CHAPTER 3

Family Completed 25138

Wali nikah. Masalah terbesar aku muncul kembali setelah 5 tahun aku keluar dari rumah kelahiranku. Aku termenung melihat jari manisku yang sudah tersarung cincin platinum diberi Hadif bulan lepas.

“Yana?”aku tersentak mendengar namaku dipanggil. Pandanganku kembali tertumpu pada Hadif yang duduk dihadapanku. Dia sedikit tersenyum melihat keterpingaanku.

“Sorry,”ucapku perlahan dengan segarit senyuman. Hadif ketawa.

“Fikir apa?”soal Hadif perlahan. Tangannya bersulam sesama sendiri di atas meja. Serius benar gayanya ketika itu. Aku hadiahkan satu senyuman yang aku tahu kelihatan tidak ikhlas di mata sesiapa pun yang memandang.

“Tak ada apa pun,”ringkas aku menjawab. Hadif senyum lagi. Haii..murah benar Hadif dengan senyuman. Mengapa aku tidak seperti dia?

“Saya gembira tapi sedih,”ulah Hadif tiba-tiba. Kepalaku terangkat merenung Hadif dengan kening bertaut. Hadif menyambung lagi kata-katanya.

“ Saya gembira awak sudi terima lamaran saya. Saya tambah gembira bila tahu awak tengah fikir pasal kita punya future,”aku diam. Okay. Hadif tahu aku sedang memikirkan masalah wali nikah. Tidak pernah dapat aku sembunyikan masalah dari Hadif. Hadirnya Muhammad Hadif di dalam hidupku, memberi penamat pada segala rahsia diriku. Hadif sangat pandai menelah. Aku yang sangat bijak menyimpan masalah pun kalah pada telahannya.

“Tapi saya sedih awak tak nak kongsi masalah dengan saya.” Aku tarik nafas panjang. Ini masalah aku. Mengapa perlu aku membebankan dirinya dengan masalah aku? Aku sudah cukup malu dengan situasi diriku. Aku anak yang dibuang keluarga. Tapi Hadif masih sudi menerima aku yang serba tidak lengkap ini.

Pada Hadif sudah aku sampaikan awal-awal lagi tentang kekuranganku. Aku dibuang keluargaku semasa aku masih menuntut di universiti. Dan sehingga kini, tidak sedikit pun aku berpaling kembali menjenguk kenangan silam.

Dan Hadif jujur memberi pandangan kepada diriku. Masih aku ingat balasannya bila aku memberi sebab mengapa aku menolak cintanya.

“Saya ikhlas sukakan awak. Everyone has their own baggage but I accept you the way you are. Soal family awak tu, memang saya tak setuju dengan tahap kedegilan awak. Tapi saya tak ada hak nak paksa awak ikut pandangan saya. Only if kita ada ikatan, baru saya boleh bimbing awak ke jalan yang betul. For now, suffice for me to say, saya suka awak, dan saya mahu sunting awak jadi suri dalam hidup saya. Saya pasti dengan hati saya.”

Aku jatuh suka pada sikap terus terang Hadif. Sedikit pun aku tidak tercuit dengan komennya tentang kedegilan aku dalam membalas perbuatan ayah. Bijaknya Hadif dalam menyampai kata, aku terbuai bersama cintanya.

“Saya..,”sepatah kata dariku terhenti dibawa angin. Entah bagaimana hendak aku sampaikan pada Hadif tentang getar yang hadir bila memikirkan penerimaan kedua orang tuaku jika aku pulang meminta ayah mewalikanku.

“Go back Yana. Seek your parents forgiveness. Sampai bila mereka tu akan hidup atas muka bumi ni? It’s better to swallow your pride for someone you love than losing them because of it,” mataku bergenang mendengar nasihat Hadif. Cepat-cepat aku menunduk sebelum terkesan oleh Hadif. Benar, aku masih menongkat langit kerana aku merasakan aku berada di pihak yang benar.

Tapi kemungkinan aku hanya akan melihat nisan batu sahaja jika aku kembali nanti membuatkan aku ketar keseorangan. Takut hidup aku sentiasa dibayangi pergaduhan terakhir aku dengan ayah. Risau berkat hidupku hilang dek tangisan ibu bila aku tidak pulang menjenguk.

Setitik air mata yang menitik di pipi aku sapu lembut. Aku dongakkan kepala memandang Hadif. Segarit senyuman manis aku hadiahkan padanya.

“ Okay, saya akan balik,”jawapan yang memang dicari Hadif kerana habis aku berkata, senyumannya yang paling manis beserta lesung pipitnya muncul untuk aku lagi.

“Atta girl!” sorak Hadif mengangkat sebelah tangannya seperti bersorak. Aku ketawa melihat gelagatnya. Aku kembali mengangkat sudu yang sedari tadi terbiar di atas nasiku yang tidak terusik.

“ Jangan lupa beritahu tarikh yang kita pilih tu tau,”sempat Hadif mengingatkan. Aku geleng kepala. Risau sangat aku lupa. Hari ini saja sudah 5 kali diingatkan aku tentang tarikh pilihannya untuk dijadikan hari penyatuan kami. Hari ijabkabul Muhammad Hadif dan Diana Amira.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience