CHAPTER 16

Family Completed 25138

HADIF P.O.V

Kenapa? Kenapa? Kenapa? Soalan yang sama berulang-ulang bermain di fikiran. Aku buntu mencari kemungkinan yang menyebabkan Yana berubah hati.

Semalam aku mencari Yana di pejabatnya. Sudah 2 minggu berlalu, bermakna Yana pasti sudah masuk bekerja. Tapi jawapan yang aku jumpa, jauh menyimpang dari apa yang kucari.

Diana Amira sudah berhenti kerja! Aku pulang semalam dengan kaki yang longlai. Lemah terasa seluruh tubuh mengenangkan Yana yang hilangnya seperti angin. Panggilanku juga tidak berjawab.

Aku tahu apa yang mahu disampaikan Yana. Yana benar-benar mahu aku faham dan terima, bahawa dia memang tekad untuk berputus arang denganku.

Dalam kekalutan perasaan, aku ketawa kecil. Mengenangkan walau Yana membiarkan aku terumbang ambing lemas mencari kasihnya, aku tetap tidak marah walau secubit pun kepadanya. Yang terbit di hatiku cuma satu. Risau.

Aku kenal Yana. Dan aku berani bertaruh, jika Yana berada di hadapanku ketika ini, aku pasti sudah boleh menelah mengapa dia membuat keputusan begini. Tapi aku sudah tidak berpeluang lagi melihat wajahnya.

Apa agaknya yang telah berlaku? Tanganku mencapai wallet yang berada di tepi bantal. Aku buka dan kurenung lama gambar Yana di lesen memandunya. Sekali pun Yana tidak pernah sedar yang aku menyimpan lesen memandunya sudah setahun lamanya. Ini lesen pertama yang Yana peroleh di umur 19 tahun. Memang sudah tiada nilainya, tetapi Yana simpan kerana katanya itu trofi kebanggaan untuk dirinya yang akhirnya berjaya mendapatkan lesen memandu selepas 3 kali gagal dalam ujian memandu.

Gambar Yana kabur di pandanganku. Mataku terasa panas. Rindunya pada Yana! Bagaimana agaknya keadaan dia di sana? Yana yang aku kenal sangat rapuh hatinya. Melihat raut wajahnya, pasti tiada siapa yang tahu apa yang kutemui jauh di sudut hatinya.

Mungkin kerana dia sensitif, Yana lebih senang menjauhkan diri dari ramai. Dia tidak banyak bercakap, tapi bukannya sombong. Bila dilihat caranya bersembang dengan kawan-kawan yang lama dikenalinya, akan terlihat sikapnya yang sebenarnya ramah dan mesra.

Ramai temanku bertanya apa yang kulihat pada diri Yana yang membuatkan aku tergila. Aku, Muhammad Hadif yang sangat susah mahu membuka hati, tergila-gilakan Diana Amira yang pendiam dan tidak mesra.

Itu kerana aku nampak apa yang tidak dilihat mereka. Mungkin ini yang dikatakan cinta. Bukankah cinta itu buta?

Bukannya mudah aku mahu mencuri hati Yana. Hampir 6 bulan mengejar, baru Yana dapat aku pikat. Kesusahan itu yang aku ingat sehingga kini dan mengajar aku untuk menghargai Yana. Tiada lagi yang kedua akan kutemu. Hanya Yana saja yang singgah di hati!

Aku kembali memandang lesen memandu Yana. Mataku melilau melihat segenap ceruk wajahnya yang masih kebudak-budakan tika gambar passport itu diambil. Bingo!

Mataku tertancap pada alamat rumah Yana. Ini pasti alamat rumah lamanya. Rumah yang menyaksikan Yana dihalau keluar oleh ayahnya sendiri. Akalku mula ligat berputar. Hatiku tekad! Akan aku kejar Yana walau hingga ke hujung dunia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience