CHAPTER 26

Family Completed 25138

Hari ini aku mencari strategi berlainan pula untuk cuba menawarkan hati Hadif. Aku mahu dia menarik diri dari perkahwinan yang bakal berlangsung nanti.

Aku telefon Umi Jah, ibu kepada Hadif yang kerap aku jumpa selama perkenalan aku dengan Hadif. Dia merupakan seorang pesara guru. Pasti dia lebih boleh membaca kesan kepada keputusan Hadif pada masa depannya jika dia berkahwin denganku.

“Assalamualaikum Umi,” lembut aku memulakan bicara bila mendengar suara Umi Jah menyambung talian.

“Waalaikummussalam....Yana ya? Allah....lama Umi tak dengar suara Yana. Rasa pelik pula bila dengar dari corong telefon,”aku ketawa kecil. Hanya Umi Jah sahaja yang masih menggunakan perkataan ‘corong’ di zaman ini. Mungkin terbawa dengan kerjayanya sebagai Guru Bahasa.

“Umi sihat? Rasanya bulan lepas Umi dah bersara kan?” aku kembali teringat yang tahun ini Umi sudah tamat bertugas sebagai seorang guru. Umurya sudah mencecah tahap umur bersara.

“Yana ingat lagi ya? Minggu lepas sekolah sediakan satu majlis makan malam untuk hari persaraan Umi. Kalau Yana masih ada dekat sini, Umi memang berhajat nak bawa Yana sekali ke majlis tu,” menyebutkan tentang ketiadaan aku kembali mengingatkan aku tentang niat asalku menghubungi Umi selain daripada untuk melepaskan rindu.

“Umi,”panggilku perlahan.

“Ya, kenapa Yana?” lembut Umi kembali menyoal. Memberatkan hatiku yang memang sudah sedia berat mahu cuba mengatur perasaan Umi dengan agendaku.

“Ermm.....Hasif ada bercerita pasal Yana tak?”

“Cerita? Cerita tentang apa?” Aduh.....aku kejap mataku rapat. Umi bukan jenis membuka pekung di dada orang lain. Kalau pun Hasif ada memberitahunya tentang aku, Umi tetap tidak akan menyampaikan apa yang didengarinya. Jadi, aku lah yang dengan sendirinya perlu menjelaskan semuanya.

“Hasif datang jumpa dengan orang tua Yana,” aku membuka kenyataan. Menunggu reaksi Umi. Lama Umi diam sebelum membuka bicara.

“Umi tahu,” aku hela nafas panjang. Walau dua ayat saja, aku sudah dapat membaca hati Umi. Aku mula rasa tewas dengan niat asalku. Jika ditanya padaku, apa yang sama tentang dua beranak ini, jawapanku cuma satu. Degil. Hasif dan Umi Jah sangat degil. Bila mereka membuat sesuatu keputusan, kaki mereka akan berpasak teguh di situ.

“Umi tahu semua?” tekaku perlahan. ‘Semua’ yang membawa maksud segala-galanya tentang cerita hidupku.

“Hadif ada bercerita dengan Umi tentang keputusan dia. Umi setuju dengan pilihan Hadif,”

Habis! Tutup cerita! Aku tahu aku takkan mampu mengubah keputusan Umi Jah.

“Yana tak setuju Umi,” aku berterus terang tanpa berselindung lagi.

“Kenapa Yana tak setuju? Bukan memang dari dulu lagi kamu berdua merancang nak berkahwin?”tanya Umi Jah.

“Memang betul tu. Tapi kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Keadaan Yana dah berubah. Yana tak boleh berlaku tak adil pada Hadif. Umi faham kan?”

“Umi faham Yana...Umi tahu apa yang Yana fikir dan Umi ucapkan terima kasih bagi pihak Hadif. Sebab Yana lebih mengutamakan Hadif dalam membuat keputusan. Hadif mungkin tak nampak semua tu tapi Umi tahu,” ayat Umi Jah membuatkan aku nampak sejalur sinar harapan untuk aku mencapai niatku.

“Tapi....,”

“Tapi apa umi?”tanyaku tidak sabar.

“Tapi, umi tetap setuju dengan keputusan Hadif,”

“Umi....,” terkeluar terus suara rengekanku. Lama berkenalan dengan Umi Jah, aku sudah menaganggap dia seperti emakku sendiri. Tiada segan silu jika aku mahu bermanja-manja. Umi Jah ketawa senang. Sudah lama agaknya tidak mendengar rengekan mengadaku.

“Yana terus terang dengan Umi, kenapa Yana tak terima lamaran Hadif?” kali ini Umi bertanya seperti seorang ibu dan sahabat, bukan lagi sebagai emak Hadif.

“Umi, anak Yana tu anak tak sah taraf..Yana tak mahu beratkan Hadif dengan bebanan Yana,”jelasku perlahan. Itu memang sebab utama aku membuat keputusan ini selain dari mentaliti aku sendiri yang takutkan banyak kemungkinan lain.

“Anak bukannya satu beban Yana. Yana kena faham tu. Jodoh Yana dan Hadif tak sepatutnya Yana kaitkan dengan anak Yana. Apa yang patut Yana buat adalah, berbincang dengan Hadif tentang apa langkah seterusnya yang perlu kamu berdua ambil. Bukannya ambil keputusan sendiri yang berat sebelah,” aku diam mendengar nasihat Umi Jah. Ada benarnya kata Umi, tapi....arghh...berat sungguh mahu membuat orang sekeliling faham dengan hatiku.

“Berdoa Yana. Tenangkan hati Yana dan minta petunjuk. Dari apa yang Umi nampak sekarang, Yana seolah-olah sedang menentang satu dunia. Semua pihak dah beri kebenaran untuk Yana berkahwin dengan Hadif. Cuma Yana seorang saja yang masih berbolak balik. Bermakna...jawapannya ada dalam diri Yana sendiri. Ambillah masa sebanyak mana pun, tapi Yana kena ingat, semua perkara yang terjadi ada jangka masanya yang tersendiri. Cari jawapannya dan yakin dengan diri Yana sendiri. Apa pun keputusannya, jelaskan secara baik. Insyaallah...semua pihak pasti boleh menerima,”

“Yana dah terangkan baik-baik pun, semua orang masih tak nak terima,”keluhku perlahan.

“Sebab semua orang nampak Yana buat keputusan tergesa-gesa. Yana ikutkan perasaan. Yana boleh faham tu?” aku diam tidak menjawab kerana jauh di sudut hati, aku tahu aku bertindak mengikut emosi.

Sudahnya, perbualan aku dan Umi Jah berakhir dengan aku berjanji akan ke rumah Umi jika aku ada ke kawasan sana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience