Bab 32
Aku berhajat nak siapkan semua assignment aku dekat library sebab aku tahu kalau aku balik asrama, harapan untuk kerja-kerja tu semua siap amatlah tipis. Balik-balik nanti aku akan bercinta dengan katil dan selimut aku. Nasib aku baiklah juga sebab dalam satu hari ni, aku Cuma ada kelas pada awal pagi. Lepas tu aku free sampai esok.
Aku tengah fokus nak jawab soalan pengiraan untuk subjek thermal science bila Faris datang mengacau aku dan membantutkan segala hasrat dan semangat aku yang berkobar-kobar.
“Sibuk?” Dia datang dan duduk semeja dengan aku tanpa minta kebenaran aku pun. Kalau dulu aku tak kisah pun dia buat macam tu. Tapi sekarang aku kisah sebab aku dah tahu perangai sebenar dia.
“Tak nampak ke?” Aku cakap sambil terus sambung kerja aku. Walaupun fokus aku sebenarnya dah lari sikit dengan kehadiran dia ni.
“Sorrylah. Tak berniat nak ganggu kau.” Dia cakap.
Aku buat bodoh je. Malas nak layan dia. Malas nak balas apa yang dia cakap. Tak ada sebab aku nak bercakap dengan dia. Dan aku pun tak pandang langsung dia.
“Aku boleh duduk dengan kau dekat sini, kan?” Dia tanya aku lagi. Aku pejam mata dan tarik nafas dalam-dalam.
“Meja lain kan banyak lagi.” Aku cakap
dekat dia. Dan memang banyak pun tempat duduk lain untuk dia duduk. Mengada-ngada nak duduk dengan aku.
“Janganlah sombong sangat. Takkan sampai nak duduk semeja pun tak boleh.” Dia cakap dekat aku.
Aku angkat muka dan pandang dia. Dia pun pandang aku semacam aje. Apa lagi yang dia nak dari aku ni sebenarnya?
“Suka hati kaulah. Asalkan kau tak kacau aku.” Aku cakap.
Malas aku nak bertekak dengan dia. Dahlah dekat perpustakaan. Selagi dia tak buat perkara yang bukan-bukan, aku layankan ajelah.
Faris buka buku dia juga dekat depan aku. Aku tengok dia pun keluarkan assignment dia dan buat kerja macam aku juga. Aku angkat kening tengok dia. Lain macam pula dia hari ni. Tak aggressive macam selalu. Kalau tak dah macam orang gila dah aku tengok dia ni. Pantang jumpa aku mesti nak pegang-pegang aku.
Aku duduk dengan Faris macam tu selama sejam jugalah. Aku tetap dengan tugasan-tugasan aku, dan dia dengan tugasan dia. Dia pun tak cakap apa-apa dengan aku. Dan aku lagilah tak ada benda nak cakap dengan dia.
“Tak ada kelas ke?” Faris tanya aku selepas diamkan diri selama satu jam.
Aku geleng.
“Langsung tak ada ke hari ni?” Dia tanya aku dengan nada yang ramah.
Dalam hati aku dah pelik. Apa kena dengan Faris ni hari ni? Rasanya lepas aku bergaduh dengan dia dulu, inilah kali pertama dia jadi diri dia yang asal balik. Kalau tak dia adalah Faris yang aku tak kenal. Marah-marah, aggressive dan bertindak melulu.
“Tak ada.” Aku jawab acuh tak acuh. Bukan apa, aku hanya nak berwaspada dengan dia. Mood swing juga ke mamat ni? Dalam hati aku bertanya.
“Makan tengahari dengan aku nak? Aku belanja.” Dia ajak aku tiba-tiba.
Aku tengok dia dah berhenti buat kerja. Dah siap kerja dia agaknya.
“Tak apalah. Kerja aku banyak. Kau makan ajelah.” Aku tolak ajakan dia. Entah kenapa aku rasa serba salah menolak pelawaan dia tu. Adakah sebab sikap dia hari ni mengingatkan aku pada perwatakan dia yang lama?
“Kau nak keluar dengan Luthfi ke?” Dia tanya aku tiba-tiba.
Aku letak pen aku dan tengok dia betul-betul buat kali pertamanya hari ni.
“Kau nak apa sebenarnya ni?” Aku tanya dia.
“Tak ada apa. Saja nak borak dengan kau. Takkan itupun tak boleh? Takkan sebab kau dah berpunya aku langsung tak boleh nak bercakap dengan kau?” Dia melemparkan soalan secara bertubi-tubi dekat aku.
Aku duduk bersandar pada kerusi sambil berpeluk tubuh.
“Aku tak buat apa-apa yang kau tak suka pun hari ni, kan? Kenapa kau perlu marah?” Dia soal aku seperti memerli aku. Nasib baik tak ramai orang sangat dalam perpustakaan ni hari ni. Jadi tak adalah mata-mata yang memerhati mahupun mencuri dengar perbualan aku dengan dia.
“Faris…”
“Kenapa? Bersalah sangat ke aku sebab aku sukakan kau sampai kau benci aku sampai macam ni sekali?” Dia menyoal aku lagi tanpa sempat aku cakap apa-apa dekat dia.
“Tolonglah, Faris. Aku letih nak cakap perkara yang sama dekat kau banyak kali.” Aku cakap dekat dia.
“Kenapa dia boleh suka kau dan aku tak boleh, Maya?” Faris terus-terusan bertanya kepada aku.
“Aku suka kau, dan aku yakin aku boleh buat lebih baik dari Luthfi tu. Aku takkan kecewakan kau macam yang dia pernah buat dekat kau dulu. Cuma kau kena bagi aku satu peluang, Maya.” Dia terus bersuara.
Dan inilah yang buat aku jadi tak selesa dengan Faris. Kan bagus kalau Faris boleh terus jadi kawan aku macam dulu. Kenapa dia perlu keruhkan keadaan dengan memaksa aku untuk suka dia?
“Faris, tolonglah. Aku hormatkan kau sebab kita kawan. Dan aku berterima kasih dekat kau sebab kau selalu tolong aku semasa aku susah. Tapi tak bermakna kau boleh desak aku untuk suka kau.” Aku cakap dekat dia ayat ni buat kali yang keseratus dah agaknya. Tapi aku tak rasa yang dia boleh faham dan terima apa yang aku cakapkan tu.
Faris capai tangan aku yang aku letak atas meja. Cepat-cepat aku tarik. Dia buat dah perangai melulu dia tu. Aku geleng kepala tengok perangai dia. Lepas tu aku terus kemas semua barang-barang aku dan masukkan ke dalam beg. Aku terus pergi sebelum sempat dia cakap apa-apa lagi dah.
Tak sangka pula aku si Luthfi ni minat pergi pasar malam. Ingatkan orang yang banyak duit macam dia ni dah tak layan dah standard pasar malam punya barang. Kalau aku tahu dia suka pergi pasar malam, dah lama aku ajak dia pergi. Dapat banyak sikit makanan free. Muahaha!
“Nak beli makanan apa?” Aku tanya dia. Nak juga tahu apa jenis makanan yang dia cari dekat pasar malam ni.
Tapi dia tak jawab pun.
“Jom pergi sana dulu nak?” Dia ajak aku pergi tempat yang jual bukan makanan.
Ada baju bundle, mainan kanak-kanak, jam murah-murah dan macam-macam lagi. Apa benda pula mamat ni nak cari dekat sini? Lepas tu dia dia singgah pulak dekat gerai jual baju.
Aku pandang dia pelik. Teringin ke dia nak beli baju dekat pasar malam. Dia buat-buat tak layan aje aku ni. Lepas tu sibuk tanya harga dekat abang yang tukang jual baju tu. Siap tawar menawar lagi. Hebat dari aku lagi nampak! Akhir sekali selamat empat helai T-shirt dia rembat.
“Apa pandang-pandang?” Dia tanya aku sebab aku pandang dia dengan penuh takjub.
“Tak tahu pula awak beli baju dekat pasar malam aje. Ingatkan selama ni awak beli dekat Pavilion aje selama ni.” Aku cakap dekat dia.
Dia sengih.
“Sekali-sekala nak juga jimat duit dengan beli baju murah je, sayang.” Dia cakap dekat aku sambil masih tersengih.
Dia panggil aku sayang lagi. Panas pulak muka aku ni tiba-tiba. Segannya. Tapi suka. Haha!
“Opps. Lupa. Panggil sayang lepas kahwin aje kan?” Dia betulkan cepat-cepat lepas perasan muka aku yang dah merah padam ni. Tapi aku rasa dia saja nak usik aku.
Aku buat-buat jeling dia. Tahu dah sebenarnya taktik dia tu. Dia saja sebenarnya buat-buat terlepas cakap panggil aku sayang. Ni bukan kali pertama sebenarnya dia buat macam tu. Dah banyak kali dah pun sebelum ni dia panggil aku sayang walaupun aku cakap jangan panggil aku macam tu. Tapi nak buat macam mana, Luthfi ni bukannya makan saman sangat orangnya.
“Duit banyak pun nak jimat ke?” Aku cuba alihkan balik topik ke hal yang asal.
“Mestilah. Nak simpan duit pinang awak nanti kan?” Dia cakap tanpa pandang aku. Tapi bibir dia senyum lebar-lebar.
Dia ni memang saja kan! Pandai aje buat aku lagi cair dekat dia! Player ke apa dia ni? Tiba-tiba aku curios. Pandai sangat keluarkan ayat-ayat cinta macam tu.
Sebabkan aku nak cover perasaan berbunga-bunga dalam hati aku tu, aku pun terus jalan pergi ke gerai lain untuk tengok-tengok barang. Luthfi pun ikut aje aku. Tapi aku perasan dia sengih tengok aku. Mesti dia tahu aku tengah cover! Waaa! Malunya.
“Nak tudung tak? Saya belanja sehelai.” Dia tanya aku lepas nampak gerai jual tudung Kangaroo.
“Sehelai je?” Aku buat muka tak puas hati. Mana adil! Dia beli empat helai baju. Aku dapat sehelai aje!
Luthfi angguk.
“Nak jimat duit. Tak boleh belanja banyak-banyak.” Dia cakap. Sengih lagi dekat aku. Suka sangat dia main-mainkan aku nampaknya. Geramnya!
“Tak payahlah. Tudung saya yang ada sekarang pun dah tak muat almari dah.” Aku cakap. Memang betul pun. Rasanya semua warna dan jenis dah aku ada dalam simpanan. Tak boleh layan nafsu beli tudung aku ni. Walaupun dah banyak, tetap rasa nak beli lagi. Lepas tu tak tahu bila nak pakai.
“Laah. Merajuk ke?” Dia ingat aku merajuk.
Aku senyum.
“Tak lah. Tapi memang betul, saya dah banyak tudung. Nanti tak terpakai pula.” Aku cakap. Dia pun senyum balik dekat aku.
“Okey. Cepatlah banyak duit simpanan saya macam ni. Cepatlah dapat pinang awak.” Dia usik aku lagi. Aku jeling dia tapi dia gelak aje. Memang tak makan saman!
Lepas tu aku dengan dia sambung jalan-jalan ke gerai yang lain pula. Letih juga melayan kerenah Luthfi ni jalan-jalan dekat pasar malam. Rasanya semua gerai dia nak singgah untuk tengok-tengok. Rasa terbalik pula. Biasanya lelaki yang penat teman perempuan shopping. Tapi sekarang ni, aku yang penat tengok dia shopping. Nak buat macam mana, layankan aje lah.
“Jom beli ni.” Luthfi cakap lepas berhenti dekat gerai yang jual kerongsang, cincin dan rantai tangan.
Aku tengok dia tunjuk dekat cincin couple lima belas ringgit yang ada di jual di situ. Aku angkat kening tengok dia. Adakah dia terpengaruh dengan drama Korea yang suka pakai couple ring bila bercinta? Layan juga ke dia drama Korea? Lupa pula aku nak tanya selama ni.
Aku tengok Luthfi dah pilih sepasang cincin. Nampak cantik juga cincin tu sebenarnya. Tapi aku ni bukan jenis yang suka pakai aksesori jadi aku tak tahu sangat pasal cincin-cincin ni. Lepas tu Luthfi cuba sarung cincin untuk lelaki ke jari dia. Muat elok pulak! Hati aku rasa nak melompat pula tiba-tiba. Dia serius ke nak bagi cincin dekat aku?
“Nah!” Dia hulur cincin untuk perempuan dekat aku. Aku pandang dia. Betul ke ni? Dia bagi aku cincinlah! Seronoknya!
Aku ambil cincin dari tangan dia dan sarung sendiri ke jari manis aku. Perfect! Lama aku pandang cincin yang dekat jari aku tu. Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan aku sebenanya. Tak sangka indah sangat rasanya bila dapat cincin dari lelaki yang kita suka walaupun kita sendiri yang kena sarung cincin tu ke jari sendiri.
“Suka tak yang ni? Ke nak yang lain?” Luthfi tanya aku. Aku balas dengan senyuman aje tanda aku setuju aje dengan pilihan dia tu. Dia pun senyum balik. Lepas tu dia bayar harga kedua-dua cincin tu.
“Cincin murah ni sementara aje tau. Cincin yang betul-betul proper nanti saya bagi masa saya pinang awak.” Dia cakap dekat aku masa kami dah nak pergi jalan ke gerai makanan pula.
Aku senyum lagi dekat dia. Aku tak kisah dah pun murah atau mahal. Yang penting sekarang hati dia untuk aku.
Share this novel