Bab 24

Romance Series 5969

Bab 25

Cuti semester pertama aku setelah aku melangkah ke alam universiti ni nampak gayanya tak ada bezanya dengan cuti-cuti aku yang lain. Dah nama pun cuti. Memanglah aku tak ada kerja lain selain daripada menghabiskan beras yang abah aku beli dekat rumah ni.

Jarang-jarang aku pergi rumah Faris sekarang ni walaupun mama Faris banyak kali ajak aku pergi rumah dia. Bukan tak sudi nak pergi selalu. Tapi abah dah cakap dekat aku supaya jangan selalu sangat pergi rumah orang lain. Lagi pula, Faris tu lelaki. Tak manis aku yang perempuan ni asyik datang bertandang ke rumah budak lelaki. Takut-takut nanti jiran tetangga Faris tu mengata macam-macam pasal aku.

Aku cuba cakap macam yang abah aku cakap tu dekat Faris. Tapi Faris tak boleh terima dan merajuk dengan aku. Lama dia tak telefon atau SMS aku. Aku pun dah tak larat nak pujuk dia. Lagipun aku ni memang dah malas bab-bab memujuk ni.

“Lantaklah apa orang lain nak kata pun. Bukannya aku dengan kau buat jahat dalam rumah aku ni pun. Mama aku kan ada sekali dekat rumah.” Faris cakap semasa aku bagitahu yang aku tak nak pergi makan malam dekat rumah dia.

“Memanglah kita ni baik, tak buat jahat. Tapi abah rasa tak manis kalau aku selalu sangat pergi rumah kau. Sekali-sekala boleh lah.”Aku cakap elok-elok dekat dia.

Tapi dah cakap baik-baik pun dia tetap tak nak faham maksud yang aku cuba sampaikan tu. Lepas merajuk paling lama lima hari, dia telefon dan minta maaf dekat aku.

“Kalau aku yang datang rumah kau boleh?” Faris tanya soalan lain pula dekat aku.

“Kau kena tanya abah, bukan tanya aku.” Aku jawab dengan mudah.

“Susahlah nak jumpa dengan kau ni. Macam nak menghadap dengan puteri raja.” Dia cakap semula selepas diam dua saat.

“Susah apanya? Kau SMS ajelah abah aku tu cakap yang kau nak datang. Macamlah kau tak ada nombor dia.” Aku bagi hujah aku balik dekat dia.

Tapi tak tahu kenapa, dia sambung merajuk dengan aku balik. Aku pun malas nak layan perangai budak-budak dia tu. Biarlah hati dia sejuk sendiri.

Bila fikir balik teguran yang abah buat dekat aku tu, aku rasa ada benarnya. Aku dengan dia bukan ada pertalian saudara pun untuk aku kerap sangat pergi rumah dia. Lagipun aku ni perempuan. Dan dah cukup besar untuk jadi bini orang pun. Kalau pun aku dengan Faris tu tak ada apa-apa hubungan, orang sekitar masih boleh mengata. Masyarakat sekarang ni macam tulah, bukan boleh percaya sangat. Suka buat kesimpulan sendiri.

Sudahnya nanti, maruah semua orang termasuklah maruah keluarga aku boleh tercalar.

Luthfi pula, agak jarang-jarang SMS aku untuk borak-borak. Kalau tak setiap dua atau tiga hari dia akan hantar mesej dekat aku. Bila aku tanya, dia cakap dia sibuk bekerja. Maklumlah, orang dah berkerjaya. Aku pun terima ajelah alasan dia tu.

Memang aku tak nafikan yang hubungan aku dengan Luthfi sekarang semakin baik. Kadang-kadang aku ternanti-nanti SMS dari dia. Kalau nak harap aku dulu yang SMS dia memang tak lah. Aku kan nak jual mahal dekat dia konon-kononnya.

Aku rasa lagi senang berkawan dengan dia yang sekarang ni sebenarnya sebab aku rasa Luthfi sekarang ni dah semakin matang dan lebih dewasa. Aku nampak dia pun lebih penyabar orangnya sekarang. Lagipun, dia banyak tolong aku sejak kebelakangan ni. Dan aku tak nafikan yang perasaan istimewa aku terhadap Luthfi yang memang wujud sejak dulu lagi masih belum hilang.

Aku memang sayang dia sebab dialah lelaki pertama yang hadir dalam hati aku. Tapi aku tak pasti dia pun rasa begitu sekarang ni. Memang dia pernah cakap yang dia masih suka aku masa mula-mula kami berjumpa semula selepas dia tinggalkan aku. Tapi masa tu, aku masih marah dan tolak dia mentah-mentah.

Sekarang, bila hati aku dah sejuk, Luthfi tak pernah pula bangkitkan isu kita orang tu semula. Jadi aku pun tertanya-tanya sebenarnya sama ada dia dah betul-betul lepaskan aku atau tak. Mungkin juga dia dah lupakan perasaan istimewa dia terhadap aku selepas aku tolak dia hari tu.

Kalau betullah macam tu, nampak gayanya aku dengan Luthfi takkan pergi lebih jauh lagi. Kita orang hanya akan kekal sebagai kawan ajelah nampaknya.

Kalau aku terfikir macam tu, hati aku akan jadi sedih. Aku tak tahu kenapa aku boleh jadi sedih sangat. Padahal, aku juga yang tolak semasa dia nak sambung balik hubungan kita orang yang putus tu. Kalau aku nak menyesal sekarang pun dah tak ada gunanya. Agaknya aku kena mula terima hakikat yang Luthfi pun mungkin dah ingat aku tak nak beri peluang langsung pada dia dah. Jadi sebab itulah dia terima aku sebagai kawan dia aje sekarang ni.

Bila aku teringatkan Luthfi, secara automatiknya aku teringat dekat Ayna juga. Aku tak tahu kenapa aku dengan dia tak boleh jadi kawan baik macam dulu-dulu lagi walaupun puas aku cuba. Memanglah aku dengan dia tak bergaduh apa pun. Cuma aku rasa macam ada benteng antara hubungan kami ni.

Kadang-kadang aku macam tak kenal dengan dia sebab cara dia bercakap dengan aku pun dah lain.

Bukan macam dulu-dulu lagi. Dan aku sendiri pun dah tak boleh nak sayang dia sebagai kawan baik sepertimana aku pernah sayang dia sewaktu kita orang di bangku sekolah dulu.

Seingat aku, aku tak pernah pula buat salah dengan dia. Aku sendiri pun tak tahu kenapa dia menjauhkan diri dari aku selepas hubungan aku dengan Luthfi putus dulu. Agaknya aku ada mengguris hati dia tanpa aku sedari. Tapi dia pun tak pernah bercerita sebab apa dia menyepikan diri dengan aku dulu. Aku sampai hari ni tertanya-tanya tentang punca persahabatan kami jadi begini.

Lamunan aku terhenti apabila ada panggilan di telefon aku.

“Kau ada dekat rumah?” Aku dengar suara Faris.

“Ada.”

“Bukalah pintu. Aku dekat depan rumah kau ni.”

Hah?!

Aku capai tudung dan sarung ke kepala cepat-cepat. Lepas tu aku lari pecut dari bilik tidur aku ke pintu hadapan rumah. Sebaik saja aku buka pintu memang sah si Faris tengah tercegat dekat situ.

“Nak apa datang?” Aku tanya sambil termengah-mengah sebab berlari laju tadi.

“Nak minum air dekat rumah kau.” Selamba dia cakap.

“Tak nak ajak aku masuk ke?” Dia cakap lagi.

Aku kerut kening.

“Abah dengan Along tak ada dekat rumahlah. Aku sorang aje ni.” Aku cakap dan harap dia faham dengan situasi sekarang yang tak mengizinkan aku jemput dia masuk. Abah aku masih mengajar dekat sekolah. Along pula ada kelas dekat maktab.

“Alah, aku bukan nak buat apa pun. Nak masuk duduk berehat je. Tak boleh ke?” Dia cakap dan cuba masuk ke rumah aku melalui pintu yang memang terbuka.

Aku terpaksa tolak dia dengan pegang badan dia. Tujuan aku untuk tak bagi dia masuk ke rumah. Bedebar jantung aku bila tangan aku melekat pada dada dia. Rasa itulah kali pertama aku sentuh badan lelaki selain abah dengan along aku.

“Faris, tak boleh masuklah! Aku sorang aje dekat rumah ni. Kau datang petang nantilah, waktu abah dah balik dari sekolah nanti.” Aku cuba cakap dengan tegas dekat dia. Memang aku kena bertegas pun dengan dia sekarang ni. Kalau tak dia ingat aku main-main aje dengan dia.

Aku tengok air muka dia berubah sikit.

“Kalau aku tak boleh masuk, jom ikut aku balik rumah aku. Boleh makan tengahari dengan aku. Mama dah siap masak.”

Lagi sekali aku geleng kepala dekat dia.

“Aku kena minta izin abah dulu. Kalau aku pergi aje tanpa bagitahu dia nanti dia marah.”

“Telefon lah dia. Minta izin.” Faris mendesak.

Aku tarik nafas dalam-dalam. Dah datang dah perangai pelik budak Faris ni. Aku pun tak faham kenapa dia kerap diserang penyakit mengada-ngada dia ni. Kadang-kadang dia okey saja. Tapi kadang-kadang perangai dia ni menjadi-jadi sampai aku tak larat nak layan.

“Baliklah dulu Faris. Kau datang petang-petang sikit nanti. Abah aku dah balik dah masa tu nanti. Bolehlah aku bagi kau minum air.”

Aku tengok dia dah tarik muka.

“Kau ni teruklah. Aku datang rumah kau, kau suruh aku balik. Aku ajak kau ke rumah aku, kau tak nak.” Faris cakap dengan nada yang sedikit keras. Marah ke?

“Aku kan dah cakap apa yang abah aku cakap tu dekat kau. Jadi aku harap kau faham lah.” Aku cuba cakap lembut-lembut dengan dia. Mudah-mudahan dia dapat terima.

“Kalau keluar dengan aku tak manis ye? Kalau dengan Luthfi, manis sangat ke?” Dia cakap macam perli.

“Kau cakap apa ni?”Aku naik geram.

Tapi dia pergi macam tu saja tanpa jawab soalan aku. Aku tengok dia terus bawa kereta dia dan keluar dari perkarangan rumah aku.

Aku masuk semula ke dalam rumah dengan perasaan yang berkecamuk. Buat apa dia sebut nama Luthfi pulak? Buat apa pula dia kaitkan nama orang yang tak terlibat dalam hal ni?

Semakin aku fikir sebenarnya, semakin aku sedar yang aku makin tak kenal pada Faris yang sekarang ni. Mood dia rasa macam sentiasa berubah-ubah. Kadang-kadang dia tak ada masalah apa pun dengan aku. Tapi kadang-kadang aku rasa macam dia sengaja nak cari pasal atau cari gaduh dengan aku. Pening kepala aku nak fikir pasal Faris ni sebenarnya.

LUTHFI DAH SEMINGGU menyepikan diri dengan aku. Aku tak tahu mana dia pergi. SMS tidak, nak telefon jauh lah lagi. Seingat aku, minggu lepas dia tak ada pula cakap yang dia ada hal ke mana-mana dalam SMS yang dia hantar. Jadi, lagilah aku buntu nak fikir dia ni ke mana.

Dalam hati, terbit juga rasa risau takut apa-apa terjadi pada dia. Dan tak ada orang bagitahu aku apa-apa pasal dia andaikata dia ditimpa kemalangan. Minta jauhlah dari perkara macam tu, aku doa dalam hati.

Cuti semester aku selama lima minggu pun dah nak berakhir. Lusa, aku akan berangkat balik ke kampus semula dengan Faris. Nasib baik, dalam minggu ni aku dengan dia tak bergaduh dah. Kalau tak mesti rasa janggal mengharungi perjalanan balik ke kampus berdua dengan dia saja.

Aku sebenarnya penat dah layan kerenah Faris sepanjang cuti ni sebenarnya. Dia asyik nak merajuk dengan aku. Aku pun kadang-kadang tak tahu sebab apa dia nak merajuk dengan aku. Dan memang spesies manusia macam aku ni, tak reti nak pujuk-pujuk orang merajuk. Jadi aku biarkan sajalah rajuk dia tu. Tapi bila aku buat macam tu, dia lagi marah dengan aku. Sudahnya, bergaduh besarlah juga aku dengan dia.

Dan perasaan bergaduh dengan dia sangatlah tak seronok. Sebab aku dengan dia mana pernah bergaduh besar macam tu. Nak tak nak, terpaksalah aku mengalah dan minta maaf daripada dia.

Hari-hari berlalu dengan begitu cepat. Terasa sekejap sangat aku dapat berada di rumah bersama-sama dengan abah. Akhirnya aku kembali ke kampus. Abah seperti biasa membiarkan aku pulang bersama Faris dengan menaiki bas.

“Tengok-tengokkan sikit si Maya ni, Faris. Kalau ada apa-apa yang tak betul dia buat di sana, bagitahu pakcik.” Aku ingat lagi pesanan abah khas buat Faris.

Tapi aku rasa, pesanan tu patut bagi dekat aku aje sebab yang buat perangai pelik-pelik tu selalunya si Faris, bukannya aku. Tapi abah takkan percaya kalau aku cakap macam tu dekat dia sebab dia anggap Faris tu budak yang sangat baik.

“Manalah tahu, si Faris tu juga yang jadi menantu abah nanti.” Abah bergurau dengan aku pada suatu hari.

“Hisy! Tak hinginlah dengan dia tu. Tak ada calon yang baik sikit ke?” Aku soal. Tapi dalam otak, aku terbayangkan Luthfi. Entah apa-apa boleh teringat dekat dia tu.

“Elok lah dah calon yang abah bagi tu. Ada orang lain yang lebih baik ke?” Abah dah mula mengusik aku. Abah tu memang tak boleh dilayan. Nasib baik Along sibuk dengan assignment dia dan tak dapat nak join abah sekali untuk mengenakan aku.

“Dah! Cukuplah bincang pasal calon-calon yang tak bermakna tu. Orang lambat lagi nak sampai ke peringkat tu. Baik abah carikan calon untuk along tu dulu sebelum dia jadi bujang lapok.” Aku tepis usikan abah. Baling isu tu dekat Along pula.

“Along dah ada dah calonnya.” Abah jawab.

“Dah ada? Tak tahu pun.”

“Mana nak tahu, awak tak duduk dekat rumah. Asyik merantau aje.” Along tiba-tiba menyampuk.

“Abah dah pernah jumpa ke?” Aku tanya lagi.

Abah angguk.

“Cantik ke orangnya?” Datang dah sikap menyibuk aku.

“Macam oranglah. Ada mata, hidung, mulut.” Abah jawab main-main.

Tapi akhirnya aku dapat jugalah tengok gambar kekasih Along aku tu. Ala-ala ustazah gitu. Aku gelak kuat-kuat dekat along aku bertujuan untuk kacau dia. Memang tersipu-sipu dia malu. Lagi kuat aku gelak.

Lepas tu aku pun bertekad yang cuti yang seterusnya, aku akan pastikan yang aku pun dapat jumpa dengan Kak Sofia kesayangan along aku tu. Haha!

Lepas berangan lama gila akhirnya aku tersedar yang aku dah pun sampai semula ke kampus. Rasa sekejap sangat perjalanan. Kalau nak balik rumah dari kampus tak lah sekejap sangat macam ni rasanya. Lagi lama adalah.

“Tak puas cuti lagi ke?” Faris tanya aku lepas tengok aku angkat beg pakaian aku dengan muka setengah sen.

“Memanglah tak. Rasa nak cuti setahun.”

“Lambatlah aku nak datang pinang kau sebab lama sangat nak tunggu kau habis belajar nanti.” Faris cakap sambil gelak. Dia ni suka bergurau pasal benda-benda macam tu kebelakangan ni. Entah apa-apa. Aku pun malas nak layan.

Aku dengan Faris pergi pejabat hal ehwal mahasiswa terlebih dahulu untuk ambil kunci bilik dan kad kediaman asrama. Lepas tu aku balik ke blok asrama siswi, dan dia ke blok siswa. Nasib baik aku dapat blok yang dekat jadi tak payah nak jalan kaki jauh-jauh. Dan bertambah baik lagi, aku masih sebilik dengan Fatiha. Jadi tak adalah nak risau sangat pasal roomate. Sampai dekat bilik, aku kemas katil dan terus tertidur. Langsung tak ingat apa-apa dah sebab terasa letih sangat.

_____________________

“SAYA TAK SANGKA awak ni hidup lagi rupanya.” Aku perli dia dari telefon. Akhirnya Luthfi telefon juga aku selepas berminggu-minggu mendiamkan diri. Aku dengar dia tergelak sikit dari dalam telefon. Spontan aku pun tersenyum dengar suara gelak dia.

“Habis kredit ke? Tak ada duit nak beli top up?” Aku tambah lagi buah keras dekat dia.

“Kenapa? Rindu ke?” Dia tanya. Nak aje aku cakap ya. Tapi cuba kawal perasaan.

“Taklah. Saya risau aje. Mana lah tahu, awak accident ke, koma ke. Boleh sedekah AlFatihah kat awak.”

“Risau juga awak kalau saya mati ye?” Aku dapat tangkap senyuman pada hujung percakapan dia.

“Bila balik kampus?” Dia tanya aku lagi.

“Dah dua hari. Itulah, siapa suruh tak bukak telefon. Kan dah tak tahu.”

“Baguslah cuti awak dah habis. Awak tu bukan boleh duduk rumah lama-lama. Makan banyak!” Aku senyum lagi sebab aku masih boleh bayangkan yang dia pun tengah senyum sambil cakap ayat tu.

“Saya makan banyak bukannya gemuk pun. Suka hati sayalah!” Aku balas balik. Dan aku dengar dia gelak.

Lepas tu aku dengan Luthfi sambung borak selama lebih kurang lima minit lagi. Lepas letak telefon aku terfikir pula. Segalanya seperti sedang bermula semula antara aku dengan Luthfi. Perasaan aku terhadap dia sekarang ni sama seperti yang aku mula-mula rasa dulu, semasa dia mula-mula bagitahu aku yang dia sukakan aku.

Aku rasa seronok bila dengar suara dia. Aku suka bayangkan muka dia yang sedang senyum semasa dia dia tengah cakap dengan aku dalam telefon. Dan aku rasa macam di awang-awangan bila dengar dia ketawa.

Aku tertanya-tanya sama ada dia pun rasa macam yang aku rasa ni atau pun tidak.

“Siapa yang telefon? Seronok sangat nampak.” Fatiha tegur aku.

“Kawan lama.” Aku jawab soalan dia.

“Maya, kalau aku tanya kau jangan marah ye.” Tiba-tiba Fatiha cakap macam serius dekat aku. Terus aku pandang dia.

Aku tengok memang Fatiha tengah tengok aku dengan muka serius dan dah berhenti dari buat kerja dia.

“Ada apa?” Aku pun duduk dekat atas katil dia sambil menghadap dia. Nak juga aku tahu apa benda yang buat dia sampai serius sangat ni.

“Kau dengan Faris ada masalah ke?” Dia tanya aku. Dalam otak aku dah dengan pantasnya berfikir. Masalah?

“Err… Maksud kau?” Aku tanya semula Fatiha untuk dapat clear view kepada persoalan yang diajukan tadi.

“Tak adalah… Aku tengok kau macam rapat dengan kawan lama kau tu. Dia tu… er… Luthfi yang kita berdua pernah jumpa tu kan?” Fatiha meneruskan bicara.

“Jadi?” Aku masih tak dapat gambaran sebenar masalah yang cuba diutarakan oleh Fatiha ni.

“Kau main kayu tiga ke?” Fatiha cakap selepas nampak macam teragak-agak selama lima saat.

“Hah?!” Serius aku terkejut dengan tuduhan Fatiha tu. Kayu tiga? Aku? Dengan siapa?

“Kau cakap apa ni?” Aku soal lagi Fatiha. Manalah tahu Fatiha tersalah cakap ke. Tak pun aku yang salah dengar.

“Kau masih couple dengan Faris lagi kan?”

Tiba-tiba otak aku macam dapat fikir sesuatu. Agaknya si Fatiha ni dah salah sangka dekat hubungan aku dengan Faris. Macam mana dia boleh terfikir sampai macam tu sekali. Aku senyum kecil dekat Fatiha. Biar aku bagitahu hal sebenar dekat dia.

“Aku tak pernah couple dengan Faris pun lah.” Aku cakap terus terang. Tapi aku pula yang terkejut bila tengok muka Fatiha yang lagi jelas terkejut.

“Kau serius ke?” Dia tanya aku. Macam tak percaya sungguh dekat apa yang aku baru bagitahu dia tadi.

Aku tak tahu nak cakap apa dan angguk ajelah dengan muka yang paling innocent yang aku boleh buat.

“Macam mana kau boleh dapat idea yang aku dengan Faris tu couple?” Part ni memang aku sangat-sangat nak tahu. Macam mana dia boleh terfikir sampai ke situ?

“Faris yang cakap.”

Aku buka mata besar-besar tanda terkejut. What?!

“Rasanya dekat semua kawan-kawan dia pun dia cakap macam tu juga.” Fatiha tambah lagi satu kenyataan yang sangat mengejutkan.

“Jadi semua orang ingat aku ni girlfriend dia ke selama ni?”

Rasa macam tersentak jantung aku bila Fatiha mengiyakan soalan aku tu. Ya Allah! Apa yang Faris fikir sebenarnya. Kalau ya pun nak aku bercinta dengan dia, sekurang-kurangnya tolonglah beritahu aku dulu. Yang dia pergi beritahu semua orang dulu tu buat apa?!

Rasa macam marah sangat-sangat dengan budak yang nama Faris tu. Nantilah aku jumpa kau! Memang siaplah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience