CHAPTER 14

Family Completed 25138

Jangkaan aku meleset sama sekali. Bukan saja aku, malah ibu juga mati kata. Terkedu dengan jawapan ayah pada permintaanku.

“ Pergi JPN tanya prosedur untuk ambil anak angkat dengan status bujang,”pendek sahaja jawapan ayah. Itu saja ayat terakhir dari mulut ayah malam itu. Sedari petang tadi, ayah mendiamkan diri sahaja. Aku juga tidak membuka mulut bertanya apa-apa. Sehinggalah selepas makan, baru aku menyuarakan hasrat hatiku.

Aku kenal ayah. Aku tahu mengapa ayah begitu mudah bersetuju dengan permintaanku. Kerana ayah beranggapan aku perlu bertanggungjawab atas perbuatanku. Pada ayah, aku yang bersalah atas apa yang terjadi pada Diana. Jadi, aku perlu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan Diana.

Bukannya ayah mahu lepas tangan. Lihat saja pun sudah tahu, betapa sayang dan kasihnya ayah pada Yana Ilia. Entah apa lah yang bermain di benak ayah tidak pula dapat aku baca. Alasan sebenar mengapa ayah begitu mudah melepaskan Yana Ilia kepadaku, hanya Tuhan saja yang tahu.

Pulang ke hotel, baru terasa seperti satu beban besar benar-benar terjatuh di atas bahuku. Untuk apa sebenarnya aku pulang ke negeri kelahiranku ini? Bukankah kerana hubungan aku dan Hadif? Sekarang bagaimana? Aku sudah membelakangkan Hadif dalam mengambil keputusan untuk mengambil Yana Ilia sebagai anak angkat.

Semasa membuat keputusan ini, aku sudah menimbang baik dan buruk kesannya padaku. Yana Ilia itu anak tidak sah taraf. Aku ini masih bujang. A complete set of trouble. Sesiapa yang mendengar pasti akan merasakan aku ini bodoh. Sengaja mencari masalah.

Surat Diana benar-benar merubah segalanya. Entah kenapa, timbul rasa bersalah dalam hatiku. Sedikit sebanyak aku merasakan aku juga penyebab mengapa Diana sering berasa terpinggir. Kalaulah dulu aku lebih berusaha memahami Diana. Kalaulah dulu aku tidak bersikap acuh tak acuh pada Diana. Kalaulah dulu aku lebih cepat menangkap perasaan Diana. Tidak sedikit pun aku sedar ataupun cuba memahami apa yang bermain di dalam hati Diana.

Tapi aku tahu aku tidak boleh selamanya hidup di dalam penyesalan. Apa yang aku lakukan sekarang adalah untuk menebus rasa bersalah dan dalam masa yang sama menunaikan permintaan Diana. Baru hatiku akan rasa tenang.

Walau aku tahu harga yang harus aku bayar jika aku meneruskan rancanganku ini, tetap, aku kuatkan tekad. Harga yang memakan bukan sahaja diriku, tetapi juga Hadif.

Aku mungkin, selamanya, akan hidup membujang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience