Bab 28
Dari satu segi, aku rasa lega sebab Faris tak hilang kemana-mana dan berada dalam keadaan selamat serta sihat sejahtera. Mujur juga tak ada perkara buruk yang menimpa dia. Tapi dari satu sudut yang lain aku tak suka bila Ayna bagitahu yang Faris sebenarnya duduk dekat rumah dia.
“Aku duduk kondo ayah aku. Tak ada orang pun duduk dekat situ jadi aku minta dengan ayah aku nak duduk situ. International kondo. Tak ada hal lah. Orang dekat situ tak kisah pun.” Selamba Ayna cakap dekat aku. Puas juga aku nak kawal ekspresi muka masa tu bagi tak nampak sangat yang aku terkejut.
“Tapi korang duduk serumah. Kau tak takut ke?” Aku tanya Ayna. Harap Ayna faham apa yang aku cuba nak sampaikan dekat dia sebenarnya.
“Lain-lain bilik okey? Kita orang tak buat apa-apa pun.” Ayna jawab.
Aku tarik nafas perlahan-lahan.
“Tapi dia lelaki. Kau perempuan.” Aku cakap lagi.
Aku nampak air muka Ayna berubah.
“Yang kau risau sangat kenapa?” Ayna soal aku. Tapi nada pertanyaan dia tu nampak macam dia tak suka dengan apa yang aku nak sampaikan dekat dia.
“Aku tahu jaga diri aku, okey. Kau kata kau tak ada perasaan dekat Faris jadi tak payah masuk campur urusan dia lagi. Kau fokus aje dekat abang Luthfi tu.” Ayna cakap lagi dan sambung makan makanan dia.
Aku terdiam bila dengar cara Ayna bercakap tu. Kenapa dia tiba-tiba macam melenting pula? Aku salah cakap ke? Rasanya aku nak cakap perkara yang betul dekat dia.
Memanglah aku tahu Ayna boleh jaga diri dia. Dan aku pun tak rasa Faris nak buat perkara-perkara yang tak elok. Tapi, dia orang tetap lelaki dan perempuan yang tak ada hubungan atau ikatan apa-apa. Kalau pun tak ada masyarakat sekeliling mereka yang ambil kisah sekalipun, tapi duduk serumah macam tu tetap tak elok di sisi agama.
Tapi aku tengok Ayna tak mahu ambil peduli pekara tu. Sebaliknya dia macam nak marah aku. Aku tak tahu kenapa aku jadi takut nak lawan Ayna ni.
Mungkin sebab aku tak nak bergaduh dengan dia. Lagipun aku nak berbaik-baik dengan dia. Kalau boleh aku nak hubungan aku dengan dia macam dulu semula. Jadi, aku ambil keputusan untuk biarkan aje dulu hal ni. Mungkin nanti aku boleh suruh Luthfi cakap dan nasihatkan Ayna.
Tapi nak ke Luthfi? Dia pun macam tak berapa baik dengan Ayna kebelakangan ni. Aku geleng kepala untuk cuba kosongkan minda aku dari perkara-perkara negatif yang dah mula masuk dalam otak aku ni.
Aku pandang makanan aku yang masih berbaki dalam pinggan. Lebih baik aku makan dulu.
“Tapi Ayna… paling tidak pun, kau kena suruh dia pergi kelas. Budak-budak kelas dia dengan pensyarah semua cari dia.” Aku cakap dengan suara perlahan dekat Ayna.
Aku tengok Ayna masih terus makan dan buat macam tak dengar apa yang aku baru cakapkan tadi.
“Okey. Nanti aku cuba nasihatkan dia suruh dia pergi kelas.” Ayna jawab juga akhirnya selepas diam tiga minit setengah. Lepas tu dia angkat muka dan senyum dekat aku.
Tak marah dah kot! Aku pun senyum semula dekat dia. Rasanya, kalau aku tak dapat nasihatkan Ayna, aku kena nasihatkan Faris. Aku kena suruh dia keluar dari rumah tu. Bayangkanlah kalau mak ayah dia tahu dia duduk serumah dengan perempuan bukan mahram. Mesti dia orang sedih. Lagipun, mak ayah Faris pun orang yang baik-baik dan kuat pegangan agama.
********************************
Aku rasa macam aku dah nampak kelibat Faris semula dekat kampus. Agaknya dia dah pergi kelas semula. Pandai juga Ayna nasihat dia supaya dia pergi kelas. Tapi aku masih tertanya-tanya dekat mana dia duduk?
Adakah Faris masih balik rumah Ayna? Ataupun dia dah kembali duduk dekat asrama?
Jadi pada suatu petang aku pun pergilah bertanya dekat Zalee, kawan sebilik dia. Nasib baik aku terjumpa Zalee dekat café masa aku nak pergi beli makanan untuk makan malam hari tu.
“Faris ada dekat bilik tak?” Aku tanya Zalee yang tengah beratur nak bayar makanan dia dekat kaunter.
“Dia balik sekejap-sekejap aje dekat bilik untuk nak ambil barang. Lepas ambil barang dia terus blah. Katanya dia duduk tumpang rumah sewa saudara dia sekarang ni.” Zalee cakap dekat aku.
“Saudara dia?” Aku macam pelik.
“Aah. Tapi aku tak tahu lah dekat mana. Tapi dah berminggu-minggu dia tak tidur dekat bilik. Datang ambil barang ajelah.” Cakap Zalee lagi.
Aku angguk. Nampak gayanya Faris masih duduk dengan Ayna dekat kondo dia.
“Tapi dia nampak okey sikit dah kebelakangan ni. Tak adalah murung macam hari tu.” Tiba-tiba Zalee menambah.
“Murung?” Aku terkejut. Zalee mengangguk.
“Dua tiga minggu lepas aku tengok dia bad mood semacam. Macam ada masalah. Makan tak nak. Keluar tak nak. Risau juga aku tengok keadaan dia masa tu.” Zalee menerangkan.
Dalam hati aku dah terdetik dan terbayang. Mesti dia macam tu sewaktu dia bergaduh dengan aku dulu. Teruk sangat ke aku marah dia sampai dia jadi macam tu sekali?
“Tapi sekarang dia macam dah okey.” Zalee menambah. Aku angguk. Baguslah kalau macam tu.
Lepas tu aku cakap terima kasih dekat Zalee. Aku balik bilik untuk makan. Makanan yang aku beli tu aku bungkus aje sebab tak best nak makan dekat café sorang-sorang. Kalau dulu aku ada Faris untuk teman aku makan.
Sekarang tiba-tiba aku rasa sunyi bila Faris tak ada dengan aku. Rasanya aku pernah rasa sebegini semasa Ayna putus hubungan dengan aku dulu. Tapi waktu tu aku tak rasa sunyi sangat sebab Faris ada di sebelah aku. Dia lah yang selalu menceriakan hidup aku.
Tapi sekarang Faris dah tak ada dengan aku. Ayna pun masih jauh dengan aku. Rasa macam aku tak ada kawan lain selain diaorang. Tiba-tiba aku teringatkan Luthfi. Aku nak telefon dan bercakap dengan dia. Rasa macam dia seorang aje yang boleh hilangkan kesunyian aku ni.
Tapi aku teringat yang dia mungkin tengah sibuk sekarang ni. Hari tu dia ada bagitahu aku yang dia kena bawa kapal terbang ke Pulau Pinang. Walaupun masih dalam Malaysia, aku tak tahu kerja dia macam mana. Jadi aku tak nak kacau dia sebab takut dia sibuk. Rasanya esok lusa baru dia balik. Kalau nak jumpa pun kena tunggu sampai dia balik dululah jawabnya.
Aku sampai dekat bilik dan makan seorang diri. Fatiha memang jarang makan dengan aku sebab dia selalu keluar dengan boyfriend dia. Untunglah dia sebab boyfriend ada depan mata. Dah memang budak univeristi ni juga. Boleh selalu keluar makan bersama. Aku pula terpaksa kena tunggu Luthfi free baru boleh makan sama-sama.
Eh?! Kenapa aku cakap Luthfi pula? Luthfi tu bukan boyfriend aku lagi lah. Dia tu masih kawan aje dengan aku. Aku geleng-geleng kepala. Ish! Buat malu je. Rasa kena buat reminder dekat diri sendiri. Selagi aku tak cakap ‘Ya’ dekat Luthfi, selagi tu kita orang masih kawan biasa. Full stop!
Rasa macam tak sabar nak tunggu Luthfi balik dari Pulau Pinang. Aku dah buat keputusan. Bila dia balik nanti aku nak cepat-cepat bagi jawapan kepada soalan dia hari tu. Aku tak nak hilang dia lagi. Aku memang suka dia. Suka sangat-sangat dekat dia! Malah aku sayang sangat dekat dia. Dari dulu lagi. Dari mula-mula dia berjaya curi hati aku yang masih muda waktu kami sama-sama di bangku sekolah dulu.
Perpisahan yang pernah jadi antara aku dengan dia dulu aku anggap sebagai pengalaman pahit saja. Ataupun sebuah mimpi yang buruk. Dan aku dah pun terjaga dari mimpi buruk tu. Rasanya aku masih nak teruskan perhubungan aku dengan Luthfi macam dulu lagi.
***************************
Aku dalam perjalanan nak ke blok pentadbiran sebab aku nak pergi cari pensyarah untuk tanya tentang mini projek yang dia bagi dekat kelas aku minggu lepas. Tiba-tiba aku perasan kereta Swift warna biru Ayna tengah parking dekat jalan tepi blok tu. Aku cuba intai, memang aku tak salah kereta. Tu memang kereta Ayna sebab Ayna memang tengah duduk dekat tempat pemandu kereta tu.
Nampak macam dia tengah tunggu seseorang. Dalam hati aku dah boleh agak dia tunggu siapa. Mesti dia tunggu Faris. Adakah dia hantar dan ambil Faris dekat kampus ni setiap hari? Kenapa dia sanggup buat macam tu? Tiba-tiba aku rasa pelik. Jadi aku pun buat keputusan untuk pergi bertegur sapa dengan Ayna yang dekat dalam kereta tu.
Ayna rasanya dah nampak aku datang dekat kereta dia. Jadi dia pun turun dari kereta. Aku tengok dia senyum dekat aku. Mood dia macam baik, aku fikir dalam hati. Rasa macam pelik pula sebab aku kena baca mood Ayna dulu sebelum nak cakap apa-apa dengan dia. Dulu aku dengan dia tak macam ni pun.
“Aku tunggu Faris.” Ayna bagitahu aku tanpa perlu aku bertanya.
“Dia masih balik rumah kau lagi ke?” Aku tanya walaupun aku rasa aku dah tahu jawapannya.
Tekaan jawapan aku betul lepas tengok Ayna angguk. Dalam hati aku dah rasa tak sedap dah.
“Setiap hari kau hantar dan ambil dia ke?” Aku tanya. Ayna angguk. Aku pun angguk juga tanda faham.
“Kau ada masalah ke aku buat macam tu?” Tiba-tiba Ayna tanya.
Aku pandang muka dia, memang dah lain macam sikit. Nampak sangat dia tak suka kalau aku tanya pasal dia dengan Faris lebih-lebih.
“Tak… tak ada…” Aku cakap sambil sengih. Dalam hati Tuhan saja yang tahu apa perasaan aku bila tengok Ayna macam ni.
“Baguslah kalau tak ada.” Ayna cakap lagi. Kali ni hati aku meneka sesuatu. Tapi mulut aku terkunci untuk bertanyakan kesahihan perkara tersebut. Ah, lantaklah! Aku halau perasaan tu jauh-jauh.
“Kau tak payah risaulah, May. Kalau dia rasa nak balik, tahulah dia balik. Aku tak perlu suruh dia balik pun.” Ayna cakap lagi.
Lepas tu aku perasan yang Faris tengah berjalan ke arah kitaorang. Aku pandang Faris. Faris hanya tengok Ayna sambil senyum. Rasa macam dah lama tak tengok dia senyum macam tu. Ayna pun balas senyuman dia.
“Dah lama tunggu I?” Dia tanya Ayna. Langsung tak toleh ke arah aku.
“Lama lah juga. Nasib baik ada May. Tak adalah bosan menunggu you.” Ayna cakap dekat Faris. Nada dia sangat lain dengan cara dia bercakap dengan aku. Tapi aku buat-buat tak perasan aje perkara tu.
“Okeylah, May. Aku nak balik dulu. Jumpa lain kali.” Ayna cakap dan terus masuk dalam kereta. Faris pun masuk ke tempat duduk sebelah pemandu tanpa mempedulikan aku langsung.
Lepas tu Ayna terus pandu kereta pergi menuju keluar dari kawasan kampus. Aku yang masih berdiri dekat tempat tadi terus terpaku. Rasa macam tak percaya dengan apa yang aku tengok tadi? Kenapa aku rasa macam ada sesuatu di antara Ayna dengan Faris?
Aku baru sedar yang aku tengah berdiri seorang diri dekat tepi jalan ni. Kalau orang tengok aku berdiri kaku macam ni mesti orang pelik. Perlahan-lahan aku mengatur langkah menuju ke bilik pensyarah yang aku nak pergi tadi. Nasib baik aku ingat lagi tujuan aku nak pergi blok pentadbiran ni tadi.
**************************
Aku tengah layan drama korea Master’s Sun masa aku perasan telefon aku berbunyi. Jam dah menunjukkan pukul 8.30 malam. Disebabkan hari ni hari Jumaat, jadi aku terasa sangat malas nak buat apa-apa kerja. Jadi sebab itulah aku melekat dekat drama Master’s Sun ni.
Aku tengok nama pemanggil yang tertera dekat skrin telefon. Lepas tu aku senyum. Dia dah balik! Dalam hati aku melonjak-lonjak. Cepat-cepat aku jawab panggilan tu.
“Assalamualaikum.” Aku dengar Luthfi bagi salam dari dalam telefon. Aku dah senyum sampai ke telinga dengar suara dia bagi salam. Lepas tu baru aku jawab salam dia.
“Bila balik?” Aku tanya dia.
“Baru sampai rumah.” Dia jawab.
“Rehatlah dulu. Buat apa call saya?” Aku cakap lagi. Mesti dia tengah penat.
“Sebab kalau tak dengar suara awak, saya tak senang duduk. Macam mana nak rehat?” Dia jawab.
Aku geleng kepala. Dia ni dah mula dah perangai pelik dia ni.
“Tak payah nak berdrama sangatlah malam-malam ni.” Aku cakap dekat dia. Bagi dia sedar sikit yang dia tu bukan hero filem hindustan pun.
Dia gelak. Baru sedar akan realiti hidup dia kot. Nasib baik… nasib baik.
“Esok buat apa?” Dia tanya aku.
“Esok hari Sabtu. Berehatlah. Nak buat apa lagi?” Aku jawab.
“Tukar plan awak. Jangan berehat. Teman saya makan breakfast.” Dia cakap.
“Okey.” Aku balas pendek.
Aku dah tahu sebenarnya strategi ajak makan breakfast dia tu adalah sebenarnya adalah untuk tak bagi aku tidur semula selepas bangun Subuh. Pendek rezeki, dia cakap dekat aku. Aku pun tahu. Tapi masalahnya, sebab kalau aku tak ada aktiviti apa-apa dekat hostel ni memang aku akan tidur semula selepas Subuh. Tambah pula suasana memang akan sunyi sepi kalau waktu pagi. Memang suasana yang paling best untuk tidurlah.
“Pukul 7 esok pagi.” Dia buat keputusan.
Aku tak ada masalah pun. Sebab aku memang bangun awal untuk solat Subuh. Tapi bila semua orang tidur dan aku pun memang tak ada aktiviti lain langsung, aku secara automatik akan ikut tidur juga.
Kira bagus juga sebenarnya bila Luthfi ajak aku keluar pagi-pagi macam tu. Tak adalah aku kerjanya tidur aje. Sekurang-kurangnya dapat juga pergi keluar menghirup udara segar masa keluar makan pagi esok.
Lepas Luthfi letak telefon, aku sambung tengok Master’s Sun. Dalam hati tak sabar nak keluar breakfast dengan dia esok.
***********************
“Faris dah datang kelas semula?” Luthfi soal aku semasa aku tengah suap nasi lemak ke dalam mulut.
Aku angguk.
“Awak tanya dia tak ke mana dia pergi menghilang hari tu?” Luthfi tanya lagi. Pelik pula aku tengok Luthfi ambil berat pasal Faris macam ni.
Aku geleng untuk menjawab soalan dia. Dia angkat kening, terkejut dengan jawapan aku.
“Kenapa tak tanya? Awak tak cakap ke yang kita hampir report polis sebab dia hilang?” Luthfi bertanya lagi. Balik-balik dia aje yang menyoal. Aku hanya angguk dengan geleng aje.
Aku sebenarnya serba salah nak cerita dekat dia. Maklumlah, Ayna tu adik sepupu dia. Dia pun mesti marah dan tak suka bila tahu Faris ada dekat rumah Ayna.
Agaknya Luthfi perasan yang aku macam tengah sembunyikan sesuatu. Dia pun berhenti makan roti canai telur dia dan pandang aku betul-betul. Lepas tu dia paksa aku beritahu perkara yang sebenarnya.
Aku rasa aku pun tak boleh nak sembunyikan pekara ni lama-lama dari dia. Lambat-laun dia mesti akan tahu juga. Lagi pula Ayna tu keluarga dia. Hati aku pun tak sedap kalau simpan sorang-sorang aje. Tambahan pula, aku berharap yang dia boleh pujuk Ayna untuk suruh Faris balik semula ke asrama. Jadi aku pun ceritalah dekat Luthfi tentang hal yang telah berlaku.
Dan seperti jangkaan aku, memang Luthfi terkejut beruk pun. Mula-mula dia tak percaya dan ingat aku main-main dekat dia. Tapi lepas tengok muka aku yang memang serius ni, baru dia percaya.
“Awak tak boleh pergi cakap something ke dekat Ayna? ” Aku tanya Luthfi.
“Cakap apa?” Luthfi tanya aku balik.
“Cakaplah apa-apa. Yang penting dia orang tak duduk bersama macam tu. Tak elok sangat macam tu.”
Aku tengok Luthfi tarik nafas panjang. Lepas tu perlahan-lahan dia angguk. Dalam hati rasa lega tiba-tiba. Lega sebab Luthfi pun sudi kongsi tanggungjawab untuk nasihatkan Ayna dengan Faris tu.
Lepas tu aku baru teringat sesuatu. Sesuatu yang dah lama aku nak cakap dekat dia. Rasa macam lama sangat tunggu dia balik dari penerbangan dia hari tu. Rasanya hari ni hari yang sesuai untuk aku cakap apa yang aku nak cakap tu. Lagipun aku memang tak nak tunggu lebih lama. Lebih cepat aku cakap, lagi cepat aku lega.
“Luthfi…” Aku panggil nama dia. Aku jarang sebenarnya panggil dia dengan nama dia.
Aku tengok dia angkat muka dan pandang aku. Roti canai telur dia masih tinggal sedikit dalam pinggan makan dia.
“Awak ingat tak soalan yang awak tanya saya hari tu?” Aku tanya sambil suap nasi lemak aku yang masih ada dalam pinggan. Sebenarnya nak cover nevous. Muka aku dah rasa panas sebab malu ni.
Luthfi angguk. Nampak riak muka dia dah tak sabar tunggu ayat seterusnya dari aku. Aku tarik nafas dalam-dalam. Rileks Maya!
“Peluang yang awak tanya tu, sentiasa ada sebenarnya. Saya pun rasa yang saya nak bermula semula dengan awak.” Aku cakap juga ayat tu walaupun aku gugup sangat-sangat sebenarnya. Nasib baik tak tergagap-gagap.
Aku tengok Luthfi pandang aku macam kalau boleh dia nak peluk aku. Nasib baik dia tak bangun dan peluk aku betul-betul. Lepas tu dia senyum. Nampak dia gembira sangat-sangat. Tengok dia macam tu, aku pun gembira sekali.
“So, kiranya sekarang, I am officially your boyfriend again lah?” Dia tanya aku.
Aku angguk. Senyum dia tambah lebar. Lepas tu suap roti canai yang terakhir yang ada dalam pinggan dia.
“Tak perasan pula yang breakfast hari ni sedap sangat-sangat. Rasa nak tambah makananlah.” Dia cakap. Senyuman tadi masih lagi bersisa pada wajahnya. Dan aku pun ikut tersenyum.
Share this novel