CHAPTER 1

Family Completed 25138

Abah buang aku dari hidupnya. Hanya kerana satu kesalahan yang aku sendiri tidak tahu punca. Sewaktu abah melempar luggage yang dipenuhi pakaianku keluar dari pintu rumah, ibu memandang dari tirai tingkap dengan sayu. Pipi ibu basah dengan air mata.

Aku tidak mengerti. Apa yang sudah aku lakukan? Bila aku cuba bertanya, abah hentikan persoalanku dengan tohmahan. Dikatanya aku anak tak sedar dek untung. Anak yang dibela tapi tidak tidak tahu berterima kasih. Bukan saja tidak sedar diri, malahan menyapu arang di muka mereka.

Aku melangkah rapat ke luggage yang terbuka sedikit. Menampakkan pakaian di dalamnya yang jelas disumbat masuk dalam kegesaan. Sekali lagi aku cuba bertanya apa dosa besar yang telah aku lakukan sehingga aku diperlakukan begitu. Abah mampir datang kepadaku dan dihadiahkan satu tamparan ke pipiku. Sehingga terpaling wajahku ke kiri dek penangan abah. Pipiku terasa pijar.

Dan ayat abah ketika itu, akan aku bawa sampai ke mati. Aku kejap kata-kata abah kemas dalam hati. Untuk aku ulang dan ulang setiap hari. Jadi pembakar semangat aku untuk terus hidup. Untuk aku buktikan pada abah, anak yang dibuang ini masih betah hidup walau tanpa sokongannya. Sedikitpun aku tidak sedar, pembakar semangat aku itu sebenarnya dendam. Dendam pada orang tua ku sendiri.

Akan aku ingat sampai bila-bila pandangan Diana yang memandang sinis dari tingkap bilikku ketika aku ditendang keluar dari rumahku sendiri. Seakan mahu saja aku katakan pada abah, mengapa dia lebih percaya pada Diana yang bukan darah dagingnya? Hanya kerana aku menyuarakan rasa tidak puas hatiku bila mereka mengambil Diana sebagai anak angkat, abah mudah menyangka yang aku tega melakukan perkara tidak elok kepada Diana.

“Pandang mata Yana abah! Abah percaya Yana sanggup buat semua tu? Abah percaya?”bila aku tanyakan soalan itu, dapat aku lihat dari bening mata abah yang dia mahu mempercayaiku. Tapi sekelip mata, wajahnya berubah semakin bengis.

“Memang abah tak percaya! Tapi bukti menunjukkan Yana yang buat semua tu! Sekarang abah bagi Yana choice. Yana boleh duduk rumah ni, tapi jangan harap hidup kita sekeluarga akan sama macam dulu atau Yana keluar dari rumah ni. Yana bukan lagi Yana yang abah dan ibu kenal. Abah tak sanggup tengok muka Yana lagi,”suara abah kendur di hujung ayatnya. Aku geleng kepala lemah. Air mata pun tidak mampu menitik ketika itu.

Perlahan aku angkat beg yang penuh dengan pakaianku. Aku letakkan di situ kunci Kancil yang abah berikan padaku saat mulanya aku belajar di universiti. Abah sudah buang aku dari hidupnya. Untuk apa lagi aku gunakan barang pemberiannya. Jika mahu dikerat pertalian kami, biar aku kerat terus semuanya. Habis! Kosong!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience