"Kenapa Chem?".
Ratna Chempaka matikan diri bertinggung di tepi motosikal. Malas menjawab.
Dia sudah lama tidak berbual dengan selipar jepun berdua. Malas!
"Bocor ni Chem."
Uthman yang ikut bertinggung di sebelahnya mengesahkan apa yang dia nampak di hadapan mata.
"Jom tumpang aku."
Sambil bercakap Uthman tarik beg sandang kerjanya yang tersangkut di bahu kanan. Uthman juga mahu ke tempat kerja. Umar sudah bergerak dahulu setengah jam yang lepas.
"Tak apa. Aku call Kak Rai, tumpang dia."
Ratna Chempaka tarik beg sandang yang sudah menjauh dari bahu supaya tersangkut semula.
Dari kampungnya ini ramai yang bekerja di kilang kotak di Labis itu. Ada dalam jumlah lima ke enam orang.
Mendengarkan itu dia perasan Uthman merenung wajahnya seketika sebelum bergerak naik ke motorsikal Honda Wave barunya.
"Assalamualaikum Kak Rai."
....
"Kak... Akak dah jalan ke?."
....
"Ooo ye ke? Tak pe, tak pe. Thank you Kak."
Uthman masih di situ. Masih duduk di atas motosikalnya yang sudah dihidupkan enjin. Sedang mencolet-colet muka telefon.
Ratna Chempaka sedang memikirkan nama lain. Tapi jam di muka telefon yang sedang dia colet untuk mencari nama lain membimbangkan dia.
Pengurusan kilang sering mengugut pembuangan pekerja untuk diganti dengan pekerja warga asing. Dia suka di sini, di Labis. Dia tidak mahu ke mana-mana. Dia mahu naikkan kembali rumah arwah Tok.
"Jomlah Chem. Aku nak tolong. Ikhlas aku nak tolong."
Sambil tunduk mencolet-colet muka telefon Uthman bercakap dengannya.
Dia tengok lagi muka telefonnya.
Kalau dia bergerak sekarang juga dengan menumpang Uthman, dia ada cukup masa untuk sampai ke kilang kotak.
Argh! Lantak kau oranglah kalau nak berbunuh sekalipun!.
Dia paut bahu tegap Uthman untuk naik memboceng di belakang motorsikal Honda Wave baru berwarna biru.
Lantaklah!.
@@@@@@@
"Terima Kasih Kak Noi."
Pintu kereta myvi itu Ratna Chempaka tutup ketat. Berdiri seketika di halaman rumah Kak Long melambai pergi Kak Noi teman sekerja yang sudi menumpangkan dia pulang ke rumah.
Alhamdulillah. Cerita hari ini kira tamat. Naik, makan... tak payah makan. Tak ada selera. Naik, mandi dan terus masuk tidur untuk mulakan perkara yang sama esok hari.
Ratna Chempaka masuk ikut pintu dapur. Di rumah ini pintu dapur berfungsi sepenuhnya sepanjang tahun. Pintu hadapan hanya berfungsi sekali-sekala.
"Assalamualaikum".
Ada Abang Mahadi sedang makan. Mengangkat pandangan sedikit dari pinggan di atas meja kemudian menyambung suapan lagi. Tidak menyapa, tidak mempelawa Ratna Chempaka yang baru melangkah masuk.
Tak mengapa. Dia faham, dia tidak kecil hati. Sehingga habis bulan ini sahaja yang sudah tidak berapa hari. Bertabahlah Ratna Chempaka. Bertabahlah!.
"Chem... makan."
Kak Long turun dari rumah atas. Bertelekung yang tidak berkain. Mungkin baru selesai mengaji selepas solat isyak.
"Tak pe Kak Long. Chem kenyang."
Kak Long sudah turun di rumah bawah. Menuju ke meja makan di tengah ruang dapur.
"Ayah nak tambah nasi lagi?".
"Tak. Tak ada selera."
Abang Mahadi sudah bangun meninggalkan meja makan. Keluar ikut pintu dapur membawa sekotak rokok dan sebatang pemetik api.
Ratna Chempaka pura-pura tidak mendengar. Dia tidak mahu Kak Long serba salah. Dia yakin dengan keikhlasan kasih sayang Kak Long padanya.
Tak mengapa. Abang Mahadi tak salah. Siapa sahaja yang suka anak-anak berbalah. Berbalah pula hanya kerana seorang perempuan seperti dia.
Dia terus masuk ke dalam bilik. Mahu bersiap menyambut malam. Mandi, solat dan masuk tidur. Esok dia kerja petang. Tapi pagi, harus ke bandar Labis menguruskan tayar motorsikal yang bocor.
"Ucu... ada belikan aiskrim sedap tu lagi tak?".
Nampak sahaja wajahnya Azwani di meja belajar segera menyoal.
"Tak ada. Hari ni Ucu tumpang kawan. Segan nak mintak berhenti kat kedai beli aiskrim. Esok InsyaAllah Ucu beli. Okay..."
"Ucu beli banyak ya. Buat stock."
Sampuk Azwina yang baring meniarap di atas katil sambil membaca buku. Menoleh kepada dia yang mencari itu ini di rak pakaian.
"Alright!".
Ratna Chempaka keluar semula dari bilik. Membawa tuala mandi dan sepasang persalinan bersih untuk tidur.
@@@@@@@
Jauh bunyinya.
Kemudian menjadi semakin dekat dan dekat. Mata yang mengantuk susah benar mahu dicelik. Rasanya baru sangat dia tidur.
Ratna Chempaka duduk berlunjur kaki di atas toto, di atas lantai. Azwina dan Azwani di atas katil sudah duduk bersila. Mereka diam bergelap di dalam bilik. Hanya ada cahaya suram di tingkap kaca datang dari lampu di luar muka pintu dapur.
Suara Umar dan Uthman bertengkar. Sesekali suara Kak Long mencelah. Dari bunyinya, kali ini panas membahang lain macam. Cerita apa?.
"Kenapa Wina?".
Tidak dapat menangkap biji butir, Ratna Chempaka berbisik menyoal Azwina. Mana tahu anak saudaranya tahu pangkal cerita.
"Win rasa... sebab Abang Oman hantar Ucu pergi kerja pagi tadi. Sebelum Win tidur tadi, masa Abang Umar baru balik kerja dah gaduh sikit. Ayah marah, dia orang berhenti."
Bisik Azwina perlahan.
Berderau darah Ratna Chempaka. Tak kanlah cakapnya yang lantaklah itu dimakbulkan serta merta. Patutnya dia cakap yang baik-baik, sebab itu orang tua-tua suruh doa yang baik-baik.
Suara keras di luar bilik, di rumah atas sana tepatnya, saling bertingkah. Kali ini sudah masuk pula suara Abang Mahadi. Besar dan keras.
Dia sudah kecut perut. Dia yakin Azwina dan Azwani juga. Azwani sudah menepam selimut ke mulut. Rasanya sudah menangis anak bungsu Kak Long ini.
Tum! Tum! Tum!
Tiba-tiba pintu bilik ini digendang dari luar. Gegarannya hingga ke dinding. Jatuh semua yang bersangkut di dinding. Dinding ini batu ya. Bayangkanlah bertapa kuat tenaga orang di luar muka pintu.
Azwani sudah terjerit dan menangis. Azwina segera memeluk adiknya. Baik dia, Azwina dan Azwani sudah berdiri sekumpulan.
Gemuruh di dada usah ditanya. Dia berdiri di hadapan anak-anak saudaranya membenteng di situ. Pintu terbuka paksa. Berdiri Abang Mahadi di muka pintu. Tangan menyelar ke dinding memetik suis lampu.
"Kau kemas kain baju kau sekarang!!!".
Abang Mahadi berpeluh lebat. Basah kolar dan ketiak baju. Tergigil-gigil Ratna Chempaka bergerak ke tepi almari.
Menarik bagasi berwarna merah jambu pemberian Kak Chik. Segala isi di dalamnya juga milik Kak Chik kerana pakaiannya sudah musnah di dalam kebakaran.
Isi di dalam beg tidak banyak mana. Sementelah ianya ihsan orang. Dia hanya membeli baru pakaian dalam selepas kebakaran itu. Pakaian sehari-hari di rumah ini dia pakai baju lama Kak Long.
Dia sudah sedia mengemas barangnya di dalam beg merah jambu kerana memang mahu menunggu bulan baru yang tidak berapa hari lagi.
Dia memang mahu pergi dari rumah ini, sejak Umar dan Uthman kembali menghuni rumah ini kerana kedatangannya.
Dia bergerak lambat-lambat. Bukan mahu membakar Abang Mahadi tapi kakinya rasa longlai, rasa lembik macam jelly. Saking takutnya dia dengan bahang Abang Mahadi di muka pintu.
Di rumah atas sana masih terdengar pertengkaran Umar dan Uthman. Tangisan Kak Long, bunyi memujuk juga menengah di setiap bait pertengkaran.
Berdiri di muka pintu berhadapan langsung dengan Abang Mahadi dia direnung garang. Bagai ada hawa panas dari setiap helaan nafas suami Kak Long itu.
Tiba-tiba dia ditunjal kepala hingga terhantuk ke jenang pintu. Kemudian Abang Mahadi cengkam kuat dan kasar lengannya. Menariknya menuju ke almari pak awang bersebelahan peti sejuk.
Menarik laci di situ mengambil dua bilah pisau dapur. Ratna Chempaka rasa rohnya sudah lari dari tubuh. Dia rasa sejuk dari atas hingga ke hujung kaki ketakutan. Apa Abang Mahadi nak buat ni? Mahu bunuh diakah?.
Abang Mahadi tarik kasar dia menuju tangga dan naik ke rumah atas.
Nah kau!!!.
Lebam biru, hijau, merah wajah dan tubuh Umar dan Uthman. Saling bercekak leher ketika dia tiba di rumah atas. Kak Long sudah terduduk bersandar di dinding rumah. Menangis tersedu-sedu. Merayu anak berdua berhenti bergasak.
"Ni! Ni! Betina!... Aku bagi kau puas hati! Ini budak berdua ni engkau bunuh. Sebab engkau kan dia orang nak berbalah!".
"Sama aje jalannya kalau kau bunuh atau dia orang berbunuh berebut sundal macam kau!".
Abang Mahadi cuba selitkan bilah pisau ke tangan Ratna Chempaka. Tangan yang sudah lembik mengeletar.
Kak Long di tepi dinding bangun dengan susah payah meraung-raung menangis. Takut melihat kegilaan Abang Mahadi. Peliknya Umar dan Uthman masih saling mencekik tidak terkesan dengan kegilaan Abang Mahadi.
Entah bila saat dan bagaimana, dia terluka ketika Abang Mahadi menjolok-jolok ulu bilah pisau ke tapak tangannya. Dia nampak tapi hilang rasa sakit.
Kak Long sudah terjerit lagi, lebih kuat dan lebih histeria melihat darah yang berjejeh ke lantai dari tapak tangan Ratna Chempaka.
Bersaing menoleh, Umar dan Uthman terdiam sesaat sebelum keduanya saling berebut bilah pisau yang sudah jatuh ke lantai.
"Ini semua sebab engkau!!!".
Serentak jerkahan Umar pada Uthman di muka pintu rumah atas menuju ke tangga rumah bawah, satu tusukan Umar lepas ke perut Uthman bersaing Uthman melibas lengan Umar dan menendang Umar hingga terlepas ke rumah bawah...
Sebelum Ratna Chempaka terhempas jatuh ke lantai menutup mata, dia nampak pintu hadapan yang sekali sekala diguna terkuak dari luar.
Dia nampak kelibat Abang Mamat dan Abang Shuib meluru masuk bertakbir Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!.
@@@@@@@
Jam di dinding bilik rawatan kecemasan hospital Segamat menunjukkan pukul tujuh pagi. Dia sedang menunggu doktor memberi kebenaran keluar wad.
Malam tadi dia sedar ketika sudah di dalam kereta Kak Uda menuju hospital Segamat. Kak Uda menangis sahaja ketika memandu sepanjang perjalanan. Kak Ngah yang memangku Ratna Chempaka juga menangis sama.
Sampai di hospital dia di bawa ke zon kuning berdasarkan kecederaan di tapak tangannya. Dia mendapat lima jahitan di situ. Tekanan darahnya yang tidak stabil menyebabkan dia kekal di situ hingga jam tujuh pagi ini.
Kak Ngah kata malam tadi Umar dan Uthman masuk ke zon merah. Berapa jahitan Kak Ngah belum tahu ketika itu. Katanya, keduanya sudah di tempatkan di wad lelaki menjelang waktu subuh.
Kak Long pun kalah juga. Sudah masuk ke wad kerana tertekan perasaan. Darah tinggi Kak Long melebihi 200. Kak Long senyap terus katanya. Tidak mahu berbual dengan siapa-siapa termasuk Abang Mahadi.
Abang Mahadi sepanjang malam di balai polis Labis ditemani Abang Shuib. Dilepaskan sementara dengan jaminan polis untuk menguruskan anak-anak dan isteri.
Tidak mampu kering air mata Ratna Chempaka. Tubuhnya masih menggigil mengingat cerita lewat malam tadi. Kenapa sampai begitu sekali. Salah siapa? Umar? Uthman? atau salah Abang Mahadi?
Salah diakah!?.
Dia letih lesu. Tidak boleh tidur. Pejam sahaja mata terlayar semuanya babak demi babak. Allah! Ya Allah! Allah...
Ulang dan ulang.
Kes malam tadi katanya disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Merusuh ke cerita malam tadi?... Hanya kerana tayar motorsikal yang bocor?.
@@@@@@@
Sebaik-baik perkara yang berlaku malam tadi ialah kebijaksanaan Azwina menangani masalah.
Ketika nampak Abang Mahadi sudah membawa dua bilah pisau naik ke rumah atas, segera Azwina menelefon Abang Shuib dan Abang Mamat.
Perlahan-lahan Ratna Chempaka melangkah keluar dari wad kecemasan. Dia dibenarkan keluar, tidak perlu ditahan di hospital.
Entah di mana Kak Ngah dan Kak Uda. Kak Ngah pesan jika tidak nampak kelibatnya, dia di wad Kak Long. Kesiannya Kak Long. Terbayang-bayang Kak Long yang cuba melerai anak-anak bergasak.
Mujur Kak Uda teringat membawa semua barangnya sebelum membawa dia ke hospital. Kata Kak Uda, Abang Mahadi naik gila mahu merundas dia ketika pengsan.
Bila mampu ditenangkan supaya berfikir anak berdua yang cedera parah Abang Mahadi capai bagasi merah jambunya dan humban ke luar rumah.
Dalam huru-hara ke hospital mujur Kak Uda kutip bagasinya, telefon tangannya juga.
Dapatlah dia bertanya maklumat terkini keberadaan semua orang dan urusan. Kak Uda dan Kak Chik ada di kawasan letak kereta berhadapan kafeteria hospital.
Tak jauh dari Klinik Kecemasan.
Ratna Chempaka melangkah perlahan-lahan. Tubuhnya masih terasa melayang. Mahu minta tolong kakak-kakaknya dia rasa malu dengan apa yang sudah berlaku.
Nampak dari jauh dia yang mendekat, Kak Chik berlari menyambut. Menitis air mata Kak Chik melihat keadaannya.
"Chem... kenapa tak call Kak Chik suruh ambik? Chem okay sayang?".
Ratna Chempaka sekadar mengangguk. Terlalu sedih dan masih terkejut untuk bercakap.
Tiba-tiba...
'Pang'! 'Pang'!
Terteleng kepala Ratna Chempaka ke kiri kemudian ke kanan. Berpinar biji matanya lalu melorot dan terduduk ke tar pakir. Entah datang dari mana sosok Abang Mahadi.
"Kau Asma', Syah... kau orang tolong sundal ni jangan harap dapat jumpa Arbiah lagi! Aku bawak lari jauh Arbiah dari sini!".
"Kau sundal! Aku nampak kau dekat dengan keluarga aku, rumah aku... memang aku pecahkan muka engkau!".
Habis bercakap Abang Mahadi ludah sekali ke kepala Ratna Chempaka kemudian berlalu pergi menuju kembali ke bangunan hospital.
Cite ni tk best agaknye. ayat Sy bina sama. berulang-ulang. Sy tk dpt smpikn maksud yg Sy nk. sori ye. idea tk de ptt nye jgn up cite ni. tp kpd yg sudi bce tqvm Sy Cuba abis kn cite yg ni. terima kasih
Share this novel