CHAPTER 13

Family Completed 25138

“ I want to adopt Yana,” kepala ibu berpusing 180 darjah memandang aku yang sedang duduk di meja makan. Tangan ibu yang sedang mengacau gulai yang sedang menggelegak terhenti.

“Yana!” suara ibu sedikit meninggi. Pertama kali aku melihat ibu dipengaruhi perasaan. Selain dari waktu aku dihalau dahulu, ibu sangat susah beremosi. Kali ini, aku tahu keputusanku benar-benar mengejutkan ibu.

“ Yana tekad. Tak ada apa pun yang ibu cakap boleh ubah keputusan Yana,” kata akhir dariku mematikan sebarang ulahan yang ibu karang untukku. Diam-diam ibu meneruskan masakannya. Perlahan aku bangun meninggalkan ibu seorang di dapur.

Yana Ilia mengikut langkahku keluar ke laman hadapan rumah. Aku duduk di buaian, dia juga ikut duduk di sebelahku. Lucu benar tingkah si kecil ini di mataku. Ke mana saja aku pergi, ke situ juga ditujunya. Dia seperti bayang-bayang aku. Bezanya, dia kecil dan aku besar.

Sedang kami menikmati angin yang terhasil dek ayunanku, satu kereta masuk ke perkarangan rumah.

Jantungku terhenti! Ayah! Mengapa pulangnya awal dari yang dijangka? Tahukah ibu dnegan perubahan perancangan ayah? Ibu sengaja menjerat akukah?

Wajah risau ibu yang terjengul di balik pintu mematikan prasangkaku. Ibu juga tampak sedikit gelabah. Pasti tidak menjangka ayah pulang lebih awal dari yang dimaklumkan.

Aku menghentikan ayunanku dan bangun berdiri. Bersedia menerima apa saja sambutan yang akan ayah berikan. Aku merenung tubuh ayah yang keluar dari kereta. Tampak susut tubuhnya. Rambut ayah juga sudah banyak dilitupi uban. Sudah jauh masa meninggalkan kami. Perbezaan yang dizahirkan oleh masa sungguh ketara pada ayah.

Ayah yang baru berpusing mahu masuk ke rumah terhenti langkahnya. Matanya tertancap padaku. Tangan Yana Ilia yang berada dalam genggamanku terlerai bila dia merentap tangannya. Laju langkah kecilnya menuju ke arah ayah.

“ Tok Wan! “ jeritnya sambil mendepakan tangan minta didukung. Seketika perhatian ayah beralih pada cucunya itu. Dalam lambat, ayah menyambut depangan tangan Yana Ilia masuk ke dalam dukungannya. Si kecil yang petah berbicara itu mula menceritakan rentetan peristiwa yang dikumpul sejak ayah pergi berkursus. Dalam celotehnya, dapat aku tangkap perkataan ‘Mama’ beberapa kali.

Sebelum melangkah masuk, ayah berhenti seketika memandangku. Aku bergerak mendekat. Terus aku tarik tangan ayah dan kucium. Sepatah kata pun tidak terkeluar dari bibirku juga ayah. Dapatku rasa tapak tangan ayah yang sejuk. Entah kerana kesan penyejuk udara keretanya atau kerana terkejut dengan kehadiranku setelah 5 tahun lamanya tidak kembali.

Melepasi ibu, kedengaran suara ayah perlahan. Tapi tegas.

“ Diana dah arwah, baru nak balik? Pergilah minta maaf dekat kubur dia. Manalah tahu mayat dia boleh bangun semula,”pedih sinisan ayah tempias kepadaku. Ibu dan aku berbalas pandang.

“ Baru masuk rumah, tak elok marah-marah macam ni. Istighfar banyak-banyak,” pujuk ibu lembut. Ayah diam berjalan terus menuju ke biliknya. Dibawa bersama cucunya yang masih berceloteh seperti tidak terkesan langsung dengan suasana tegang yang sedang berlaku.

Hilang saja kelibat ayah, terus aku meminta diri dari ibu.

“Jangan! Kalau Yana hilang macam tu saja, lagi ayah berangin. Confront ayah terus dan beritahu niat Yana nak ambil Yana Ilia jadi anak angkat Yana,” ibu menegah pantas. Kakiku sudah menari sesama sendiri. Tipu jika aku katakan aku tidak gugup. Ayah bukan sebarangan orang untuk kulawan. Kata-katanya umpama satu mandatori. Hendak diikut pun salah, hendak dilawan lagilah tidak kena.

Sudahnya, aku menunggu sehingga selepas makan malam untuk menyatakan hasratku yang aku pasti akan ditentang sehabis daya oleh ayah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience