Bab 5
“Kenapa lambat?” Soal Luthfi sebaik saja aku dengan Ayna sampai di perpustakaan. Hari ni memang hari yang kami bertiga janji untuk habiskan waktu prep bersama. Senang cerita hari nilah yang aku dengan Ayna boleh belajar semula add math atau apa-apa subjek yang kami tak berapa paham semasa belajar dalam kelas.
“Mana ada kitaorang lambatlah..awak tu yang awal.” Balasku.
Dia tengok jam dekat tangan. Jam tangan dia nampak biasa-biasa aje tapi kalau tengok jenama, orang boleh tahu yang dia ni banyak duit. Jam tangan pun jenama Elle. Kalau aku mimpilah nak beli jam mahal macam tu.
“Eh..a’ah lah..”Dia jawab sambil sengih. Malu sendirilah tu.
“Tapi kenapa pula cikgu yang kena tunggu anak murid ni..Patut korang yang datang dulu. Barulah menghormati guru namanya.” Dia tak puas hati lagi.
“Kitaorang tak suruh pun awak datang awal-awal sangat, okey? Jadi tak payah nak merungut beriya-iya sangat. Boleh?”Aku marah dia balik. Dia pulak senyum dengan senyuman macam biasa dia tu, senyum kambing! Comel lah tu kononnya. Adoi!
“Yelah. Awak ni kan..sikit-sikit nak marah saya. Cuba baik-baik sikit dengan saya.” Aik? Merajuk pulak.
“Saya tak marah awak pun lah. Perasan.”
“Okey sudah..sudah.. Cukup gaduh-gaduh ni. Perpustakaan ni tempat belajar. Bukan tempat bergaduh tau.” Nasib baik Ayna yang ada dekat sebelah aku ni menyampuk. Kalau tak ada lagilah yang Luthfi tu nak cakap tak puas hati tu.
“Ops! Sorry..sorry.. Terlupa lak tujuan asal kita.” Dia senyum kambing lagi sambil cakap macam tu. Entah apa-apa suka sangat senyum macam tu. Tapi ada jugalah cute dia
kalau senyum kambing tu. Semua sebab lesing pipit dia yang dalam tu kot. Pemanis, orang kata.
“Isy..isy..isy.. Boleh pulak dia lupa. Abang Luthfi ni mesti selalu termakan semut ni.” Ujar Ayna.
“Yelah..yelah.. Jomlah mula. Ada soalan latihan yang tak boleh jawab tak?” Tanya Luthfi.
“Ada..ada. Banyak gila.” Jawab aku tanpa rasa malu. Masa mula-mula belajar dengan Luthfi ni dulu aku segan jugaklah kalau nak mengaku yang aku ni tak berapa pandai. Tapi sekarang dah tak lagi. Biarlah aku jujur terus-terang dekat dia yang aku ni memang sedikit lambat dalam pelajaran. Dia ketawa saja bila aku bagitahu macam tu dekat dia. Dia ingat aku melawak waktu tu kot.
Sedar tak sedar, aku dah dekat dua bulan aku berkawan rapat dengan Luthfi ni. Tapi istilah rapat tu, kalau nak kata macam kami ni terlalu rapat sampai boleh kongsi segala rahsia hidup tak adalah. Belum sampai tahap tu lagi.
Setakat selalu duduk borak-borak dengan dia tu adalah. Biasanya aku borak dengan dia pada waktu riadah, time aku dengan dia sama-sama rasa tak ada mood nak main apa-apa sukan. Kadang-kadang aku jogging keliling sekolah dengan dia, dengan Ayna sekalilah. Gila ke nak jogging berdua dengan dia aje. Kena tangkap khalwat pula nanti.
Tambah pula, dia selalu tolong aku dengan Ayna dalam pelajaran. Dalam seminggu, mesti ada dua tiga kali dia akan ajak kita orang duduk dekat library pada waktu prep. Study sama-sama kata dia. Aku ni ikut ajelah. Orang dah ajak, takkan nak tolak kan? Lagi pula, dia bukannya ajak buat benda tak elok pun. Jadi tak ada salahnya aku benarkan dia nak berkongsi ilmu dia dengan aku dan Ayna. Kami sama-sama dapat manfaatnya.
Jadi istilah yang sesuai diguna pakai antara kami sekarang ni adalah kawan. Tak lebih dari tu tau. Istilah abang angkat dengan adik angkat yang budak-budak asrama
pakai untuk kami berdua tu tak valid.
Aku pun tak tahu kenapalah budak-budak dekat asrama perempuan ni suka sangat jaga tepi kain orang. Masing-masing kalau nampak aku je mulalah berbisik-bisik sama-sama diaorang. Aku tak tahulah apa benda yang diaorang bisik sebab aku tak pernah lagi pergi tanya diaorang, “Korang bisik pasal apa? Nak tahu boleh?”
Kalau ikut aku nak aje aku pergi tanya diaorang macam tu. Tapi kalau diaorang bukan cakap pasal aku, aku juga yang malu nanti.
Ayna cakap, sebab aku ni rapat dengan Luthfi, diaorang ingat Luthfi ni dah buat aku ni adik angkat dia. Tolonglah! Aku tak panggil dia ni abang pun. Bila masa nak angkat-mengangkat ni aku pun tak tahu. Dahlah aku nak angkat dia pun tak larat. Macam mana boleh jadi abang angkat pulak?
Luthfi ni pula, tak ada orang dekat sekolah ni yang tak kenal dengan dia. Maklumlah, presiden JAQWA merangkap imam utama surau. Siapa yang tak kenal? Cuma aku ni saja dulu yang tak kenal dia. Aku kan katak bawah tempurung. Tak ambil tahu langsung perkara-perkara yang terjadi dekat sekolah ni.
Aku ni pula, sebab dah rapat dengan orang terkenal macam Luthfi tu, tak pasal-pasal jadi famous sekali dekat sekolah. Kalau aku fikir pasal perkara ni, mulalah aku rasa tak best kawan dengan Luthfi ni sebab semua orang akan kenal aku. Aku ni pula, tak suka sangat publisiti lebih-lebih macam ni. Nak keep low profile aje kalau boleh.
Tapi dia tu, setakat yang aku berkawan dengan dialah, agak baiklah orangnya. Selalu tolong aku kalau aku susah. Memanglah ada kadang-kadang dia tu mengada-ngada sikit dengan aku. Tapi tu kadang-kadang ajelah. Takkanlah aku nak putuskan persahabatan dengan dia sebab hal-hal macam tu kan?
“Berangan ke?” Tanya Luthfi sambil petik jari dia dekat depan muka aku. Terkejut aku dibuatnya.
“Mana adalah!” Aku cuba cover riak muka aku bagi tak nampak macam terkejut sangat walaupun memang terkejut waktu dia panggil aku tadi. Takkan aku nak mengaku yang aku memang tengah berangan.
“Yelah tu.” Dia senyum saja bila tengok aku macam menggelabah sikit. Adalah isu dia nak kenakan aku nanti tu. Dia ni memang pantang kalau aku buat benda yang memalukan
sikit. Nanti benda tu dia akan jadikan bahan untuk kenakan aku balik. Jahatlah dia kan?
“Saya tak beranganlah!” Aku cuba juga tegakkan benang yang dah basah kuyup.
“So? Saya kan dah kata yelah. Saya dah admit yang awak tak berangan pun.” Dia jawab sambil senyum semacam je dekat aku. Admit kepala lutut dia!
Aku tarik muka masam. Macamlah aku tak kenal dia. Balik-balik nanti aku juga yang kena dengan dia.
“Merajuk ke?” Dia tanya.
“Tak.”
“Tapi muka awak macam merajuk je.” Dia masih pandang tepat ke muka aku.
“Taklah.” Aku cuba tukar riak muka masam aku kepada muka yang manis sikit.
“Dahlah. Jom sambung balik buat soalan ni.” Aku tarik kertas soalan latihan matematik tambahan dan hulur dekat dia. Dia sambut sambil senyum. Senyum kambing tu lagi.
“Okey kita sambung. Tapi promise me, jangan berangan dah tau.” Dia cakap tanpa pandang muka aku, tapi aku still boleh nampak yang dia ketawa kecil.
“Tengok tu! Awak saja cari bahan nak kenakan saya. Jahatlah!”
Dia masih ketawa kecil.
“Sorry..sorry..” Dia cuba nak berhenti daripada ketawa. Aku tengok dekat sebelah aku, Ayna pun macam nak gelak dekat aku.
“Kau pun gelakkan aku eh?” Aku marah Ayna. Siapa suruh dia berkomplot dengan Luthfi untuk ketawakan aku. Dia ni geng aku ke geng Luthfi?
“Takdalah.” Dia nafikan. Tapi sambil tu dia gelak juga.
Sakitlah jiwa aku layan dia orang ni.
“Okey..okey. Dahlah merajuk tu. Saya nak ajar awak jawab soalan ni.” Dia cakap macam nak pujuk aku.
Aku tak cakap apa-apa, tapi aku tengoklah juga dekat soalan yang dia tunjuk tu. Kalau tak tengok nanti, jadi bodoh sombong pula.
Selepas tiga kali ulang step untuk jawab soalan tu, barulah aku faham. Nasib baik dia sabar aje ajar aku yang tak berapa nak pandai ni. Merajuk aku pun dah hilang sebab tengok dia bersungguh-sungguh ajar aku tadi.
“Maya..”Dia panggil aku masa aku baru nak pakai kasut selepas keluar dari perpustakaan.
Aku pandang dia yang tengah berdiri dekat belakang aku. Dia dah siap pakai kasut.
“Ambil ni..” Dia hulur dark chocolate vochelle dekat aku. Lepas aku ambil coklat tu dia terus balik sambil senyum dekat aku.
Aku tengok coklat yang dia bagi tu. Ada stick note sekali.
“Awak cute kalau merajuk. Sebab tu saya suka kacau awak..Jangan marah…”Aku baca nota ringkas dia tu senyap-senyap dalam hati.
Entah kenapa hati aku macam berbunga pula bila baca nota dia tu.
__________________
Syed Muhammad Luthfi bin Syed Zulkifli.
Entah macam mana aku boleh teringat dekat nama tu sambil-sambil tengah study ni. Berangan lagi aku ni. Apasal aku ni kuat berangan kebelakangan ni ye?
Aku dengan Ayna tengah seronok lepak dekat pondok belakang asrama sambil siapkan esei biology dengan report eksperimen kimia. Hari ni hari Sabtu. Jadi prep tak wajib.
Kalau nak pergi boleh tapi aku dengan Ayna tersangatlah malas nak berjalan ke sekolah untuk pergi prep. Sebab tu nak siapkan kerja dekat asrama je. Lagipun berapa ramai sangatlah budak asrama yang rajin nak pergi sekolah hari-hari cuti macam ni.
Ramai yang pilih untuk siapkan kerja dekat dalam dorm masing-masing. Lagi best sebab ada katil. Kalau penat boleh terus membuta. Sebab tu aku dengan Ayna lepak dekat pondok ni. Sekurang-kurangnya, godaan nak tidur sebab ada katil tu dapatlah dielakkan.
“Nak coklat?” Aku pelawa Ayna makan dark chocolate yang aku dapat dari Luthfi. Takkanlah aku nak makan sorang-sorang. Ayna ni kan kawan baik aku.
“Boleh makan ke?” Dia tanya sambil sengih. Aik? Dia ni pun dah dapat penyakit sengih Luthfi ke?
“Apasal tak boleh pulak?” Rasanya ada tanda halal dekat pembungkus coklat ni.
“Yelah.. Kan tu hadiah special.. Boleh ke kau kongsi dengan aku?” Dia tanya.
“Walawei…! Touching la kau ni. Kau tu bukan orang lain dengan aku. Satu-satunya kawan baik aku dekat atas muka bumi ni tau..”Aku cakap sambil tampar belakang dia kuat-kuat. Bagi dia sedar sikit.
“Sakitlah!” Dia marah aku. Tapi lepas tu dia senyum dekat aku.
“Memang saja nak bagi sakit.”
“Kau ni jahatlah. Aku ambik semua coklat kau!” Dia rampas semua coklat aku.
“Wei! Aku bagi sikit je. Lebih-lebih pulak!” Aku cuba nak ambil balik coklat yang dia rampas tu.
“Haa.. Nampak sangat kau suka dengan coklat ni.. Orang yang bagi coklat ni kau suka tak?” Dia tanya aku soalan cepumas tu.
“Isy..Tak payah tanya soalan mengarut macam tulah. Bagi balik coklat aku.” Aku gelak sambil rampas balik coklat aku dekat tangan dia. Dapat pun!
“Apa pulak mengarut.. Aku tanya soalan serius ni.” Dia cuit tangan aku supaya betul-betul dengar apa yang dia cakap.
“Entah..”Aku jawab pendek. Rasa macam malas nak jawab soalan mahal macam tu.
“Aik? Macam tu je kau jawab? Aku tanya betul-betullah.” Ayna tak puas hati.
“Yelah. Aku pun jawab betul-betullah.” Aku jawab sambil lewa.
Dia tak puas hati lagi. Terus dia tarik tangan aku, suruh aku pandang dia. Dah mula dah.. Ni kalau macam ni, selagi aku tak jawab ikut kehendak dia jangan harap dia nak lepaskan aku.
“Aku sukalah kot, sebab aku tak ada perasaan benci dekat dia. Macam aku suka kawan dengan kau.” Aku jawab dengan clear dekat dia. Harap puaslah hati Ayna ni.
“Suka biasa-biasa aje ke? Tak suka yang special-special punya?” Dia tanya lagi. Bila dia nak berhenti bincang bab ni?
“Apasal aku kena suka special-special dekat dia pulak?” Aku soal dia balik sambil buat muka blur. Padahal aku faham je apa yang dia nak sampaikan dekat aku tu.
“So, kau anggap dia kawab ajelah ni?”
“Dah tu aku nak anggap apa pulak?”
“Manalah tahu kau syok dekat dia ke…” Nak tergelak besar aku dengar ayat dia tu.
“Tak syok pun. Kenapa? Kau syok ke?” Manalah tahu kalau dia nak check sama ada aku ni batu penghalang cinta dia ke. Itupun kalau betul dia suka dekat Luthfi.
“Tak.. Aku ingat kau syok..Boleh aku cakap dekat Luthfi yang kau syok dekat dia.” Macam kecewa je dia cakap. Kenapa dia pulak yang frust ni?
“Isy..sibuk je.. Kau jadi spy dia ke ni?”
“Eh..tak lah..Buat apa jadi spy tak bergaji. Kalau dia gaji aku jadi spy ke..body guard kau ke..aku nak lah.” Dia gelak. Aku pun cubit dia.
“Jadilah spy dia kalau berani. Aku cubit kau kuat-kuat.” Dia gelak je.
“Dahlah. Jom sambung buat report ni.” Aku cakap. Malas dah nak layan loyar buruk Ayna ni.
Tapi sambil-sambil aku buat kerja depan aku ni, aku terfikir juga tentang soalan Ayna tadi. Aku suka dia ke?
Tak kot. Biasa je kot, macam kawan biasa. Setakat ni, aku rasa biasa je. Takkanlah aku tak tahu macam mana rasanya jatuh cinta, kan?
Tapi aku bukannya pernah suka dekat mana-mana orang pun. Macam mana aku boleh tahu aku suka ke tidak orang tu?
Peninglah! Dahlah..tak payah sakit otak fikir pasal ni. Study…study!
Share this novel