Bab 6

Drama Series 8960

Subuh baru Ratna Chempaka dan Fakarudin sampai di Pulau Pinang Sentral, Butterworth. Mereka menunaikan solat subuh di situ. Kemudian menaiki grab ke bandar perlabuhan George Town.

Dia mengikut sahaja Fakarudin. Perjalanan jauh ini sepenuhnya Ratna Chempaka bertawakal hanya kepada Allah untuk melindungi dia dari sebarang mara bahaya.

"Dah dapat kerja baru cari bilik sewa. Kot la budak-budak dekat tempat kerja ada satu kosong untuk kau."
"Sementara ni, kau duduk sini dulu, rehat. Esok, aku belum naik kerja tapi kita pergi tempat kerja aku. Kita tanya, kalau ada kosong. Aku malas nak telefon".
"Boss aku tu memilih, biar dia tengok kau sendiri. Aku rasa boleh dapat kot... muka kau kan muka kesian."

Ratna Chempaka pura-pura mahu menyepak kaki Fakarudin. Kemudian dia ketawa sambil menyambut kunci bilik hotel murah di tangan Fakarudin yang juga ikut ketawa.

"Terima kasih Dit."

"Sama-sama. Apa-apa hal call aku. Aku dekat aje, kat rumah flat sana tu."

Fakarudin membalikkan tangan dan jarinya menunjuk ke satu arah di belakang badan.

Dia menghantar Fakarudin keluar dari lobi hotel dengan pandangan kemudian berpaling menuju tangga untuk mencari unit bilik hotelnya.

@@@@@@@

Selesa sudah tubuhnya. Sudah tidur, makan dan mandi. Makan tengah hari dia pesan penghantaran sahaja. Ratna Chempaka menolak ketika Fakarudin menelefon bertanya jika dia mahu keluar untuk makan tengah hari.

Terlalu penat duduk setempat di dalam bas express selama lebih kurang lapan jam. Dia tidak biasa begitu. Tidur duduk langsung tidak lena dan tidak selesa.

Tapi... bila sudah berkurangan penat badan, dirinya yang berseorangan di dalam bilik hotel menjemput sayu ke dalam hati. Satu-satu cerita muncul bagai tayangan di ruang kepala bermula dari kebakaran rumah tinggalan arwah Tok.

Kemudian berpindah-randah dari rumah Kak Ngah ke rumah Kak Long kemudian ke rumah Kak Uda. Akhir sekali ke rumah sewa Zaidah dan hatinya terluka juga di situ.

Teringatkan peristiwa ngeri pertelagahan Umar dan Uthman sampai bertikam dan luka berdarah. Kemarahan Abang Mahadi pada dia di malam itu, juga kesedihan Kak Long melihat anak-anak lelakinya cedera kerana berebutkan dia.

Maka... ini yang terbaik buat masa ini. Berada di sini, di George Town ini.

Dia mahu mencuba melepaskan sementara segala kesayangannya selama ini untuk kebaikan semua orang.

Telefon tangan sedari tadi dipegang. Sedang mengarang ayat paling sesuai buat kakak-kakaknya. Dia tahu mereka akan mencarinya jika dia tidak tinggalkan apa-apa pesan.

'Assalamualaikum akak-akak yang Chem teramat sayang.
Chem mohon ribuan ampun dan maaf pada semua atas segala cerita yang sudah terjadi.
Pada Kak Long, Kak Ngah, Kak Uda dan Kak Chik. Juga pada Abang Mahadi, Abang Shuib, Abang Roslan dan Abang Mamat. Pada Umar dan Uthman juga.
Chem minta ampun juga kerana pergi, seolah tidak bertanggungjawab dan meninggalkan masalah yang belum selesai pada semua orang.
Bukan begitu niat Chem. Chem cuma mahu masa bertenang. Satu satu perkara yang sudah terjadi menarik banyak semangat Chem sampai tidak mampu berdiri.
Chem harap akak-akak yang Chem amat yakin sangat sayangkan Chem dapat bagi Chem ruang dan masa untuk Chem bawa diri.
Mudah-mudahan hilangnya Chem di mata semua orang akan meredakan semua cerita.
Tolong jangan risaukan Chem. InsyaAllah Chem akan baik-baik sahaja di bawah jagaan Allah.
Chem hantar pesanan ini dari satu tempat yang selamat, dalam keadaan Chem selamat dan sihat tubuh badan kecuali perasaan.
InsyaAllah, satu hari nanti apabila perasaan hati Chem sembuh mudah-mudahan sepenuhnya, Chem akan balik.
Jaga diri semua. Doakan yang baik-baik untuk Chem.
Jutaan terima kasih buat akak-akak kesayangan Chem untuk semua kenangan terindah selama ini.
Sampai jumpa lagi. InsyaAllah.
Sayang semua,
Ratna Chempaka'.

Hantar.

Ratna Chempaka menunggu seketika. Kemudian memeriksa pesanannya. Dia yakin sudah diterima masuk ke dalam group wasap adik-beradiknya.

Kemudian dia mengeluarkan pack nombor telefon baru yang dibelinya di terminal bas Segamat semalam lalu menukar sim kad lama kepada sim kad baru dengan nombor yang baru.

Ratna Chempaka berharap kakak-kakaknya dapat memahami dan memaafkan tindakannya ini. Dia bimbang Umar dan Uthman tidak belajar apa-apa dari kejadian ngeri yang baru berlaku.

Bimbang Umar dan Uthman masih mahu bertelagah dan masih mahu memaksa dia memilih.

Dia tidak mahu Abang Mahadi membencinya. Dia tidak mahu Kak Long bersedih dan susah hati lagi. Dia tidak mahu Abang Mahadi mengotakan cakapnya membawa Kak Long pergi jauh jika kakak-kakaknya yang lain masih berhubung dan menolongnya.

Ratna Chempaka tidak rela keluarga yang dia sayang berpecah-belah kerana dia. Dia mahu semua orang bahagia. Mereka adalah kesayangannya di dunia dan akhirat.

Sudahnya dia menangis tersedu-sedan melihat gambar-gambar keluarga di dalam galeri telefon.

Dia seharusnya berterima kasih kepada Zaidah. Hijrah sejauh dan senekad ini malam tadi kerana buah fikiran dan kesedihan sahabat baiknya itu. Dia mahu Zaidah mendapat kebahagiaan yang diimpi.

Ratna Chempaka merenung satu satu gambar bersama Zaidah dari zaman menengah rendah sehingga ke kilang kotak.

Dia dan Zaidah terlalu rapat. Kakak-kakaknya umpama keluarga Zaidah begitu juga keluarga Zaidah sendiri dengan dia.

Hinggakan apabila ibu Zaidah mendapat tiket percuma dalam satu cabutan bertuah untuk dua orang masuk ke Universal Studio Singapore, tiket itu diberikan percuma pula kepada dia untuk pergi berdua bersama Zaidah.

Dia marah sangat dengan Amizan kerana menipu, merahsia dan memperdaya. Lelaki itu menyebabkan dia terpisah dengan sahabat terbaik selama hampir tujuh tahun ini.

Dia tidak mahu Zaidah bersama Amizan kerana tipu daya lelaki itu, tetapi jika itu pilihan lubuk hati Zaidah dia terpaksa bersetuju. Semoga dengan ketiadaannya Amizan akan menyayangi Zaidah ikhlas dan sepenuh hati.

Mudah-mudahan begitu. Mudah-mudahan berbaloi perjalanan hijrahnya sejauh ini.

@@@@@@@

"Tengok ni..."

Miss Jane mendekatkan muka telefonnya kepada Ratna Chempaka dan Fakarudin yang sudah pun berdiri. Menunjukkan aplikasi 'Netfl!x'.

Kedua mereka merapat. Eh!.

"Sejak bila kau berlakon ni Chem!?".

Fakarudin memandang mukanya, kemudian ke muka telefon sekali lagi. Miss Jane menarik semula telefonnya dan letak ke atas meja.

"Masa you masuk tadi terperanjat tau!. Sama kan macam muka you. Nama dia Zhao Lu Si pelakon popular mainland China."
"You cantik sama macam masa dia belum operate. Sekarang hidung dia dah tak cute."

"Tak adalah Miss, dia lagi cantik."

Ratna Chempaka menidakkan. Serba-salah dipuji sebegitu pada kali pertama berjumpa.

Dia datang untuk temuduga kerja. Sudah pun selesai tapi apabila dia sudah berdiri mahu pulang lain pula cerita Miss Jane.

"Esok jangan lupa. Pukul lapan okay. You ikut Fakarudin kerja kitchen."

"Baik Miss Jane. Thank you very much."

"Thanks Miss Jane."

Dia dan Fakarudin bergilir mengucapkan terima kasih lalu keluar dari pejabat kerja Miss Jane.

"Alhamdulillah. Terima kasih Dit. Banyak betul kau tolong aku."

"Tolong Chem...

Ratna Chempaka yang berjalan di hadapan terhenti. Menoleh ke belakang kepada Fakarudin yang juga sudah berdiri tegak dan berwajah serius.

"Tolong apa?".

"Tolong jangan nak buang tebiat. Jangan nak takutkan aku. Tak pernah-pernah kau nak berterima kasih, ni tiba-tiba pulak..."

Ratna Chempaka yang sudah faham maksud cakap Fakarudin yang menyindirnya segera menyepak angin di hadapan lelaki kurus tinggi itu, pura-pura sahaja.

"Bodoh argh kau!".

Fakarudin sudah tergelak suka. Bukan senang mahu lihat Ratna Chempaka berlakon ayu. Hanya apabila ada orang tua atau di dalam kawasan sekolah dan masjid sahaja akan berlaku.

"Aku suka aje, tapi tulah... seram dowhh!".

Fakarudin masih ketawa. Sudahnya dia terpaksa ikut ketawa.

Dia cuma terharu dan bersyukur. Sudah pergi sejauh ini dari lubuk selamat dan selesanya, Alhamdulillah setakat ini semuanya nampak baik-baik sahaja dengan adanya Fakarudin.

"Kau duduk situ dua tiga malam lagi boleh kan?. Nanti kita tanya-tanya orang bilik sewa. Aku dah masuk group tempat kerja ni."

"Boleh."

InsyaAllah boleh. Dia ada sedikit duit di dalam akaun bank untuk perbelanjaan seharian. Duitnya untuk membina rumah impian dia simpan di dalam akaun ASB dan Tabung Haji.

"Jom Dit, aku belanja makan."

Sebagai menggantikan ucapan terima kasih yang Fakarudin takutkan.

"Ha! macam ni baru betul Chem!".

Sekali lagi dia pura-pura mahu menyepak kaki Fakarudin sambil ketawa geli hati.

@@@@@@@

Tiga bulan di sini dia sudah diterima oleh semua orang dengan baik. Maklumlah sikapnya yang ramah dan agak gila-gila memudahkan dia untuk cepat mesra.

Dia suka dan selesa di sini. Hatinya juga sudah tenang-tenang sahaja. Sesekali sahaja dia rindukan kampung halaman dan kakak-kakaknya. Juga rindukan Zaidah.

Kerjanya seronok. Pada awalnya ada sok sek sok sek kerana dia mendapat pekerjaan di bahagian dapur walaupun tiada sijil dalam bidang kulinari. Dia mengaku kerja yang dia dapat kerana pertolongan Fakarudin yang merayu Miss Jane.

Syukur, dia sememangnya agak mahir urusan di dapur kerana arwah mak dahulu bekerja sambilan di perniagaan katering kawannya dan Ratna Chempaka kerap mengikut ibunya menolong bekerja.

Dia boleh dikatakan tiada masalah untuk menyediakan bahan masakan dalam jumlah yang besar dan mengenal rapat semua bahan dan alatan di dapur.

Lagipun mereka bukanlah memasak makanan tetapi lebih kepada penyediaan bahan masakan supaya mudah kerja penyediaan makanan di dalam kapal.

Hebatnya perjalanan hidup susunan Allah. Daripada tekad hidup yang cuma ada satu iaitu membangunkan semula rumah arwah Tok.

Sehingga sanggup berpindah-randah dari rumah kakak-kakaknya semata-mata mahu berjimat sehingga ke rumah Zaidah untuk sewa paling murah.

Terlalu fokus duit ringgitnya hanya untuk membina rumah impian. Mana dia sangka dan tiada langsung dalam fikiran dia akan terdampar di sini.

Mujur dia di sini ada Fakarudin, wajah biasa sedari kecil. Sangat membantu hatinya yang sedih dan terluka segera sembuh. Fakarudin yang membiasakan dia untuk sesuatu yang dia tidak biasa selama tiga bulan ini.

@@@@@@@

"Chem!"

Pintu yang ditolak kuat terhempas ke dinding. Belentum bunyinya, memeranjatkan mereka yang duduk menghadap siaran Netfl!x di hadapan televisyen.

Terpelanting kerepek pisang di dalam bungkusan plastik yang sedang Ratna Chempaka pegang. Berterabur semua isinya ke lantai.

Masuk dan langsung berdiri di hadapannya. Ratna Chempaka cuak dengan tindakan teman serumah ini.

Rumah flat sewa yang sama dengan Fakarudin cuma berbeza tingkat sahaja. Rumah flat tiga bilik dikongsi enam orang supaya sewa menjadi lebih murah.

Berkongsi dengan dua orang rakan sekerja di tempat yang sama dan selebihnya berlainan tempat kerja.

"Kenapa kau ni Zu?".

Ratna Chempaka menyoal. Mahu tahu sebab musabab perempuan ini masuk ke rumah dan begini pula di hadapannya. Dia masih tercengang. Apa jugalah dia sudah buat?.

Oh tidak!.
Di dalam bilik air ada CCTV kah?. Adakah Baizura sudah tahu dia telah menjatuhkan berus gigi perempuan itu ke dalam mangkuk tandas?.

Tapi, dia tidak sengaja. Dia terperanjatkan seekor cicak yang keluar tiba-tiba dari belakang cermin muka di dalam bilik air sehingga terpelanting beberapa barang yang bersangkut di dinding.

"Apa Chem dah buat Zu?".

Sedang dia terkulat-kulat serba-salah seorang rakan serumah yang lain kedengaran bertanya memecah kehangatan suasana ruang tamu rumah sewa mereka.

"Tak ada apa-apa. Saja aku nak bergurau dengan dia."

Baizura terus duduk di sebelahnya yang memeluk plastik kerepek pisang yang tinggal habuk.

Aik! Boleh macam tu ye?.

Ratna Chempaka melonggarkan otot tubuhnya yang tadinya sudah duduk dalam keadaan bersedia mempertahankan diri. Dia segera mengutip kerepek pisang yang bertabur di sekeliling silanya.

"Bikin suspenlah kau ni. Ingat kau nak rogol Chem tadi."

Satu suara teman serumah yang sama-sama duduk menonton televisyen mengomen perilaku Baizura sebentar tadi.

Semua di situ ketawa, termasuk dia. Baizura di sebelahnya juga ketawa dan bersahaja. Kasar cara gurauan kawan barunya ini. Belum pernah dia nampak cara bergurau yang begini.

"Din tu boyfriend kau ke Chem?".

Selepas seketika masing-masing melayan rancangan di televisyen soalan itu terpacul dari mulut Baizura.

"Kau rasa... okay tak kalau aku dengan Din?".

Untuk soalan Baizura dia mengaju soalan juga. Jawapannya nanti untuk dia, untuk hatinya.

Jujur dia sangat berterima kasih dengan Fakarudin. Kerana itu sejak akhir-akhir ini dia semakin rapat yang erat dengan Fakarudin.

"Okay sangat. Jadi betullah dia boyfriend kau?".

Mungkin...
Fakarudin boleh menjadi lelaki yang diimpinya.

Lelaki biasa-biasa untuk kehidupan yang biasa-biasa. Matlamat hidupnya masih tidak berubah walau takdir sudah membawanya sejauh ini.

Ratna Chempaka tersenyum kemudian mengangguk. Jawapan tiba-tiba untuk Baizura, hatinya dan soalan Fakarudin semalam yang menuntut keputusannya juga.

"Uuuuu..."

Jawapannya mengundang sorakkan kecil dari teman-teman yang ada di sekeliling. Ratna Chempaka tersenyum dan tersipu malu.

Sudikah Cik Esah bermenantukan dia?.

Bab ari ni tk de isi. sorry. Mengantuknye. tqvm sume kwn2 sudi teman Sy tulis cite ni. syg uoll

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience