"Terima kasih awak sudi keluar dengan saya."
Masuk sahaja ke dalam kereta Sumayyah bersuara sambil memakai tali pinggang keselamatan. Ali Firdaus sudah memulakan pemanduan.
"Awak pilihlah nak ke mana".
Ali Firdaus memberi Sumayyah membuat keputusan arah destinasi berhenti mereka.
"Tak apa saya tak kisah, ikut awak aje."
Kasihannya wajah pucat Sumayyah, sudah cengkung juga. Nampak tubuh kurus itu semakin kecil dalam persalinan yang nampak geloboh. Ali Firdaus rasa bersalah tapi jika bukan begini, mereka berdua tidak akan bahagia selamanya.
"Awak macam mana sekarang? Okay?".
Soalan bodoh tapi otaknya beku untuk cuba mencari topik perbualan. Lagipun pertemuan ini untuk membincangkan kemelut hubungan mereka dan amok keluarga Sumayyah juga.
Dalam keadaan tertunduk Sumayyah menggeleng. Boleh nampak titisan air mata Sumayyah jatuh ke atas pahanya yang berjubah ungu.
"Dia orang dah cari lawyer. Rumah yang saya duduk tu dia orang nak awak serahkan pada saya. Ada beberapa lagi tuntutan termasuk saham syarikat awak... kalau awak tetap tak nak rujuk saya."
Ali Firdaus tidak terperanjat. Dia sudah menerima surat tuntutan itu dari peguam yang dilantik keluarga Sumayyah.
"Saya tau, saya dah dapat surat lawyer tu."
"Boleh tak... kita rujuk saja Ali. Saya tak akan minta apa-apa dari awak. Saya rela awak layan saya macam masa kita serumah dulu. Saya akan sign surat untuk awak nikah lain. Saya rela bermadu. Asalkan saya tetap dengan awak. Saya tak sanggup hidup dengan keluarga saya. Tiga tahun serumah dengan awak yang saya rasa paling aman sepanjang saya hidup."
Tak mungkin.
Nanti Mawar Baidurinya terseksa pula. Sekarang-kurangnya Sumayyah merasa hidup senang walau tidak gembira sepanjang membesar. Entah bagaimana takdir hidupnya boleh berkait dengan dua orang perempuan dari susur induk yang sama.
"Saya sedang usahakan untuk saya gembira dan awak pun gembira sama."
Sumayyah menoleh dengan wajah basah air mata. Wajah pucat, sakit perasaan dan tertekan. Kasihannya Sumayyah.
"Maksud awak?. Rujuk ke?. Kita ada tak sampai sebulan lagi masa iddah."
"Bukan..."
Ali Firdaus menoleh sekilas. Dia harus menjaga pemandangan pemanduannya di atas lebuh raya yang agak sesak di petang hari. Tapi dia nampak jelas wajah sangat ingin tahu Sumayyah.
"Awak... Awak kena percaya saya Sumayyah. Saya minta tolong sangat awak percaya cakap saya dan perancangan saya."
Walau cakapnya sedikit gagap tapi dia yakin diri dengan apa yang mahu dia lakukan cuma dia bimbangkan Sumayyah yang hidupnya sentiasa bagai lalang. Sentiasa mudah mudarat diasak angin yang bertiup, api membakar dan hujan yang menimpa juga.
"Macam mana?."
Perlahan sahaja suara Sumayyah. Bagai berbisik dan hampir tidak kedengaran. Masih menoleh kepadanya yang fokus memandu.
"Pertama, awak janji jangan cerita dengan sesiapa apa saya cakap ni."
Tiada jawapan dari Sumayyah. Memandang wajahnya kemudian memandang lurus ke hadapan kemudian ke wajahnya semula.
"Awak... bukan bercadang nak lenyapkan saya kan Ali. Walaupun hidup saya tak pernah gembira tapi saya belum nak tinggalkan dunia ni. Jangan sebab saya... awak buat keputusan yang merosakkan masa depan awak Ali."
Astaghfirullah hal Azim!.
"Astaghfirullah! Apa sampai ke situ? Jauh sangat pemikiran awak tu."
Ali Firdaus tidak dapat menahan diri dari ketawa walau awalnya dia cukup terperanjat dengan kata-kata Sumayyah.
"Manalah tau. Saya dah banyak susahkan awak. Dah ambil banyak masa dan hidup awak untuk saya kekal bernyawa dan sedikit gembira."
"Jangan cakap macam tu. Saya juga nak ucapkan terima kasih untuk tiga tahun ni. Terima kasih buat saya sibuk hadap keluarga awak, dapat saya lupakan masalah saya buat sementara."
Dia ketawa kecil. Tidak sabar menjadi dirinya semula yang mudah terhibur seperti dahulu tapi tawanya terhenti bila melihat Sumayyah tarik nafas panjang dan mengeluh kecil. Setitis lagi air mata jatuh mengalir ke pipi.
"Teruk sangat kan keluarga saya."
Bisik Sumayyah lagi, perlahan.
"Tak ada siapa yang sempurna."
Ali Firdaus juga menjawab perlahan. Ingatan untuk dirinya juga kerana dia pernah cukup marah pada Mommy kerana tidak menerima Mawar Baiduri.
Pertemuan pertama kali yang pada Ali Firdaus akan santai-santai sahaja sebelum ke peringkat akan membincangkan hari bahagianya dengan Mawar Baiduri.
Manalah dia tahu...
Dia bukan sahaja kehilangan Mawar Baiduri tapi juga menjadi anak durhaka mendendami Mommy. Meninggalkan rumah dan mula hidup sendiri.
Rupanya ada cerita lain antara Mommy dan mama Mawar. Kenapa tiada seorang pun yang tahu punca cerita datang kepadanya dan terangkan dengan sejelasnya.
Mawarnya lari bersama rahsia ibunya yang sebenarnya tidak mahu mereka bersama. Mommy pula tetap mendiamkan diri dari memanggil dia duduk berterus-terang cerita dahulu tapi memilih tetap merahsiakan kerana trauma pernah hidup dengan Mejar (B) Jailani.
"Apa rancangan awak Ali? Awak nak cerita sekarang?".
Ali menoleh ke sisi. Dia hilang dalam ralat cerita dahulu. Tidak sabar rasanya mahu selesaikan semua ini. Mahu memohon ampun dengan Mommy dan mendapatkan kembali Mawar Baiduri. Dia yakin rancangannya akan membolehkan dia mendapat kesemuanya.
"Awak ingat tak saya pernah ajak awak ke Australia untuk healing dulu?. Lepas saya balik dari Thailand yang saya minta macam-macam dokumen dari awak, pergi Imigresen semua tu?".
"Ya, saya ingat."
"Okay, cukup bulan ni kita pergi Umrah."
@@@@@@@
"Girlfriend ke Zain?".
Muhammad Zain tidak menjawab. Sekadar tersenyum dan mengangkat kening sekali. Ratna Chempaka sudah merah muka kerana malu dan serba-salah.
"Saya Ratna. Kawan Zain."
Ratna Chempaka terangkan apabila tiada tanda-tanda lelaki segak di sebelahnya mahu berterus-terang.
"Sekarang kawan, mana tau tak lama lagi dah tak kawan..."
Mereka di situ semuanya ketawa dengan gurauan salah seorang dari mereka. Ratna Chempaka terpaksa pamer senyum.
Tidak mahu menjadi orang yang membunuh suasana gembira, mereka yang ramai itu berkumpul untuk perjumpaan semula teman-teman seuniversiti. Dia di situ sekadar menjadi pendamping Muhammad Zain.
Ramai yang datang. Dewan yang mereka sewa nampak penuh seperti ada kenduri kecil. Kebanyakkan dari mereka datang bersama pasangan dan ada yang membawa anak kecil juga.
"Cepatlah Zain. Lawa sangat ni nanti kena kebas orang."
Ratna Chempaka terdengar pula seorang yang lain bercakap perlahan kepada Muhammad Zain.
"Umur dah 30. Buanglah perangai memilih sangat tu. Kahwin siapa pun rumah tangga akan banyak cabaran."
Sahut seorang yang lain. Muhammad Zain ada menjawab juga tapi tidak terdengar ke telinga Ratna Chempaka kerana suasana yang riuh dan dia berada agak jauh.
Melihat rakan-rakan lelaki sudah ramai mengelilingi Muhammad Zain maka dia mula menjarakkan diri. Mengambil sepiring manisan dan berdiri di satu sudut memerhatikan orang sekeliling.
"Wife siapa ya?".
Satu suara mengejutkan Ratna Chempaka yang jauh sangat dalam fikiran sendiri memerhatikan persekitaran yang meriah.
"Bukan wife siapa-siapa. Saya cuma teman kawan."
Ratna Chempaka ketawa kecil ketika menjawab. Perempuan yang menegur menghulurkan tangan untuk bersalam. Mereka berjabat seketika dan kemudian berbual kosong.
"Hah! Kau mengata aku kat dia ye?".
Perbualan mereka terhenti kerana disergah tiba-tiba. Muhammad Zain yang berdiri dengan tangan di dalam kocek seluar tersengih.
"Tak kuasa... Ni partner kau ke?".
Kak Wawa, lawan berbual Ratna Chempaka menyoal Muhammad Zain. Lelaki itu menjawab hanya dengan mengangguk dan masih tersenyum.
"Tak nak kalah. Cari yang stock Dewi Remaja."
"Bila kita tak berapa nak blah kenalah cari yang cantik nanti anak cantik ikut mak nya."
Amboi ayat lelaki ini. Ratna Chempaka sudah merah muka kerana malu. Kak Wawa ketawa sahaja mendengar jawapan Muhammad Zain.
"Bila nak langsung?."
Soal Kak Wawa lagi.
"Eh! Tak lah kak. Zain gurau je tu. Kami kawan je."
Cepat-cepat Ratna Chempaka menjawab soalan Kak Wawa bimbang jika Muhammad Zain yang menjawab satu hari nanti Muhammad Zain sendiri yang malu dan kecewa.
Dia isteri orang dan entah bagaimana untuk dia leraikan ikatan tidak logik perkahwinannya.
"Tak apa, sekarang kawan..."
"Hey!... My man."
Seorang lelaki tinggi dan tegap tiba-tiba memeluk tubuh Muhammad Zain. Mereka berpeluk seketika kemudian berjabat tangan sambil ketawa. Nampak sangat gembira dengan pertemuan itu yang pastinya sudah lama tidak berjumpa.
"Mana partner kau?. Tadi Apek cakap kau bawak awek cun."
Soal lelaki itu yang Ratna Chempaka tidak nampak wajahnya. Tadi lelaki ini datang dari arah belakangnya dan terus meluru memeluk Muhammad Zain sehingga dia dan Kak Wawa terundur sedikit menjauh.
"Belakang kau."
Tak sabar Ratna Chempaka mahu melihat wajah lelaki itu yang dari ketinggian, potongan badan, potongan rambut, sisi rahang dan warna kulit pastinya seorang yang kacak. Lelaki itu menoleh dan...
La Hawla Wala Quwwata Illa Billah.
@@@@@@@
"Bisnes kau dasyat kan. Aku dengar company kau salah satu syarikat bumiputera terbaik sejak beberapa tahun ni."
Muhammad Zain riuh bercerita dari satu topik ke satu topik tapi Ali Firdaus gagal fokus sepenuhnya kepada perbualan mereka. Mujur Mawar Baiduri ada sama yang juga rancak berbual dengan Muhammad Zain.
Hanya sesekali dia menjawab dan bercerita ketika ditanya atau masuk topik baru.
Fokus Ali Firdaus lebih kepada gadis di sebelah Mawar Baiduri. Isterinya Ratna Chempaka yang tidak dinafikan memang sangat cantik lawa.
Rasanya sekarang ini Ratna Chempaka lebih cantik dari lebih setahun yang lepas. Rambut panjang lurus itu cantik diikat atas sedikit dan selebihnya berombak dibiar lepas beralun.
Kulitnya bertambah mulus. Berdandan nipis tapi sangat menyerlahkan sepasang kening dan mata yang cantik. Hidungnya comel tinggi dengan seulas bibir yang merah mugil, dulunya setahun lebih yang lepas pucat dan kerap tergigil ketika bercakap.
Apa kerja budak ini sekarang?. Untuk tubuh terjaga dan pakaian seperti sekarang pasti memerlukan modal. Adakah dia berbohong mengatakan dia sebatang kara tiada ibu bapa dan sanak-saudara?.
Tidak mungkin...
Dia sendiri yang melihat sijil kematian ibu dan bapa gadis cantik ini. Mungkin budak ini mewarisi sejumlah wang ringgit dan harta dari kedua ibu bapanya...
"Kau tengok Wa, boyfriend kau tengok awek aku tak berkelip. Agak-agaklah woi!".
Bahunya dilepuk Muhammad Zain dari tepi. Ketika dia memandang, ketiga mereka sedang merenungnya.
"Aku macam pernah nampak dia ni tapi lupa kat mana. Puas aku nak ingat."
Terpaksa reka ayat membela diri.
"Ye ke?. Bukan perempuan yang ada kat mata kau Wawa je?. Jangan baru hari ni kau nak nampak ada perempuan lain lagi cantik dari Wawa."
Muhammad Zain tidak akan berburuk sangka padanya kerana tahu cerita merananya dia ketika Mawar Baiduri melarikan diri.
"Awak nak tau tak Ratna... Ali dengan Wawa couple dari zaman sekolah tau. Orang suh belajar dia ngurat junior. Kalau dengan Ali saya tak risau tayang awak. Dia pencinta sejati."
@@@@@@@
"Company kau bisnes apa Li? Beras, import dan pengedar daging halal, lagi?...".
"Ayam daging dan telur."
Soalan Muhammad Zain Ali Firdaus jawab kemudian menyedut air minuman di dalam gelas. Mata lelaki itu sesekali melirik ke arah Ratna Chempaka yang duduk bertentangan, dia di sebelah Kak Wawa.
'Aku dapat baka baik"...."Ya, ya kita jual yang baka baru ni. Nanti esok aku tunjuk... Okay bye.'
Serta-merta ingatan Ratna Chempaka pergi ke lorong menuju ke tandas hentian rehat dan rawat di Kedah lebih setahun yang lalu. Ayat yang kerap terngiang-ngiang difikirannya setiap kali teringat Ali Firdaus.
Adakah ini sebenarnya maksud disebalik ayat yang dia dengar. Sia-siakah dia melarikan diri dari Ali Firdaus selama ini?. Jika dia ikut sahaja rancangan Ali Firdaus pasti ikatan mereka sudah terlerai.
"Aku tumpang banggalah Li."
Muhammad Zain menepuk-nepuk bahu Ali Firdaus di sebelahnya. Mereka bertiga sekawan ketawa kecil kemudian menyambung cerita. Ratna Chempaka sekadar tersenyum.
Semakin banyak cerita dahulu keluar dan semakin panjang ceritanya. Lepas satu, satu lagi topik dibuka. Sekejap ketawa, sekejap tersenyum ada ketika serius dan bersedih juga mengikut topik yang dibuka.
Ratna Chempaka tidak dengar semua. Dia semakin jauh dalam fikirannya sendiri sejak bertemu Ali Firdaus. Macam-macam cerita dia teringat kembali. Perjalanan hijrahnya sejak hampir dua tahun ini.
"Kau tengok Wa, boyfriend kau tengok awek aku tak berkelip. Agak-agaklah woi!".
Bahu Ali Firdaus dilepuk Muhammad Zain dari tepi. Ratna Chempaka ikut memandang.
"Aku macam pernah nampak dia ni tapi lupa kat mana. Puas aku nak ingat."
Lancar sahaja ayat itu Ali Firdaus ucapkan walaupun dia tahu ianya hanya alasan yang direka untuk menutup cerita yang hanya dia dan Ali Firdaus sahaja tahu.
"Ye ke?. Bukan perempuan yang ada kat mata kau Wawa je?. Jangan baru hari ni kau nak nampak ada perempuan lain lagi cantik dari Wawa."
Ali Firdaus ketawa kecil dan sorotan matanya jatuh kepada Kak Wawa.
"Awak nak tau tak Ratna... Ali dengan Wawa couple dari zaman sekolah tau. Orang suh belajar dia ngurat junior. Kalau dengan Ali saya tak risau tayang awak. Dia pencinta sejati."
Kak Wawa tersenyum malu. Merah wajahnya.
Okay, bermakna selepas ini hanya ada urusan cerai antara dia dan Ali Firdaus. Seperti rancangan awal suaminya sebelum dia lari naik lori.
entah apalah Bab hari ni. hmmm
Share this novel
alaaa harap2 ali n ratna berjodoh.
best,tetap semagat berkarya author,harap² ali xceraikan ratna