CHAPTER 31

Family Completed 25138

Masuk hari ini, genap tiga bulan aku dan Hadif bernikah. Mula bulan hadapan, Hadif sudah berpindah ke cawangan syarikatnya di bandar ini. Lantas memungkinkan kami untuk tinggal sebumbung. Dan tidak ketinggalan juga anak kami, Yana Ilia.

“Hai baby...,”tersentak aku bila pinggangku tiba-tiba dirangkul dari belakang. Cepat aku mengurut dada bila satu kucupan singgah di pipiku.

“Abang! Tak reti bagi salam ke?” Hadif ketawa senang. Pelukannya semakin kemas di belakangku.

“Punya lah abang dengan kakak bagi salam dari depan, tak dengar ke? Melamun ya?” selepas perkahwinan kami, panggilan pada Yana Ilia sudah berubah menjadi ‘kakak’. Memudahkan Hadif dan orang lain untuk memanggilku, bimbang Yana Ilia ikut sama menganggap dirinya dipanggil sementelah nama panggilan kami serupa. Pada Hadif, panggilan itu adalah persediaan untuk masa hadapan jika murah rezeki kami diberikan zuriat.

“Mana ada melamun...asyik sangat kacau gulai ni sampai tak perasan,” jawabku selamba.

“Sayang abang tak?”

“Sayang...” aku ikutkan keletah Hadif yang mahu bermanja.

“Kalau sayang abang, kenapa tipu?” aku terdiam. Sebelah tanganku yang berada di dalam genggaman tangannya di pinggangku aku tarik sebelum dia kembali menguatkan genggamannya.

“Yana fikir apa sayang?” lembut Hadif bertanya dekat di telingaku. Aku berkira-kira mahu menjawab atau tidak soalannya.

“ Esok ulang tahun kelahiran arwah Diana,” aku mengambil keputusan untuk berterus terang daripada disoal lebih banyak oleh Hadif.

“Hmm....esok nak balik rumah abah tak?” aku rentap tanganku kuat dari pegangan Hadif. Pantas aku meloloskan diri dari pelukannya dan beredar ke meja makan.

“Sayang....”meleret suara Hadif mengikutku dari belakang. Aku mengelak bila lenganku dipagut. Tiba-tiba bahuku dipaut menghadap Hadif. Kedua belah pipiku dipaut rapat ke wajahnya.

“ Itu abah tau. Kena hormat,” pendek nasihat suamiku. Aku tundukkan pandangan dari berlaga dengan matanya.

“Jangan macam ni Yana. Abah bukannya immortal. Dia tak boleh hidup selama-lamanya,” terasa mahu ketawa pula bila Hadif mengatakan abah bukannya immortal.

“Yang abang tak habis-habis nak pujuk Yana jumpa Abah ni kenapa? Sekarang dah jadi kawan baik ke?” sinis aku menyoal. Bukannya aku tidak tahu yang Hadif selalu berjumpa Abah untuk keluar makan tengahari bersama.

Hadif tiba-tiba menarik aku duduk di pangkuannya di kerusi meja makan. Tanganku diangkat dan diletakkan memaut lehernya. Aku membuat muka kering. Tahu taktik Hadif yang suka memujuk dengan cara romantiknya.

“Bila abah setuju dengan pinangan abang, abang dah anggap abah macam kawan abang. Masa abah berterima kasih pada abang di pintu masjid sebelum nikah sebab sudi terima Yana seadanya, abang dah angkat abah sebagai kawan baik abang,” satu kucupan hinggap di kedua pipiku. Jari jemari Hadif mengelus lembut pipiku.

“Dan saat Abah lafaskan akad, abang terus anggap abah macam ayah kandung abang sendiri,” kali ini kucupannya singgah di bibirku lama. Saat aku buka mata, terus bertembung dengan mata Hadif yang sedikit berkolam. Terus aku tahu, sebagai isterinya, aku perlu akur dengan harapan suamiku. Hadif meletakkan abah di tempat yang tinggi di dalam hidupnya, bermakna aku juga perlu mengikut langkahnya. Hadif sudah kehilangan ayah kandungnya semasa dia baru mengenal dunia. Membuatkan dia mendambakan kehadiran seorang ayah di dalam hidupnya. Mungkin sekarang sudah terlambat, tapi tidak bermakna dia akan menolak kehadiran abah jauh ke belakang.

“Okay,”ucapku sepatah sebagai tanda aku setuju untuk ke rumah Abah esok.

“That’s my good girl!”pujian Hadif membuat aku menjelirkan lidah. Rimas dilayan sepeti budak-budak.

Bukannya aku sudah tidak menjejakkan kaki ke rumah abah. Kerap juga aku ke sana dalam tiap-tiap minggu yang berlalu. Tapi, aku akan mengelak dari berjumpa abah. Aku akan ke sana semasa Abah tiada ataupun aku sekadar meninggalkan Yana Ilia untuk bermalam bersama datuk dan neneknya sahaja.

Esok. Esok aku akan ketemu abah dan membetulkan semula segalanya. Kali ini, aku tahu, aku masih boleh membetulkan keadaan yang sudah berlaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience