Ratna Chempaka dapat menumpang tidur satu malam di rumah Kak Uda di Taman Orkid Baru. Esoknya ibu mertua Kak Uda datang dan minta dia keluar dari rumah itu serta-merta.
Dia sudah cuti sakit dua hari. Zaidah sudah memberitahu pengurusan kilang. Sekarang harapan dia hanya pada Zaidah untuk menumpang tinggal walau masih berbaki dua hari untuk masuk bulan baru.
Sudah tidak tahu mahu ke mana. Rumah Kak Ngah dan Kak Chik masih di dalam kampung yang sama.
Cerita tengah panas. Malu mahu bertembung dengan orang kampung dan bimbang bertembung dengan Abang Mahadi. Jerkahan Abang Mahadi di pakir hospital Segamat masih bergema di dalam kepala.
Dia tidak ada rasa marah dengan Abang Mahadi. Dalam hatinya hanya penuh rasa ralat dan sesal dengan cerita yang sudah terjadi.
Teringat masa kecil dahulu. Abang Mahadi melayannya umpama anak sendiri. Umurnya yang mengekor rapat Umar dan Uthman menjadikan dia umpama salah seorang anak lelaki itu.
Jika Umar dan Uthman dapat permainan baru, Abang Mahadi tidak pernah lupa untuknya juga. Bila keluar berjalan jauh contohnya ke bandar Segamat untuk makan-makan mesti Abang Mahadi singgah ke rumah Tok mengambil dia.
Pernah cikgu sekolah rendah tersalah fikir dia anak kepada lelaki itu kerana baik dan ihsannya Abang Mahadi melayan dia.
Cerita sedih beberapa malam yang lepas bermula ketika Umar, Uthman dan dia mula mumayyiz. Saat Umar dan Uthman diingatkan selalu batas aurat dan menjaga wuduk apabila melibatkan dia.
Sejak itu bibit-bibit mula rebutan Umar dan Uthman pada dia bukan lagi setakat bertarik tangan seorang sebelah. Semakin dewasa dia semakin parah bentuk rebutan itu.
Kalaulah masa boleh diputar...
Ratna Chempaka tidak mahu pergi ke masa lalu yang jauh, cukup sekadar hari dia menerima perlawaan Zaidah untuk tinggal di rumah sewa selepas rumah Tok terbakar.
Semuanya di dalam qada' dan qadar Allah?.
Sedihnya takdir yang tertulis untuk dia.
@@@@@@@
"Masuk Chem."
Rumah sewa Zaidah senyap sahaja. Seorang bekerja malam ini. Bakinya keluar berjalan atau sudah masuk tidur. Dia sampai lewat kerana menunggu Zaidah habis shift lapan pagi lapan malam.
"Kak Zu dah keluar semalam. Kak Zu kata tak apa dia keluar cepat. Dia dah ambik cuti nak siapkan barang kahwin dia."
"Aku dah bagi kau kan kad jemputan Kak Zu?".
Ratna Chempaka mengangguk lemah. Sudah duduk tersandar di sofa yang sudah benyek kusyennya. Dia rasa tidak sihat sejak cerita itu. Lemah badannya kerana hilang selera makan.
Telefon berbunyi. Masuk mesej dari 'peminat'nya. Bertanya lagi tentang khabarnya sejak dia beritahu dia tidak sihat kerana demam panas.
Sejak semalam, setiap setengah atau satu jam dia akan menerima mesej dari teman baru di sana. Memberi kata-kata semangat dengan iringan doa. Juga petikan-petikan motivasi yang diambil entah dari mana.
Dia sedikit terhibur menerimanya.
"Dot... tumpang cas handphone."
"Bak sini. Pakai charger aku je."
Sambil berjalan Zaidah capai telefon tangannya kemudian menuju meja televisyen. Berderet berbagai jenis pengecas pada sambungan elektrik di situ.
"Aku tidur ya Dot. Subuh tolong kejut aku tau."
Ratna Chempaka rebahkan badan di sofa. Letih, lemah dan kesan ubat tahan sakit untuk luka di tangannya membuat dia merasa sangat mengantuk.
Dia hilang dalam lena.
@@@@@@@
Kelentung! Kelentung!...
"Sorry Chem... botol air aku jatuh".
Bunyi botol plastik kosong yang melantun di atas lantai mengejut lenanya yang panjang.
Terpisat-pisat dia duduk menyandar di sofa. Sudah jam berapa sekarang?. Rakan yang bercakap sudah hilang ke dapur.
"Pukul berapa Ti?".
Sekali lagi rakannya memunculkan diri dia segera bertanya. Sudah siap beruniform bahagian pentadbiran.
"Enam setengah."
Sudah setengah jam subuh. Zaidah tidak mengejutnya. Kesiangankah?.
"Zaidah dah bangun Ti?".
"Dah keluar Chem."
"Pergi mana?".
"Entah. Tapi pakai baju kerja. Aku pun pelik dia keluar awal sangat."
Ratna Chempaka berdiri dari duduk di sofa. Melayang tubuhnya ketika mula melangkah.
"Kau bukan MC lagi ke? Aku ingat dia biar kau tidur sebab kau masih MC. Kau nak mandi tunggu turn. Dalam bilik air dah ada orang."
"Okay".
Siti hilang di balik satu pintu bilik. Ratna Chempaka keliru tiba-tiba. Kenapa Zaidah tidak mengejutnya. Zaidah tahu hari ini dia masuk kerja. MC nya sudah habis semalam.
Ratna Chempaka tarik bagasi di tepi dinding mengeluarkan peralatan mandi, tuala, sejadah, telekung dan sepersalinan pakaian untuk ke tempat kerja.
Pintu bilik air terbuka segera dia masuk, bimbang ada yang mendahului dia.
@@@@@@@
Selesai bersiap, jam kecil di atas kabinet separuh tinggi bersebelahan meja makan menunjukkan pukul tujuh suku pagi.
Agaknya Zaidah keluar awal untuk bersarapan dengan Amizan. Mungkin Zaidah sudah tinggalkan mesej pemberitahuan.
Baru Ratna Chempaka teringat telefon tangannya yang bercas malam tadi. Dia menuju ke meja televisyen. Tiada! Hanya ada telefon yang bukan miliknya.
Mana?.
Ratna Chempaka menuju ke sofa dia tidur malam tadi. Mungkin Zaidah sudah meletakkan bersebelahan dia tidur selepas bateri telefon tangannya penuh.
Ya betul, ada di kaki sofa. Kenapa Zaidah letak di sini?. Mujur dia tidak terpijak ketika bangun dari tidur subuh tadi.
Telefon tangannya terus dia masukkan ke dalam beg sandang. Keluar rumah dahulu, pakai kasut dan terus ke kilang. Dapatlah dia tunjukkan dia datang cepat pagi ini.
Sampai di kilang dan melakukan rutin biasa masuk bekerja barulah dia duduk bersantai dahulu menunggu jam lapan.
Bateri telefonnya penuh dan ada dua mesej. Satu dari peminatnya dan satu dari Zaidah.
'Assalamualaikum'
'Semoga pagi yang bakal muncul indah untuk seorang Ratna'
Dia tersenyum kecil membacanya. Selepas melalui pengalaman mengerikan dalam hidupnya ucap selamat yang sebegitu sangat membantu.
'Terima kasih awak'
Kemudian Ratna Chempaka membaca mesej dari Zaidah. Keluar awal untuk bersarapan pagi dengan Amizan tidak mengajaknya... Begitulah fikiran awal dia tentang isi mesej daripada Zaidah.
'Chem,
Aku tak tau nak mula macam mana. Dari mesej yang aku baca, aku tau kau tak tau, kau tak salah.
Chem,
Kau ingat tak masa mula-mula naik tingkatan satu, aku suka nak berkawan dengan kau sebab aku cakap kau cute. Lagipun kita satu kepala.
Tapi...
Bila makin besar, kau dapat banyak perhatian aku jadi sedih tau Chem. Kau ingat Jep tak? Budak Felda Tenang kelas sebelah tu. Kan dia asyik ngekor aku.
Kau tau kenapa lepas tu aku terus tak layan dia? Dia baik dengan aku sebab nak minta tolong aku padankan dia dengan kau.
Sedih aku Chem. Sebenarnya bukan Jep aje buat macam tu. Sepanjang lima tahun sekolah menengah ramai buat aku macam tu.
Chem,
Aku nak beritahu kau satu perkara ni. 018317#### tu, yang kau letak nama 'Peminat' tu sebenarnya Amizan.
Kau terkejut kan,
aku pun sama Chem malam tadi. Nasib baik kau simpan semua mesej dari awal jadi aku tak salah faham.
Tapi Chem,
Serious aku sedih gila sekarang. Kan aku cakap kau, aku dah ada boifren lama dulu kan tapi rahsiakan dari kau orangnya. Puncanya ketakutan benda macam ni lah. Tak sangka ketakutan aku betul Chem.
Kau nak tau tak Chem,
sejak aku bawak dia join kau dengan Udit makan dia dah slow dengan aku.
Padahal, sebelum tu dia dah bergurau nak meminang aku.
Tiba-tiba...
Dia berubah, cakap nak kerja semula kat Johor Jayalah, macam Labis tak sesuai untuk dialah. Last sekali dia cakap dengan aku dua hari lepas macam tak ada spark lagi dengan aku.
Malam tadi baru aku faham kenapa. Aku rasa dia fikir dia ada harapan dengan kau.
Chem,
tolong aku please. Ni aku balik Bekok dua tiga hari. Aku nak bertenang. Aku nak mintak tolong kau pergi dari sini. Tolonglah aku Chem, aku suka gila dengan Amizan.
Kau cantik Chem, senang dapat orang lain. Orang sampai sanggup bertikam nak kan kau. Aku ni, lalat pun tak nak hinggap.
Chem,
Sementara cerita kau tengah panas kat kampung, kau pergilah. Jadi orang fikir kau pergi sebab kes Umar dan Uthman. Tolong aku dapatkan balik Amizan dengan cara kau pergi jauh dari sini.
Chem, Sampai mati aku akan ingat pertolongan kau yang ini. Kali ni je Chem. Tolonglah!.
Last,
kau tak payah telefon aku. Aku dah block nombor kau. Aku sedih terpaksa buat kau macam ni, tapi aku tak terfikir cara lain.
Selagi kau ada dekat aku, peluang aku semua mengkhianati aku. Sedihnya menjadi seorang Zaidah bila segala yang indah untuk seorang Ratna.
Perhatian awal kau atas masalah ini aku dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.
p/s Kau boleh balik sini bila kau dengar aku dah beranak, atau laki aku dah meninggal.
Ikhlas jadi kawan kau sejak form one,
Zaidah.'
Berjejeh-jejeh air mata Ratna Chempaka membaca mesej dari Zaidah. Sedihnya dia.
Zaidah fikir selama ini dia suka ke orang kejar dia macam tu. Zaidah fikir dia tak tahu apa yang Zaidah hadapi sebab dia.
Dia nak buat macam mana?. Salah dia ke dengan rupa paras ni. Orang ingat dia bangga ke Umar dan Uthman bertikam sebab dia.
Orang tak tahu impian dia kecil sahaja. Mahu kekal tinggal di Labis kerana di sini ada Abah, Mak, Tok dan kakak-kakaknya. Dia sangat sayangkan rumah pemberian arwah Tok.
Kalau dia pergi macam mana dengan impiannya untuk membina semula rumah yang sudah musnah terbakar?.
Allah...
Allah, Allah...
Jam di telefon tangannya menunjukkan pukul 7:45 pagi. Ada 15 minit lagi sebelum bermula shift pagi.
Telefon di tangan dia pergi ke bahagian daftar rakan. Nombor yang dia simpan sebagai 'Peminat' dia block. Terus dia simpan telefon tangannya ke dalam kocek seluar.
Ratna Chempaka segera ke loker menyimpan barang peribadi. Mengambil semua barang di dalamnya lalu terus keluar dari kawasan kilang. Dia balik semula ke rumah sewa untuk mengambil bagasi pemberian Kak Chik.
Selamat tinggal Labis.
@@@@@@@
Dia bermalam di hotel Oren di bandar Segamat.
Hanya dapat tidur-tidur ayam kerana kepalanya berputar pada persoalan dia harus ke mana?.
Saudara-mara Tok dan kakak-kakaknya semua di dalam negeri Johor. Jika kekal di negeri ini bimbang Zaidah fikir dia tidak ikhlas dan bersungguh-sungguh menghilangkan diri dari Amizan.
Tekadnya mahu membuktikan pada Zaidah dia juga sayangkan persahabatan mereka tanpa sempadan. Dia mahu pergi yang benar-benar pergi hingga Zaidah merindui dia setengah mati.
Tapi ke mana?.
Dia bukanlah berani sangat. Berhijrah tidak ada dalam perancangan hidupnya. Dia fikir akan kekal tinggal di kampung, di atas tanah Tok.
Ingatan daripada cerita susah Abah dan Mak di negara asal mereka menjadikan dia hanya ada impian kecil penuh kesyukuran. Itulah yang menjadikan dia Ratna Chempaka yang biasa-biasa sahaja.
Impiannya mahu mencari sesiapa sahaja di kampung selain Umar dan Uthman untuk mengakhiri zaman gadisnya. Memujuk suami angan-angannya berimpian yang sama dengannya.
Pintu bilik hotelnya diketuk. Petugas hotel datang memberitahu kebenaran tinggal hanya sehingga jam 12.
Dia sudah bersiap, tapi mahu ke mana dibawa langkahnya?.
Akhirnya dia keluar juga.
Sekarang dia duduk termenung pula di terminal bas Segamat hingga ke petang.
@@@@@@@
"Aku tak sangka kau buat surprised macam ni Chem. Terharu aku, gila!".
Habis ayat yang mengejut khayalannya satu sosok duduk rapat di sebelah.
Fakarudin bin Sairan.
"Terima kasih Chem hantar aku balik."
Dia diam sahaja tapi tetap memandang wajah Fakarudin yang tersengih-sengih.
"Mabuk eh?".
Kerana dia pelik. Tebiat apa mamat ni?.
"Siapa?".
Fakarudin nampak keliru.
"Kaulah!".
"Kau nak pergi mana?".
"Oo... Jadik kau ada sini bukanlah nak tengok aku naik bas?".
"Kau nak pergi mana?".
"Balik Penanglah! Kepala kau cedera jugak ke?".
Ratna Chempaka angkat tangan. Mengembangkan tapak tangannya yang berbalut. Satu kampung sudah tahu cerita malam itu.
"Cuti kau dah abis ke Dit?".
Masih merenung tapak tangannya. Suaranya mula sebak. Rasa sedih yang tiba-tiba.
"Kau... itu beg kau ke Chem?. Kau nak pergi mana?".
Suara Fakarudin berubah nadanya. Mungkin perbualan mereka yang berlainan pemahaman, melambatkan mereka saling memahami keadaan masing-masing di situ.
"Entah... Bagi aku cadangan Dit."
Suaranya semakin dalam serak kerana sebak. Renungan Fakarudin berubah lembut dan hilang sengihan di bibir.
"Kau lari ke Chem?."
"Semua orang tak nak aku."
Air mata yang berkolam pecah juga akhirnya. Dari semalam dia cuba menangis. Rupanya dia perlukan seseorang untuk mendengar suaranya.
"Ikut aku jom. Pergi Penang, nanti aku carikan kau kerja."
"Boleh ke Dit?. Aku takut... Aku tak pernah jalan sejauh tu."
Semakin lebat air matanya turun. Wajah Fakarudin yang nampak perihatin menghangatkan sedikit rasa hati yang sedih beku sejak semalam.
"Jangan jalan Chem, naik bas la. Kau nak tiba sana bila kalau jalan."
Ratna Chempaka tersenyum. Kemudian ketawa terbahak-bahak dengan air mata berlinangan di pipi.
Mudah-mudahan Pulau Pinang sudah cukup jauh untuk kegembiraan Zaidah, Abang Mahadi, Umar dan Uthman.
Okay Bye!.
ada yg tk kena kan. anggap je msg peminat tu smpi lps Zaidah skodeng hp Chem dan msg tu Zaidah bce dr tetingkap notifikasi. dh tk reti nk olah ayat. belit2. tqvm kesygn sume yg sudi bce cite sy
Share this novel
ayat semua orang tak nak aku,buat air mata kita mcm air hujan,mungkin sebab perasaan seorng yatim Di dunia ni,sukses sllu sis
best