaka soal selamba kepada lawan cakapnya. Fakarudin atau nama panggilan Udit. Rakan sekampung dan rakan sekelas ketika sekolah rendah dan menengah rendah.

Naik menengah atas Fakarudin masuk vokasional ambil kursus kulinari. Lepas tamat SPM tidak menyambung pelajaran juga, seperti dia.

Dengarnya sudah mendapat pekerjaan sebagai pembantu chef di atas kapal laut. Katanyalah...

"Cuti daa... yang kerja tak ada cuti tu engkau! Kayanya tak jugak."

Fakarudin membalas sama pedas seperti soalannya. Tapi dalam ketawa kecil.

Orang tidak kenal mesti ingat mereka sedang bergaduh tapi beginilah cara dia dengan Fakarudin setiap kali berjumpa.

"Mana kau tau aku tak kaya?".

Ratna Chempaka belum mahu mengaku kalah. Masih mahu beradu mulut.

"Ni... motor ni tempatnya kat muzium Chem. Bukan atas jalan."

Fakarudin yang masih di atas motosikalnya menunjal tayar motorsikal Ratna Chempaka guna hujung kasut. Terundur sedikit motosikal kerana dia tidak menyangka dan bersedia.

"Woi! Woi!.

Dia berpura-pura mahu terjatuh kerana dia sudah malas mahu beradu cakap dengan Fakarudin.

Tapi mana boleh dia bagi Fakarudin menang begitu sahaja.

"Eh! Eh!... Sorry Chem. Sorry, sorry."

Fakarudin sudah mahu turun dari motosikalnya menolong, tapi terhenti kerana Ratna Chempaka sudah menegakkan kembali kenderaan dua roda itu.

"Sorry air liur aje tak laku Dit. Belanja aku makan."

"Cantik! Mana?". Fakarudin jawab teruja.

Dia sengaja mahu mengepow Fakarudin kerana perutnya lapar tapi tertinggal duit. Tadi keluar rumah terburu-buru kerana sakit hati dengan perangai Umar.

Dia belum sempat bersarapan sebelum Umar sampai. Dia fikir mahu menunggu Kak Long balik kelas mengaji di masjid.

Oleh kerana Kak Long belum balik dan ada Umar yang miang di rumah jadi dia kena keluar bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Labis lah... ajak Idot. Kau rindu dia kan."

"Alaaa Chem... Tak naklah ajak dia. Aku nak makan berdua engkau je."

Keterujaan sebentar tadi hilang terus dari wajah Fakarudin. Berkerut terus muka lelaki itu.

"Tak jadilah. Aku nak balik."

Sehabis ayatnya dia sudah menghidupkan enjin motorsikal. Berpura-pura mahu memulas tali minyak meninggalkan Fakarudin.

"Okay! Okay! Ajak Idot. Okay!".

Sambil menghalang motosikalnya dari meninggalkan bahu jalan Fakarudin menjerit-jerit bersetuju.

Yess! Menang pun aku. Perempuan mana boleh kalah.

@@@@@@@

Zaidah bawa mata air. Dia pernah nampak lelaki ini. Senior mereka ketika sekolah menengah. Bekerja di bengkel kereta berhampiran kilang kotak dia dan Zaidah bekerja sekarang.

Ratna Chempaka terperanjat juga mulanya. Memang Zaidah ada bercerita berkenalan dengan seorang lelaki. Tidak pula bercerita penuh lelaki itu adalah lelaki yang ini.

Kejutan kata Zaidah. Hari ini lagi terkejut, Zaidah sudah bersedia tayang orangnya. Mesti dah nekad habis ni. Dia gembira untuk Zaidah.

Oleh kerana dia duduk di sebelah Fakarudin jadi dia berhadapan dengan Zaidah dan mata airnya. Tadi kata Zaidah nama mata air dia Amizan. Dia sebelumnya memang tidak tahu nama budak ini.

"Mana kau kutip Udit ni Chem?".

Soalan Zaidah mematikan fikiran jauh Ratna Chempaka.

"Tepi jalan."

"Bunyinya zalim tau Chem."

Sahut Fakarudin merenjis dia dengan air dari badan gelas teh o ais di atas meja.

"Memang tadi kita jumpa tepi jalan kan."

Dia menjawab kasar macam biasa dia berbual dengan Fakarudin.

"Kau dah lama ke Jan kerja dekat bengkel tu?".

Fakarudin menyoal pula mata air Zaidah. Senang jadi orang lelaki. Jumpa sekali-sekala tapi bila berbual macam kenal lama.

"Baru. Sebelum ni dekat Johor Jaya. Bila housemates rumah sewa dua orang sekali keluar, sewa jadi mahal. Aku balik kampunglah. Sama aje bila dah kira-kira."

Amizan budak felda berdekatan. Anak bongsu, jadi kira senanglah. Mesti hasil sawit mak ayah dia kongsi dengan dia. Ratna Chempaka buat kira-kira ikut logik kepala otak dia.

Bila Fakarudin dengan Amizan berbual, dia dengan Zaidah dengar sahaja. Seronok juga dengar cerita orang sudah pernah bekerja di luar. Dia dengan Zaidah belum pernah bekerja luar dari bandar kecil Labis ini.

Dia memang tidak mahu ke mana-mana sebab sayang rumah arwah Tok bagi pada dia. Pada dia sama sahaja bekerja di mana pun. Kalau pandai bercermat dan menyimpan, banyaklah duit.

Zaidah ni 'special kes'. Dia tidak pernah pengaruh Zaidah. Tapi teman rapatnya ini mengikut dia.

Zaidah asalnya orang pekan Bekok. Oleh kerana mak ayah Zaidah bekerja di Singapura ketika zaman sekolah menengah jadi Zaidah tinggal dengan makciknya di bandar Labis.

Habis SPM Zaidah mengikut Ratna Chempaka bekerja di kilang kotak di bandar Labis ini.

Sekarang Zaidah tinggal di rumah sewa berdekatan kilang kotak. Jalan kaki sahaja ke tempat kerja. Lepas rumah Tok terbakar, Zaidah ada mengajak dia tinggal bersama tapi dia menolak.

Dia cakap dengan Zaidah, teman rapat tak boleh serumah. Nanti bergaduh. Itu teori dia, tak ada siapa pun percaya. Sebab itu dia sanggup menumpang hidup di rumah akak-akak tirinya.

InsyaAllah tak lama. Sekarang tebalkan sahaja muka hidup menumpang. Nanti cukup sahaja duit dapat naik rumah kecil bolehlah dia pindah.

"Ooo jadi kau bukanlah kerja chef atas kapal?".

Entah apa orang bertiga ini berborak dari tadi, Ratna Chempaka tidak dengar. Jauh dia mengelamun.

"Bukan... pembantu chef. Sediakan bahan masak untuk naik cruise. Ni aku cuti sebulan. Company tu loading barang makan naik kapal. Macam tulah lebih kurang. Nak cerita detail... panjanglah."

Jauh dah cerita dia orang ni. Makan dah lama habis. Tauke kedai perhati sahaja mereka yang masih ralit berborak.

@@@@@@@

Sudah habis mengaji Arbiah duduk mengelamun di atas sejadah. Hatinya risau. Anak-anak dia sayang, adik pun dia sayang.

Walaupun dia dapat dulu budak bertuah dua orang itu, tapi tetap juga dia sayangkan Ratna Chempaka teramat sangat.

Dia ingat lagi masa kecil dahulu bapa tirinya Ari Sudarji tersangatlah baiknya. Pergi sekolah berhantar balik berambil walaupun cuma menunggang motosikal.

Selalu melayan kehendak dan keperluan dia dan adik-adiknya berkenaan makanan dan sakit pening.

Dia bersyukur dengan kehidupan dahulu. Ada rakan sekelasnya berbapa tiri juga, habis didera bapa tiri. Dahlah bapa tiri rakannya tidak sekacak bapa tirinya, jahat pula perangai.

Arwah Tok mereka seorang balu, boleh duduk diam di rumah sahaja tidak menolong kerana mempunyai menantu yang ringan tulang. Semua bapa tiri dia uruskan.

Walaupun umur mak tak panjang arwah mak memang bertuah berjodoh dengan bapa tiri mereka.

Arwah Mak Timah ibu tirinya sama tara baiknya dengan bapa tirinya. Menjaga arwah Tok umpama Ibu sendiri.

Ketika itu dia sudah berkahwin, senang hati meninggalkan adik-adiknya dan arwah Tok di bawah jagaan mereka.

Sekarang, baru sahaja Ratna Chempaka diuji sedikit dia sudah tidak mampu menolong.

Kira sudah tidak mampulah walau perkara ini hanya baru dibincang di antara dia dengan dua anak bujangnya.

Berbincang asing-asing tapi dua-dua meminta benda yang sama. Mahu memperisterikan Ratna Chempaka.

Puas sudah dia menasihati kedua anak bujangnya supaya menerima takdir Ratna Chempaka itu ibu saudara mereka tetap mereka menepisnya.

Cuma tiri sahaja, sah menikah, tiada hubungan darah. Supaya Ratna Chempaka kekal dalam keluarga mereka. Macam-macam alasan disusun supaya jadi.

Masalah besarnya dua-dua tidak mahu beralah. Itulah yang jadi masalah!.

Kalau yang meminta seorang sahaja dia sudah lega walau belum diusul kepada Ratna Chempaka. Sekarang bagaimana mahu diusul? Boleh jadi belah ahli keluarga!.

Nanti balik suaminya Mahadi dia akan mengadu perangai anak dua orang itu. Memeningkan kepala sungguh!.

@@@@@@@

Minggu lepas Umar. Minggu ini dua-dua ada. Umar dan Uthman. Mereka berdua ini berbeza setahun sahaja. Umar 23 tahun dan Uthman 22 tahun.

Dia tahu dia siapa. Dia sedar, tapi sedari kecil sudah di set di dalam akalnya empat orang itulah kakaknya. Maka anak-anak kakaknya adalah anak saudaranya.

Mana mungkin dia mahu. Membayangkan sahaja sudah meremang roma. Macam sumbang mahram.

Pening dia dengan budak lelaki berdua ini. Dari kecil suka berebutkan dia. Buat dia macam berebutkan anak patung ditarik tangan seorang sebelah.

Budak-budak lelaki dalam kampung juga tidak berani mendekati dia dengan perasaan, kerana sudah di'warning' budak berdua ini.

Fakarudin sahaja yang berani kerana berkawan baik dengan dua orang itu. Kononnya sudah diberi izin menjaga dia di sekolah atau tempat mereka tiada.

Dia tahu di kilang tempatnya bekerja sekarang begitu jugalah cerita tersebar.

Ini semua poyo!. Hantu betullah!

Macam mana dia nak berjodoh kalau dah macam ini gayanya.

Zaidah pun dah ada mata air!.

Tak boleh jadi macam ni. Dia kena buat sesuatu supaya budak dua orang itu tahu dia tidak akan memilih sesiapa pun di antara keduanya.

Tak paham sungguh dia dengan selipar jepun berdua itu.

"Chem, jom tengok wayang. Oman belanja."

Ratna Chempaka buat tidak dengar. Menyuap sahaja makanan di dalam pinggan lepas satu, satu lagi masuk ke dalam mulut.

"Wani nak ikut!".

Azwani yang duduk di sebelahnya cepat sahaja menyahut mendengar perkataan 'tengok wayang'.

"Wina pun nak ikut. Abang Oman tak pernah bawak kita orang."

Azwina juga sudah menyahut.

"Abang ajak Uculah. Bukan ajak kau orang."

Suasana meja makan mula panas apabila sudah berbalas cakap begitu. Ratna Chempaka nampak Kak Long sudah berhenti menyuap. Terganggu dengan telatah anak-anak di meja makan.

"Kak Long, Chem amek OT dua hari. Kejap lagi ni Chem pergi. Chem tidur rumah Idot."

Tak ada OT pun sebenarnya. Sengaja dia mahu melarikan diri ketika ada dua orang anak bujang Kak Long yang pulang bercuti hujung minggu.

Mereka berdua bekerja di bandar Segamat dan menyewa di sana. Umar bekerja di sebuah kilang pengeluar bumbung logam. Uthman pula bekerja dengan SAJ Segamat membaca meter air.

(Jangan cari ye. Tak wujud pun orang ni. Haha)

"Chem! Jom pergi BP."

Umar baru masuk ke dalam rumah dari pintu dapur. Entah dari mana pulangnya kerana sudah keluar dari jam sepuluh pagi tadi.

Ratna Chempaka buat tidak dengar seperti mana ajakan Uthman sebentar tadi.

"Wah! Bestnya! BP pun dah lama tak pergi . Nak ikut."

Seperti tadi, Wani teruja mendengar orang mahu berjalan.

Kasihan Wani, ayahnya bekerja sebagai pemandu lori jarang sekali berada lama di rumah untuk membawa mereka keluar berjalan-jalan.

"Ucu... jomlah pergi."

"Sorrylah Wani. Ucu kena OT. Next time Ucu bawak Wani okay. Kita pergi berempat aje. Wani, Wina, Ibu dengan Ucu. Okay?".

Ratna Chempaka memujuk Wani yang sedih.

"Kau sibuklah Mar! Apasal minggu ni kau balik!?. Kata Wan sepatutnya kau OT kan minggu ni."

Uthman tiba-tiba marahkan Umar. Mereka serumah menyewa di Bukit Siput Segamat. Agaknya Wan itu rakan serumah yang sama kerja dengan Umar.

"Tak payah nak bertekak. Umar, Uthman dah cuti sekali ni, teman Ibu balik Kluang. Atok bising lama tak jumpa kau orang berdua."

Kak Long yang diam sahaja dari tadi tiba-tiba berbunyi. Kluang itu kampung asal Abang Mahadi.

Ratna Chempaka tidak campur lagi perbualan seterusnya. Segera dia angkat kaki mahu ke rumah sewa Zaidah.

Aje pening!.

Sy mmg terkenal dgn tulisan yg berbalik balik. sorry ye. nk menyampaikan maksud tu kdg2 tk lps. tu yg jd mcm tu. cite ni tegak je. Sy lps kn ckit2 spy Sy tk pening nk adjust. kdg2 idea kemudian tk kena dgn Bab sblm jd kena ubah sana sini. Komen sgt diperlukan utk bg idea cite ni terus ditulis smpi abis. terima kasih sume yg support dan sedia sudi teman Sy utk cite ni. tlg promo blh ye. tlg promo, tlg follow, tlg I lap u, eh! haha. syg uoll

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience