Bab 25

Drama Series 20020

"Apa sebenarnya rancangan awak Ali?. Boleh tak awak terus-terang sahaja dengan saya?".

"Belum boleh lagi. Sampai sana baru saya cerita."

Ketika ini mereka duduk berlonggok di lapangan terbang. Sedang menunggu panggilan masuk. Mereka mengikut satu travel agency untuk umrah dan ziarah.

Untuk rancangannya ini agak besar modal dia keluar kerana menaja dua orang rakan lain Sumayyah bagi mengaburi mata keluarga wanita itu. Mujur tiada ahli keluarga Sumayyah mahu turut serta menghantarnya ke lapangan terbang.

Mungkin kerana penerbangan yang berlepas pada waktu tengah malam dapat mengelakkan perkara itu berlaku. Kawan-kawan Sumayyah yang dua orang itu pula fikir dia cuba untuk berbaik kembali dengan Sumayyah jadi bersetuju untuk menolong.

Mereka berlepas dengan aman. Tiada drama berat terjadi. Ali Firdaus berdoa bersungguh-sungguh agar rancangannya Allah swt tolong sehingga selesai dengan lancar dan berjaya.

Dia mahu menolong Sumayyah mendapatkan kebahagiaan hidup tanpa perlu takut-takut lagi. Memulakan hidup baru di tempat baru.

Mereka pergi, menjalankan ibadah umrah dengan sempurna dan selesai. Semuanya berjalan dengan baik bagai dirancang Ali Firdaus untuk urusan di Mekah dan Madinah.

Apabila pulang mereka tidak naik penerbangan untuk ke tanah air bersama agensi umrah sebaliknya menukar penerbangan ke Australia.

Dia tahu perjalanan Sumayyah mengikutnya penuh dengan tanda tanya tapi sikap pasif Sumayyah menolong Ali Firdaus selamat dari disoal banyak. Nampaknya Sumayyah memang benar-benar pasrah dan terpaksa percaya sahaja dengan rancangan Ali Firdaus.

Mungkin pada Sumayyah dari pengalaman tiga tahun hidup bersama memepercayai dia lebih baik dari memepercayai keluarganya sendiri, agaknyalah begitu.

Dari Lapangan Terbang Jeddah mereka menaiki Qatar Airways selama hampir 16 jam ke Perth, Australia kemudian mereka perlu mengambil penerbangan domestik sekitar 1 jam ke Geraldton. Geraldton adalah sebuah kota pesisir pantai di wilayah Mid West, Barat Australia.

Sampai sahaja di Lapangan Terbang Geraldton...

Ali Firdaus menarik bagasinya berjalan perlahan di lapangan terbang itu. Sumayyah mengekori rapat di belakang dengan wajah sudah penat lesu.

"Ibu..."

Ali Firdaus menoleh, kemudian Sumayyah pula. Seorang budak perempuan comel menghampiri Sumayyah dengan mata berkaca.

"Ibu..."

"Adik cari ibu adik ke?. Adik datang sini dengan siapa?".

Sumayyah menyoal perihatin. Berada beribu batu jauh dari kepulauan Melayu boleh pula ada anak kecil ini berbahasa melayu memanggilnya ibu.

Anak perempuan kecil dengan mata berkaca itu tidak menjawab. Hanya tercebek-cebek bibirnya menahan tangis. Sumayyah turut sedih melihat wajah anak itu. Lalu dia bertinggung separas tinggi anak itu dan memeluk perlahan.

Ali Firdaus tidak berkata apa-apa, sekadar berdiri di samping dan memandang sayu. Sudah tercapai misinya dan tanggungjawabnya membahagiakan Sumayyah.

Anak perempuan kecil itu memeluk erat tubuh Sumayyah dan menangis teresak-esak. Sumayyah membalas pelukan sama erat.

"Maya..."

Seorang lelaki datang mendekat dan berdiri di samping Ali Firdaus. Orangnya sedikit berisi dan berkulit cerah. Agaknya kerana lama tinggal di negara ini.

Sumayyah menoleh, seketika kemudian matanya membesar. Sumayyah bangkit perlahan-lahan dari bertinggung dan datang dekat kepada lelaki itu dan Ali Firdaus yang bersebelahan sambil memimpin tangan anak perempuan kecil yang masih menangis.

"Abang..."

Lelaki itu mengangguk dengan wajah berlinangan air mata. Memandang sayu kepada Sumayyah yang masih terperanjat dengan kulit wajah sudah pucat lesi.

"Abang..."

"Ya Maya. Ni Abang."

"Tapi, tapi... mereka cakap..."

Ayat Sumayyah tergantung di situ. Tidak mampu menyebut perkataan yang sudah membuat dia kehilangan dan sakit teruk selama ini.

Sumayyah tunduk menoleh kepada anak perempuan di sisi yang tangan kecil itu di dalam genggaman tangannya. Sumayyah menoleh kepada lelaki itu silih berganti dengan sang anak.

"Ini Aisyah, anak kita Maya..."

Air mata semakin lebat turun ke wajah Sumayyah. Menggigil bergetaran ulas bibirnya dan pipi. Semakin lama mata itu semakin kuyu sebelum...

Sumayyah sudah melorot jatuh pengsan ke lantai.

@@@@@@@

"Mana Soraya!?. Mana Soraya!?".

Tiga orang merempuh masuk ke dalam bangunan syarikat kemudian menempik marah di tengah ruang lobi. Memeranjatkan semua yang ada di situ.

Dua orang lelaki dan seorang perempuan. Seorang dari dua lelaki itu sudah tua dan bertongkat tapi dialah yang terpaling menjerit dan terpaling marah hingga tergigil-gigil berbanding dua yang lain.

"Datin tak ada. Belum masuk office. Encik ada urusan apa?. Nak jumpa Datin kena buat appointment dulu."

Jawapan si penyambut tetamu semakin meledakkan marah tetamu yang tidak diundang.

"Kau! Kau! menipu kan! Aku tau dia ada kat dalam!. Panggil dia sekarang!".

Jari kurus berkedut itu tercokeng cuba menunjal dahi si penyambut tetamu hingga gadis itu hampir jatuh terlanggar bangku beroda ketika berundur ke belakang.

Melihat situasi tidak terkawal itu segera Ratna Chempaka menelefon Datin Soraya memberitahu perkara genting itu. Tidak lama kemudian Datin Soraya sampai.

"Kita ke pejabat saya di atas Mejar."

Kata Datin Soraya bernada formal dan tegas cuba mengajak tetamu bertenang dan berbincang baik-baik.

"Halim, bawa tetamu ke pejabat saya. Sekejap lagi saya masuk."

Arah Datin Soraya kepada kakitangan yang berada berdekatan. Cepat sahaja lelaki itu mengikut arahan, mungkin juga berharap walau apa juga urusan majikannya ianya selesai dengan segera.

Tetamu tidak sopan dan tidak beradab itu mujur sahaja mengikut permintaan Datin Soraya tanpa banyak soal.

"Chem, Dato' parking kereta. Nanti awak cakap Dato', Mejar datang dengan keluarga dia. Terus ke pejabat saya okay."

"Baik Datin".

Ratna Chempaka melihat Datin Soraya berjalan menuju pintu lift. Keluarga Mejar yang disebut Datin Soraya sudah pun naik ke atas mengikut Abang Halim kerani jabatan akaun sebentar tadi.

Baru sahaja pintu lift terbuka Dato' Burn sudah masuk melalui pintu utama. Datin Soraya melambai Dato' supaya bersegera, lalu keduanya hilang ke dalam perut lift yang sudah tertutup pintunya.

Kakitangan di lobi mula tertanya-tanya sesama sendiri tentang kekecohan yang baru berlaku.

"Aku rasa pasal anak sulung Datin. Yang sulung tu kan kahwin lari tapi dengarnya baru bercerai dengan isteri dia."

Budak pejabat ini memang selalu membawa berita terkini. Bukan sahaja cerita tentang artis dan orang politik tapi hampir semua cerita tentang semua orang di dalam pejabat ini dia tahu. Betul atau tidak ceritanya belakang kira pada budak itu.

Mendengarkan mukadimah cerita budak pejabat itu Ratna Chempaka jadi seram untuk turut mendengar cerita panjangnya. Dia ada cerita yang lebih memalukan.

Kalau dia seronok sangat mahu tahu hal orang lain tidak mustahil jika rahsia perjalanan hidupnya sepanjang lebih dua tahun ini diketahui orang habis malulah dia mahu mengangkat muka.

Baik dia angkat kaki. Mudah-mudahan Allah tolong dia untuk simpan aibnya atau orang jadi tidak peduli dengan kisah hidupnya dahulu.

Amin Ya Allah.

@@@@@@@

"Maya okay?".

Sumayyah mengangguk perlahan. Wajahnya masih pucat dan badannya masih lemah. Dia sangat terperanjat dengan babak di lapangan terbang yang berlaku semalam.

Agak lama dia pengsan semalam. Hampir sahaja kakitangan lapangan terbang mahu menghantarnya ke hospital. Mujur dia tersedar sebelum mereka sempat berbuat demikian. Dia terus meminta untuk pulang ke kediaman yang dijanjikan Ali Firdaus untuknya.

Sekarang mereka di sebuah rumah di pinggir bandar Geraldton. Sebuah kawasan ladang penternakan kambing di Australia Barat. Duduk di atas ribanya budak perempuan comel yang diberitahu Aiman bekas suaminya sebagai Aisyah, anaknya.

Air matanya gugur lagi. Sampai tersedu-sedan Sumayyah menangis mengenangkan semua yang terjadi. Sampai hati keluarganya buat begini. Sampai begini sekali tahap zalimnya mereka sanggup memisahkan anak kecil yang masih menyusu badan ketika itu dari dia si ibu hingga dia sakit meroyan.

"Aisyah rindu Ibu, Ayah cakap satu hari nanti InsyaAllah Ibu datang tinggal dengan kami. Alhamdulillah, Allah dah tolong Ibu selamat sampai jumpa Aisyah."

Anak kecil ini sudah berusia hampir lapan tahun. Sudah petah berkata-kata. Wajahnya campuran wajah dia dan bekas suaminya Aiman. Sumayyah memeluk erat anak perempuannya. Bagai tidak mahu dia lepaskan. Sungguh dia terlalu rindu.

Tidak dapat mahu diungkapkan dengan kata-kata perasaan hatinya sekarang ini. Walau sangat terperanjat tapi dia sangat bersyukur. Belahan jiwa yang disangka selama ini sudah berpisah alam rupanya hanya terpisah benua.

"Apa sebenarnya terjadi lapan tahun dulu?".

Aiman mengangkat sebuah bangku dan dibawa mendekat kepada sofa yang Sumayyah duduk bersama anak perempuannya. Selepas menyelesakan duduknya Aiman mula bercerita.

"Ingat tak lepas Maya habis cuti bersalin Aisyah tiga bulan, naik saja kerja Maya kena pergi kursus?. Sebab hotel kursus dekat dengan rumah Abang izinkan Maya pergi, janjinya nanti Abang boleh datang ambil susu untuk Aisyah?."

Sumayyah angguk kepala. Bulat matanya menunggu Aiman menyambung cerita. Nampak sangat tidak sabar.

"Maya pergi pagi, petang Abang datang ambil susu. Maya pun sempat susukan Aisyah kali terakhir."
"Malam tu... Keluarga Maya datang..."

Aiman sudah tertunduk, wajahnya berubah mendung dan sedih. Mungkin ralat mengenang cerita dulu.

"Abang bergaduh besar dengan keluarga Maya. Ada atuk Maya, Mak dan Ayah Maya. Bergaduh yang sampai polis datang rumah."
"Mulanya mereka mahukan Aisyah tapi sebab Abang melawan habis-habisan lagipun polis pun dah datang mereka balik."
"Esoknya... Abang pergi kerja macam biasa. Pengasuh telefon menangis kata depan rumah dia ada orang datang nak ambil Aisyah. Abang bekejar pergi rumah pengasuh. Keluarga Maya kat situ... kami bergaduh lagi."
"Abang ambil keputusan esoknya nak lari sementara sembunyikan diri balik kampung kat pulau bawak Aisyah. Ada satu bot baru offer Abang naik. Dia kata ambil berkat baru beli bot. Orangnya ramah dan tak nampak mencurigakan."
"Manalah Abang tau... dia orang upahan keluarga Maya. Sampai tengah laut ugut nak buang Abang."

Aiman bercerita sambil menangis. Beberapa kali cerita Aiman terhenti kerana menenangkan diri.

"Abang terpaksa merayu sebab mereka dah pukul Abang dengan teruk, mereka setuju lepaskan Abang dengan syarat Abang ceraikan Maya dan tinggalkan Malaysia. Abang setuju tapi Aisyah ikut Abang."
"Dalam minggu itu juga mereka hantar kami ke Indonesia. Kami tinggal di sana dalam dua tahun. Tapi diam-diam Abang balik Malaysia uruskan dokumen Abang lari ke Australia supaya tidak lagi di bawah kawalan mereka."
"Abang minta maaf tak dapat selamatkan Maya. Dalam fikiran Abang cuma nak selamatkan Aisyah. Sebagai bapa Abang tak mungkin boleh pergi tinggalkan Aisyah dengan mereka sedangkan Abang tahu bertapa bencinya mereka dengan Abang, keluarga Abang dan keturunan Abang yang miskin."

Sumayyah pekup dua tapak tangan ke telinga. Tidak sanggup mendengar cerita kejam yang tergamak keluarganya sendiri lakukan kepada dia. Hanya kerana jodoh pilihannya bukan dari latar belakang keturunan bernama dan berharta.

Kemudian Sumayyah peluk Aisyah yang sudah tertidur dipangkuannya di atas sofa. Sungguh dia ralat kehilangan tempoh waktu membesar Aisyah dari bayi hingga sudah berusia hampir lapan tahun.

Dia sakit meroyan teruk sekalipun tetap keluarganya tergamak merahsiakan cerita sebenar.

"Maya..."

Sumayyah mendongak memandang wajah bekas suaminya Aiman. Lelaki yang malang berkahwin dengannya sehingga terpaksa hidup merantau.

"Sudi tak Maya jadi isteri Abang semula?."

Sumayyah segera memandang wajah Ali Firdaus meminta kepastian suatu perkara.

"Iddah kita habis semalam Su."

Sumayyah tertunduk merenung lantai. Nampaknya Ali Firdaus sudah merancang segalanya dengan teliti. Dia sangat terhutang budi dengan Ali Firdaus untuk sepanjang tiga tahun menjadi suami isteri dan hari ini untuk pertemuan semula dia dengan Aiman dan Aisyah.

"Macam mana Abang kenal Ali?".

"Oh!... Ali cari kambing."

Jawapan Aiman hanya menyebabkan ketiga mereka ketawa geli hati.

"Ali cari daging kambing halal. Berurusan dengan Abang sebab Abang kerja di pusat penyembelihan di sini. Cerita punya cerita tak sangka dunia ni kecil sangat."

"Sebab ini ke Ali awak ajak saya jalan-jalan ke Australia? Dokumen semua tu untuk berhijrah ke?".

"Ya, untungnya pulak awak follow aje apa saya cakap jadi mudah sangat urusan."

"Saya pelik sebenarnya kenapa setakat jalan-jalan Australia sampai minta dokumen bagai. Tapi saya fikir mungkin awak nak bisnes sekali."

"Betullah tu bisnes. Aiman tolak kambing pada saya, saya tolak awak pada dia."

Mereka ketawa lagi. Ketawa dan menangis. Allah Maha baik, setiap takdir yang Allah tulis untuk kita mungkin kita fikir kenapa aku? tapi, setiap ujian pasti ada penyelesaian. Ada jalan cerita yang tidak kita sangka.

Ali Firdaus tinggal di bandar Geraldton untuk seminggu. Dia mahu meraikan majlis pernikahan sahabat barunya Aiman dengan bekas isterinya Sumayyah.

Selamat pengantin baru Aiman dan Sumayyah.

(Agaknya bila pipit berangan nak jadi merpati ginilah jadinya. Level novel main2 jer la kita. serious tak ada idea nak bina ayat)

ce tlg Komen cara Sy Bina ayat. cth; pening, maksud tak sampai, maksud lambat sampai, geli la hahaha. Sy bce smla lps bbrpe lama Sy sndri tak faham

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience