Bab 14
Aku tengok jam tangan, dah pukul 4.30 petang. Rasa macam cepat sungguh masa berlalu. Biasanya rasa macam lambat aje nak tunggu sampai petang. Aku pandang keadaan dekat dalam perpustakaan ni, semua orang yang ada tengah kemas barang masing-masing sebab perpustakaan dah nak tutup.
Sedar tak sedar dalam masa seminggu lagi aku dah kena mengharungi peperiksaan akhir semester kedua merangkap semester terakhir aku dekat kolej ni. Rasa macam baru semalam aku masuk dan mendaftar dekat kolej ni. Tak sangka pulak dalam dua minggu lagi aku dah kena keluar dari kolej ni.
Hari ni dah masuk hari kedua minggu ulangkaji tapi aku masih rasa kelam kabut lagi dengan tiga subjek yang aku ambil untuk program matrikulasi ni. Minggu depan dah nak exam. Macam mana lah aku nak masuk univesiti kalau macam sikit macam ni pun aku dah tunggang-tebalik.
Aku pun mula kemas barang-barang aku yang bersepah atas meja perpustakaan. Faris yang dekat depan aku ni pun sama ikut kemas barang-barang dia. Sepanjang dua hari ni, aku dengan Faris buat study group berdua. Lagipun mamat ni pandai serta pintar otaknya. Semester satu dulu pun dia dapat anugerah pengarah sebab result peperiksaan dia bagus. Jadi bila aku study dengan dia, senang sikit aku tanya dia apa-apa yang aku tak faham. Faris ni pula tak kisah dan tak berkira sangat kalau aku suruh dia ajar aku apa-apa. Pinjam nota dia pun dia tak kisah. Lagilah aku suka mengendeng dekat mamat ni.
“Malam ni aku study dekat hostel. Jadi kau pandai-pandailah sendiri ye…” Faris cakap dekat aku.
“Aik, budak pandai pun ponteng prep ke?” Aku tanya dia.
“Bukan ponteng prep lah. Cuma prep dekat asrama.” Dia jawab sambil sengih. Ingat dia cumil lah kot bila sengih macam tu.
“Suka hati kau lah. Lagipun boleh aku khatamkan nota kimia kau ni.” Aku cakap dekat dia sambil tunjuk nota-nota kimia dia yang aku pinjam untuk buat rujukan.
“Baca betul-betul nota tu. Esok aku soal kau.” Dia arah aku.
“Amboi, lebih dari lecturer!” Aku marah dia sambil sengih juga sebab dia pun masih sengih.
“Jomlah balik.” Dia ajak aku lepas dah siap kemaskan barang-barang dia. Aku pun ikut dia keluar dari perpustakaan.
Lepas sampai dekat dewan makan, dia singgah untuk minum petang. Aku pula rasa malas nak makan lagi. Jadi aku terus balik asrama.
Ayna dah ada dalam bilik waktu aku sampai. Dia tengah layan lagu dekat ipod dia.
“Tak minum petang ke?” Aku tanya dia.
“Tak. Aku makan dengan kaulah pukul 6.30 nanti.” Dia jawab. Dengar juga dia soalan aku walaupun dia tengah pakai earphone.
Aku pun pergi mandi sebab rasa rimas. Lepas mandi, aku solat Asar. Lepas tu aku berguling-guling atas katil. Rasa malas nak buka buku buat sementara waktu. Letih dah buka buku dari pagi sampai ke petang. Dahlah aku study dengan Faris si mamat skema tu.
“Study dengan Faris lagi ke hari ni?” Ayna tanya aku dari katil dia.
Aku angguk aje dekat dia.
“Luthfi tahu tak?” Dia tanya aku lagi. Dan aku geleng.
“Aku tak faham kenapa dia nak jealous pasal kau rapat dengan Faris. Kau tak ada apa-apa dengan dia kan?” Ayna tanya aku lagi.
“Aku kawan dengan dia macam aku kawan dengan kaulah.” Aku jawab soalan Ayna tu.
Memang macam tu pun hubungan aku dengan Faris. Ayna pun tahu sebenarnya tentang aku dengan Faris sebab kadang-kadang dia pun ikut menyibuk aku pergi lepak dengan Faris tu. Dia pun suka kawan dengan Faris tu. Lagi pun dah dekat setahun dah pun aku kawan dengan Faris. Aku suka kawan dengan dia sebab dia selalu bantu aku dalam pelajaran. Budak pandai lah katakan. Lagipun dia kan duduk dekat daerah yang sama dengan aku. Jadi senang sangat bila waktu nak balik kampung. Sekurang-kurangnya ada dia untuk temankan aku balik dari Kedah ke Pahang. Jauh tu. Dahlah aku perempuan. Takkan aku nak balik seorang diri.
Tapi aku tak tahu sebab apa Luthfi tak boleh terima aku berkawan dengan dia. Dia cakap dia tak suka aku kawan rapat dengan mana-mana lelaki. Rasanya setiap kali dia telefon aku, mesti dia akan tanya pasal Faris sampai aku naik muak dengan soalan tu. Dah banyak kali aku bagitahu dia yang dia tak boleh sekat hak aku untuk berkawan dengan sesiapa yang aku suka. Aku bukannya ada apa-apa hubungan istimewa dengan Faris tu. Dia tu hanya sekadar kawan. Tapi bila aku cakap macam tu dekat Luthfi, kita orang akan bergaduh.
Aku rasa macam dah letih bergaduh dengan dia sebab asyik bergaduh atas sebab yang sama. Topiknya mesti tentang Faris. Aku pun buntu nak buat apa. Takkan tiba-tiba aku nak jauhkan diri dari Faris sedangkan dia selalu tolong aku dalam pelajaran. Sangatlah tak bermoral kalau aku buat macam tu. Dan aku rasa macam tak rasional kalau aku tak boleh berkawan dengan sesiapa yang aku nak sebab Luthfi tak bagi aku berkawan dengan orang tu. Aku pun ada hak aku sendiri untuk berkawan.
Lagipun, bukan ke orang cakap yang berkawan biar seribu?
Akhirnya sebagai penyelesaian masalah, kadang-kadang aku tipu juga si Luthfi tu. Memanglah rasa bersalah sebab rasa macam ada skandal je. Tapi aku lagi tak suka kalau bergaduh dengan dia. Nasib baik, Ayna tolong aku cover line kadang-kadang tu. Bosan sebenarnya hidup macam ni. Susahlah kalau Luthfi terus bersikap macam ni.
Hari ni satu hari dia tak telefon ataupun SMS aku sebab semalam dia dapat tahu aku study dengan Faris untuk exam minggu depan. Jadi sebab dia tak telefon aku dia tak dapatlah tanya aku sama ada aku jumpa Faris ataupun tak hari ni. Dan aku pun tak murah hati untuk cerita dekat dia.
Tapi kan, kalau dia tak telefon ataupun SMS aku, aku pula yang jadi rindu dekat dia. Waa! Gilalah aku macam ni.
Lepas berguling-guling atas katil selama lima belas minit, aku pun terlelap sekejap. Letih sangat study kononnya. Aku terjaga dah pukul enam setengah petang. Itupun Ayna yang kejutkan aku untuk ajak pergi makan malam.
Rasa macam malam ni malas nak pergi prep. Study kat bilik pun kira study juga. Rasa macam nak prep dekat asrama macam ada orang tu lah. Aku senyum sorang-sorang dalam hati.
__________________
Rasa lega lepas dah habis peperiksaan akhir. Rasa macam baru lepas SPM pula. Buku-buku semua dah boleh simpan dekat muzium sebab entah bila pula aku akan buka balik. Minggu lepas exam ni, aku terpaksalah pergi taklimat-taklimat tentang univeristi yang dianjurkan oleh pihak kolej. Bagus juga sebenarnya. Dapat juga aku tahu tentang universiti-universiti yang ada dekat Malaysia ni. Senang nak mohon lepas dapat keputusan peperiksaan akhir nanti.
Selain dari pergi bermacam-macam taklimat, semua kakitangan kolej sibuk untuk uruskan hari graduasi kitaorang. Aku pun rasa teruja menunggu hari graduasi. Sebab itulah hari terakhir kitaorang semua secara rasmi bergelar pelajar kolej. Lepas tu boleh lah bercuti panjang dekat rumah masing-masing.
Kami semua juga diberitahu yang ahli keluarga dibenarkan untuk menghadiri majlis graduasi kita orang semua tu nanti. Lepas majlis tu, sesiapa yang dah nak berangkat pulang bolehlah terus berangkat pulang dengan keluarga masing-masing. Kalau tak ada keluarga yang datang, alamat kena balik pada keesokan harinya tu lah.
Abah aku awal-awal lagi dah cakap dia tak dapat nak datang ambil aku pada hari graduasi tu sebab dia ada mesyuarat penting yang dia kena hadir. Abah aku kan orang penting dalam sekolah. Kalau dia tak ada, memang tak akan jalanlah mesyuarat tu. Aku pun terpaksa redha ajelah. Tapi kalau abah datang pun, tak ada yang best sangat selain tengok aku naik pentas dan terima sijil tamat pengajian. Bukannya dapat anugerah yang best-best pun.
Ayna pun tak tahu lagi sama ada keluarga dia dapat datang pada hari graduasi tu ataupun tidak. Maklumlah keluarga Ayna tu orang-orang korporat semuanya. Semua orang business yang besar-besar. Mesyuarat PIBG sekolah dulu pun mak ayah dia tak pernah datang walaupun sekolah tu dekat. Kadang-kadang syahdu juga jadi orang kaya ni yer?
Pejam celik pejam celik, akhirnya hari graduasi pun sampai juga. Semalam aku merajuk lagi dengan Luthfi. Sampai hari ni dia masih tak SMS aku dan macam biasa aku pun tak teringin nak telefon dia. Rasa macam dah jadi asam garam aku dengan dia bergaduh dua hingga tiga kali dalam seminggu. Aku dah tak rasa apa-apa dah. Tapi yang pasti aku masih sayang sangat dekat dia.
Aku bangun awal sebab tak gosok lagi baju kurung yang sedondon dengan semua budak kelas aku. Konon-konon nak jadi ala-ala boria lah hari ni. Jadi satu kelas rancang untuk pakai baju warna yang sama hari ni. Tepat pukul 7 pagi aku turun dari asrama dengan Ayna untuk pergi sarapan pagi sebab kami sama-sama lapar. Pukul 8 pagi semua pelajar dah kena berkumpul dalam dewan besar.
Aku rasa dalam setahun aku duduk dekat kolej ni, hari ni lah aku tengok dewan yang luas ni dihias paling cantik dan gilang-gemilang. Rasa macam lebih teruja dengan majlis ni. Dalam pukul 8.30pagi, keluarga para pelajar dah mula sampai dan ambil tempat duduk masing-masing. Budak-budak yang ada mak ayah mereka datang mulalah terlebih excited. Aku yang dah kompom tak ada sesiapa yang datang ni nampak gaya tumpang excited dia orang semua ajelah.
Aku terlupa nak tanya Ayna masa kami sarapan tadi yang family dia ada datang ataupun tak. Aku tak duduk dengan dia dalam dewan sebab kami semua kena duduk ikut kelas masing-masing. Dan memang tempat duduk aku dengan Ayna tersangatlah jauh antara satu sama lain. Jadi memang aku dah tak ada peluang nak tanya dia dah lah.
Tepat pukul 9 pagi majlis bermula. Lepas kena dengar 3 hingga 4 ucapan yang panjang, ada pula persembahan. Lepas tu barulah majlis penyampaian sijil. Akhirnya tepat pukul 1 tengahari majlis graduasi pun berakhir dengan sesi bergambar secara rasmi oleh pihak kolej dan gambar tak rasmi oleh kita orang sendiri.
Dalam kalut-kalut ramai orang yang sibuk-sibuk bergambar untuk kenangan hari terkahir dekat kolej, aku dengar Ayna panggil nama aku. Dan bila aku toleh ke arah Ayna, aku nampak dia tengah tersenyum dekat sebelah Ayna. Syed Muhammad Luthfi! Apa dia buat dekat sini?
Share this novel