CHAPTER 6

Family Completed 25138

Kereta sewaku berhenti betul-betul di hadapan rumah orang tuaku. Aku kuatkan semangat sebelum membuka pintu kereta. Aku berdiri di tepi kereta, memandang rumah yang menyaksikan aku membesar dari kecil sehingga dewasa.

Di sini jatuh dan dudukku terakam. Di sini tawa dan tangisku tersimpan. Bagaimana rumah ini teguh berdiri menjadi saksi hari pertama aku dibawa pulang semasa umurku 2 hari, begitu juga rumah ini menyaksikan aku diusir tanpa belas.

“Yana?” tubuhku kaku bila mendengar suara yang sering aku mimpikan saban malam. Rindu yang terlampau menggunung pada empunya suara membuatkan perasaanku lumpuh. Perlahan aku menoleh memandang ibu yang sudah berdiri di tepiku.

“Ibu,”sapaku perlahan bersama satu ukiran senyum. Aku tahu senyum aku hambar. Aku tahu senyum aku tidak ikhlas. Tapi aku juga tahu, yang ibu tahu luka aku terlampau dalam untuk memungkinkan aku menjadi seperti dahulu lagi.

“Ya Allah...Yana anak ibu!” terus aku ditarik masuk ke pelukan ibu. Perlahan esakan ibu kedengaran. Tanganku perlahan bergerak mengusap belakang ibu. Rindunya yang amat! Betapa aku rindu dengan kata-kata lembut ibu setiap kali memujukku. Rindu dengan wangian-wangian ibu yang tidak dapat aku hirup dari sesiapa pun selain ibu.

Usai melepas rindu dalam pelukan ibu, baru aku perasan dengan satu kehadiran lain dalam pertemuan kami. Mataku menajam memandang seorang budak perempuan, tingginya dalam paras atas lututku. Matanya menajam memandangku sambil tangannya menarik-narik belakang baju ibu meminta perhatian.

Aku perhatikan dia dari atas rambut sehingga ke hujung kaki. Abang Alif sudah berkahwinkah? Tapi Abang Alif yang ku kenal pernah menyatakan niatnya untuk berumah tangga hanya bila umur sudah mencecah 30 tahun. Aku tidak menolak kemungkinan yang dia sudah bertemu gadis idaman dan merubah niatnya untuk berkahwin lambat.

Mindaku ligat berjalan sambil menilik si cilik di hadapan ku ini. Rambutnya sedikit keperang-perangan, alis matanya cantik terbentuk. Hidung dan bibirnya kecil comel sahaja. Mataku sekali lagi bertemu dengan matanya.

“Diana!” di luar sedar, mulutku menyebut nama yang tidak aku inginkan bertamu di fikiran. Pelukan ibu terasa kendur tiba-tiba. Aku bergerak melepasi tubuh ibu dan mencangkung di hadapan si cilik tadi. Lama aku renung seluruh pelusuk wajahnya. Mencari persamaan lain yang boleh dicari.

Aku toleh pandang ibu meminta jawapan. Mata ibu memandang aku sekilas sebelum mengarahkan pandangan kepada si kecil tadi yang sudah lari bersembunyi di belakang kaki ibu.

“Yana Ilia, anak arwah Diana,”tutur ibu perlahan, tapi yang sampai ke telingaku umpama satu hentakan kuat. Aku yang sedang mencangkung terus terduduk di atas kaki lima jalan. Kaki terasa hilang kudrat untuk terus menampung tubuh.

“Allahu Rabbi...Ya Allah..Ya Allah...,”bibirku perlahan menyebut sambil mengurut dada perlahan. Arwah Diana? Arwah?

“Bila?” tanya aku seraya mengagahkan diri untuk bangun. Longlai kakiku aku gagahkan juga untuk berdiri.

“Right after she gave birth to this kitten,”jawab ibu lembut sambil mengusap kepala anak Diana. Anak Diana. Aku kulum ayat itu di dalam mulut. Satu persoalan muncul di benakku ketika itu. Pantas aku menzahirkan apa yang aku sangsi ketika itu.

“How....old..?” gugup aku bertanyakan umur si kecil itu. Jauh di sudut hati, aku seperti sudah tahu jawapan yang akan diberikan ibu, tapi aku tetap mahukan kepastian. Jawapan yang aku cari keluar dari bibir si kecil yang menjengukkan kepalanya sedikit dari balik kaki ibu.

Siap dengan jarinya lagi diangkat menunjukkan umurnya padaku.

“ Four!” begitu bersemangat suara kecilnya menjerit. Mungkin sudah terbiasa mendengar soalan begitu. Aku berikan satu senyuman kecil tanda aku senang dengan jawapannya. Anak kecil sangat mudah membaca perasaan orang sekeliling. Bimbang pula rasa takutnya pada aku bertambah jika aku tidak memberi sebarang bentuk sokongan pada usahanya menjawab soalanku.

“Pandai Yana!” pujiku sambil menghulur tangan kepadanya. Kali ini dengan senang hati dia menyambut huluran tanganku. Mungkin rasa percayanya tumbuh bila aku memberi reaksi yang positif pada perlakuannya. Timbul rasa kelat dilidahku bila menyebut namaku sendiri. Mengapa nama panggilanku yang menjadi nama si kecil ini?

“ Mari masuk Yana,”ajakan ibu mematikan kembali senyumanku pada Si Yana Junior.

“ Jom masuk!” sambutan Yana Ilia membuat aku dan ibu terpinga seketika. Akhirnya aku dan ibu ketawa. Pastilah Yana Ilia menyangkakan dirinya yang dijemput ibu untuk masuk ke rumah. Ibu mendekat dan meletakkan tangannya ke atas bahu Yana Ilia.

“Yana, ini auntie Yana,” seketika ibu berhenti. Pasti memikirkan cara terbaik untuk memperkenalkan kami kerana nama panggilan kami sama.

“Auntie Diana,” ibu kembali bersuara “ Ini Auntie Diana,”diulang sekali lagi dengan yakin. Yakin dengan caranya memperkenalkan diriku. Tapi masalah lain pula yang timbul. Langsung tidak dijangka dek akal kami yang sudah dewasa ini, bagaimana Si Kecil Yana mampu mengingati nama ibu kandungnya dengan jelas.

“ Mama! Yana punya Mama!” aku terpempan. Mata ibu pula membulat. Si Kecil Yana? Sudah melompat terus memaut batang kakiku masuk dalam pelukan kecilnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience