Bab 3
Aku pelik betullah. Selama ini aku tak pernah pun perasan yang Luthfi tu wujud dekat sekolah ni. Kalau aku jumpa pun, muka dia pun aku tak cam. Tapi aku tak tahu sebab apa kebelakangan ni, kemana-mana aku pergi pun aku mesti terserempak dengan dia. Baik dekat kantin dengan dewan makan, baik dekat padang waktu riadah petang.
Sampai waktu aku keluar outing ke bandar pun aku boleh terjumpa dia. Punyalah besar bandar Kuantan tu, dia juga yang aku jumpa waktu outing. Dahlah kalau jumpa aku dia senyum semacam aje dekat aku. Puaslah aku ni buat-buat tak tahu dan buat-buat tak kenal bila jumpa dengan dia. Dia ingat aku suka nak tengok senyum kambing dia tu agaknya. Tolonglah wei!
Ayna pula dah tahu pasal Luthfi ni. Entah macam mana ada satu hari tu,waktu aku temankan Ayna pergi bilik gerakan JAQWA, kami terserempak dengan Luthfi. Dekat sekolah ni, JAQWA adalah persatuaan yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal surau dan program-program keagamaan dekat sekolah. Boleh diibaratkan JAQWA ni seperti badan tarbiah dalam sekolah ni. Ayna pula, pegang jawatan sebagai setiausaha agung JAQWA.
Waktu tu, Ayna yang minta aku temankan dia ke bilik gerakan JAQWA untuk ambil satu fail yang aku pun tak tahu apa kandungannya. Maklumlah, aku ni bukan siapa-siapa dalam JAQWA ni. Jadi tak perlulah aku susah-susah ambil tahu. Semasa aku tengah tunggu Ayna dekat luar bilik gerakan JAQWA itulah aku disapa dari belakang.
“Assalamualaikum.” Aku tengok dia tengah berdiri dekat belakang aku sambil buat senyum kambing dia tu lagi.
“Waalaikumussalam.” Aku jawab sajalah salam dia. Takkan tak jawab pula kan?
“Buat apa dekat sini?” Dia tanya aku.
“Tunggu kawan saya ambil barang dekat dalam.” Aku pun cuba-cuba intai ke dalam bilik JAQWA, nak tengok Ayna dah nak keluar ke belum.
“Kawan awak ahli JAQWA ke?” dia tanya aku lagi.
“Ha’ah.” Aku jawab sepatah. Dalam hati berdoa supaya Ayna cepat keluar supaya cepatlah aku boleh beredar dari sini. Tak nak jawab soalan dia lagi dah.
Aku pun tak tahu sebab apa yang aku rasa segan sangat nak bercakap dengan dia ni. Bukannya aku tak ada gigi atau tak ada hidung. Tapi aku rasa macam aku tak boleh nak
buat apa-apa apabila dia tengok aku. Rasa macam semua anggota badan aku keras semacam. Inikah simptom-simptom lumpuh?
“Awak pula buat apa dekat sini?” Entah dari mana aku dapat keberanian nak tanya soalan dekat dia. Bukan ke tadi aku yang tak nak sangat bercakap dengan dia. Sengallah aku ni.
“Nak masuk bilik JAQWA nilah.”Dia jawab juga soalan aku.
“Awak ahli JAQWA juga ke?” Tanyaku lagi.
“Yalah. Kalau tak, buat apa saya nak masuk sini.” Betul juga kan? Memang sah aku sengal sebab tanya soalan tu.
“Bila nak belanja saya?” Tiba-tiba dia mengajukan soalan.
“Belanja? Belanja apa pula ni?” Aku soal dia balik.
“Hari tu kan awak janji nak belanja saya makan sebab saya tolong awak jawab soalan add math awak.”
“Eh, mana ada saya janji apa-apa. Saya tak cakap pun setuju nak belanja awak.” Memang pun. Dia saja yang syok sendiri nak aku belanja. Aku tak nak.
“Awak ada janji lah. Tak kira. Saya nak juga awak belanja. Awak setuju ke tak saya tak peduli.” Ewah-ewah. Ni dah macam kes peras ugus ni.
“Budak JAQWA pun suka peras ugut orang ke? Ingatkan baik-baik semuanya.” Aku perli dia.
“Saya memang baik. Tak ada pun orang cakap saya jahat.” Dia cakap sambil buat senyuman kambing dia tu lagi. Nak buat-buat comellah tu kononnya. Tapi, baru kali tu aku perasan yang dia ada lesung pipit kat pipi sebelah kanan.
“Baiklah sangat!” Aku protes.
Dia pula ketawa saja. Apa yang lucu pun aku tak tahu. Aku ada buat lawak ke?
Nasib baik dengan tiba-tiba Ayna pun keluar dari bilik JAQWA dengan segala fail dia tu. Lega sikit. Boleh aku cepat beransur dari situ. Tak kuasa nak layan insan bernama Luthfi ni. Sebenarnya, dah tak sanggup tahan malu apabila berhadapan dengan dia. Aku jadi pelik dengan diri aku ni, malu tak tentu pasal.
“Abang Luthfi nak masuk ke?” Ayna tanya Luthfi.
“Ouh, ini ke kawan awak?” Dia tanya aku selepas angguk dekat Ayna.
“Abang Luthfi kenal ke Maya ni?”Ayna tanya sebab pelik kot macam mana dia boleh bertegur sapa dengan aku.
“Kenal.” Dia jawab pendek sebelum berlalu masuk ke dalam bilik gerakan JAQWA tu. Tapi sebelum tu, aku sempat perasan yang dia senyum sekali lagi dekat aku. Murah dengan senyuman betullah mamat ni.
“Wei, kau mesti ada simpan cerita yang aku tak tahu ni.” Ayna cakap dekat aku sambil kami berjalan pulang ke asrama.
Aku cuba buat-buat tak tahu waktu tu. Tapi, nama pun Ayna. Dah memang kepakaran dia korek-korek rahsia ni. Nak tak nak, aku pun ceritalah dekat dia. Sebenarnya, tak kisah pun nak cerita apa-apa dekat dia sebab aku tahu Ayna bukan jenis orang yang suka jaja-jaja cerita. Cari gosip dia sukalah.
Macam tulah Ayna tahu cerita pasal aku dengan Luthfi. Dan daripada Ayna juga, aku barulah tahu yang Luthfi ni presiden JAQWA rupa-rupanya. Kira dia ni mamat surau jugalah. Naik saham dia. Selama ni aku manalah ambil tahu siapa presiden ke naib presiden kelab apa-apa. Yang aku ambil tahu, Cuma siapa dia ketua pengawas. Yang tu kalau tak tahu, memang jahil betul duduk sekolah ni.
“Dia syok dekat kau kot.” Hampir tersedak aku yang tengah minum air sirap dewan makan bila dengar komen sensasi Ayna. Waktu tu aku dengan Ayna tengah makan tengahari sama-sama dekat dewan makan. Nasib baik orang tak ramai turun makan masa tu sebab hari Ahad. Ramai geng-geng yang malas nak keluar daripada asrama. Itu yang Ayna berani buat komen hangat secara terbuka tu.
“Buat apa dia nak syok dekat aku pulak?” Macam tak logik saja komen Ayna tu. Dahlah dia kenal aku sebab aku langgar dia. Langgar pula dalam keadaan yang memang tak best dan tak romantik. Dia siap panggil aku mabuk lagi. Lainlah kalau dia kenal aku waktu aku menang anugerah pelajar pandai ke, barulah macam drama swasta sikit.
“Kalau betul apa salahnya. Untung tau siapa yang jadi girlfriend dia. Dahlah anak Tan Sri. Muka pula macam Rain, handsome tu.” Kata Ayna. Hampir nak tergelak aku. Ada ke dia samakan Luthfi tu dengan Rain pelakon Korea tu. Aku rasa Rain tu seratus kali lagi handsome dari dia.
Tapi kan, mata Luthfi tu memang sepet sikit sebab Ayna kata nenek sebelah mak dia cina. Badan dia pun memang lebih kurang Rain sebab dia tinggi dan sasa sikit. Kulit
dia pun memang cerah tapi tak adalah macam cina. Kalau dah banding beza macam ni, memang rasa yang dia ada iras-iras Rain pun.
“Kau ni memang suka imagine benda yang bukan-bukan kan? Aku bukannya hot sangat pun sampai dia boleh ‘ter’minat dekat aku.” Betul apa. Lainlah kalau aku ni macam Yuna Girls Generation. Logiklah juga dia jatuh cinta pandang pertama dekat aku. Chewaah!
“Aku Cuma cakap kalau. Manalah tahu ada rezeki kau.” Tak habis-habis lagi imaginasi Ayna ni.
“Wei, cepat makan ajalah. Zohor dah nak masuk dah ni. Kalau lambat pergi surau nanti kena denda pula.”Aku paksa dia habiskan makanan dia cepat-cepat. Barulah dia berhenti melalut.
Share this novel