CHAPTER 21

Family Completed 25138

"Ayah dah terima niat baik Hadif. Kamu berdua tentukan tarikh nikah,"duniaku gelap sebentar mendengar arahan ayah. Pagi itu, Hadif datang bertemu ayah. Menyatakan hasrat hatinya untuk memperisterikan aku. Aku tidak menyertai perjumpaan mereka kerana aku memang tiada niat langsung mahu menerima Hadif. Lantas mengapa aku mahu mengambil kisah tentang apa yang mereka bincangkan? Di hujung hari nanti, jawapan aku tetap sama. AKU. TIDAK. MAHU.

"Yana tak setuju. Yana tak mahu kahwin dengan Hadif," terus terang aku melawan ayah. Mata ayah mencerlung memandangku. Ibu sudah mula berdehem sedikit. Cuba memberi isyarat padaku untuk merendahkan sedikit diriku. Bukannya lagi diangkat sama tinggi dengan ego ayah.

"Yana yang dulu mengaku Yana nak kahwin dengan dia. Kalau tak mahu, kenapa berjanji? Itu dah bertunang namanya!" suara ayah sudah naik satu tingkat dari nada sebelumnya. Aku telan liur. Takut! Memang aku takut! Tapi aku tidak mahu menunduk pada kemahuan orang tuaku yang mungkin boleh merosakkan banyak hati lain di kemudian hari nanti.

"Itu dulu. Sekarang keadaan dah berubah. Semua perkara boleh berubah ikut keadaan," balasku tenang.

Pakk!!! Hentakan tangan ayah di meja makan membuatkan bahuku terhenjut dek kerana terkejut. Bukan aku saja, ibu lebih tinggi angkatan bahunya.

"Keadaan apa?!Hadif dah tahu status Yana Ilia. Dan dia tetap dengan keputusan dia. Jadi sekarang ni, apa alasan Yana nak menolak?" melengking suara ayah memecahkan sunyi malam. Aku pasang telinga cuba mendengar jika ada sebarang bunyi keluar dari bilik Yana Ilia. Takut-takut dia terjaga dengan suara Tok Wan nya yang seperti halilintar.

"Kalau Yana kata tak mahu, maknanya Yana tak mahulah! Ayah jangan paksa Yana!" sabarku hilang bila ditekan-tekan begitu. Sudahlah hubungan aku dan ayah memang sudah sedia tidak elok. Bila ditambah pula dengan cerita Hadif, aku jadi hilang akal mencari jalan keluar.

"5 tahun menghilang diri, hormat pada orang tua pun hilang sekali?! Besar sangat diri tu? Ayah nak, Yana menikah juga dengan Hadif! bertanggungjawab atas benda yang Yana mulakan. Jangan nak lepas tangan atas benda yang Yana sendiri cipta,"entah kenapa ayat ayah aku rasakan seperti memberi makna berbeza. Seperti ayah mahu memerli aku dengan cerita lama.

"Kalau Yana heret Hadif sekali masuk dalam masalah Yana, bukan ke itu tak adil untuk dia? Lepas tu, menambah lagi rasa bersalah Yana? Macam tu?"

"Kalau kamu tak mahu rasa bersalah, jangan mula buat masalah. Apa yang terjadi sekarang ni, semuanya salah Yana sendiri. Yana kena bertanggungjawab untuk semua perkara yang Yana dah buat,"ucapan ayah menambahkan berat yang kurasakan di hatiku. Aku yang tadinya sudah berdiri terus terduduk. Bertanggungjawab atas semua perkara yang aku buat? Apa yang sudah aku lakukan? Apa? Semua yang berlaku dari 5 tahun lepas bukan salahku, tapi tetap, aku menggalas tanggungjawab yang bukan milik aku.

"Allahuakbar...,"perlahan aku ulang sambil mengusap dada. Mataku berkelip-kelip menahan air mata dari keluar. Ibu mampir ke arahku, tapi aku menghentikan pergerakannya bila aku terus bangun mengambil beg galasku dan terus keluar dari rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience