Diam tak diam sudah lebih setengah tahun Ratna Chempaka di sini. Tahun juga sudah berganti baru. Sudah mengharungi pengalaman pertama kali Ramadan dan Syawal berseorangan di tempat orang.
Sedih sudah, gembira juga ada. Perasaan biasa-biasa juga dia merasa.
Setakat ini semuanya ermm... okay.
Hidup bertemankan kesibukan kerja, kawan-kawan dan Fakarudin.
Ya, Fakarudin dan Ratna Chempaka.
Manalah dia sangka. Teman sekolah rendah hingga menengah rendah sudah naik taraf sebagai teman lelaki. Cuma... Fakarudin berubah agak mengongkong sejak hubungan mereka dinaik taraf.
Teman rumah sewa dan teman kerja semua sudah tahu hubungan mereka. Lelaki dilarang Fakarudin mendekati Ratna Chempaka.
Ada masa dia rasa disayangi dan dilindungi, selebihnya hanya rasa tidak selesa. Tidak mahu berdepan lagi dengan orang yang obsesif pada dirinya seperti Umar dan Uthman. Cukuplah cerita ngeri dahulu.
@@@@@@@
"Dit! melebihlah!".
"Apa!? Apa!? Salah ke aku cakap?".
"Benda tak ada apa. Janganlah nak panjang. Pelik-pelik aje Dit sejak kebelakangan ni."
Ratna Chempaka turunkan nada suaranya apabila suara Fakarudin naik tinggi ketika dia cuba membela diri. Tidak mahu menyiram minyak ke dalam hangat api cemburu Fakarudin yang mula menyala.
Apabila Fakarudin sudah ber'aku' 'kau', tidak mengguna nama seperti janji ketika hubungan sudah dinaik taraf bermakna lelaki itu sedang di dalam mood posesif yang obsesif!.
"Kau yang cakap tak ada apa. Kau ingat dia fikir yang sama!?. Kau sengaja kan!. Mentang-mentang semua orang puji kau cantik lawa!. Lepas ni jangan makan dekat sini lagi!".
Ratna Chempaka terpatung berdiri tegak. Merenung sesal kepada Fakarudin. Bolehkah dia mahu semula?, mahu kepada masa dia menimbang tara menerima atau tidak lelaki ini sebagai teman istimewa.
"Kau tunggu apa lagi kat situ. Tunggu dia datang ngurat kau lagi?."
Pedas dan tajam menikam hingga ke hati.
Sungguh dia tidak sangka Fakarudin yang ceria, kelakar dan bersahaja berubah menjadi watak Umar dan Uthman.
Ini bukan yang dia harapkan apabila bersetuju menerima Fakarudin sebagai teman lelaki. Ada apa pada dirinya sehingga lelaki ini juga menjadi terlalu obsesif.
Tidak mahu memanjang sengketa Ratna Chempaka bergerak mendahului Fakarudin yang kemudiannya mengekor di belakang.
Meninggalkan makan malam mereka yang sudah terhidang hanya kerana dia mendapat segelas air percuma yang entah dari siapa.
@@@@@@@
Baizura menyeluk ke dalam plastik keropok kentang di tangan Ratna Chempaka. Mencekut keluar sejumlah keropok di hujung jari-jemari.
Mujur dia koyak kecil sahaja beg keropok kentang.
"Monyok aje... gaduh dengan boyfriend?".
Baizura menyoal sambil menghempas punggung ke atas sofa di sebelah Ratna Chempaka.
Dia menonton cerita lucu di siaran televisyen ini untuk melupakan cerita Fakarudin tapi datang pula teman serumah ini mengingatkan.
Dahulu ketika Baizura bertanya, dia ada terfikir mahu berahsia hubungannya dengan Fakarudin tapi bimbang menjadi ceritanya dahulu dengan Zaidah, punca dia war-warkan pada semua. Dia belajar dari pengalaman.
Walau Fakarudin itu teman sekampung, teman sepermainan sedari kecil tapi lama dia terpisah dengan lelaki itu kerana jarak dan tanggungjawab menjadi orang dewasa tidak mustahil ada cerita yang dia tidak tahu tentang Fakarudin.
Supaya jika ada yang menuntut maka dia lepaskan dan menarik diri. Seperti dia lepaskan Amizan untuk Zaidah.
Fakarudin juga apabila dia sudah setuju terus sahaja dicanang pada semua. Alasannya tidak mahu ada sesiapa cuba merampas Ratna Chempaka.
Biarlah orang tahu...
Hmm... lebih-lebih lagi sekarang ini. Dia berharap sangat ada yang merebut lelaki itu atau tiba-tiba dia diberitahu Fakarudin itu curang kepadanya.
Jujur dia katakan dia lelah dan ralat dengan sikap Fakarudin yang sudah menyamai Umar dan Uthman. Dia mahu hidup aman seperti ketika berada di Labis, ketika Umar dan Uthman bekerja di bandar Segamat.
"Taklah gaduh... ntahlah."
"Din tu handsome apa."
"Sebelum aku datang kenapa kau tak ngurat dia?".
"Dia tak layan aku."
"Ya ke?".
"Hmm. Tapi..."
Ratna Chempaka menoleh kepada Baizura di sebelah yang sudah duduk melorot badan di sofa seperti dia. Teman serumah yang lain ada yang masih belum pulang bekerja dan ada yang sudah masuk tidur.
"Tapi apa?".
"Dulu dia dah ada girlfriend."
"Iya?".
Sungguh dia terkejut tapi masih mampu bersahaja menyoal Baizura.
"Hmm. Budak sama kerja dekat kilang aku."
"Kenapa dia orang putus?".
"Budak tu dapat kerja gomen dekat Putrajaya."
Mungkin kerana ini Fakarudin berahsia dengannya. Cerita cinta yang tidak kesampaian kerana sudah berbeza darjat.
Atau... mungkin juga Fakarudin bersikap cemburu yang sama seperti apa yang berlaku kepada dia maka si gadis melarikan diri.
@@@@@@@
"Siapa ramai-ramai tu Miss Jane?".
"Oh, dia orang tu?".
Ratna Chempaka mengangguk. Menoleh kembali ke dalam bilik jabatan pentadbiran yang berdinding kaca. Ada dua lelaki melayu dan seorang perempuan cina yang bukan kaki tangan syarikat di dalamnya.
"Auditor!".
Miss Jane berbisik yang kuat. Hingga terasa hembusan angin ke cuping telinga Ratna Chempaka. Dia menggosak perlahan. Geli...
"Habislah I seminggu ni tak boleh tidur."
Miss Jane mengeluh berat.
"Susah sangat ke kalau auditor datang?".
Soal Ratna Chempaka polos. Dia tidak pernah bekerja di bahagian pentadbiran. Tahap pendidikan Ratna Chempaka hanya layak untuk kerja-kerja operasi.
"Iyaloh, semua dia korek. Dia orang memang di'train' untuk cari salah meh."
"Adoi! Susahlah macam tu."
Jawapan Miss Jane menunjukkan bertapa tertekannya jabatan pentadbiran sekarang ini. Ratna Chempaka tumpang simpati.
"Iyaloh. You bawa apa tu?".
"Oh!, Saya hantar report kitchen. Yang ni pulak... karipap, Chef Khai belanja. Saya letak pantri ye."
"Oh, okay. Thanks Chem. Say my thanks to Chef."
Report dari bahagian dapur Miss Jane ambil dan Ratna Chempaka bergerak ke pantri. Bimbang karipap dikenduri cicak dia mencari bekas tipuware di dalam kabinet.
Jenuh mencari, dia nampak satu di kabinet paling atas. Ratna Chempaka menarik sebuah bangku untuk digunakan mencapai mangkuk tipuware itu.
"Hi!... Why? What are you doing?".
Baru mahu naik sebelah kaki dia disapa seseorang dari belakang. Reflek tersentak, hampir sahaja dia terjatuh kerana tertolak bangku. Mujur sempat berpaut pada bucu meja kabinet. Jantungnya berdegup laju.
Seorang lelaki asing berpakaian pejabat yang kemas di muka pintu pantri. Tag nama yang tergantung menunjukkan lelaki ini auditor yang dicerita Miss Jane. Muhammad Zain nama di tag yang tergantung.
"Sorry, sorry, saya terperanjatkan awak. Are you okay?".
Mujur dia sudah stabil berdiri. Muhammad Zain sudah mara mendekati untuk menolong. Wajah lelaki itu juga nampak terperanjat.
"Tak pe, tak pe."
Ratna Chempaka membentengkan dirinya dengan sebelah tapak tangan yang tegak kembang. Isyarat kepada Muhammad Zain supaya jangan mampir lebih dekat dengannya.
"Maaf... saya terperanjatkan awak. Awak nak ambil ni ke?".
Sambil meminta maaf Muhammad Zain tiba-tiba sudah kembali meluru mendekat. Kemudian dengan hanya sedikit menjengket sudah dapat mencapai mangkuk tipuware di dalam kabinet atas yang sudah terdedah pintunya.
Aksi tiba-tiba dan pantas begitu menyebabkan Ratna Chempaka terpatung keras seketika. Lambat menyambut mangkuk tipuware yang dihulur Muhammad Zain.
"Terima kasih."
"Sama-sama."
Canggung. Suasana di dalam pantri berubah canggung dan sepi.
"Nama saya Muhammad Zain. Saya auditor."
Tiba-tiba suasana sepi terpecah dengan suara Muhammad Zain.
"Oh!, Ermm... saya Ratna Chempaka. Saya bahagian kitchen. Sepatutnya panggil bahagian operation tapi kita orang panggil bahagian kitchen."
Kenapalah dia menjawab dengan ayat sepanjang itu. Ratna Chempaka tidak tahu. Apa yang dia tahu dia gugup besar kerana masih malu hampir jatuh terponggeng sebentar tadi di hadapan lelaki tinggi kemas ini.
"Melayu?. Jenuh saya fikir dari tadi awak ni orang apa."
Ratna Chempaka sekadar mengangguk dan tersengih canggung. Melayu pun bolehlah. Memang dia dari rumpun melayu. Penjajah yang memisahkan kawasan geo politik nenek moyang...
"Karipap ke tu?"
Soal Muhammad Zain tiba-tiba sekali lagi selepas terdiam beberapa ketika.
"Ya, Ya... Jemputlah makan. Chef belanja ni."
"Alhamdulillah. Saya tak sempat sarapan pagi tadi."
Muhammad Zain maju lagi mendekati dia. Segera dia menolak mangkuk tipuware yang sudah berisi karipap menjauh supaya berjarak.
"Ada air tak Ratna?. Saya malam tadi tak makan. Pagi ni tak sempat sarapan. Hari ni bad day sayalah."
"Dekat sini air kena buat sendiri. Dalam laci tu ada peket kopi, milo dan gula. Susu dalam fridge."
Ratna Chempaka tunjuk dengan ibu jari laci yang dia maksudkan. Terletak di antara dia dan Muhammad Zain.
"Encik nak saya tolong buatkan?".
Sesal, tapi reflek tiba-tiba. Bercakap dahulu baru berfikir.
"Ermm... boleh juga. Terima kasih Ratna."
Muhammad Zain angkat mangkuk tipuware lalu dibawa ke meja makan empat tempat duduk. Duduk, mengambil sebiji karipap lalu disuap ke mulut.
Cepat-cepat Ratna Chempaka menarik laci mengeluarkan sepeket kopi segera kemudian dibancuh dengan secawan air panas.
"Nak tambah susu ke encik?"
Soal Ratna Chempaka mahu tahu tapi serba-salah.
"Boleh juga. Sikit je."
Ratna Chempaka lajukan kerjanya berhati-hati. Mahu segera keluar dari ruang pantri.
"Ni kopi. Saya pergi dulu ya. Ada kerja dekat kitchen."
"Okay, okay. Terima kasih Ratna. Jasa awak saya kenang."
Muhammad Zain tersenyum manis menarik cawan kopi mendekat. Segera Ratna Chempaka tinggalkan ruang pantri. Serasa lama benar dia berdua-duaan dengan Muhammad Zain di dalamnya.
Kalaulah Fakarudin tahu...
Mampus!!!.
@@@@@@@
Mana jugalah Fakarudin?.
Hampir sepuluh minit dia menunggu di hadapan kawasan pintu masuk bangunan syarikat. Cuci tandaskah?. Mahu pulang sendiri bimbang bergaduh besar.
Hari ini dia bekerja syif pagi bersama Fakarudin. Setiap hari juga begitu, syif kerjanya sentiasa sama dengan Fakarudin kerana lelaki itu boleh dikatakan senior dan suaranya laku jika meminta apa-apa.
"Tunggu saya ke?".
"Hah!?".
Ratna Chempaka terpatung. Muhammad Zain yang berkumis tersenyum manis sama seperti ketika menerima secawan kopi darinya pagi tadi.
"Saya bergurau Ratna. Tak payahlah nak buat muka seram macam tu. Kecik hati saya."
Ceria suara Muhammad Zain petang ini walau sedang berlakon kononnya sedang berkecil hati dengan raut wajah Ratna Chempaka yang serta-merta tegang dan panik dengan kemunculan tiba-tiba lelaki itu.
Ya, dia sedang panik sekarang. Bila-bila masa sahaja Fakarudin akan muncul di sini. Di tempat biasa mereka berjanji.
Dia bimbangkan tindakan Fakarudin jika nampak adegan sekarang ini. Ratna Chempaka mati kata dan mati akal sekarang.
"Saya tunggu k... tunang saya."
Biar status rekaan itu memahamkan Muhammad Zain jika berlaku sesuatu tindakan tiba-tiba dari Fakarudin.
"Oh! Sorry Ratna."
Raut wajah Muhammad Zain ikut berubah seperti suaranya ketika ini. Hilang keceriaan sebentar tadi.
"Siapa ni!?".
Muncul Fakarudin dari balik dinding di belakang Muhammad Zain. Ratna Chempaka yang nampak dahulu sosok tubuh itu sudah berkompang degup jantungnya dengan suara yang berbunyi posesif itu.
"Ni... Encik Muhammad Zain. Auditor! Sekarang ofis tengah minggu audit."
Bergerak-gerak rahang Fakarudin. Semakin mengecutkan urat perut Ratna Chempaka kebimbangan. Tolong Ya Allah. Sabarkanlah anak Cik Esah ini.
Muhammad Zain yang mengesan bunyi posesif dan obsesif dalam suara Fakarudin segera memahami tahap kepanasan situasi ketika itu.
Lelaki itu menghulur tangan kepada Fakarudin. Agak lama baru bersambut dengan wajah tegang dan renungan penuh difensif.
Sebuah kereta berhenti di hadapan mereka. Di dalamnya ada auditor perempuan dan lelaki yang pagi tadi bersama Muhammad Zain di dalam pejabat pentadbiran.
Tanpa menoleh lagi kepada mereka, Muhammad Zain segera masuk ke dalam kenderaan tersebut dan meluncur pergi.
Sekarang tinggal Ratna Chempaka berdua di situ bersama Fakarudin.
Pura-pura menyeluk ke dalam perut beg sandangnya mencari sesuatu. Tidak mahu memulakan apa-apa perbualan yang hanya akan menuju kepada pertengkaran.
"Aku pergi sekejap aje Chem!".
Suara itu tidak berbunyi kuat namun nada mengeram yang keras itu keluar dari celah gigi yang hampir terkacip menahan marah.
"Dit... Chem penat, lapar. Boleh tak kita balik sekarang?".
Selepas mengeluh yang hanya berani di dalam hati Ratna Chempaka bersuara perlahan dalam nada merayu.
Sungguh dia penat dengan sikap Fakarudin sekarang. Sungguh!... dia rindukan Fakarudin yang dahulu. Fakarudin yang lucu dan menceriakan hidupnya.
Fakarudin dahulu yang buat dia bersetuju menarik taraf hubungan mereka. Fakarudin yang ikhlas menolongnya sebagai sahabat.
Fakarudin yang satu-satunya dia ada selepas terpaksa berpisah dengan kakak-kakaknya dan Zaidah.
"Kau cakap apa tadi?. Auditor tu seminggu kat sini?".
Ratna Chempaka tidak menjawab sekadar merenung ralat wajah tegang Fakarudin. Menanti ayat seterusnya yang pastinya berbaur ugutan.
"Aku nampak kau naik ofis... Siap kau!".
"Dah jalan!".
Dia sudah tidak nampak teman sepermainan yang selalu melindungi dia sedari kecil dalam diri Fakarudin sekarang.
Hanya nampak sikap Umar dan Uthman. Matanya terbayang saat Umar dan Uthman bertikam kerana berebutkan dirinya.
Dia harus hentikan semua ini sebelum dia atau Fakarudin ditimpa takdir malang!.
sorry kesygn sume. kelmarin dan semalam blik kg lps tu pg kluang. jauh jln. sorry tau. blik gaduh dgn keje rmh plk. tqvm sume sudi singgah
Share this novel