CHAPTER 2

Family Completed 25138

Yang namanya hidup itu, pastilah bukan mudah. Aku bukannya seorang yang berpewatakan ceria. Jauh sekali cergas ke sana ke mari. Jadi apa yang berlaku memang satu tamparan yang hebat bagi aku.

Tapi satu yang aku tahu adalah ‘planning’. Balik ke rumah yang aku sewa bersama beberapa rakan seuniversiti, aku mula mengatur rancangan untuk terus hidup. Ya, untuk hidup! Itu priority aku untuk saat ini. Wang biasiswa masih ada, bermakna aku cuma perlu berjimat cermat. Selalunya pun, aku jarang mengharap wang dari abah. Biasiswa aku saja sudah mencukupi.

Aku renung Iphone yang terbaring di atas meja. Jika dijual, berapa agaknya yang mampu aku dapat? Fokus aku adalah untuk menyimpan wang. Jadi segala apa yang boleh aku tukarkan kepada yang lebih murah, aku kutip dan letak ke tepi.

Camera DSLR Nikon, hadiah dari abah selepas aku SPM aku pandang sepi. Aku sayang hadiah itu. Minat aku pada alam sekitar menangkap perhatian abah yang akhirnya menghadiahkan aku kamera itu sebagai satu outlet auntuk aku melepaskan minat yang terpendam. Biarlah dahulu. Kalau benar-benar kesempitan, baru aku akan memandang semula kamera tersebut.

Habis membuat perkiraan, aku tumpukan pula pada tempat tinggal. Sementara aku masih belajar ini, aku masih menyewa bersama teman-teman. Bukanlah satu masalah. Waktu cuti penggal, aku boleh tinggal berseorangan sambil mencari kerja sambilan. Ya! Aku yakin dengan perancangan rapiku.

Selepas mengatur semuanya, baru aku bersiap untuk tidur. Berbaring di katil dalam sunyi malam ternyata satu cabaran untukku malam itu. Mindaku ligat berfikir mencari di mana salahku. Apa yang telah Diana reka untuk menarik perhatian abah sehingga sebegitu rupa.

Benar, aku memang tidak suka bila abah dan ibu membawa Diana pulang ke rumah satu ketika dahulu. Aku baru berumur 10 tahun ketika itu. What to expect? My parents brought back a girl, same age like me, coming to live with us as my sister. Jiwa kecil aku memberontak. Aku jadi takut kasih sayang abah dan ibu berubah haluan.

Tapi masa berlalu. Kata orang, masa bisa merubah segala. Aku pun beredar seiring dengan perubahan masa. Aku belajar menerima kehadiran Diana dalam hidupku. Mungkin caraku tidak begitu menonjol. Sejak zahirnya aku jenis pendiam. Tidak banyak berbunyi dan menarik perhatian sesiapa pun. Diana berbeza seratus peratus dariku. Dia ceria, cantik,bijak menarik hati orang sekeliling dan ramah perwatakannya. Berlawanan dengan diriku.

Ada waktunya, aku cemburu dengan Diana. Kuatnya dia berdiri tanpa keluarga di sisi. Diana tinggal sebatang kara selepas keluarganya meninggal dalam nahas kereta mereka. Kedua ibu bapaku yang berkawan dengan ibu bapa Diana mengambil keputusan untuk mengambil Diana sebagai anak angkat lantas mahu menjadikan dia pasangan untuk aku, satu-satunya anak perempuan mereka.

Rancangan tinggal rancangan. Aku tidak pernah rapat dengan Diana. Kami sepakat boleh duduk dengan aman bersama di bawah satu bumbung. Untuk kebaikan bersama. Tapi entah kenapa, aku sentiasa dapat merasakan satu perasaan benci bila aku hampir dengan Diana. Aku sendiri tidak dapat menelah apa yang telah aku lakukan sehingga menimbulkan rasa tidak senang di hati Diana kepadaku.

Malam itu, tidurku bertemankan air mata. Aku tekad itu kali terakhir aku menangis. Tiada faedah untuk aku menangisi nasib yang aku tahu tidak akan berubah. Memang hatiku keras! Aku terima apa yang abah lakukan padaku. Menghalau aku sehelai sepinggang tanpa meminta penjelasan dariku. Malah dia lebih percaya pada Diana lebih dari kepercayaan pada anak kandungnya sendiri.

Entah apa mahunya Diana, tidak pernah aku mengerti. Walau nama kami serupa, hati kami jauh berbeza. Aku, Diana Amira dan dia, Nor Diana mungkin tidak pernah ditakdirkan berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience