Bab 30

Drama Series 20020

Selepas menghantar Mawar Baiduri balik, terus Ali Firdaus menghalakan kenderaannya ke arah Bangi. Mahu pulang ke banglow. Dadanya berdebar bagai nak pecah. Boleh pula macam ni ceritanya. Kebetulan atau budak tu memang mencari dia?. Manalah tahu ketika urusan nikah atau urusan di balai polis dan imigresen Hatyai, dia ada menyebut SoRia Kosmetik.

Macam mana nak buat?.

Tak boleh daftar pernikahan itu sekarang. Dia mahu uruskan pernikahan dengan Mawar Baiduri. Mana tahu ketika urusan pejabat agama nanti tiba-tiba boleh nampak maklumat nikah sudah dua kali.

Tak boleh, tak boleh. Tak nak dia ambil risiko. Sudahlah sampai umur 30 tahun dia belum dapat memiliki Mawar Baiduri sah menjadi miliknya.

Atau berterus-terang sahaja dengan Mawar Baiduri?.

Bukti semua cukup. Ada report polis dan imigresen dari Songkhla. Mawar Baiduri tenang, bijak dan rasional mesti dapat menerima cerita dengan berfikiran terbuka.

Huh! ye lah tu. Dia dapat rasakan Mawar itu tunggu masa sahaja dia buat silap.

Hubungannya dengan Mawar Baiduri tak boleh ada tersilap langkah walau sedikit . Restu Mama Mawar Baiduri belum mereka dapat. Silap hari bulan dia berputih mata lagi seperti tiga tahun dia merana.

Aduh! Kusutlah!. Kenapalah dulu dia nikah dengan budak cantik tu!?.

Eh!

Allahuakbar!
Allahuakbar!

Berdebum!!!.

Kerana dia memandu laju dia tidak sempat mengelak dua ekor monyet yang lari berkejaran menyeberang lebuh raya. Ali Firdaus terlanggar seekor, untungnya tidak terus mati di situ dan masih cuba berlari menyusul rakannya yang masuk ke dalam kawasan belukar, malangnya monyet yang dilanggar terdiam di pinggir belukar. Rasa ralat dan bersalah melintas juga di hati Ali Firdaus.

Ali Firdaus berhenti di bahu jalan mahu menenangkan jantung yang berdegup laju kerana terperanjat. Dia keluar dari kereta dan memeriksa lampu hadapan yang pecah di bahagian kiri. Darah masih melekat di lampu kereta. Mujur dia mampu mengawal kemudi kereta jika tidak mungkin dia sudah terbabas dan terbalik.

Aduh!
Binatang betullah kau ni monyet!.

@@@@@@@

Ratna Chempaka memandu keluar dari sebuah masjid. Senang hati sudah menunaikan solat Zuhur. Sampai rumah boleh tidur sekejap. Dato' Abu Bakar, Datin Soraya dan Kak Yong tak ada di rumah. Pergi jemputan kenduri kahwin di Seremban katanya.

Mengingatkan cerita pagi tadi dia rasa ralat. Tujuannya tidak kesampaian. Puas dia fikir alasan untuk meminta nombor telefon Ali Firdaus tapi tak berjaya. Langsung tidak terkeluar ayat untuk tujuannya itu.

Lepas ini bagaimana? Patutkah dia menelefon Mawar Baiduri meminta nombor telefon Ali Firdaus. Hmm mati hidup balik pun dia tidak akan tergamak. Oh! Mungkin dia boleh ke pejabat urusan syarikat ayam dan daging milik lelaki itu. Ya, ya, hanya itu jalan terakhir dia ada.

Ratna Chempaka tidak mahu lagi keluar dengan Muhammad Zain walaupun Muhammad Zain gula-gulakan dia dengan Mawar Baiduri. Dia suka dan mahu berkawan dengan kekasih suaminya itu, mahu juga jika dapat keluar beria lagi dengan gadis itu tapi berdua sahaja. Tiada Ali Firdaus dan tiada Muhammad Zain.

Aduh... mengingatkan Muhammad Zain sebentar tadi hanya meremangkan romanya. Lelaki itu akan jadi seperti Umar, Usman dan Fakarudin. Dia yakin sangat. Banyak tanda lelaki itu akan mengongkongnya kerana cemburu. Akan obsesif dan posesif kerana rupa parasnya.

Tiba-tiba terlayar Umar dan Usman yang bertikam dia muka tangga dapur rumah Kak Long dan Fakarudin yang berkasar dan berkeras suara kerana cemburu. Bodohlah dia jika memilih Muhammad Zain dan kembali dalam ketakutan hidupnya dahulu.

Ratna Chempaka ingat lagi ada satu ketika Muhammad Zain menengking seorang pekerja kedai serbaneka kerana tersenyum dan bergurau dengannya ketika membayar barang, caranya sama sungguh dengan Fakarudin satu masa dahulu. Itulah puncanya dia menjauhkan diri daripada Muhammad Zain dan mengelak untuk keluar lagi dengan lelaki itu.

Allah! Allah!

Kenapa ni?.

Tiba-tiba keretanya menjadi perlahan seolah-seolah tiada tenaga untuk bergerak laju. Mujur dia memandu perlahan dan sentiasa berada di lorong kiri. Segera dia menyusur ke bahu jalan dan enjin kereta langsung mati di situ. Di bahu lebuhraya yang tiada apa-apa bangunan berdekatan selain belukar di tepinya.

Allah! Macam mana ni!?

Kifarah ke sebab asyik mengutuk Muhammad Zain di dalam hati?. Aduh! Sudahlah tengah hari buta mujur cuaca mendung, tapi... lagi dia bimbang buatnya hujan turun habislah dia. Mahu telefon siapa?. Dato' dan Datin sudah ke Seremban.

Ratna Chempaka turun daripada kereta. Masih ligat berfikir mahu menelefon siapa. Telefon Muhammad Zain memang tidaklah!. Oh! Oh! baik dia telefon kenderaan tunda syarikat insuran.Ya, bijaknya dia!.

Tapi...

Ini kereta Dato'! Mana dia tahu Dato' guna insuran kenderaan syarikat mana. Patutkah dia menelefon Datin dan bertanya? Orang itu suami isteri baru mahu bersenang hati berjalan selepas selesai masalah anak, dia pula mengganggu. Nanti terpaksa Dato' dan Datin pulang segera, aduh... tak mahulah begitu. Hidup sudahlah menumpang secara percuma lagi mahu menyusahkan.

Sebuah motorsikal berhenti di hadapan keretanya, kemudian sebuah kereta pula berhenti dan memakir di hadapan motorsikal. Ratna Chempaka sudah cuak, janganlah mereka berniat tidak baik.

"Kenapa dik?"

Tanya lelaki bermotorsikal.

"Enjin mati."

Ratna Chempaka menjawab ringkas.

"Kenapa ni?"

Datang pula lelaki berkereta bertanya soalan yang sama.

"Enjin mati. Tak pe, saya boleh tolong."

Kata lelaki bermotorsikal kepada lelaki berkereta tapi lelaki berkereta kekal di situ.

"Bukak depan ni."

Lelaki bermotorsikal memberi arahan kepada Ratna Chempaka dan terus sahaja dia berderas melakukannya.

"Spark plug ni rosak, api tak cukup sebab tu enjin mati."

Selepas beberapa ketika memeriksa lelaki bermotorsikal memberi penerangan kepada Ratna Chempaka. Terangguk-angguk dia cuba faham.

Dia ada terdengar Dato' memberitahu Datin mahu menghantar kereta yang dipandunya ini untuk servis berkala minggu hadapan dan ada barang yang harus ditukar. Kenapalah terkena pada dia pula masalahnya sekarang. Tidak bolehkah sudah berada di rumah atau paling tidak ketika sudah berada dalam kawasan perumahan Dato' dan Datin.

"Habis tu macam mana ye encik?".

"Panggil towinglah, hantar bengkel. Insurance company mana?".

"Ini kereta boss, dia outstation. Saya segan nak call tanya."

Ratna Chempaka menjawab jujur. Sungguh dia sangat segan untuk menelefon Datin Soraya.

"Kalau macam tu panggil towing bayar ajelah."

"Mahal tak encik?".

"Ikut jarak. Balik mana?".

"Bangi."

"Macam nilah dik. Abang tolong adik. Abang bawak adik jumpa kawan Abang yang boleh tengokkan kereta adik. Dia mekanik sini-sini aje. Nanti Abang hantar adik balik Bangi."

Tiba-tiba lelaki berkereta menyampuk perbincangannya dengan lelaki bermotorsikal. Ratna Chempaka tercengang dengan usul lelaki berkereta. Kenapa lelaki ni?.

"Jom!".

"Argh!".

Tanpa Ratna Chempaka bersedia lelaki berkereta menarik tangannya menyebabkan dia terjerit kerana terperanjat yang amat. Terus dia menarik kembali tangannya dan berlari ke belakang lelaki bermotorsikal. Apa kena lelaki berkereta ni!?

"Woi! Apa ni!?".

Soal lelaki bermotorsikal garang.

"Aku nak tolong dia. Bawak pergi bengkel".

"Kau ni ingat orang tak sekolah ke?. Nak tolong pasal kereta telefon mekanik tu datang sini bukan bawak budak ni pergi sana!".

Tengking lelaki bermotorsikal kepada lelaki berkereta. Ratna Chempaka yang ketakutan mengangguk setuju.

"Kau siapa? Suami dia ke?."

Ketika lelaki berkereta menyoal garang lelaki bermotorsikal, seorang lagi lelaki turun dari kereta lelaki itu menuju kepada mereka.

"Kalau kau nak selamat bagi budak ni pada aku."

Apabila kawannya sudah berdiri di sebelah, lelaki berkereta terus mengugut lelaki bermotorsikal. Ratna Chempaka rasa mahu pengsan di situ. Kenangan diculik ketika di Hatyai tiba-tiba terbayang di ruang matanya. Romanya meremang dan tubuhnya menggigil ketakutan.

Lelaki bermotorsikal terdiam tidak bergerak. Ratna Chempaka yakin lelaki itu juga tergamam seperti juga dirinya. Tidak mungkin lelaki bermotorsikal boleh menumpaskan dua orang lelaki berkereta.

Ratna Chempaka kena menyelamatkan dirinya, dia tarik nafas panjang.

Bismillahir rahmaanir rahiim!!!

Ratna Chempaka lari sekuat hati arah ke belakang kereta. Tidak mungkin dua orang lelaki jahat itu boleh melawan arus untuk mengejarnya menggunakan kereta, itu fikiran awalnya.

Lari Chem! Lari laju-laju!.

@@@@@@@

Ketika berpaling mahu masuk kembali ke dalam kereta, dari arah hadapan dia nampak satu sosok tubuh sedang berlari laju ke arahnya.

Eh!
Gangguan makhluk haluskah?.
Bagaimana di tengah hari rembang ini di laluan lebuh raya yang lengang kiri dan kanan, kereta pula laju-laju di atas lebuh raya boleh ada serupa Ratna Chempaka berlari laju dan... masuk terus ke dalam dakapannya!?.

"Argh... Argh... Abang Ali! Abang Ali! Allah, tolong saya! Ada orang jahat kejar! Argh! Argh! Huhuhu..."

Bagai Deja Vu. Sungguh bagai Deja Vu.

Bersungguh-sungguh gadis yang sudah melekap memeluk erat tubuhnya menangis mengongoi-ngongoi dalam dakapannya. Bunyinya sungguh sayu dan kasihan.

"Ratna Chempaka! Mengucap! Mengucap! Ashhadu an la ilaha illallah wa ashhadu anna Muhammadarrasulullah. Ashhadu an la ilaha illallah wa ashhadu anna Muhammadarrasulullah".

Ali Firdaus memandu Ratna Chempaka mengucap kalimah shahadah. Dia regangkan pelukan Ratna Chempaka ke tubuhnya kemudian melekapkan ke dua tapak tangan ke pipi gadis yang sedang tergigil kuat itu.

"Ashhadu an la ilaha illallah wa ashhadu anna Muhammadarrasulullah. Tengok arah sana. Tak ada sesiapa kejar."

Ratna Chempaka ikut menoleh tapi takut-takut. Nampak langsung bukan lakonan. Seketika kemudian gadis itu sudah mampu bertenang. Wajahnya pucat dan basah dengan air mata. Apabila kurang gigil gadis itu Ali Firdaus lepaskan tekapan tangannya ke wajah Ratna Chempaka. Ratna Chempaka segera memeluk kembali tubuhnya. Ali Firdaus biarkan jika itu boleh menenangkan gadis itu.

Agak lama begitu barulah pelukan itu regang. Ali Firdaus pimpin Ratna Chempaka ke sebelah pintu penumpang, membuka pintu mengambil sebotol air mineral. Sebelum menghulurkan kepada Ratna Chempaka, Ali Firdaus baca dahulu selawat. Gadis itu meneguk perlahan. Air mata masih mengalir membasahi pipi licin itu.

"Okay, apa ceritanya?".

@@@@@@@

Kereta dipandu perlahan dan berhenti di bahu jalan di belakang kereta Ratna Chempaka. Di hadapan kereta Ratna Chempaka ada sebuah motorsikal dan sebuah kereta peronda polis.

"Ha! ni encik budaknya!. Saya tak buat cerita!".

Jerit lelaki bermotorsikal kepada anggota polis yang sedang memeriksa di dalam kereta Datin Soraya apabila dia turun dari kereta Ali Firdaus.

"Awak tuan kereta?".

Ketika anggota polis bertanya kepadanya Ali Firdaus sudah ikut turun dan berdiri di sebelahnya.

"Ya, saya bawak kereta ni. Tapi ni kereta boss saya."

"Betul ke cerita dia ni tadi ada orang nak culik awak?".

"Ya. Terima kasih encik tolong saya tadi."

Sambil menjawab soalan anggota polis Ratna Chempaka menoleh kepada lelaki bermotorsikal mengucapkan terima kasih atas usaha lelaki itu menolongnya tadi.

"Ini siapa?".

Soal anggota polis kepada Ratna Chempaka.

"Saya, kawan dia."

Ali Firdaus menjawab sendiri, tidak menunggu Ratna Chempaka memperkenalkan.

"Eh! cepatnya awak dapat tolong kawan awak?."

Anggota polis yang kedua menyoal Ali Firdaus. Bunyi pertanyaannya berbaur wasangka.

"Pagi tadi kami sama-sama dari satu majlis. Dia jalan dulu sebab saya ada urusan. Tak sangka asbab saya terlanggar monyet dekat belakang sana, berhenti tepi jalan boleh jumpa dia ni berlari tadi."

Anggota polis yang pertama menunjukkan kepada anggota polis yang kedua lampu kereta hadapan yang pecah dan masih ada kesan darah. Kemudian keduanya terangguk-angguk.

"Okay, jomlah semua ke balai. Kita buat report."

"Jom encik. Dia orang berdua tu dah kejar budak ni tadi sikit tapi patah balik semula naik kereta, lepas tu lesap."

Mendengarkan itu Ratna Chempaka genggam erat jari-jemari Ali Firdaus. Mujur berat badan lelaki berdua tak memungkinkan mereka boleh berlari laju. Bayangkan kalau dia tak lari macam orang gila tadi entah dekat mana dia sekarang.

Kain bnyk. Malasnye nk lipat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience