"Pergi mandi dulu."
Ali Firdaus memberi arahan kepada Ratna Chempaka yang terkulat-kulat berdiri serba-salah di sudut hujung bilik hotel mereka.
Beberapa bungkusan berisi pakaian baru yang dibeli dari kedai pakaian murah berdekatan hotel, Ali Firdaus campak ke atas sebelah sana tilam bersaiz permaisuri di tengah bilik.
Beg sandang miliknya Ali Firdaus campak ke atas lantai di hadapan katil. Kemudian Ali Firdaus hempas tubuh sasanya ke atas sebelah sini tilam.
Dia menutup mata. Rasa tidak cukup, mata dia tindih lagi dengan lengan. Badan dan kepalanya letih yang amat. Sangat penat.
Seminit, dua minit...
Ali Firdaus terpaksa membuka semula matanya yang kuyu layu.
"Kenapa?".
Ali Firdaus menyoal lemah. Memandang malas kepada isterinya yang masih berdiri di sudut yang sama dengan wajah terkulat-kulat yang sama.
"Ermm... Terima kasih Abang Ali tolong saya."
Perlahan sahaja dan hampir tidak terdengar suara isterinya.
"Saya minta maaf dah susahkan Abang Ali dan Encik Razak."
Kerana Ali Firdaus tidak menyahut isterinya bersuara lagi, serba-salah dan takut-takut bunyinya.
"Ya, sama-sama. Tak apa. Pergi mandi sekarang. Dah sudah kejut saya, saya pulak nak mandi."
Ali Firdaus menjawab sambil kembali memejamkan mata dan kembali meletakkan lengan di atas mata.
"Ermm... Abang Ali mandilah dulu. Saya mandi kemudian."
Sesaat, dua saat...
Ali Firdaus bingkas bangun berdiri tiba-tiba. Isterinya sampai terundur melanggar meja kecil di sudut bilik kerana saking terperanjatnya dengan aksi tiba-tiba Ali Firdaus.
Ali Firdaus ragut kasar gulungan tuala di atas tilam kemudian segera masuk ke dalam bilik mandi.
Jika dia bertangguh dia akan lebih lambat dapat tidur melepaskan kepenatan. Dia perlu segera berehat. Mengikut cerita pegawai kedutaan Malaysia siang tadi esok akan ada lebih banyak urusan perlu mereka selesaikan.
Dia sudah mula rasa menyesal melibatkan diri dalam masalah orang lain. Seolah-olah dirinya tidak menjadikan perkara dulu yang berlaku dalam hidupnya sebagai pengajaran!.
@@@@@@@
Ratna Chempaka langsung melabuhkan punggung ke atas meja kayu kecil di sudut hujung bilik yang baru sebentar tadi dia terlanggar.
Mengatur kembali nafasnya yang hampir putus dengan aksi tiba-tiba suaminya.
Suaminya...
Ali Firdaus bin Abu Bakar.
Bukan Fakarudin bin Sairan, bukan Muhammad Umar bin Mahadi, bukan Muhammad Uthman bin Mahadi, bukan Amizan.
Nama suaminya Ali Firdaus bin Abu Bakar.
Bukan lelaki biasa-biasa seperti impiannya. Bukan lelaki lokal dari daerah Labis di mana kampung dan rumah Tok berada.
Esok dia harus berurusan lagi dengan kedutaan Malaysia, esok melibatkan polis dan imigresen juga. Ali Firdaus sudah berbudi kepadanya dari saat lelaki itu terlanggar dia hingga ke bilik ini.
Jika dia menganggap Ali Firdaus itu entah siapa-siapa menjadi suaminya tapi lelaki itu sudah berbudi kepadanya.
Dia yang entah siapa-siapa pada Ali Firdaus pula sudah terlalu banyak menyusahkan lelaki sasa berwajah ketat itu sejak saat pertama pertemuan.
Pintu bilik air terbuka. Ali Firdaus selamba keluar bertuala. Ratna Chempaka melarikan pandangan. Baru sibuk mencari itu ini dari dalam beberapa bungkusan di sebelah sini atas tilam.
Dari ekor matanya Ali Firdaus ke hadapan kaki katil. Menyelongkar beg pakaiannya di situ. Mengeluarkan sehelai sejadah dan sepasang pakaian. Ratna Chempaka membalikkan tubuh bimbang matanya kurang bermoral curi memandang.
"Nak lalu tak?. Saya nak solat sini."
Suara garau itu menyentak Ratna Chempaka. Dia kembali menghadap Ali Firdaus yang sudah sempurna berpakaian. Kemudian mengangguk cuak.
"Lalu cepat. Sini sempit."
Berebut dia melangkah hingga lutut terlanggar bucu meja kecil. Mesti esok lebam. Buru-buru mengejar pintu bilik air yang tidak akan ke mana-mana.
"Tuala ni ambik."
Ali Firdaus berbunyi lagi. Masih dengan nada keras dan ayat pendek yang penting.
Malu dia mahu berpaling menuju kembali ke katil di tengah bilik yang tidak luas mana. Suaminya tegak berdiri mengekor setiap langkahnya dengan pandangan yang nampak... menyampah.
Sedih...
Sungguh dia sedih tapi...
Kerana cara memandang Ali Firdaus sejak dari saat pertama pertemuan dia memilih lelaki ini sebagai calon ketika ditanya siang tadi.
Dia berharap pilihan dia tepat. Dia harap dia kekal selamat sehingga lelaki ini mentalakkan dia apabila sampai ke tanah air nanti.
@@@@@@@
"Duduk sini puan Ratna."
Isterinya menuju ke meja di hadapan pegawai yang memanggil dan sedang berdiri di situ. Mengambil tempat di bangku di hadapan meja.
Turut berada berdekatan di situ seorang pegawai polis dari Malaysia tapi berpakaian awam dan seorang pegawai polis Thailand beruniform penuh.
Komputer riba di atas meja pegawai tersebut pusingkan menghadap Ratna Chempaka.
"Encik Ali dan Encik Razak boleh join sekali kalau nak."
Sambil jarinya bergerak di atas papan kekunci pegawai kedutaan mempelawa Ali Firdaus dan Encik Razak turut serta. Maka mereka berdua tidak melepaskan peluang, turut mampir merapat. Berdiri di belakang Ratna Chempaka.
"Ni Imigresen bagi. Tengok baik-baik ya."
Satu tayangan video terpapar di skrin komputer riba. Latar tempat, di kaunter masuk Imigresen Bukit Kayu Hitam dari Malaysia ke Thailand.
Ali Firdaus nampak isterinya beratur untuk mengecop pasport. Dengan wajah gugup dan kerap kali tertoleh- toleh ke belakang.
"Kenapa awak nampak takut puan Ratna?."
Soalan itu mengesahkan anggapan awal Ali Firdaus. Terlalu ketara cara gugup isteri satu malamnya.
"Saya tak berapa faham. Saya ikut kawan saya Baizura tu. Ni first time masuk Thailand. Dia pulak bagi uncle dengan auntie tu potong queue dia."
Jari Ratna Chempaka menunjukkan sepasang lelaki dan perempuan warga emas di dalam video beratur di belakang Ratna Chempaka.
"Belakang orang tua berdua tu Baizura?".
Anggota polis berpakaian awam yang tiba-tiba berdiri di sebelah Ali Firdaus bertanya Ratna Chempaka.
"Ya!. Polis dah jumpa kawan saya ke!?".
Soal Ratna Chempaka teruja. Wajahnya penuh mengharap rakan itu dalam keadaan selamat.
"Rasanya... kami dah jumpa kawan awak. Tapi kami kena pastikan beberapa perkara dulu. Lama dah awak kenal dia?".
"Setengah tahun. Kami menyewa rumah yang sama dekat George Town."
"Dia cakap nama dia Baizura?".
Ratna Chempaka merenung wajah polis yang bertanya. Wajahnya nampak berfikir sebelum menjawab.
"Saya tak pernah tanya. Dia tak pernah sebut nama dia. Biasa dia aku engkau aje berbual. Saya masuk rumah tu dengar kawan-kawan lain panggil dia Zura. Saya pun tak pasti kalau betul nama dia Baizura dan macam mana saya boleh assume nama dia Baizura. Kenapa ya encik?."
Pegawai polis itu tersenyum kecil kemudian mengalih pandangan dari renungan Ratna Chempaka yang mengharap jawapan.
"Tak apa puan Ratna. Pihak kami masih menyiasat. Puan Ratna, Encik Ali dan Encik Razak boleh tunggu di luar."
Ratna Chempaka segera bangun. Lurus sahaja dia mengikut cakap pegawai polis. Pegawai kedutaan dan pegawai polis Thailand sekadar memandang kemudian berbual sesuatu di dalam bahasa Thailand.
Ali Firdaus rasa tidak puas hati. Sudah selesaikah?. Bagaimana dengan ugutan penculik tentang sindiket dan bagaimana dengan keselamatan mereka jika mahu pulang ke Malaysia selama di dalam perjalanan ke pintu sempadan.
Dia masih ingat muncung pistol yang ditonjol ke rusuknya.
"Maaf encik. Jadi macam mana dengan kes ni? Macam mana dengan kami?."
Mereka berhenti berbual dan menoleh kepada Ali Firdaus.
"Kami dah dapat tahan Baizura tu malam tadi. Polis Thailand dah dapat penculik tu pagi tadi. Sindiket tu... bawah tanggungjawab polis Thailand."
Ali Firdaus terkedu.
Apa gunanya dia menikahi Ratna Chempaka. Bunyi cakap pegawai polis seolah-olah kes ini bukan sesuatu yang berat.
"Tindakan Encik Ali menikahi Puan Ratna untuk keselamatan dia dah betul. Encik Ali nikah, daftar kedutaan dan report kedutaan kes culik, susunan dah betul sangat."
"Kalau tak nikah, report kes pada polis Thailand, yang tu... kami tak pastilah kalau kes akan jadi smooth macam sekarang."
"Pendapat awal Encik Razak tu rasanya yang buat kes ni jadi settled dengan smooth."
"Encik Ali dah berjasa menolong gadis-gadis lain yang mungkin menjadi mangsa seterusnya dari terkena macam Puan Ratna."
"Kawan dia Baizura tu orang yang dikehendaki untuk beberapa kes kehilangan gadis di Malaysia."
"Saya akan mengiringi Encik Ali dan Puan Ratna balik ke Malaysia dalam waktu terdekat."
"Saya fikir bila beberapa urusan dokumen antara kedutaan, polis dan imigresen selesai baru saya nak terangkan pada Encik Ali, Puan Ratna dan Encik Razak tapi sebab Encik Ali dah tanya saya ceritalah."
"Encik Ali boleh tunggu di luar dulu saya nak buat pengesahan beberapa dokumen baru saya beritahu bila kita boleh balik."
Apa ni!? Apa ni!?
Aduh! Bermakna boleh sahaja jika semalam tidak perlu nikah dan buat sahaja laporan penculikan di kedutaan!.
Tapi... bagaimana jika betul kata pegawai polis Malaysia tadi susunan itu yang menyebabkan urusan selesai dengan cekap.
Hah!
Ali Firdaus rasa sungguh tidak puas hati. Rasa bagai mahu diulang hari semalam. Tidak perlu nikah dan buat laporan dahulu!.
@@@@@@@@
Tak mungkin! Tak mungkin!.
Sudah selesai dan mereka diiringi pulang ke Malaysia!. Dia pulang ke Malaysia berstatus puan tapi kes culiknya selesai begitu sahaja!.
Heh!
Bukan mereka yang dikurung selama tiga malam sambil diacu senjata api. Bukan mereka yang dipengsankan dan dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat!.
Ketakutan yang dia rasa sampai sekarang bukan mereka yang rasa! yang alami!.
Baizura.
Nama yang menganiaya dia. Sudahkah polis tangkap? Mana buktinya puaka itu sudah ditangkap?.
'Settled dengan smooth'!?.
Sakit pula hatinya mendengar penerangan pegawai polis itu. Sedangkan dia tiba-tiba bersuami lelaki ketat di sebelahnya ini!?.
Mereka sekarang sudah melepasi Imigresen Bukit Kayu Hitam untuk masuk ke Malaysia. Rupanya jika berkenderaan persendirian lebih senang urusannya.
Suami segeranya hanya diam sepanjang perjalanan. Ratna Chempaka rasa mahu marah tapi tak tahu mahu marahkan apa. Polis? Suami baru ini? atau kebodohan dia mengikut sahaja usul pada hari pernikahan kerana ketakutan.
Sabar Chem...
Mungkin jika tidak bernikah urusannya jadi susah. Mungkin jika tidak nikah tiba-tiba dia diculik sindiket dan dilarikan entah ke mana. Ke Eropah mungkin seperti kata penculik.
Rasa takut hingga meremang roma membayangkan perkara-perkara tersebut. Mungkin betul, setiap sesuatu berlaku ada sebabnya ada hikmahnya. Ratna Chempaka memujuk hati yang merusuh.
Dia kembali bertenang seketika.
"Sampai KL saya bagi awak satu tempat tinggal. Duduk situ sampai urusan daftar dan cerai selesai. Lepas tu awak dengan saya settled."
Dia menoleh sekilas kepada suami yang tegak sahaja kepalanya memandu. Mereka sudah berada di dalam negeri Kedah tapi entah apa nama kawasan ini.
"Okay."
Sepatah sahaja. Sekadar...
Entah-entah suami ini juga orang jahat seperti Baizura. Entah-entah dalam keadaan dia terdesak dan ketakutan pada pagi itu lelaki ini berlakon tidak teringin kepada dia. Tidak seperti tiga lelaki lain yang nampak teruja mahu menikahi dia. Entah-entah taktik sahaja untuk dia memilih...
Ratna Chempaka menjeling dengan ekor mata...
Entah-entah suaminya ini sudah berpakat dengan polis sebab itu urusan culik yang bahaya selesai dengan mudah!.
Baizura yang baik tu jahat!
Tak mustahil pegawai polis, kedutaan, imigresen, suami ni... jahat!.
Allah! Takutnya dia. Dia jadi berprasangka dengan semua orang.
Tak boleh jadi ni...
Dia kena lari dulu dari lelaki ni, balik ke Labis cari sesiapa yang dia kenal kemudian baru cari semula lelaki ini untuk uruskan daftar nikah dan cerai!.
"Nak singgah makan tak?".
"Arghhh!!".
Pemanduan suaminya sedikit tersasar. Dia yang sedang mengelamun jauh membuat perancangan keselamatan diri terperanjat dengan soalan tiba-tiba.
"Maaf... bolehlah. Kalau... nak berhenti."
Takut dia mahu menjawab. Suaminya masuk ke hentian rehat kemudian berhenti di pakir.
Suaminya keluar dan menonong mendaki tangga untuk ke gerai. Dia mengikut dengan pandangan. Rasa takut, serba-salah, prasangka berpusing-pusing di dalam kepalanya. Sungguh menakutkan.
Langkah panjang suaminya yang sudah agak jauh terhenti kemudian berpusing memandang ke arah kenderaan yang terpakir. Bukan memandang kenderaan tapi memandang dia yang kekal tercongok di dalam sini.
Lambat-lambat Ratna Chempaka membuka pintu kereta. Lambat-lambat melangkah mendapatkan suami itu. Alarm pacuan empat roda berbunyi sekali bermakna pintu sudah terkunci.
Lelaki dengan tubuh tegap ini berpaling kembali berjalan menuju ke ruang dalam bangunan rnr. Dia mengekor dari belakang berjalan menunduk sambil memeluk beg Mickey Mouse sebelum melanggar tubuh tegap suaminya yang berhenti tiba-tiba.
Lelaki itu kekal diam. Tidak beriaksi dengan sikap konyol Ratna Chempaka.
"Saya nak ke tandas. Nah".
Menghulurkan kepada Ratna Chempaka sekeping not RM100.
"Abang Ali nak makan apa?".
"Nasi lemak."
Sepatah dan terus berlalu ke sebalik dinding. Sudah tidak tertahan agaknya.
Ratna Chempaka mahu menuju ke gerai-gerai jualan tapi baru selangkah dia berpatah balik ke sebalik dinding. Nak nasi lemak lauk apa?.
Suaminya sedang bertelefon...
"Aku dapat baka baik"...."Ya, ya kita jual yang baka baru ni. Nanti esok aku tunjuk..."
Ratna Chempaka berpaling kembali ke hadapan bangunan.
Oh tidak! Oh tidak!
Tubuhnya menggigil. Keringat rasa kasar-kasar terbit di balik pakaian.
Macam mana ni!?.
Apa nak buat!?.
Tolonglah ckp Bab tak logik ni best. tolonglah bg semangat yang hilang ni balik rumah. Sy masih ada kwn2 ke kt cni? ke sume dh lari? huhu
Share this novel
eh ..ok ja ....tak logik kat mana ? HM boleh teruskan....tertunggu2 cerita ni