Bab 33

Drama Series 19940

"Warna ni cantik tak Ratna?".

"Err..."

Aduh... Kenapa tanya dia. Dia buta seni halus. Dia sendiri main sarung sahaja apa-apa warna sekalipun.

"Errmm, kalau dengan Cik Mawar kurang sesuai sebab nanti seri wajah tak berapa naik."

Pembantu butik pakaian pengantin menyampuk dan menjawab pertanyaan Mawar Baiduri. Alhamdulillah...

"Maksudnya macam mana?".

Soal Mawar Baiduri mahu tahu. Ratna Chempaka mendekat, dia juga ikut teruja ilmu baru.

"Cik Mawar tengok sini..."

Maka mereka berdua berderas ke muka cermin berdiri, di dinding butik. Pembantu butik menarik Mawar Baiduri supaya berdiri tegak di situ. Tangannya laju sahaja memadankan satu baju di hadapan tubuh bakal isteri suaminya.

"Nampak kusam kan muka Cik Mawar."

Mereka berdua terangguk-angguk bersetuju.

"Jadi, saya sesuai warna apa?".

Soal Mawar Baiduri kepada pembantu butik.

"Yaaang ini!... Merah burgundy ni sesuai dengan Cik Mawar. Warna ni orang kulit gelap atau cerah semua sesuai. Cantik kan fesyen kebaya ni, corak songketnya pun cantik. Baru sampai ni Cik Mawar belum ada sesiapa sewa lagi. Kalau Cik Mawar pilih yang ni untunglah Cik Mawar."

Ratna Chempaka bertepuk kecil, teruja mendengarnya.

"Bolehlah Kak Wawa, mesti cantik nanti. Ce cuba, ce cuba."

Dia jadi tidak sabar mahu melihatnya. Mawar Baiduri tersenyum manis. Pasti gembira juga mendengar dia yang pertama akan menggayakan kebaya songket yang cantik itu.

"Ratna suka yang ni ye?. Okay! Akak pilih yang ni."

Masa seterusnya dia mengekor merpati dua sejoli itu ke hulu dan ke hilir mencari barang-barang untuk perkahwinan mereka. Senang hati Ratna Chempaka dapat menemankan Mawar Baiduri, dia anggap apa yang dia buat ini sebagai membalas jasa Ali Firdaus menyelamatkan dia.

Dia dilantik Datin Soraya sebagai 'maid of honor' Mawar Baiduri jadi apabila berkenaan majlis perkahwinan dia boleh keluar pejabat pada bila-bila yang Mawar Baiduri ada masa sesuai. Seronoknya dia dapat menyertai mereka.

Ali Firdaus pun nampak senang hati sahaja, wajah pun sudah nampak tenang dan berseri. Tidak lagi membatu seolah tiada perasaan. Ali Firdaus juga ada berpesan meminta dia mengisi dulu borang pendaftaran nikah di luar negara secara talian. Selepas sahaja urusan majlis perkahwinan suaminya itu selesai barulah urusan mereka akan berjalan, mereka juga harus mencari peguam untuk urusan mahkamah yang panjang nanti.

Denda juga harus dibayar. Memang banyak kerja dan menuntut masa yang lama. Ali Firdaus minta tolong kepada dia untuk menjaga rahsia mereka sebaik-baiknya jangan sampai pecah. Banyak hati yang harus mereka jaga kerana pernikahan tidak logik yang telah terakad.

Mudah-mudahan di masa akan datang jodohnya seperti Ali Firdaus. Bukan tentang kaya atau berpenampilan segak, kacak. Rasanya Ali Firdaus satu-satunya lelaki yang tidak mengendahkan rupa paras, walaupun satu masa dahulu ketika lelaki itu bersetuju menikahi dia ada juga terlintas tuduhan itu di dalam hati.

Tapi sekarang dia nampak, dia percaya Ali Firdaus seorang pencinta sejati. Memilih Mawar Baiduri yang hanya berpenampilan biasa-biasa sahaja dari pandangan luaran tapi sangat baik pada sifat-sifat peribadi. Dia mahukan lelaki yang melihatnya seperti Ali Firdaus melihat Mawar Baiduri.

Mudah-mudahan begitulah suatu hari nanti. Amin Ya Allah.

@@@@@@@

"Ratna pengapit Wawa kan Li?".

Ali Firdaus yang sedang berurusan dengan kertas kerja yang banyak di atas meja mengangguk. Dia harus selesaikan beberapa kerja penting sebelum bercuti bulan madu selepas nikah, dia sudah menempah hotel percutian di Kundasang, Sabah.

Percutian pendek. Tiba-tiba nikah, maka dia tidak dapat merancang perjalanan jauh. Lagipun terlalu banyak kerja dan projek perniagaan harus diselesaikan.

"Kau tak pelawa pun aku jadi pengapit kau. Aku... nak jadi pengapit kau eh".

"Boleh aje..."

Dia tidak terfikir tentang itu, apa yang penting di hari bersejarah itu nanti ialah dia sebagai pengantin lelaki.

"Pengapit, baju warna apa?."

"Entah, ce kau tanya Mawar."

"Tak pe, nanti aku tanya Ratna."

Pen di tangan terhenti bergerak tapi dia tidak mengalih pandangan. Kekal di atas kertas putih di atas meja. Kasihannya Muhammad Zain. Dia perasan Ratna Chempaka memang tidak mahu melayan rakannya ini. Apa sebenarnya pandangan isteri tak sengajanya itu tentang Muhammad Zain?. Kenapa langsung tidak mahu memberi peluang?. Betulkah sudah ada calon lain?.

Seingat Ali Firdaus sepanjang berkawan dengan Muhammad Zain, tidak pernah lagi ada perempuan yang menolak lamaran hati dari temannya ini. Segak, berduit dan pandai berkata-kata yang memikat. Kerana itulah munculnya sikap tidak setia Muhammad Zain lalu boleh menukar pasangan umpama menukar pakaian. Adakah kerana jarak umur hampir tujuh tahun penyebab gadis cantik itu tidak memberi peluang kepada Muhammad Zain?. Tua sangatkah jarak tujuh tahun?.

"Boleh gila aku sebab budak ni Li, tak pernah aku terkejar-kejar perempuan macam ni."

"Kau jangan tunjuk sangat kau nak dia. Aku selalu dengar cerita perempuan ni makin dikejar makin lari. Cuba kau buat-buat tak layan dia. Mesti dia tertanya-tanya."

"Idea macam tu terpakai kalau satu tempat kerja, atau duduk dekat. Jauh macam ni guna idea kau tu mana dia nak perasan aku hilang. Lagi dia suka nanti. Tak nak aku ambik risiko hilang dia."

"Kau suka dia sebab apa?. Dia mengadu dengan Mawar kau jenis pandang rupa paras sebab tu dia tak nak kau."

"Dia cakap macam tu?".

"Ya. Kau mengaku ke? Atau perangai memilih kau tu memang tak boleh nak cover sikit?".

"Aku jadi diri aku."

"So, tak bolehlah salahkan dia jadi diri dia. Kau ada point kau dia pun ada."

"Kalau aku tak tunjuk perangai aku sebenarnya tak kan aku nak jadi hipokrit. Memang aku suka perempuan cantik."

"Aku memaham cerita Mawar budak tu tak kisah pun kau suka perempuan cantik, tapi bukan dialah. Sebab tu aku tanya... kau memang tak boleh cover sikit ke?. Aku rasa perangai kau tu buat dia berprasangka. Siapa aje suka bercouple dengan orang yang boleh buat hati tak senang."

Muhammad Zain duduk menyendeng di tebing meja kerjanya. Jangan terbalik meja yang penuh dengan kertas kerja ni sudahlah.

"Serious aku cakap Li, dia ni last. Aku tak akan cari lain kalau dapat."

"Kau cakap jujur suka perempuan cantik tu aku setuju, tapi perempuan cantik bukan dia seorang. Akan datang ada lagi perempuan cantik melintas depan kau. Buat kerja tak clean, kau ingat budak tu tak ada otak."

"Silap aku satu aje, bawak dia pergi reunion hari tu. Dia oranglah, sakat aku depan Ratna cakap bukan-bukan pasal ex-ex aku dulu."

Nak menang jugalah mamat ni.

"Memang masa reunion tu. Tapi kau sendiri yang lepas cakap, dia cerita pada Mawar."

"Kau ni Li! Mentang-mentang hal kau dengan Wawa dah selesai... Dulu kau tak judge aku macam ni pun."

Budak tu masih isteri dia dan di bawah tanggungjawab dia. Kalau Ratna Chempaka tidak mahu Muhammad Zain dia akan sokong sampai mereka... bercerai mungkin? Tak baik pula biarkan budak tu kalau ada masalah. Dah terlanjur kenal. Hmmm...

"Aku kawan kau kan. Aku pun nak tengok kau kahwin. Kau tau kau tak boleh ubah pemikiran budak tu, jadi kau ubahlah perangai kau. Kalau tak jadi dengan dia sekalipun... sekurang-kurangnya kau tak hadap masalah yang sama dengan perempuan lain."

Muhammad Zain tidak menjawab sebaliknya memandang ke muka jam di pergelangan tangan kemudian ke wajahnya.

"Masa dah time. Nanti sambung wasap."

Ali Firdaus hantar keluar Muhammad Zain dari ruang bilik pejabatnya dengan pandangan sehingga lelaki itu hilang di balik pintu.

Zain... Zain...
Macam-macamlah.

@@@@@@@

Mawar Baiduri keluar dari perut Grab dengan susah payah kerana di tangannya penuh barang di kiri dan kanan untuk dipegang. Sakan dibelanja Ali Firdaus barang-barang untuk hari perkahwinan nanti.

Ketika dia meletakkan barang-barang yang dibeli untuk membuka mangga pagar rumah satu perkara lain menarik perhatiannya, motorsikal Papa....

Jantung mula berubah ritma. Ergh! Kenapa perlu balik!?. Mesti sudah habis duit!.

Selak pintu pagar tidak bermangga seperti sepatutnya, Mawar Baiduri jinjit segala barang penuh dua tangan kemudian menolak pintu pagar dengan lengan dan merapatkan kembali dengan kaki. Berjalan perlahan-lahan menuju muka pintu.

Terdengar pekik suara Papa bercakap keras dari muka pintu yang tertutup daunnya. Pastinya kepada Mama dan pastinya Mama sudah matikan diri seperti selalu. Tiada guna membalas cakap Papa kata Mama.

"Assalamualaikum".

Dengan tangan yang penuh memulas tombol pintu. Kemudian melangkah masuk dan meletakkan barang yang banyak di atas sofa terdekat.

"Haaa... Dah balik pun."

Papa tidak menjawab salam dengan salam sebaliknya ayat teruja dengan nada gembira yang tidak pernah-pernah sebelumnya jika bercakap dengannya. Mama duduk bertongkat lutut menyandar di dinding ruang tamu. Memandang kosong kepada daun tingkap yang bertutup langsir yang berkibar kerana angin kipas yang berpusing. Mata sudah lebam sebelah dan ada terbit darah di hujung bibir, yang ini seperti selalu.

"Bila nikahnya Wa?".

Soal Papa kepadanya yang masih berdiri. Kedua tangan Mawar Baiduri sudah menggenggam dan meramas erat sisi baju. Mata jatuh pada Mama di sudut sana.

"Hujung bulan ni."

"Kenapa kau tak cakap aku? Kenapa kau orang berdua tak cakap aku?. Kau sedar diri tak, kalau tak ada aku kau tak boleh nikah!? Aku ni wali kau tau tak!?."

Heh! Layak ke?. Hanya... di dalam hati yang sebal.

"Tapi tak apa. Aku tak marah. Untuk pertama kalinya aku setuju dengan kau, dengan Mama kau. Kau memang bijak sondol laki si Sumayyah tu. Budak tu kaya."

Papa yang berdiri berdekatan Mama melabuhkan duduk di sofa. Mengeluarkan sebatang rokok dan menyalakan api di hujungnya. Menyedut dalam-dalam kemudian mendongak melepaskan asap ke ruang tamu yang sekangkang kera. Serta-merta putih kelabu ruang itu. Mawar Baiduri menahan nafas.

"Kau tengok ni..."

Papa menyorong kepalanya ke arah dia yang masih berdiri di tempat yang sama. Dia menoleh tapi masih diam juga membiarkan Papa bercakap. Nampak di sempadan kepala dan dahi Papa bengkak dan terbit darah yang sudah lebam warnanya.

"Pak Long kau ketuk dengan tongkat dia. Hahaha... Orang tua tu cakap aku yang suruh kau caras bekas cucu menantu dia yang kaya tu."
"Tapi, kau jangan takut dengan orang tua tu, kes dia tu tunggu masa aje sumbat dia ke dalam. Padan muka dia!"
"Eh! Betul ke budak tu anak Soraya?".

Usai ayat terakhir Papa berpusing menoleh kepada Mama yang kekal merenung langsir yang berkibar.

"Si Atan cakap budak tu anak Soraya. Masa dia kahwin Sumayyah aku ada dengar cerita, tapi tak terfikir pulak nak ambik tau si Soraya jalang tu."

Mama matikan diri seperti selalu jika Papa bercakap. Mama sudah mati rasa lama dahulu. Seingatnya sejak dia kecil yang mampu dia ingat. Kemudian Papa kembali duduk tegak dan menyambung cakap dengannya.

"Soraya tu dulu tunang aku tau tak?. Kalau si Atan tak paksa aku kahwin dengan Mama kau yang bodoh ni, tu... si Soraya tu Mama kau tau tak Wa. Business women berjaya tau... Hahaha..."
"Tak sangka kau balas dendam untuk aku Wa. Dapat kat kau anak dia. Tak sangka aku, muka macam kau dapat ngurat lelaki macam tu. Kau bomohkan dia ke Wa?".

Tak mengapa, dia tidak terluka. Lelaki ini, yang sebentar tadi mengaku walinya pernah mengatakan dia anak haram hubungan Mama dengan lelaki entah mana. Dia dan Mama sudah lali.

"Penatlah bercakap dengan kau dua beranak ni! Bodoh! Tongong! Hantaran berapa Wa!?".

Kerana dia tidak menjawab, Papa naik angin tiba-tiba. Sudah berdiri dan kembang badan menunjuk lagak garang.

"Tak mintak."

"Hey Bodoh! Apa ke bodohnya kau ni! Cakap budak jantan tu aku nak jumpa! Cakap dia aku nak bincang pasal duit hantaran! Banyak cantik nak kongkek kau free aje!".

Papa mendekat. Mawar Baiduri sedikit berundur.

"Mana telefon kau!?. Cakap dia aku nak jumpa!."

"Minggu ni dia tak ada, outstation... Indonesia. Nanti dia balik baru cakap."

Jawab sahaja asal boleh. Janji Papa tidak berjumpa Ali Firdaus.

"Aku tunggu minggu depan. Kau jangan nak tipu aku!"
"Bagi aku duit sikit."

Papa tadah tapak tangan. Sudah dia agak. Tapi tak mengapa, ini bermakna Papa sudah mahu pergi dan kalau dia mahu Papa segera pergi, baik beri sahaja. Dia keluarkan dompet dari beg di sofa, belum sempat kira Papa sudah rampas semuanya.

Sebaik Papa hilang di balik daun pintu terdengar Mama ketawa. Ketawa yang kedengaran penuh kesakitan.

"Aku dah cakap kan. Kau jangan fikir kau boleh bahagia Wa."

Mama bercakap dalam sisa ketawa dari bibir yang tersenyum tapi luka dan ada air mata juga. Mama pernah cakap bahagia bukan milik mereka.

pls jgn buruk sangka pada Mawar n Melur. Ramai mcm diowg dlm dunia ni. Dinafikan dan dipaksa bersetuju yg diowg tk berhak bahagia ????. Gurau jgn marah teruskn Komen ye. idea dh tk brpe nk jln ni

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience