Entah di mana dia sekarang?
Sungguh dia tidak tahu. Dia memandu tanpa arah sejak... Entah!? Itu juga dia lupa. Dia sudah lupa dengan masa. Fikirannya bercelaru.
Tapi...
Kenapa dia tidak lupa semua cerita sedih yang berlaku. Berulang dan berulang bagai pita rakaman yang rosak.
Dia mahu ketawa dengan ayatnya yang terakhir, pita rakaman? Sudah kenapa dia gunakan ayat sebegitu? Pita pun dia tidak pernah gunakan.
Ayat itu terlalu sinonim untuk digunakan kepada sesuatu yang berulang. Seperti ingatan dia kepada seseorang yang membawa kepada kesedihan yang dia rasakan sekarang ini.
Mendungnya cuaca yang melatari langit di atasnya seperti seluruh rasa hatinya. Malap dan suram hingga jika ditoreh hatinya tidak dapat dilihat merah darah yang mengalir.
Kerana itu orang sekeliling tidak peduli perasaan hatinya. Mereka fikir dia tidak apa-apa. Mereka fikir dia baik-baik sahaja dengan ujian hidupnya.
Kereta yang dipandunya tanpa arah sudah terhenti di pinggir jalan yang entah di mana ini. Cermin hadapan semakin berbalam ditimpa hujan. Di bawah malap langit mendung.
Minyak habis!.
Satu lampu menyala, pemberitahuan kenderaannya sudah kehabisan bahan bakar kerana pemanduan tanpa arah dan tanpa akal sihatnya.
Dia hempas belakang badan ke bangku pemandu. Mendongak memandang lelangit bumbung kereta kemudian memejam mata memerah airnya.
Semangatnya hilang. Empat tahun lebih dia bertahan dengan sisa harapan yang ada, hari ini hilang seluruhnya. Pertengkaran dengan mama subuh tadi bukti masa berjalan meninggalkan cerita cintanya yang dia peluk untuk terus bersemangat sudah sekadar menjadi kenangan.
Kenapa dia!?.
Dia memandang sekeliling. Di pinggir jalan yang agak asing. Dengan cuaca muram yang memeluk seluruh alam, pokok belukar di kiri dan kanannya terlihat seperti sekumpulan manusia yang memandangnya dengan penuh rasa kebencian.
Dedaun yang sepatutnya terlihat hijau sekarang tidak berseri kerana jadi berbalam lebam.
Dia buka pintu kereta. Mengeluarkan tubuhnya dari zon selamat kotak besi.
Huh!.
Dia merengus, berbalas rasa yang melatari hatinya melawan lebam dan malap alam sekeliling. Apalah sangat! Tiada beza kerana hatinya sudah disalut kecewa.
Tiada beza aku dan kau alam!.
Tiada beza!
Dia merusuh di dalam hati. Rusuhannya dia lepas kepada pintu kereta. Berdentum objek tidak bernyawa itu. Objek mati yang tak akan merasa apa yang dia rasa!.
Dia melangkah di bawah langit mendung. Jangan tanya ke mana. Dia tidak merancang dengan akalnya sekarang. Dia sedang bekerjasama dengan hatinya yang malap, murung dan kecewa.
@@@@@@@
Tak ada orang!.
Hanya dia di pondok yang sudah agak uzur. Berteduh dari hujan yang tadinya tidak boleh dipanggil gerimis dan tidak pula boleh dipanggil lebat. Hujan yang sebegini sejak hampir sejam yang lalu.
Ketika dia sampai di kawasan rekreasi air terjun ini hanya mendung sahaja. Mendung yang berat. Cuaca yang sama dari tempat sebelumnya dia berada. Cuaca musim tengkujuh. Hujan, teduh sebentar dan hujan lagi saling bergilir.
Dia fikir...
Argh! Dia tidak berfikir. Dia larung sahaja. Sememangnya dia sudah merancang untuk ke sini kerana memang dia tahu untuk cuaca yang sebegini tempat ini satu-satunya yang tidak mungkin dikunjungi sesiapa.
Dia mahu berseorangan. Manusia lain akan hanya menyakitkan dia. Dia tidak mahu sesiapa. Seperti mana... tiada siapa mahukan dia. Seperti mana tiada siapa mahu bersusah bersama dia, untuk dia!. Seperti mana...
Kemarahan dalam hati yang memarak mengendur kerana matanya melihat sesuatu. Sesuatu yang mengalih perhatian.
Kenapa tu?.
Dalam hujan yang... sudah mula lebat begini di tempat sebegini?.
Pondok ini sudah agak jauh ke dalam kawasan rekreasi yang lengang. Romanya meremang tiba-tiba. Orang sebenarkah?.
Hah!
Akalnya tiba-tiba mencemuh dan mengejeknya yang sebentar tadi begitu nekad untuk ke tempat sebegini mengikut rasa hati. Hanya kelibat begitu sudah rasa goyah?.
Apabila sosok itu melintasi pondok tempatnya berlindung dari hujan, melangkah menuju ke tebing sungai dia yakin itu manusia sebenar.
Apahal pulak ni?...
Gangguan sungguhlah!.
Arus sungai yang deras kerana terjun dari atas sana memetik rasa gusar.
Biarkan!. Bukan urusan aku!.
Bolehkah?...
Tidak nampakkah air yang bergulung-gulung meluru laju memenuhi dan melimpahi sungai?. Tidak terfikirkah jika muncul kepala air dari atas sana kerana hujan yang turun ini?.
Dia hanya melihat. Mahu biarkan atau mahu ditegur dia serba salah. Malasnya mahu mencampuri urusan orang lain sedang dia sendiri di dalam kemelut perasaan.
Argh Sudah!
Boleh pula duduk di pinggir tebing sungai yang licin dalam hujan yang sudah pun semakin lebat!
Bodohkah? Hilang akalkah!?
Aduhhh!!!
Dia mengusal rambutnya geram.
"Hoi!".
@@@@@@@
'Arghhh'...
Dia terjerit. Tiba-tiba lengannya direntap seseorang dari belakang. Kemudian menariknya menjauh dari tebing sungai.
Jantungnya berdetak laju. Siapa ini? Orang jahatkah? Mahu apakan dia!?.
Dia yang tidak bersedia, letih dan lemah terikut dengan tarikkan yang kuat itu. Lelaki itu sekadar melelarnya dengan menarik sebelah lengannya di atas licin tanah basah dan becak di tebing sungai.
Dia menjerit sekuat hati melawan bunyi lebat hujan, air terjun dan deras sungai yang bergulung-gulung mengaum.
Baru sekarang akal sihatnya kembali pulang ke otak memaksa dia berfikir dalam keadaan terkejut dan genting itu.
Dengan terseret di atas licin tanah yang becak tubuhnya tiba di anak tangga sebuah pondok. Dia pantas berpaut pada mata tangga hingga mampu mendirikan badan tapi kekal terheret mengikut cengkaman kuat tangan sasa itu di lengannya.
'Bedebuk!'
Sesampai di bawah teduhan bumbung segera dia ditolak terjelepuk di tengah pondok. Perit rasa punggungnya dengan tubuh yang sudah lencun berhujan dan berselut becak.
"Apa ni!? Gila ke!?". Dia menjerit geram dan marah yang amat.
"Siapa gila!? Yang gila tu engkau!".
Eheh! Siapa orang ini?. Berani sungguh...
Dia bangun dengan susah payah kerana sudah kuyup begitu. Cuba melindungi juga lekuk tubuh yang pastinya berbentuk kerana pakaian yang sudah lencun.
Dengan sedikit menunduk menggayakan usahanya melindungi hadapan badan dia cuba menuju pintu keluar pondok yang tiga sudut lainnya dipagar bangku memanjang.
"Nak ke mana!? Nak terjun sungai sana lagi!?".
Langkahnya terhenti. Bukan kerana lelaki tegap yang berdiri di muka pintu pondok bergerak seolah mahu menahan langkahnya tetapi kerana soalan lelaki itu.
"Kau fikir aku nak terjun ke?".
Soalnya lurus. Air mata luruh lagi dari tubir mata. Sedih disoal begitu. Soalannya mungkin berbunyi lain tapi maksudnya sama dengan cakap mama lewat subuh tadi. Dia yang menolak takdir dan nampak menyeksa diri.
Tidak jadi mahu melangkah dia terduduk memeluk tubuh di satu bahagian bangku bersebelahan muka pintu pondok.
"Kau bukan nak terjun ke tadi?".
Suara itu sudah turun kekuatan oktafnya. Lebih berbunyi perihatin. Sosok itu ikut sama duduk di bangku berhadapan dirinya juga di hadapan muka pintu.
"Bukan... Aku nak duduk, dekat batu tu...".
Dia menjawab dalam sebak. Jarinya tercokeng tegak lurus ke hadapan sana, di belakang lelaki yang duduk menghadapnya. Lelaki itu serta merta menoleh mengikut arah jarinya.
"Gila... Licin tu. Hujan lebat, tanah, batu semua lecak, licin. Air bergulung-gulung... Buatnya turun kepala air habis disapunya engkau sekali."
Sudah tertunduk tadi kerana bersedih dia mendongak semula. Memandang kawasan penceritaan.
Ya, dari pondok mereka berteduh kerana hujan lebat boleh nampak air yang bergulung-gulung turun dari air terjun dan ulu sungai.
Dia sekadar mahu duduk di situ. Di batu yang sama pertama kali punca kekecewaan dia menghulur salam perkenalan.
Kekecewaan yang ditinggalkan dalam hatinya penyebab dia tidak mampu memikirkan kesesuaian keadaan sekitar.
Argh...
Mamanya betul dengan leteran subuh tadi. Dia harus keluar dan memberi peluang kepada dirinya bertemu wajah baru. Melepaskan sepenuhnya cerita dahulu.
Lihat sahaja sekarang ini, asbab perbualan singkat dengan entah siapa ini baru terbit di hatinya rasa cuak melihat air yang bergulung-gulung menghempas tebing dan batu-batu di dalam sungai.
Perbualan yang baru sedikit membuka minda dan hijabnya. Baru dia dapat melihat alam tidak berbalam-balam bagai dalam mimpi. Mamanya betul, dia sakit teruk.
Ke mana akalnya selama ini?.
"Kau okay tak?. Kau datang sorang ke? Kau orang mana?".
Dia menghala pandangan kembali kepada lelaki tegap yang memakai kemeja tebal bercorak kotak-kotak merah hitam. Macam Bang...
Eh!.
Astaghfirullah hal Azim!.
Sumayyah!.
"Wey! Kau okay tak? Kau jangan macam-macam. Bikin aku seramlah!."
"Kau betul orang kan!?".
Diam dia menyebabkan lelaki itu menyoal lagi dan oktaf suara naik kembali seperti mula-mula bercakap dengannya.
Sebelah tangan lelaki itu menggosok tengkuk dan sebelah lagi mengangkat tangan memandang jam di pergelangan tangan. Mahu juga dia ikut tahu sudah jam berapa waktu ketika itu.
Lelaki itu berdiri. Bertubuh tinggi dan tegap dengan kulit sawo matangnya membuat dia berkalih duduk. Menyilang tangan ke hadapan tubuh.
Lelaki itu terduduk kembali. Merenung dia seketika kemudian tangannya bergerak ke tengah badan. Melerai butang baju?.
Apabila lelaki itu memisahkan kemeja yang dipakai dari tubuh tegapnya dia terdiri segera. Berpaut pada tiang muka pintu mahu membuka langkah melarikan diri.
"Weh! Kau nak pergi mana!?. Pakai ni dulu!."
Dia berpaling dari mata tangga pertama yang mahu dipijak. Tangan lelaki itu menghulur kemeja kotak-kotak merah hitam ketika dia menoleh. Oh!...
"Kau ingat aku nak buat apa!?".
Dia masuk kembali ke dalam pondok. Duduk kembali ke bangku panjang yang sebelumnya dia duduk. Segera dia sarung kemeja yang sama lencun seperti t-shirt tidur di tubuhnya yang berwarna kuning air.
Dia mengangkat wajah mahu berterima kasih tapi tertunduk kembali. Lelaki tegap berkulit sawo matang itu berlenggeng tidak berbaju di hadapannya.
"Nama kau siapa?. Kau orang sini ke?."
Dia memandang ke arah tiang di sebelah lelaki itu. Tidak sanggup memandang tubuh tegap yang basah di hadapannya. Tipulah jika dia kata tubuh itu tidak menjentik rasa. Rasa malu sahaja sudah pasti.
"Sumayyah".
"Atok orang sini."
"Oh! Ye?. Sini tu mana?. Banyak kampung sini."
"Yang dekat simpang masuk ada letak basikal atas tayar."
Baru dia sedar kenapa arah pemanduannya dengan fikiran tidak penuh menuju ke sini. Di sini kampung ibunya. Kampung punca kekecewaannya juga.
"Ooh."
"Nama atuk engkau siapa?".
"Jailani".
"Jailani..."
Sekilas dia mencuri pandang lawan bualnya yang kelihatan sedang terfikir-fikir. Dia juga sedang berfikir, bilalah hujan lebat ini akan teduh...
"Jailani bekas mejar tu ke? Nama lain dia Atan?."
Dia mengangguk. Lelaki ini asli sini jika kenal nama lain datuknya.
"Engkau anak siapa?".
"Sarimah."
Dia jawab sepatah sahaja setiap soalan. Kepalanya rasa sedikit ringan dan matanya sudah mampu melatari masa kini dan di sini. Bukan bertindih kenangan lalu dan kekecewaannya. Pertanda baik untuk sakit perasaannya.
"Engkau ke yang suami hilang kat laut tu?".
Pandangannya serta merta terkunci dengan renungan mahu jawapan lelaki itu. Dia terkelu kerana matanya ulang semula nampak wajah kekecewaannya.
@@@@@@@
Kecil benar dunia ini. Dia ke daerah sini selepas subuh tadi untuk urusan perniagaan. Menyibukkan diri agar melupakan si dia yang pergi dan tidak mahu berjuang untuk masa depan bersama.
Urusan yang mudah tidak memerlukan masa yang panjang. Sekadar menghantar dan pulang. Sepatutnya pulang. Tapi tidak, dia ke sini kerana mahu bersendirian seketika tanpa siapa-siapa.
"Engkau ke yang suami hilang kat laut tu?".
Suara dia. Dia yang menyoal itu. Mahu tahu cuma. Perempuan di hadapannya ini ada berhubung kait yang jauh dengan kisahnya. Kisah kenapa si dia tidak mahu berjuang untuk masa depan mereka bersama.
Tiada jawapan. Perempuan yang menyarung bajunya sekadar mengangguk dengan wajah keruh dan sedih.
"Dah lebih empat tahun... Bapak aku... Bapak aku dah dapatkan surat dari pejabat agama. Aku dengan dia dah...".
Perempuan dengan nama yang diberitahu tadi sebagai Sumayyah menundukkan wajah. Kemudian terhinggut-hinggut bahunya menangis dalam senyap.
Dia sedih dengan kisahnya tapi sedih lagi kisah Sumayyah. Kisah dia walau tiada ucapan selamat berpisah tapi hilangnya kerana pergi yang nampak.
Sumayyah berpisah yang tiba-tiba. Hilang begitu sahaja tanpa jejak. Mungkinkah kisah Sumayyah lebih sedih kerana dia perempuan dan dialu-alukan menzahirkan perasaan.
Dia pula lelaki. Lelaki itu harus kuat melawan apa juga kesakitan perasaan walau sudah luka parah.
"Aku nak balik. Boleh tolong hantar aku balik?. Kereta aku habis minyak dekat simpang jalan masuk sana."
Sumayyah yang bersedih tiba-tiba bersuara mematahkan fikirannya. Dia memandang sekeliling. Hujan yang lebat sudah tinggal renyai-renyai.
Dia bangun, mengunjuk tangan ke muka pintu. Isyarat supaya Sumayyah turun dahulu ke mata tangga.
Tidak menunggu dia bersuara Sumayyah yang sudah faham terus turun ke mata tangga dan dia mengekori di belakang.
Mata tangga yang licin menyebabkan Sumayyah jatuh terduduk di situ. Dia yang mengekori rapat ikut jatuh juga terduduk rapat di mata tangga di belakang Sumayyah. Sangat rapat di belakang.
"Astaghfirullah hal Azim!!!"
"Apa benda kau orang buat ni ha!?. Buat kerja tak senonoh macam ni".
Entah siapa, entah bila, entah macam mana, mereka tiga empat orang ini sudah muncul dari tepi pondok.
Wajah asam kelat memandang garang dan ralat kepada dia dan Sumayyah.
Assalamualaikum kwn2. sy tak de idea sgt. taip padam, taip lagi padam lagi. tapi kita gian nak tulis cite. kot la klw ada yg Komen blh bg idea. jom teman Sy mengarut buat cite ni. tlg ek teman Sy. klw cite ni lmbt tk mcm yg 3 tu jgn tk kwn Sy ye. tqvm kwn2
Share this novel