CHAPTER 32

Family Completed 25138

Esok hanya tinggal dalam rancangan sahaja bilamana aku terima panggilan dari ibu memberitahu abah dimasukkan ke hospital kerana kesukaran untuk bernafas. Ibu menyatakan rasa gundahnya yang kemungkinan abah terkena serangan jantung.

Aku segera menghubungi Hadif tapi gagal. Akhirnya aku meningalkan mesej sahaja di peti suaranya. Aku juga menelefon pejabatnya dan meminta mereka memberitahu berita tersebut kepada Hadif secara terus. Bimbang jika Hadif tidak melihat telefonnya.

Sampai ke hospital, aku terus menuju ke bahagian kecemasan. Terus terlihat ibu, Abang Alif dan Amir duduk di satu barisan kerusi yang tersedia untuk keluarga pesakit.

“Ibu!” terus aku menerpa ke arah ibu. Ibu lantas menarik aku masuk ke dalam pelukannya. Aku pandang wajah Abang Alif dan Amir yang memandang kami berdua. Aku balas pelukan ibu erat. Ibu sedikit pun tidak menangis, tapi riak wajahnya menggambarkan kerisauan yang menggunung tinggi.

“Apa yang jadi ibu?” tanya aku terus. Ibu perlahan menjelaskan apa yang berlaku. Katanya dari semalam dia sudah nampak abah mengusap-usap dadanya beberapa kali seolah seperti sedang menahan sakit. Memang hari ini abah sudah berhajat ingin ke hospital tapi tidak kesampaian kerana dia terlebih dahulu jatuh di dalam bilik tidur. Nasib baik ketika itu Amir ada di rumah. Dia lah yang terdengar erangan ayah sebelum ayah tidak sedarkan diri.

Aku pegang erat tangan Amir. Bersyukur dengan aturan Allah s.w.t. Jika Amir tidak mendengar erangan abah, entah bila agaknya ibu akan sedar tentang keadaannya. Tidak sampai satu jam aku di situ, Hadif sampai. Dia terus bersalam dengan ibu dan Abang Alif juga Amir. Habis berbicara dengan mereka, baru Hadif mampir denganku. Aku terus menyambut huluran tangannya kepadaku dan menarik tangannya ke atas pangkuanku. Cuba meminjam kekuatannya. Pandangan mata kami berlaga menyanyikan cerita yang hanya kami berdua tahu.

“ Abah bukannya immortal,” kataku perlahan cuba menggarit senyum di bibir. Hadif ikut tersenyum. Jarinya naik menjentik dahiku perlahan.

“Tau pun,”balasnya dalam senyuman. Tangannya menarik bahuku masuk ke pelukannya. Dalam diam aku bersyukur diperingatkan lebih awal oleh suamiku tentang perlunya aku berbaik dengan abah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience