CHAPTER 9

Family Completed 25138

Aku mengucap panjang. Terasa seperti diri berada di dalam drama. Jalan cerita kedengaran berbelit dan tidak logik. Benarkah ini sedang berlaku pada diriku?

“ Still...ayah lebih percayakan Diana dari Yana?” ibu diam membisu. Aku tahu mengapa. Kerana ibu juga tahu dengan hakikat yang satu itu. Ayah lebih sayangkan Diana dari aku. Sedari Diana mula tinggal bersama kami sekeluarga, ketara benar ayah suka melebihkan Diana dalam banyak perkara.

Aku diam tidak bermakna aku tidak sayangkan ayah. Aku tidak aktif menarik perhatian ayah seperti Diana tidak bermakna aku tidak mahu perhatian ayah. Mudah benar ayah beralih hati.

“ Jangan salahkan ayah. Mungkin ayah masih tak nampak semua ni. Kita doakan supaya satu hari nanti, mata ayah akan terbuka,”aku sudah diterbangkan angin ketika itu. Menyusur semula memori bersama Diana sambil mencari di mana silapku dalam hubungan kami.

Memang sedari dahulu lagi, aku akui, aku tidak pernah sekepala dengan Diana. Entah kenapa, setiap perlakuannya kelihatan jelek di mataku. Bila melihat ayah melayannya lebih dari ayah melayanku, aku diamkan sahaja. Kerana hatiku berkata, walau apa pun yang dilakukan Diana, tetap aku ini anak kandung ayah. Satu hubungan yang tidak akan dia dapat seumur hidupnya.

Ibu seorang yang simple. Simple dalam perbualan juga simple dalam perlakuan. Dalam diam ibu, ada tegasnya. Dalam diam ibu, ada logiknya. Mungkin kerana itu, Diana jarang mahu mendekati ibu seperti caranya mendekati ayah. Ibu tidak semudah itu menerima sikap manja berlebihan Diana.

Sikap aku sedikit sebanyak turun dari ibu juga ayah. Diamku datangnya dari ibu. Kerasku datangnya dari ayah. Mungkin kerana itu, Diana tidak pernah dapat menembusi dinding yang aku bina untuk memisahkan kami berdua.

“ Diana ada tinggalkan surat untuk Yana. Ibu simpan,” pendek kata-kata ibu. Ibu simpan. Bermakna ayah tidak tahu menahu tentang surat itu.

“Untuk apa?” sinis aku bertanya semula. Mampukah sekeping surat merubah segala yang sudah berlaku? Lagian, empunya yang memberi surat juga sudah tiada di muka bumi ini. Jadi, untuk apa lagi disampaikan surat itu?

“Yana, jangan macam tu. Ibu tak ajar anak-anak ibu berdendam. Baca surat tu. Maybe it can straighten things between you both,”pujukan ibu aku biarkan sepi. Perlahan ibu bangun meninggalkan aku bersama Yana yang sibuk menunjukkan anak patung mainannya kepadaku. Aku layan semampuku.

Rambut Yana yang duduknya di hujung kaki aku usap perlahan. Kasihan anak ini. Dilahirkan dengan status anak tidak sah taraf bukannya perkara yang mudah. Mungkin di umur sekecil ini, dia tidak akan tahu apa kesannya pada kehidupan sehariannya. Tapi bagaimana nanti bila dia sudah mula bersekolah? Bagaimana pula bila dia sudah mula berkawan?

Sejak 2 hari lepas, Yana sudah mula memanjakan diri denganku. Panggilannya tetap tidak berubah. Mama! Mama! Aku yang pada mulanya sedikit jengkel sudah terbiasa pula dipanggil sebegitu. Memang dari zahirnya, aku memang tidak menyukai kanak-kanak kecil. Terutamanya yang 6 tahun ke bawah.

Tak bermakna aku tidak pernah berimpian untuk punyai anak-anak sendiri. Cuma, dahulunya, budak kecil selalu menangis bila disuakan wajahku. Ada beberapa saja yang betah bila didukung atau diacah olehku. Yang lainnya, terus menangis. Wajahku yang memang tidak ada gaya keibuan agaknya mengundang ketakutan di jiwa kecil mereka.

“Ini suratnya. Balik nanti baca,” tiba-tiba sekeping sampul berwarna biru disuakan di hadapanku. Lambat-lambat tanganku bangkit menyambut pemberian ibu. Hati benar-benar terasa malas mahu membaca surat dari Diana itu.

“Nantilah,” acuh tak acuh aku menjawab. Malam nanti bila bermalasan di dalam bilik hotel, baru akan kubaca.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience